Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 30 Disember 2017

MASIH ADA SAYANG- ASMAH HASHIM



Hembusan angin menyapa lembut pipinya. Deruman ombak menganggu-gugat perasaannya yang sedang  berkecamuk itu.  Dia bingung.  Fikirannya benar-benar bercelaru, ditelan mati emak, diluah mati bapak.  Itulah perasaannya ketika dan saat itu.   Iffah berjalan menyusuri pantai.  Sengaja dia melarikan diri ke pulau itu.  Pulau yang penuh dengan cerita lagendanya tersendiri. Pulau yang sentiasa menggamit pelancong untuk menjejakkan kaki ke situ.  Dia memandang jauh ke tengah laut yang terbentang luas saujana mata memandang.  Iffah  mengeluh. Kecantikkan alam dan ketenangan seisinya tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah-gulana itu. 
            Iffah menghempas badannya di atas katil.  Gambar anak dan suaminya ditatap untuk melepaskan rindu.  Dia rindukan kdua-dua insan yang telah bertahta di hatinya itu.  Dia sayangkan mereka, tetapi…! Ahh! Iffah mengeluh. Kenapa hidupnya jadi begini. Iffah mencapai telefon tangannya.  Dia membuat panggilan ke rumah.  Hatinya berdebar-debar, menanti suara yang sekian lama dirindui menjawab panggilan itu. 
            Ah! Suara itu mendayu-dayu.  Lidah Iffah kelu untuk menjawabnya.  Seribu sesalan bersarang di fikirannya.  Air mata mengalir tanpa dipaksa.    Iffa melepaskan keluhan, dia mengesat air mata dengan hujung jarinya. Iffah tahu  berdosa kerana keluar rumah tanpa keizinan suaminya, apatah lagi si kecil yang masih memerlukan  belaian daripadanya.  Iffah menangis tersedu-sedu.  Pangkat dan kedudukan yang ada belum tentu memberikan kebahagian pada rumah tangganya.

***

            “Ini rumah ke reban ayam?” sindir Datin Saodah sambil menjeling tajam ke arah Zahir. 
            Iffah mengerutkan dahi, hanya mata berkata-kata pada mamanya.
            “Mama… inilah mahligai kami, mama,” kata Iffah dengan senyuman bahagia. 
            Datin Saodah menjuihkan bibirnya.
            “Ke mana perginya gaji kau yang beribu itu, Iffah? Mana pergi wang simpanan kau yang beratus ribu itu?” tanya Datin Saodah agak keras. 
            Zahir mengeluh sendiri.  Hatinya benar-benar panas dengan sindiran dan pertanyaan daripada emak mertuanya itu.
            “Mama, tolonglah perlahankan suara mama tu, malu didengari dek jiran sebelah menyebelah.”  Iffah menarik tangan  Datin Saodah.
            “Tahu malu?  Kalau dah malu kenapa masih lagi tinggal di rumah burik ini?”
            “Mama… ini rumah Abang Zahir, gajinya hanya mampu menyewa rumah seperti ini saja.”  Iffah memandang wajah Zahir yang merah padam.  Dia tahu, suaminya  itu tersinggung dengan kata-kata hinaan daripada mulut mamamnya.
            “Duit gaji kau mana? Takkan dengan duit yang selalu papa dan mama berikan, tak cukup untuk kau membeli sebuah banglo?”
            “Abang Zahir tak mahu iffah keluarkan duit Iffah menyara keluarga ini mama.  Dia suami Iffah, Abang Zahir mahu biar dia sendiri yang menguruskan makan pakai Iffah dan anak kami.”
            “Kalau aku tahu kau hanya kerani cabuk, tak sudi aku  jadikan kau menantu aku tahu tak?  Berani kau bohong aku.  Kata kau tu pengurus bank, berkelulusan luar negara, dari keluarga berada. Rupanya habuk pun tak ada!” jerkah Datin Saodah.
            Zahir terkejut mendengarnya.
            “Zahir tak pernah tipu mama…  Zahir juga tak pernah tipu Iffah… siapa kata Zahir pengurus bank?  Siapa kata Zahir anak orang kaya?  Siapa?  Siapa?”  jerit Zahir.  Dia tidak mampu berdiam diri lagi.  Dia benar-benar rasa tercabar.
            Iffah terkejut.
            Datin Saodah mengetap bibir.  Matanya dijegilkan ke arah Zahir.
            “Iffah!” jerkah Datin Saodah sambil matanya memandang tepat ke arah Iffah yang mula resah.
            Zahir keluar dari rumah dan meninggalkan Iffah dan mamanya. Hatinya benar-benar sakit dipermainkan begitu.
            Iffah tahu dia bersalah.  Dia terpaksa berbohong agar mama dan keluarganya bersetuju dengan pilihannya.  Dia cintakan Zahir, soal kedudukan dan darjat bukan perkara besar baginya. Dia tahu Zahir boleh menjadi seorang suami yang baik.  Sikap dan kejujuran Zahir menambat hatinya. 
Namun, sejak pertengkaran mamanya dan Zahir, keadaan telah berubah.  Zahir begitu dingin dengannya.    Zahir tidak semesra dahulu lagi.  Mamanya pula tidak habis-habis mengganggu.  Hubungan Zahir dan keluarganya juga tidak lagi semesra dulu, sejak rahsia terbongkar.  Iffah menyalahkan dirinya sendiri. Dia terlalu takut dengan kenyataan yang bakal dihadapi.

***
            “Mama?  Apa mimpi mana datang hari ini?”  Iffah terkejut melihat mamanya muncul di pejabatnya.  Tidak pernah-pernah.  Dahi Iffah berkerut seribu.  Datin Saodah  masuk dengan angkuh. Dia duduk di sofa menghadap Iffah yang masih terkejut.
            “Mama mahu Iffah minta cerai daripada Zahir!  Mama tak mahu orang mengata, menantu mama hanya kerani cabuk dan penipu!”
            “Mama! Apa mama cakapkan ni?  Mama sedar taka pa yang mama ucapkan?”  Iffah tergamam mendengarnya, Bala apa pula hari ini.  Iffah terduduk mendengarnya.  Wajah Datin Saodah mencuka dan garang.  Tiada sedikit pun rasa belas kasihan di wajah itu.
            “Ingat Iffah… aku mama kau! Mama yang melahirkan kau ke dunia ini, baik kau dengar kata mama.  Jika tidak mama tutup semua akaun bank kau, dank au tak dapat satu sen pun duit mama dan papa lagi!” Ugut Datin Saodah.
            Iffah menekup telinga.
            “Minta cerai Iffah… mama tak mahu anak mama hidup macam pengemis, kau dengar tak?” jerit Datin Saodah.
            Iffah memandang  wajah mamanya.  Tiada wajah keibuan di situ, yang ada hanya kebencian dan dendam yang terpancar di wajah itu.  Iffah menangis sayu.  Rasa malu hilang sama sekali.  Mungkin stafnya turut mendengar apa yang terjadi sebentar tadi.  Hatinya benar-benar sayu.  Kenapa dia harus menghadapi semua ini?  Bukankah bagus jika dia bukan siapa-siapa, dann bukan anak orang kaua, tentulah hidupnya lebih bebas.
            Di sebelah kanan suami, di sebelah kiri mamanya. Mana satu yang harus dipilih?  Kedua-duanya dia sayang. Kedua-duanya diperlukan.  Kedua-duanya cinta hatinya.  Oh Tuhan! Berilah aku petunjuk-Mu…  Iffah menggaru kepala yang tidak gatal, hanya kebingungan sahaja yang dirasakan.


***
            Di rumah Zahir dan dirinya bagaikan musuh.  Seorang ke hulu, seorang ke hilir.  Anaknya pula lebih manja dengan Zahir.  Banyak masa si kecil dihabiskan bersama Zahir.  Iffah benar-benar kesunyian.
            “Cakaplah dengan Iffah, bang! Jangan buat Iffah begini, maafkan Iffah…”  Iffah mendekati Zahir, dia cubab memegang tangan suaminya, ingin dicium dan dipeluknya suami tercinta itu.
            “Iffah ingat abang tak ada malu apabila dituduh penipu dan pembohong?!   Apakah Iffah merasa terhina bersuamikan kerani cabuk seperti abang?  Hina ke pekerjaan abang itu, Iffah?”  Zahir memandang wajah Iffah, geram berbaur rindu.  Dalam hati perasaan sayang membuak-buak dan pada masa yang sama hati itu juga berasa geram dan marah.  Zahir sedar siapa dirinya sejak pertama kali mendekati Iffah.  Dia mendekati Iffah kerana menyenangi perwatakan Iffah dan benar-benar mencintai isterinya itu.   Bukan harta dan pangkat Iffah yang digilakannya.
            Dia tahu Iffah mampu membeli rumah besar, Iffah mampu hidup mewah. Zahir ada prinsipnya sendiri, dia lebih rela membela anak isterinya dengan hasil pendapatannya sendiri dari menumpang senang kekayaan isterinya itu.
            “Abang!”  Iffah memegang kedua-dua belah tangan Zahir.
            “Abang malu Iffah, tak tahu di mana abang nak sorokkan muka abang ini, selama kita kahwin  sesen pun duit Iffah abang tak pernah sentuh.  Abang sedar diri abang Iffah, abang tak mampu memberi kemewahan pada Iffah, hanya rumah buruk ini sahajalah yang mampu abang sediakan untuk Iffah.”  Zahir keluar dari bilik itu.  Anaknya masih lena dengan nyenyaknya.
***

            Air mata Iffah mengalir bagaikan air terjun, seolah-olah tidak mahu berhenti.   Fikiran Iffah benar-benar kacau. Si kecil yang berusia setahun tidak dihiraukan lagi.    Sehingga menyebabkan pertengkaran berlaku lagi antara dia dan Zahir.
            “Kenapa dengan awak ni Iffah? Kenapa budak itu yang menjadi mangsa?” marah  Zahir. Dia mendukung Iffan dan memeluknya erat.  Zahir memeriksa paha Iffan, terdapat kesan cubitan.  Zahir menggelengkan laju.  Dia memandang wajah  Iffah.
            “Ibu jenis apa awak ni?  Perangai awak sama saja dengan mama awak tu, tak ada sikap belas kasihan!” rungut Zahir.  Iffan didakapnya penuh dengan kasih dan sayang.   
            “Jangan hina mama Iffah pula!  Baik atau buruk perangainya, abang jangan lupa yang dia itu tetap ibu kandung Iffah!”   Iffah tersinggung dengan kata-kata Zahir.  Biar bagaimana buruk perangai mamanya, dia tidak suka ada orang yang menghina mamnya itu.
            “Kenapa? Tak puas hati?” soal Zahir.
            “Abang jangan nak naikkan darah Iffah!”
            “Kenapa?  Iffah nak buat apa?”
            “Abang!” Iffah menjerit sekuat hati.  Zahir asyik sahaja menyakiti hatinya. Makanan yang dimasak tidak dijamah. Tiada lagi usikan mesra dan gurau senda.  Iffah bebar-benar bengang.  Iffah mencapai  beg tangannya dan  keluar dari rumah itu.  Zahir tidak pula memanggilnya pulang.  Iffah benar-benar geram.


***
            Iffah mengesat air mata yang mengalir. Dia masih sayangkan kedua-dua insan tersebut. Dia masih sayangkan rumah tangganya.  Sudah berbulan-bulan dia tinggal di rumah mamanya.  Zahir tidak pula datang menjemputnya.  Mamanya pula asyik  berleter dan menyuruhnya meminta fasakh membuatkan dia melarikan diri ke pulau itu.    Dia harus menenangkan hatinya yang kusut.  Iffah mengemas pakaiannya.  Dia harus pulang kepada keluarganya.  Dia menyapu air mata dari terus mengalir.  Dia menarik nafas panjang.  Hari ini juga dia akan pulang ke Kuala Lumpur.
            Wajah Datin Saodah sugul. 
            Datuk Mansor menggeleng kesal. 
            Iffah menangis sayu. 
            Datuk Mansor mundar-mandir di hadapan Datin Saodah.
            “Ibu mertua jenis apa awak ni  Odah?!  Rumah tangga anak  dah bahagia awak porak perandakan!”  Datuk Mansor mengeluh kesal dengan perbuatan isterinya itu.  Baharu ditinggalkan seketika sudah jadi pelbagai cerita.
            “Odah tak tahan bang!  Dia penipu! Dia tipu anak kita!”  Datin Saodah membela diri
            “Bukan dia yang menipu,  Odah!  Tapi anak kita ni…”  Datuk Mansor merenung wajah muram dan surah Iffah.
            “Bua tapa seksa diri sendiri Iffah?”
            “Iffah tahu iffah bersalah papa, itu sebab Iffah balik ke sini.  Iffah nak minta supaya mama dan papa merestui rumah tangga Iffah dan Abang Zahir,”  pinta Iffah dengan pipi  yang dibasahi air mata.
            “Papa dah lama merestuinya. Iffah, papa tak kisah siapa pilihan Iffah asalkan dia dapat membahagiakan Iffah.  Itu sudah cukup untuk papa,”  luah Datuk Mansor.
            “Mama tak restu! Mama malu bermenantukan kerani cabuk dan tidak berkedudukan  itu.  Mama tak rela, Iffah!”
            “Mama… apakah mama yakin Iffah boleh bahagia jika Iffah berkahwin dengan orang yang sama taraf dengan kita?  Mama… jodoh, ajal maut ketentuan ALLAH, sudah ditakdirkan jodoh Iffah dengan Abang Zahir, malah kami sudah mempunyai  anak bersama…”  Iffah memeluk lengan Datin Saodah meminta simpati.
            “Tapi Iffah!”  Datin saodah terdiam apabila Datuk Mansor menyentuh bahunya.
            “Biarlah mereka hidup bahagia idah, usah diganggu ketenteraman mereka.  Bukankah kita akan bahagia jika anak menantu dan cucu kita juga bahagia,” nasihat Datuk Mansor.
            “Odah tak sanggup melihat iffah duduk di rumah buruk itu bang!”  keluh Datin Saodah.
            “itu hak suaminya, biarkanlah,”  kata Datuk Mansor.  Mereka saling berpandangan.
            “Tolonglah Iffah mama, restuilah perhubungan kami, restuilah rumah tangga kami,”  rayu Iffah.
            Datuk Mansor menepuk bahu  Datin Saodah.
“Iffah!”  Datin saodah menarik tangan Iffah.  Mereka berpelukan.  Mereka menangis melepaskan beban di hati masing-masing.


***
            Datin Saodah melangkah perlahan masuk ke dalam rumah separuh batu dan separuh papan itu.  Keadaan di dalam rumah itu tetap bersih. Iffah meletakkan beg pakaiannya di ruang tamu.  Di dapur terdengar suara Zahir sedang melayan anaknya.
            “Iffan rindukan mama ya? Nanti mama baliklah,” pujuk Zahir, anak kecil itu terus menangis.
            “Mama…” kata Iffan.
            “Ayah tahu Iffan rindukan mama, ayah pun rindukan mama juga,” perlahan sahaja  suara Zahir.
            Iffah menekup mulutnya dengan telapak tangan. Hatinya terasa geli pula melihat gelagat Zahir.
            “Kalau rindu kenapa tak jemput?”  sampuk Datin Saodah.
            Zahir terkejut.  Hampir sahaja si kecil itu jatuh dari dukungannya.
            Iffah menerpa hendak mendukung iffan. 
            Zahir mengundur ke belakang.
            Iffah memandang Zahir dengan penuh tanda tanya.
            “Maafkan mama, Zahir.  Terimalah Iffah semula.  Mama sedar, mama keterlaluan, mama redha dengan perkahwinan kamu berdua, mama kejam pada kamu.  Maafkan mama sekali lagi,” kata Datin Saodah penuh keinsafan di hati.  Dia menerpa ke arah menantunya.  Dia mengambil Iffan dan membawanya keluar. Tinggal Iffah dan Zahir di ruang itu.
            “Maafkan Iffah, bang,”  ucap Iffah.  Dia memandang wajah suami yang dicintainya itu. Hatinya sedih melihat keadaan Zahir yang tidak terurus itu. 
            Zahir mendekati Iffah.  Perasaan rindu terubat semula.  Dia memeluk erat tubuh  Iffah.  Tubuh yang sudah lama tidak dipeluknya.
            Di ruang tamu  Datin Saodah melayan kerenah cucunya.  Dia menyuapkan susu ke mulut Iffan.  Anak kecil itu ketawa riang dan mencium pipi Datin Saodah.  Hatinya tersentuh dengan gelagat cucunya itu.  Datin Saodah mengeluh.  Dia menyesal dengan tindakannya baru-baru ini.  Sebagai ibu sepatutnya dia menyatukan anak dan menantunya itu.  Haya Iffah anaknya, dan zahir satu-satu menantunya.    Datin Daodah mencium Iffan bertalu-talu.   Dia memeluk Iffan dengan erat.    Dia berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga anaknya lagi.  Dia akan mendoakan kebahagiaan mereka.  Oh Tuhanku, ampunkanlah dosaku, doa Datin Saodah dalam hati.
            Zahir masih tidak melepaskan Iffah yang berada di dalam pelukannya.
            “Iffah sanggup hidup susah dengan abang?”
            “Iffah sanggup bang, asalkan abang sentiasa di sisi Iffah…”
            “Betul… tak tipu?”  Usik Zahir.  Iffah mengangguk riang.
            Datin Saodah tersenyum sendiri melihat tingkahlaku iffah dan Zahir.  Semoga ada sinar bahagia untuk mereka.  Datin Saodah tersenyum gembira. 
Iffah dan Zahir tersenyum bahagia.


(URTV Julai 2002)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan