AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 30 December 2017

IKATAN KASIH - BAB 50



Jasmina menarik nafas lega. Zaheer disahkan koma oleh doktor yang merawatnya  Dia benar-benar berasa selamat. Berita yang disampaikan oleh mamanya melalui telefon membuat hatinya tenang kembali.  Dia bebas ke mana sahaja. 
Dia menapak  menuju ke keretanya, cadangnya hendak singgah di RIKA sebelum pulang ke rumah. Bebelan ayahnya tidak menjadi kudis padannya. Mama tirinya juga memberi izin. Jasmina tersenyum sendiri.
            “Kata orang, kalau senyum sorang-sorang, dipanggil orang sasau!” tegur seorang lelaki.  Jasmina memandang kiri dan kanan, kata mamanya tadi semua orang-orang Zaheer telah ditangkap? Kenapa masih ada seorang ini?
            “Kau nak apa hah? Zaheer hantar kau ya?”  Jasmina bersedia untuk melarikan diri.
            “Eh, jangan salah anggap. Saya bukan orang Zaheer. Memanglah saya pernah bekerja dengan Zaheer, tapi bukan seperti yang awak sangkakan,” jelas lelaki itu.
Cermin mata hitamnya dibuka. Terlihatlah sepasang matanya yang sebenar. Mata yang redup dan bulat. Hidung mancung. Pipi licin, bersih.  Rambut kemas rapi.  Pakaian kemas bergaya.  
            Jasmina meneliti susuk tubuh lelaki itu, tegap, sasa, lelaki idaman Malaya, bisik hati kecilnya.
            “Habis tu, kau kerja dengan siapa?” tanya Jasmina cuak.
            “Ala… Cik Jasmina ni, perlu ke saya bagi tahu?  Cuba tanya bakal ayah tiri Cik Jasmina, siapa Johan di hatinya.” Joe menyengih.
            “Johan?  Bukan nama kau Joe ke?”
            “Joe tu singkatan, nama pena,” kata Joe, masih tersenyum.
            “Tepilah, saya nak balik.”
            “Saya hantar balik. Saya tahu rumah Cik Jasmina kat mana.” Joe menyengih.
Terpikat pada pandangan pertama. Dipendam dalam hati yang paling dalam sewaktu Zaheer menyampaikan hajat hendak meminang.  Kini, gadis itu masih sendiri. Tidak salah mencuba, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak mahu mengalah sebelum berjuang. Dia benar-benar berharap. Sudah lama membujang, emak dan ayah juga telah bertanya bilakan gerangan hendak berkeluarga. 
            “Kena tanya mama dan bakal ayah tiri saya dululah. Kalau mereka izinkan, barulah boleh hantar.” Jasmina tersipu-sipu. Hati berbunga-bunga.
            “Betul?…”  Joe nak melompat bintang sampai ke bintang.  
            Jasmina ketawa. Dia menolak lelaki itu ke tepi. Dia masuk ke dalam perut kereta, menghidupkan enjin dan terus meninggalkan Joe. Dia membunyikan hon dan melambai ke arah Joe yang masih berdiri memandang keretanya.  Dia tersenyum sendiri.
***
            “Angah pun ada? Bila sampai?” Rabeta mendekati kedua-dua orang anaknya, Jasmina dan Kamarul. Dia memeluk dan mencium pipi mereka. 
            “Angah dari kolej. Saja singgah sebab rindu mama,” jawab Jasmina.
            “Mama, nak tanya. Mama tak jemput Mama Aida dan ayah ke majlis mama ke nanti?” tanya Jasmina. Dia berharap sangat keluarganya dapat berkumpul semula. 
            “Bukan mama tak sudi, tapi mahu ke mereka datang? Angah bukan tak tahu, ayah angah macam mana.” Rabeta bersuara sayu. Kalau boleh dia mahu seluruh ahli keluarga berkumpul meraikan hari yang amat bermakna dalam hidupnya.        
            “Mama, kami bawa Mama Aida jumpa mama, boleh tak?” Kamarul berharap. Matanya merenung wajah Rabeta.
“Mahu ke Mama Aida jumpa mama?” soal Rabeta semula. Kejadian yang lepas membuatkan dia fobia. Takut hatinya berderai menerima penghinaan daripada insan-insan yang dikenalinya.
            “Pasal mahulah kami tanya.” Jasmina memeluk lengan Rabeta. Mamanya semakin ayu sejak ingin berumah tangga. Seri pengantin.
            “Bawalah, mama tak ada masalah,” kata Rabeta memberi persetujuan.
            “Terima kasih mama.” Jasmina memeluk bahu Rabera erat.
            “Angah nak tanya, betul ke Joe tu polis?” soal Jasmina, teragak-agak tetapi kelihatan lega selepas itu.
            “Kenapa?”
            “Joe cari angah di kolej. Dia nak hantar borang jadi menantu mama,” sampuk Kamarul mengerling ke arah adiknya.
            “Ya ke?” Rabeta menyengih. Dia sendiri tidak menyangka lelaki itu seorang anggota polis.
            “Kenapa mama? Suka ke?” tanya Kamarul.
            “Joe tu baik angah. Tak salah kalau angah dan dia berkawan. Tapi janji dengan mama, pelajaran jangan dilupakan,”  nasihat  Rabeta.
            “Amboi! Mama beri lampu hijau?” Kamarul menggeleng-geleng.
            “Angah dah dewasa, along. Kalau jumpa lelaki yang baik, jangan sia-siakan. Kalau Joe tu mama tak kenal, pasti mama tak benarkan. Sebab kenallah, mama izinkan. Cuma jangan bebas sangat dan jaga batas. Kalau ikutkan mama, baik kahwin terus. Itu lebih baik.”
            “Hish, mama ni… tak naklah fikir soal kahwin lagi. Trauma bila ingat kejadian yang lepas.” Jasmina menggeleng laju.
            “Yalah tu!” usik Kamarul. 
            Mereka ketawa serentak. Rabeta benar-benar bahagia melihat senyuman yang terukir di bibir kedua anaknya itu. Apa lagi yang diharapkan dalam hidup selain melihat kebahagian dan kejayaan anak-anaknya.
***
Haji Ismail dan Hajah Kemboja sibuk menyiapkan buah tangan untuk para tetamu di majlis perkahwinan anak perempuan mereka. Biarpun buat kali kedua, tetapi tetap bermakna buat mereka.  Hanya kebahagian yang diharapkan. Sudah banyak penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rabeta, sudah tiba masanya anaknya itu hidup bahagia pula. 
            “Kita nak jemput siapa bang? Eta hantar kad ini suruh kita jemput sesiapa saja yang kita rasa sudi hadir,”  tanya Hajah Kemboja. Kad pemberian Rabeta masih tidak terusik. Tidak tahu kepada siapa kad itu akan diberi. 
            Haji Ismail mengeluh. Dia sendiri tidak tahu siapa yang hendak dijemput. 
            “Jemput sajalah Kak Long anak beranak,” jawab Haji Ismail.
            “Kak long kenalah bang. Nanti dia bebel pula dia dengan saya.” Hajah Kemboja mengeluh. Kak Longnya memang sayang benar dengan Rabeta.   Kalaulah dia tahu Rabeta hendak berkahwin tetapi tidak menjemputnya, mahu mengamuk satu kampung.
            “Nanti saya hantar kad tu kat rumah kak long, banyak lagi ke cenderhati yang hendak dibungkus?” tanya Haji Ismail.
            “Kata Eta, buat 500 bungkus pun dah cukup. Kawan-kawan dia pun bergotong royong buatkan untuknya,” jelas Hajah Kemboja riang.
            Haji Ismail tersenyum bahagia. Isterinya tidak lagi tidur dalam linangan air mata.  Hari-hari bercerita tentang Rabeta dengan wajah berseri-seri. Dia menarik nafas lega melihat keceriaan di wajah perempuan  yang sudah  berkongsi hidup dengannya. 
Lebih lega hatinya ketika mendapat tahu, bukan Rabeta yang mencederakan Ramadan. Kalaulah Ramadan tahu tentang itu, Haji Ismail mengeluh berat. Kalaulah bekas besannya tahu, pasti mereka tidak lagi mencari kesalahan anak perempuannya itu. Hubungan mereka semua pun akan pulih kembali. Itulah harapannya.
Namun Rabeta tidak mahu Ramadan tahu. Bimbang bekas suaminya itu akan membuat laporan polis.  Cukuplah dia  yang menanggung kepedihannya.  Dalam hati dia benar-benar bersyukur kerana mempunyai seorang anak yang mulia hatinya.      
            Salam kedengaran membuatkan mata mereka tertumpu ke arah pintu. Haji Ismail bingkas bangun. Daun pintu dibuka perlahan. Terpacul di muka pintu kakak iparnya dan Aida. 
            “Kak Long, Aida? Masuklah,” pelawa Haji Ismail.
            “Kamu berdua buat apa ni? Sibuk sangat, macam nak terima menantu saja?” Hajah Kamalia kehairanan.  
            “Redza dah nak kahwin ke? Kata tahun depan?” soal Hajah Kamalia. Dia masih mengasak fikirannya berfikir.
            “Belum kak long, ini orang lain punya!” jawab Hajah Kemboja riang. Hanya senyuman yang terukir di bibirnya.
            “Siapa mak ngah?” tanya Aida sambil tangannya turut membantu memasukkan bungkusan kecil keropok dan gula-gula ke dalam beg kertas.
            “Anak-anak tiri kau tak cerita ke, Aida?” soal  Hajah Kemboja kembali.
            “Tak pula.” Aida mengerah fikir. Manalah tahu dia yang terlepas dengar. Namun, seingatnya, tiada.
            “Eta. Eta nak kahwin minggu depan.” Haji Ismail memandang kakak ipar dan anak buahnya dengan mata berkaca. 
            “Betul ke Mail? Alhamdulillah… ada juga jodohnya. Nanti! Mesti dengan lelaki yang datang pada hari pertunangan Jasmina tempoh hari.” Hajah Kamalia masih ingat wajah lelaki itu. Seorang anggota polis. Boleh tahan tampannya.
            “Ya kak long.”  Haji Ismail tersenyum lagi.
            “Kak long nak pergi, itu pun kalau dijemput.  Lama tak bersembang dengan anak buah kak long tu.  Rindu benar kak long dengan dia, ngah.” Sebak dadanya. Hajah Kamalia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 
            “Alhamdulillah, saya juga tumpang gembira, mak ngah, pak ngah. Saya pun teringin sangat nak jumpa Eta. Budak-budak ada janji nak bawa saya jumpa Eta, tapi entah bilalah. Sampai sekarang tak ada khabar berita. Entah-entah Eta tak nak jumpa saya.” Aida menunduk. Rindu menyapa di hati. Dia tidak pernah membenci sepupunya itu. 
            “Ini kadnya kak long. Eta dah suruh angah jemput sesiapa saja.” Kad undangan perkahwinan Rabeta dan Fakhrul bertukar tangan.
            “Terima kasihlah angah. Dapat jugalah kak long tengok anak buah kak long naik pelamin lagi.  Syukur kepada ALLAH, Eta berhak hidup bahagia.”
            “Untuk saya tak ada ke mak angah?” tanya Aida,penuh mengharap.
            “Nanti Ramadan marah pula.” Wajah anak buahnya dipandang seketika.
            “Ala mak ngah.  Bolehlah.  Saya pergi dengan mak. Saya cakaplah, pergi kenduri kawan mak. Selalunya Abang Ramadan tak ikut. Mak ngah, bolehlah,” rayu Aida.
            “Aida ikutlah mak nanti. Kad, mak angah tak boleh bagi. Kalau Ramadan tengok panjang pula leternya nanti.” Hajah Kemboja tidak mahu perasaan benci Ramadan akan membuatkan rumahtangganya pula berantakan. Biarlah kebencian itu kekal di hati menantunya. 
            “Terima kasih mak ngah. Harap Eta tak marahkan saya kerana kahwin dengan suaminya.” Aida menunduk. Terasa malu dengan sepupunya sendiri.
            “Nak marah kenapa pula? Malah dia berterima kasih sebab Aida jaga anak-anak dia. Kalau orang lain, entah bagaimana hidup anak-anaknya itu. Aida jangan bimbang, ya. Eta tak pernah marahkan Aida.” Hajah Kemboja menepuk peha anak buahnya. 
            Aida tersenyum lega. Sekurang-kurangnya dia tahu perasaan Rabeta terhadapnya. Syukurlah, akhirnya sepupunya itu bertemu jodoh juga.     “Banyak lagi ke nak dibuat bungkusan cenderahati ni?” tanya Hajah Kamalia yang mula turut membantu.
            “500 saja kak long. Yang lain, dibuat oleh kawan-kawan Eta,” terang Hajah Kemboja.
            “Baguslah… nanti nak pergi. Kita pergi sekalilah.  Jangan lupa hari nikahnya pun kak long nak ikut, ya Mail.”
            “Yalah kak long, nanti saya bagi tahu abang long. Boleh kita pergi sebuah kereta saja.” Dia bersetuju dengan cadangan kakak iparnya itu.
            “Saya boleh tumpang anak-anak,” kata Aida pula.
            “Alhamdulillah… terima kasih Aida, kak long.  Tentu Eta gembira tengok kita datang. Terutama kak long dan Aida.”
Sayu hatinya melihat kesudian kakak sulungnya itu. Mereka berdua memang rapat dengan Rabeta sejak daripada kecil lagi. Mana mungkin Rabeta tidak menyayangi mereka lagi. 
            “Kami pun tumpang gembira mak ngah. Eta berhak hidup gembira.”
            “Kak long, Aida… sebenarnya, Eta tak bersalah. Lelaki yang tikam Ramadan tu datang sendiri ke rumah ni. Mengaku silap dia. Angah sendiri terkejut, tapi Eta tak mahu dakwa lelaki tu. Eta sudah memaafkan kesalahannya,” kata Hajah Kemboja berterus terang. Mereka ahli keluarganya. Mereka berhak tahu cerita yang sebenar.
            “Ya ALLAH! Benar ke ngah?” Terlopong mulut Hajah Kamalia mendengarnya.   
            “Ya kak ngah,” sambung Haji Ismail.
            “Mak ngah, Abang Ramadan perlu tahu hal ini!” Aida terkejut, namun dia gembira mendengarnya. Sudah jelaslah sepupunya itu tidak bersalah.
            “Eta tak bagi kami beritahu Ramadan. Dia tak nak Ramadan buka balik kes tu dan lelaki itu ditangkap. Dia tidak mahu keluarga lelaki itu menerima nasib yang sama dengannya. Lagipun lelaki itu sudah berubah dan insaf dengan kesalahannya.  Kita  juga maafkanlah kesalahan lelaki itu ya, long.”
            “Mana boleh? 15 tahun Eta dipenjara!  Hidupnya terseksa! Orang benci! Orang caci dan hina dia! Suami dia, yang dapat tiga orang anak dengan dia pun bencikan dia!” Melenting Hajah Kamalia.
“Itulah permintaan Eta, kak long. Biarlah.  Kami pun bersetuju dengan tindakannya itu.”Haji Ismail tidak mahu menyimpan dendam. 
            “Yalah mak ngah, kenapa lelaki itu tidak dibawa ke balai polis saja. Biarlah dia kena hukum!” sampuk Aida, tidak berpuas hati.
Baik sangat. Sampai kena pijak, dihina dan dicaci juga tidak melawan. Dia sendiri pun, pada mulanya percaya Rabetalah yang melakukannya. Lama-lama dia sendiri yakin, sepupunya tidak akan bertindak seperti itu.  Betullah jangkaannya.  Rabeta tidak bersalah.
            “Itulah, baik sangat! Asyik kena buli saja,” rungut Hajah Kamalia.
            “Setiap yang berlaku ada hikmahnya long.  Berkat kesabarannya, hidupnya jauh lebih baik daripada dulu,” ujar Hajah Kemboja, tenang.  
“Yalah, ikut suka kamulah. Kak long tak boleh nak paksa. Apa pun kak long gembira mendengarnya. Sudah terbukti anak buah kak long tu memang baik orangnya.” Hajah Kamalia mengendur. Ikutkan hatinya dia lebih suka lelaki itu dipenjarakan dan nama Rabeta dibersihkan.
            “Mehlah kita siapkan ni, ringan sikit beban mak ngah,” ajak Hajah Kemboja, tidak mahu melayan rasa marah kakaknya itu. Perkara sudah berlaku, biarlah berlalu.  Semoga hidup  mereka kembali ceria.  Redza juga sudah dimaklumkan dan berjanji akan membantu di majlis perkahwinan kakaknya nanti. 




No comments:

Post a Comment