AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 30 December 2017

IKATAN KASIH - BAB 51



Nazatul duduk memandang wajah lelaki yang pernah menjadi suaminya itu dengan hati yang penuh simpati. Tiada siapa yang datang melawat atau ingin mengambil tahu tentang lelaki itu. Tubuhnya kaku, mulutnya bisu, hanya kedengaran degupan jantungnya yang  menggunakan mesin jangkahayat. 
            “Kau lihatlah diri kau sekarang, Zaheer.  Apa yang boleh kau buat? Tiada seorang pun mendoakan agar kau selamat, malah mereka berharap kau mati.  Pernah tak kau fikir, satu hari nanti kau akan jadi seperti ini? Bertaubatlah! Kembali ke  jalan yang benar!”  Nazatul menyeka air  mata  yang mengalir. 
Bukan dia sedih dengan apa yang berlaku kepada bekas suaminya itu, tetapi dia kesal kerana  lelaki itu memilih kehidupan yang salah.
            Nazatul membetulkan duduknya. Dia bersilang kaki. Tangannya diletakkan di lutut.  Memerhati dengan jiwa yang kosong.  Tiada perasaan sayang terhadap lelaki itu. Tiada rasa cinta di hatinya.  Semua beku, kosong dan tidak berjiwa.
            “Zara kirim salam. Katanya, dalam hatinya, kau tetap ayahnya. Baikkan anak kau? Anak yang kau pernah nak jual. Kau memang bukan manusia! Kau dengar tak Zaheer!”
***
Aida tercari-cari ayat yang sesuai untuk meminta izin daripada suaminya bagi menghadiri majlis pernikahan sepupunya Rabeta, beberapa hari lagi. Dia ingin benar turut serta meraikan hari bersejarah itu. Tidak tergamak untuk menipu. Kamarul dan Jasmina juga tidak berani meminta izin untuk dirinya. Terpaksalah dia bergantung kepada dirinya sendiri.
            Kad undangan sengaja diletakkan di atas meja. Biar dibaca suaminya. Manalah tahu terbuka pintu hati suaminya untuk turut serta, jika tidak pun mengizinkan dia pergi, sudah cukup baginya.
            “Awak ni dah kenapa? Macam ayam berak kapur saja. Gelisah tak tentu pasal! Apa  masalahnya?” Ramadan mencuri pandang. Mata Aida asyik memandang ke arahnya.
            “Erk… saya nak cakap sikit ni. Nak minta kebenaran awak pergi majlis perkahwinan sepupu saya. Boleh tak?” tutur Aida perlahan  tetap jelas.
            “Sepupu?  Anak siapa?  Mak ngah? Redza? Anak Pak Lang, baharu sajakan kendurinya? Pak tam dan mak uda, anak-anak masih belajar, sepupu yang mana satu?” soal  Ramadan. Suratkhabar di tangan diletakkan di atas meja. Matanya membulat memandang wajah Aida yang duduk berhadapan dengannya.
            “Anak mak ngahlah. Tengoklah kad depan awak tu” suruh Aida.
            “Anak mak angah?” Ramadan sedikit terkejut. 
            “Redza?”  tanya Ramadan.
             Laju  gelenggan Aida.
            “Eta?  Rabeta?” soal Ramadan.
            “Anak mak angah dua orang saja. Kalau bukan Redza, sudah tentulah seorang lagi!” Aida mencebik. Buat-buat terkejut. Sepupunya itu tak adalah buruk benar. Ingat tak laku ke? 
            “Tak boleh!” Ramadan melarang. Dia tidak mahu ahli keluarganya berbaik dengan bekas isterinya itu.   
            “Kenapa?”  Aida sudah mula panas hati.
            “Awak tahu sebabnya! Tak perlu saya terangkan berkali-kali,”  jawab Ramadan.
            “Awak ni kenapa? Eta tu sepupu saya! Emak dan ayah saya pergi, kita saja yang tak pergi! Pak lang, pak tam dan mak su saya pun pergi. Sepupu sepapat saya semuanya pergi. Kenapa kita tak boleh pergi?” soal Aida geram.
            “Awak pula kenapa? Dah lupa siapa yang nak bunuh saya?”
            “Itu sajalah ayat yang awak ulang! Tolonglah bang. Benarkan saya pergi,” rayu Aida. Dia tidak mahu melepaskan peluang melihat hari bersejarah Rabeta. Dia ingin menjadi sebahagian daripada insan yang memeriahkan majlis itu.
            “Tak boleh, tak bolehlah!” jerkah Ramadan.
            “Abang! Eta tak bersalah, tahu tak? Bukan dia yang tikam awak! Orang itu sudah pun mengaku. Eta berhati mulia, tidak mahu mendakwa lelaki itu. Dia lepaskan lelaki tu.”
“Mana awak tahu ni?” Ramadan tambah menjerkah.
“Saya sendiri terkejut mendapat tahu hal ini.  Mak ngah pesan jangan beritahu abang. Eta juga pesan kepada mak ngah jangan beritahu keluarga awak! Saya tahu kenapa dia tidak mahu awak tahu hal ini!”  Aida mengetap bibir.
            “Awak jangan nak buat cerita!” Ramadan tidak percaya.
            “Kalau awak tak percaya, apa yang boleh saya buat? Kalau awak nak jumpa lelaki tu, ikut saya. Awak akan jumpa dia di situ!” cerita Aida. Dia terpaksa memberitahu suaminya.
Fikirnya, hanya engan cara ini sahajalah dia berpeluang ke majlis tersebut. Sekaligus membersihkan nama sepupunya di kalangan keluarga Ramadan.
            “Saya juga tahu kenapa Eta tak nak beritahu awak. Dia kecewa sangat dengan awak. Sepatutnya awak kenal hati budinya. Kita kenal sejak kecil, bang.  Awak bercinta dengan dia sejak sekolah! Awak boleh bela dia. Tapi tidak… awak biarkan dia terhukum atas kesalahan yang dia tidak lakukan! Itu sebab Eta rela dia dibenci oleh awak selamanya.”
Aida mengeluh berat. Bukan ada niat untuk membuatkan suaminya rasa bersalah. Namun, itulah hakikatnya.
            “Saya tetap akan pergi, bang. Biarpun abang melarang.  Eta sepupu saya. Banyak jasanya terhadap saya. Mana mungkin saya tidak hadir sedangkan seluruh ahli keluarga saya berada di situ. Kita semua dijemput, terserah abang sama ada nak pergi atau tidak.  Anak-anak saya bawa sama,” kata Aida tegas.  Tidak perlu meminta izin kalau dalam diri hanya ada niat hendak memutuskan silaturahim sesama saudara.
            Ramadan terdiam. Tidak tahu harus berkata apa. Kalaulah benar bekas isterinya tidak bersalah, Dialah manusia pendosa yang telah menuduh tanpa usul periksa. Fikiranya bercelaru. Siapakah lelaki itu? Rabeta menjadi mangsa pula. Wajah murah Aida singgah di matanya. Dia mengeluh keras.
Isterinya itu telah nekad. Dia menyandar di kerusi laman.  Resah di hati, galau di jiwa.  Tiada siapa yang mampu memberi jawapan kepada persoalan yang sedang bermain di benaknya. 
            Cinta sejak di bangku sekolah melarat hingga ke jinjang pelamin. Selama mengenali Rabeta, gadis itu seorang yang penyayang, lembut dan penuh wawasan. Rumah tangga mereka bahagia bersama tiga orang cahaya mata hinggalah datang cerita duka yang meranapkan semuanya.
Hancur lebur istana cinta yang mereka bina.  Yang terlahir selepas itu hanyalah duka, kecewa dan hampa. Desakan keluarga membuatkan dia serba-salah dan bersetuju apa sahaja asalkan orang yang ingin membunuhnya terhukum, hingga dia tidak mampu mencerna perasaan Rabeta terhadapnya selama ini. Dia buta rasa, buta hati dan hilang kepercayaan kepada diri sendiri. 
            Jika benar seperti yang diceritakan Aida, dialah manusia yang paling hancur hatinya. Kasihnya terhadap Rabeta tidak pernah hilang. Rasa sayang yang masih tersimpan terhadap  bekas isterinya telah membuatkan dia membenci dirinya sendiri.
Benarlah kata Aida. Selama ini, dia bukan marahkan Rabeta, tetapi dirinya sendiri! Dia tidak dapat melindungi bekas isterinya itu. Dia tidak dapat  menghalang mulut kedua orang tuanya daripada terus menghina bekas isterinya itu.
Dia membiarkan mereka berbuat sesuka hati memburukkan keluarga bekas mertuanya. Dia manusia durjana yang busuk hati. Rasa bersalah menggunung hingga kini. Dia turut sama bersekongkol dengan ahli keluarganya memalukan Rabeta. Langsung tidak mempertahankan maruah bekas isterinya itu. 
            Rabeta, ibu kepada anak-anaknya. Jika tercemar nama bekas isterinya, bermakna tercemar jugalah nama anak-anaknya.  Dia sedar perkara itu, tetapi dia diamkan sahaja. Dia mengizinkan keluarganya berbuat apa sahaja. Kononnya, untuk mengembalikan maruah diri mereka. Sedangkan dia telah mengeronyok maruah dirinya sendiri. 
Kalaulah dia perempuan, sudah tentu dia akan meraung di situ juga. Kalaulah dia tidak mengikut perasaan, sudah pasti Rabeta masih bersama dengannya. Dia terlalu mengikut kata hati dan perasaan marah yang bermain di benaknya. Kini, dia akan kehilangan Rabeta selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment