AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 6 December 2017

IKATAN KASIH





Nazatul tidak berkutik.  Di hadapannya duduk seorang lelaki separuh abad, hadir bersama seorang wanita  yang jauh muda daripada dirinya.  Mereka saling berpandangan. Barang-barang kering yang dibawa sama telahpun disusun di dalam stor dapur RIKA. 
            “Bagaimana dengan perniagaan?  Semuanya berjalan lancar?” tanya lelaki itu.
            “Alhamdulillah Tan Sri, semuanya berjalan lancar. Keuntungan tahun ini juga berlipat ganda. Kalau Tan Sri nak tengok penyata kira-kiranya, boleh saya berikan nanti. Mungkin pihak Tan Sri boleh semak dengan lebih terperinci.
            “Saya percayakan awak Nazatul.”
            “Tanpa bantuan kewangan daripada Tan Sri, tidak mungkin kami berdiri kukuh begini,” balas Nazatul. 
            “Tanpa pengurusan yang baik, perkara ini tidak akan berjaya, Nazatul.”
            “Boleh saya bertanya, kenapa Tan Sri bermurah hati membantu saya? Bantuan daripada Tan Sri bukan sedikit jumlahnya. Rasanya sejak RIKA dibuka, hinggalah ke hari ini.” 
Wajah Tan Sri Jaafar ditatap lama. Mencari sesuatu yang tersembunyi di wajah itu. Ada riak sedih di mata Tan Sri Jaafar.
            “Ini anak saya Marlia, PA saya juga. Mudah buat kerja.” Tan Sri Jaafar, bertubuh sederhana, kulit putih bersih. Rambut tersisir kemas. Mata sepet sedikit, mungkin keluarga beliau dari susur galur keturunan Tionghua. Bibirnya kemerahan, mungkin tidak merokok. Bicaranya lembut penuh kesopanan. 
            “Kami selalu berhubung dalam telefon. Cuma tidak pernah berjumpa.” Nazatul menunduk hormat pada Marlia yang setia di sisi ayahnya.
            “Sebenarnya, Zaheer pernah menjadi menantu saya. Dia kahwin dengan Marlia kerana harta. Nasib baik saya mendapat tahu sebelum terlambat. Dengan kekayaan tu, dia memikat keluarga awak. Anak saya marah benar, dia minta cerai. Sehari sebelum kes mereka dibicarakan, anak saya terbunuh dalam kemalangan jalanraya.” Tan Sri Jaafar berjeda. Menoleh ke arah Marlia. Marlia mengangguk-angguk seakan-akan memberi sokongan kepada bapanya meneruskan cerita. Tan Sri Jaafar menghempaskan keluhan dan menyambung, “Dia meninggal di tempat kejadian. Saya tidak benarkan Zaheer mengambil walau satu sen pun harta anak saya. Dia saya halau, lebih-lebih lagi mendapat tahu juga, dia mengedar dadah. Cuma, saya tiada bukti. Dia menuntut harta sepencarian. Saya terpaksa bayar satu juta ringgit untuk menutup mulutnya,” cerita  Tan Sri Jaafar  panjang lebar. Dia meneguk air kosong yang ada di atas meja.
            “Padanlah di dalam surat kebenaran bernikah, tertulis dia adalah duda. Namun saya tak bertanya lanjut, sebab hati sedang sakit dipaksa berkahwin, Tan Sri,” ujar Nazatul.
            Sampuk Marlia yang sejak tadi berdiam, “Sejak itu ayah saya terus mengikuti perkembangan  Zaheer. Bukan apa, sekadar berjaga-jaga. Jika dia datang menyusahkan kami, tahulah kami nak buat macam mana.”
“Saya mendapat tahu dia berkahwin lagi. Saya rasa pelik, kenapa dia pilih keluarga awak? Rupa-rupanya dia ada agenda tersendiri. Dia lacurkan awak, kan? Maaf saya tidak membantu awak.” Tan Sri Jaafar tunduk. Membenamkan rasa kesal dalam dada.
“Beberapa tahun selepas itu ayah dengar Kak Naz tubuhkan Rumah Ikatan Kasih. Ayah buat ini semua untuk arwah kakak saya itu. Dia berhak mendapat kehidupan yang jauh lebih baik, tetapi ALLAH lebih menyayangi dirinya,” cerita lanjut Marlia. Manakala Tan Sri Jaafar, matanya bergenang dengan air mata, cepat-cepat diseka dengan hujung jarinya. Marlia di sebelah mengusap belakang ayahnya perlahan.
            Nazatul terdiam. Setelah berbelas tahun, baharu hari ini dia bertemu muka dengan insan yang telah banyak menabur jasa kepada pusat itu. Rupa-rupanya terdapat kisah di sebalik semuanya. 
“Jangan pula Nazatul menyangka saya datang ini nak tuntut hak saya kembali. Tak. Nampaknya projek di tanah sebelah berjalan lancar. Bukan semua orang mampu buat macam awak buat Nazatul. Hatta pemimpin sendiri pun tidak terfikirkan perkara ini,” puji Tan Sri Jaafar.
            “Tanpa bantuan Tan Sri, kami tidak berada seperti hari ini.”
            “Kak Naz, kami hanya menghulur duit, tapi Kak Naz yang merealisasikannya sebaik mungkin.  Kami benar-benar berasa dihargai. Semoga pemberian kami mendapat keberkatan daripada ILAHI,” doa Marlia.
            “Usaha yang kecil saja Marlia.”
            “Ini ada cek untuk bangunan sebelah. Saya hendak awak tambahkan pula untuk buka rumah anak-anak yatim. Kali ini kita sasarkan untuk buat pusat tahfiz yatim dan miskin, bagaimana? Setuju? Kalau awak setuju, saya akan usahakan untuk beli tanah yang kosong di hadapan pusat ini. Kita kembangkan lagi perniagan akhirat ini Nazatul.”
“Betul ke ni, Tan Sri?” Sepasang mata Nazatul membulat melihat cek yang dihulurkan oleh lelaki itu.   
“Saya ada duit, awak pandai dalam pengurusan. Kita bergabung. Banyak perkara kita boleh lakukan untuk membantu masyarakat di luar sana. Saya tumpang sahamnya,” tambah Tan Sri  Jaafar.
            Nazatul mengambilnya. Dia terkedu melihat jumlahnya. 
            “Banyak sangat kali ini Tan Sri?” Nazatul serba salah.
            “Saya dah berumur Nazatul, harta kekayaan tidak bawa mati. Saya nak juga mencari bekalan untuk akhirat. Kalau boleh buka peluang kepada gelandangan juga. Beri mereka peluang untuk hidup lebih bermaruah.” Tan Sri Jaafar terus memberi idea.
            “Terima kasih kerana percaya dan yakin dengan saya, Tan Sri.”  Hiba hati Nazatul. Ada insan semulia Tan Sri Jaafar yang percaya dan yakin dengan dirinya. Dia tidak pernah menduga begitu mudah perjalanan dakwah dan kebajikan yang diusahakannya.
***
Dia bingkas bangun dari tilamnya yang empuk itu. Masa untuk misi terancang!  Dia tersenyum sinis.  Pistol yang baru dibelinya itu disimpan ke dalam beg bimbit yang sering dibawa jika dia keluar ke mana-mana. Joe sedang bersandar di pintu kereta, bermain-main dengan telefon bimbitnya. Dia berdehem.
            “Bos! Nak keluar ke?” Joe menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket. Dia melukis senyuman.
            “Ke kolej Jasmina,” arah Zaheer.
            “Ta…!”
            “Jangan cakap apa-apa! Jalan saja!” kata Zaheer tegas. 
            Joe menelan air liur sendiri sebelum mengeluh. Dia memandu perlahan. Biar tidak sampai ke destinasi. Bukanlah dia tidak simpati dengan majikannya itu. Namun mengganggu bekas tunang sendiri tentulah tidak manis. Ramai lagi yang boleh dijadikan ganti. 
            “Berhenti di hadapan kereta dia!” Zaheer memandang ke arah kereta Jasmina yang diletakkan di bawah pokok berhampiran masjid kolej itu.  Mereka menunggu hingga gadis itu keluar dari kelasnya. 
            Joe tidak bercakap sepatah pun. Menunggu sahaja.  Zaheer tidak membenarkan dia bersuara.  Dengar dan ikut sahaja arahan. Dia akur, namanya pun makan gaji. Joe mencebik. Entah mimpi apa Zaheer duduk di belakang.
Melihat kelibat Jasmina yang beriringan dengan kawan sekolejnya membuatkan hatinya bernyanyi riang. Dia membuka cermin tingkap kereta.  Pistol dikeluarkan. Dia bersedia membidik.
            Joe yang melihat dari cermin depan, terkejut hingga tertekan pedal minyak. Kereta itu bergerak ke hadapan. Bunyi tembakan bergema di ruang udara kolej itu. Kelihatan Jasmina dan kawan-kawannya menunduk, mereka bertempiaran lari. 
            “Kau buat apa Joe?” tempik Zaheer.
            “Maaf bos! Saya terkejut!” Kereta dipandu laju meninggalkan kawasan kolej itu. Sudah pasti akan ada orang menelefon pihak polis.
            “Bos buat apa?  Nak bunuh budak tu?” 
            “Tak guna! Terlepas lagi! Ini semua kau punya pasal!” Bertalu-talu kemarahan Zaheer. Misinya gagal lagi. 
            “Bos kena ucap terima kasih kat saya, ingat polis tak boleh kesan jenis senjata dan di mana bos beli? Bos teringin nak merasa besar dan kerasnya tali gantung ke?” tempelak Joe.
Memang kerja gila! Dia tidak sangka Zaheer tekad ingin membunuh pula. Kalau nak sangat, upahlah orang lain! Cis! Buat apa dia simpati? Eh? Bukan kena simpatikah? Itukan majikannya. Joe menggaru kepala sendiri. Yalah, kena garu kepala sendiri, takkan hendak garu kepala orang lain pula.  Joe tersenyum sendiri dalam hati, entah apa-apa dia merapu. Muka cemberut  Zaheer yang duduk di tempat duduk belakang dipandang sekali imbas.  Habislah dia!
            “Aku takkan lepaskan dia!” kata Zaheer keras.
            “Ala bos! Kliselah… perempuan  saja pun.  Lupakanlah!” sindir Joe. Ketua samseng kecewa dengan perempuan? Minggu hadapan, stok baru akan sampai. Kenapa masih mengejar perempuan yang menolaknya? Lelaki seperti dirinya kadang-kadang hilang kewarasan sebab sakit hati.
            “Nasib baik tiada polis di kawasan itu, kalau tidak kantoi kita, bos!” Geram pula hatinya. Kalau tertangkap bagaimana? Dia tidak mahu mati di penjara, itu tekadnya.  Dia tidak mahu ke tali gantung, itu cita-citanya. Joe menyengih, apalah yang dia merepek ini?
            “Kau rasa, dia perasan tak siapa yang tembak?” tanya Zaheer. 
            “Manalah aku tahu!” Joe malas melayan.  Hendak buat apa-apa melulu sahaja. Tidak berbincang dahulu. Tidak pasal-pasal kena tukar kereta lagi. Dia mendengus kasar. Susah betullah jadi penjahat! Detik hati  kecilnya.
            “Bos memang dah gila agaknya? Bos nak mati cepat ke? Nak kena tangkap? Elok-elok polis ‘cuci’ bisnes bos, terus ‘cuci’ bos sekali! Apalah!” bebel Joe tidak henti-henti.
            “Kau ni macam betinalah!” jerkah Zaheer.
            “Peduli apa saya, betina ke! Jantan ke! Saya tak kira. Bos lupakan saja budak tu. Buang masa dan habiskan duit saja!”  leter Joe lagi.
            “Tak habis lagi?” Zaheer menggaru kepala. Nasiblah dapat PA yang sengal dan kuat membebel.
            “Aku nak bos buangkan perasaan dendam tu! Habis modal air liur saja bercakap dengan bos! Kalau aku tahu bos nak tembak budak tu, baik bos tembak aku. Sekurang-kurangnya aku mati tak ada siapa yang cari! Bos tahukan anak siapa tu? Bos nak Nazatul dan Rabeta cari sampai ke lubang cacing?” Semakin panjang leteran Joe. Bukannya dia tak tahu Jasmina anak siapa. Zaheer memang sengaja cari nahas.  Memang  hendak mencari masalah.
            “Kau ingat aku takut dengan mereka?”  marah Zaheer, terasa diri seperti pengecut.
            “Ini bukan soal takut atau berani, bos! Tapi sia-sia! Baik fikir nak cari anak-anak ayam buat reban kita yang semakin kosong tu!” ajar Joe.
            “Kau bos ke, aku bos?” Mata tajam Zaheer memandang Joe yang sedang memandu sambil berleter.
            “Ini bukan soal siapa ketua, siapa bos! Ini soal hidup dan mati!” Joe menjegilkan matanya melalui cermin pandang belakang. Dia bukan sengaja hendak melawan. Kalau ditahan polis, bukan sahaja dituduh cuba membunuh, malah ditangkap sebab bawa bala di dalam bonet. Memang sengaja cari nahas.
            “Bos lupa ya, apa ada kat bonet? Nak kena jerut dengan tali gantung ke? Dah lama hidup agaknya. Saya tak kahwin lagi bos!” rungut Joe tidak habis-habis. Memang dia marah. Memang dia geram. 
            “Erk... kejap-kejap! Kan ke dah habis jual sejak kelmarin?” Soal Zaheer kembali. Dia cuba mengingatinya. Rasanya dia belum lupa.
            “Dah  habis jual ke bos?” tanya  Joe seperti tersedar.
            “Budak tu aku tak dapat tembak, kau pula aku mati nanti!” marah Zaheer. 
            “Maaf bos!” Joe ketawa sendiri. Akibat terlalu bimbang dan takut, dia menceceh macam-macam perkara. Dia menyengih pula.
            “Jom lawat kawasan!” arah Zaheer. Semakin sakit jiwanya dengan Joe, PAnya itu.
            “Baik bos!” sambut Joe sambil angkat tabik.  Dalam hati menggeletek ketawa sendiri. Dalam pada itu, Zaheer masih memikirkan cara untuk mengenakan  Jasmina.


No comments:

Post a Comment