AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 29 December 2017

IKATAN KASIH- BAB 49



Zara, Rabeta dan Nazatul menikmati mee udang banjir milik mereka  yang masih belum disentuh. Memang sedap, terasa cukup asam garamnya. 
            “Amboi! Sedapnya makan?” suara garau menyapa dengan pistol di tangannya. Pintu ditutup rapat dan dikunci. Dia menutup semua tingkap yang ada kecuali satu sahaja tingkap dibiarkan terbuka, mudah untuk dia melihat keluar.
            “Zaheer?” Nazatul meletakkan mangkuk yang masih berisi mee udang yang masih berbaki.
            “Apa khabar jandaku?”
            “Kau buat apa di sini?”marah Rabeta. 
            “Ayah, menyerahlah!” kata Zara pula.
            “Aku rela mati daripada menyerah!”
            “Kau memang tidak pernah insaf, kan?” Nazatul mengetap bibir. Matanya memandang gerak tangan Zaheer yang sedang memegang pistol.
            “Insaf? Aku belum nak mati lagilah!” Zaheer ketawa  kuat.
            “Aku nak tinggal di sini.”
            “Jangan mimpi!” Nazatul menjeling. Lelaki itu cukup memualkan.
            “Kau semakin cantik pula Naz.” Zaheer mencubit dagu Nazatul. Cepat-cepat ditepis oleh Nazatul. Jijik rasanya, bencinya terhadap lelaki itu menbuak-buak.            
            “Kenapa kau benci sangat dengan aku, Naz? Aku pernah jadi suami kau, berbelas tahun. Aku juga ayah kepada anak kau yang cantik manis ni.” Zaheer menyengih.
            “Suami?” Nazatul mencebik.
            “Hey, Zaheer… baik kau keluar dari sini, sebelum polis datang ke mari!”  tempelak Rabeta.
            “Jangan harap!” Zaheer mengetap bibir. 
            “Kau orang nampak tak pistol ni, aku akan tembak kau orang. Seorang demi seorang!” Zaheer ketawa lagi. Mudah kerjanya, semuanya ada di situ, kecuali Jasmina. Gadis itu akan dicari kemudian. Dia akan membunuh ketiga-tiga mereka sebelum melarikan diri dari situ. Mereka tidak layak hidup.  Menyusahkan. 
            “Bersedialah untuk mati!” Zaheer mengacukan pistol ke arah Rabeta. Belum sempat dia menarik picu, mukanya telah disimbah dengan kuah  mee udang banjir yang masih suam-suam kuku. Terpercik ke matanya. Zaheer berteriak. Dia mula menembak membabi buta kerana matanya kepedihan. Bergema bunyi tembakan dari bilik itu.  Nazatul, Zara dan Rabeta menyorok di belakang sofa. 
            “Tak guna punya perempuan!” Zaheer cuba mengelap kesan tumpahan kuah itu dengan bajunya. Masih terasa pedih. Matanya gagal dibuka. Belum sempat dia berbuat apa-apa, satu tendangan singgah di celah kelangkangnya. Dia ternganga dengan mata berair menahan kesakitan sebelum rebah ke lantai. Pistolnya tercampak ke bawah meja kopi.
            “Zara! Ambil pistol tu!” jerit Rabeta. Rabeta mensasarkan pinggang lelaki itu pula. Satu tendangan lagi ke belakang Zaheer. Seperti hilang akal, Rabeta terus menyepak kepala Zaheer. Zaheer melindungi kepalanya dengan tangan.   
            Arni yang datang untuk mengutip pinggan-mangkuk kotor terkejut mendengar bunyi tembakan membuatkan dia berlari ke dapur semula.
            “Zaki! Zaki!” jeritnya. “Akak terdengar bunyi tembakan di  bilik  pengurusan. Akak dengar suara lelaki! Baik kau pergi tengok, akak  nak panggil pengawal keselamatan!” cerita Arni. Dia berlari laju menuju ke pintu pagar.
            Zaki berlari ke ruang pejabat pengurusan RIKA  Dia cuba membuka pintu, tetapi berkunci. Dia menuruni anak tangga, dia menjengah melalui tingkap yang terbuka.
            “Zaheer?” Zaki terkejut. Malam tadi dia ditinggalkan di tengah jalan. Dia menahan teksi dan terus ke balai polis. Malam itu juga Fakhrul menyuruhnya menginap di pusat itu. Dia akur demi  keselamatan dirinya. Petang ini pula Zaheer berani datang ke mari.
            “Abang!” jerit Zaki, dia mengetuk pintu dengan kuat. Terdengar seperti orang bergaduh di dalam. Zaki mengelabah.
            “Adik aku pun kau pengaruh ya Naz!”  Zaheer mengelap matanya. Akhirnya boleh terbuka. Zaheer menegakkan lutut dengan payah. Dia mencari-cari pistolnya. Zara memeluk tubuh di belakang sofa.
            “Kau tu yang jahat!” Nazatul mengetap bibir. Tidak menunggu lama, Nazatul menghadiahkan sepakan tepat ke dada Zaheer. Bekas suaminya itu terjelepok diam di lantai. Siren polis menyanyi-nyanyi dan semakin mendekat membuatkan semua mereka memandang keluar tingkap.
            “Abang, lepaskan mereka!” jerit Zaki.
            Zaheer ingin menerpa tetapi senak di ari-ari lebih mencengkam. Pedih di dada juga seperti meramas-ramas jantungnya. Salur nafasnya seakan-akan dipulas-pulas. Dia terjelepuk semula. Selain itu, kepenatan yang merajai diri Zaheer, memenangi pertarungan itu. Zara berlari membuka pintu. Zaki menerpa masuk. Dia memandang ketiga-tiga mereka yang turut memandangnya.
            “Abang!” Zaki menerpa ke arah Zaheer yang rebah di lantai.  
            “Eta! Kak Naz!” jerit Arni, menerpa masuk. Beberapa orang anggota polis turut meluru masuk ke dalam pejabat itu. 
            “Eta!” Fakhrul mendekati Rabeta dan Nazatul yang sedang tersandar.
            “Kami tak apa-apa!” jawab Nazatul.
            “Tuan, suspek tidak sedarkan diri,” beritahu salah seorang anggota polis yang berada di situ.
            “Telefon ambulan!” arah Fakhrul.
            “Tak nampak ke dia masuk?” tanya Fakhrul.
“Kami baharu lepas bermesyuarat. Tiada siapa luar sebab  hujan renyai-renyai. Tidak dengar pun bunyi enjin kereta, mungkin dia masuk ikut lot sebelah,” terang Nazatul.
            “Mungkin juga!” Fakhrul menarik nafas lega, kerana tiada siapa yang tercedera.  Pistol milik Zaheer juga telah dirampas.  
            Tidak berapa lama kemudian muncul Joe dan Rudi. 
            “Macam mana tuan?”
            “Pergi ke hospital, tengok keadaan suspek.  Letak dua orang anggota  kita di situ. Jangan terlepas lagi kali ini!” pesan Fakhrul kepada kedua pegawainya itu.
            “Baik tuan!” mereka kembali ke kereta.  Terus ke hospital berhampiran di mana Zaheer akan dirawat.  Zaki sudah pun mengikut ambulan tadi.
            Zaki tersandar di kerusi. Perkhabaran yang diterima daripada doktor yang bertugas merawat abangnya memang memeranjatkan. Abangnya koma.  Bukan pengsan biasa. Terkedu dia. Dia mengeluh. Rudi dan Joe turut terperanjat dengan laporan pihak hospital.
            “Kena sepak dengan perempuan boleh koma?” tanya Rudi.
            “Kena sumpah,” komen Joe. Mengulangi ayat yang pernah diungkapkan pada Zaheer satu ketika dahulu.
            Abangnya tidak mahu hukuman gantung, tidak mahu hukuman seumur hidup, tetapi dia dihukum tidak sedarkan diri. Berapa lama? Hanya Allah swt sahaja yang tahu.
            “Macam mana keadaan Zaheer, Zaki?” Nazatul duduk di sisi bekas adik iparnya itu. Wajah muram itu mengambarkan seribu makna.
            “Abang koma kak, mungkin selama-lamanya, mungkin akan sedar sehari dua lagi, tiada siapa yang tahu,”  kata Zaki.
            “Tiada cara untuk pulihkannya?” soal Rabeta pula.
            “Menurut doktor yang merawat abang, dia mungkin tak sedarkan diri, tapi mampu mendengar apa yang kita cakap,”  terang Zaki.
            “Sabarlah Zaki, mungkin ini yang terbaik untuknya,” pujuk  Nazatul.
            “Sabar ya pak su!” kata Zara pula. Biarpun lelaki itu kejam dengannnya namun tiada siapa yang boleh menyangkal, lelaki itu tetap ayah kandungnya.
            “Masalahnya, kak. Siapa yang nak tengokkan abang. Saya nak balik ke Australia selepas majlis perkahwinan Kak Eta.” Zaki memandang wajah insan-insan yang semakin rapat dengannya. Mereka kini menjadi keluarganya.
            “Zaheer akan menjadi tahanan pihak polis, Zaki. Tiada siapa yang akan dibenarkan melawatnya.  Zaki jangan bimbang soal itu, pengaturan  Allah adalah yang terbaik. Baliklah, keluarga Zaki sudah lama ditinggalkan. Kasihan mereka.” Nazatul melakarkan senyuman, dia tidak mahu bekas adik iparnya terlalu sedih dengan apa yang berlaku.
Mungkin itu adalah balasan yang terbaik buat Zaheer. Manalah tahu jika dia sedar, dia akan insaf setelah dimatikan oleh Allah buat seketika. Semuanya diserahkan kepada Allah swt. Semoga ada imbuhan terbaik buat insan seperti Zaheer.
            “Benar Zaki, kita berdoalah, semoga Zaheer akan sembuh sepenuhnya dan manalah tahu, jalan taubat masih terbuka untuknya,” ucap Rabeta bagi menenangkan Zaki yang tampak kerisauan.
            “Kak Naz dan Kak Eta nak lawat Zaheer ke?” tanya Rudi yang baharu sahaja keluar dari bilik doktor yang merawat Zaheer. Zaheer akan ditempatkan di hospital hingga masa tertentu sebelum dipindahkan ke penjara dengan penjagaan rapi. 
            “Tak kut, biarlah masa yang menentukan keadaan Zaheer. Kita hanya mampu berdoa yang terbaik untuknya Zaki. Jomlah balik. Sudah semalaman Zaki di sini,” ajak Nazatul.
Lagipun tiada apa yang mampu mereka lakukan di situ. Zaheer tidak akan sedarkan diri untuk tempoh masa yang lama.  Zaki tidak perlu menangisi apa yang berlaku.
Pihak polis sudah memberkas penjenayah yang amat mereka kehendaki. Rudi dan Joe telah kembali menjalankan tugas mereka. Menyusup masuk ke dalam kumpulan tertentu untuk menghapus dan melenyapkan kumpulan terbabit. 
            “Tak sangka ayah akan koma, kan mama?” Zara menunduk. Ada air di tubir matanya. Fikirnya, tidak logik ayahnya koma. Dia melihat sendiri Rabeta dan Nazatul menyerang ayahnya. Tidaklah sekuat mana pun.
            “Mungkin itu yang terbaik buatnya, dari dipenjara seumur hidup atau mati di tali gantung,”  ujar Nazatul. Lelaki yang tidak pernah lekat di hatinya. 
Tiada langsung perasaan sayang dan kasih terhadap lelaki itu. Yang ada hanya perasaan marah, benci dan geram. Sudah tiba masanya dia kembali menemui orang tuanya. Sudah terlalu lama dia meninggalkan kampung halamannya. Dia akan membawa Zara pulang menemui orang tuanya. 

No comments:

Post a Comment