Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 4 Disember 2017

Mudahnya Mengundang Dosa Mengumpat Berjemaah.


Waktu kejahilan melanda, bercerita dan bercakap/ mengumpat/ mengadu domba tentang orang lain seronok belaka, apatah lagi, orang yang kita kata itu kita cemburu dan dengki dengan kehidupannya.
Kita mulalah, bercakap, berbuih-buih mulut. Sedikit pun tidak berasa bersalah di hati. Malah puas hati,ditambah orang yang kita kata itu pernah meluahkan masalahnya kepada kita, janjinya jangan beritahu orang lain. Tapi, kita tak amanah, kita tak jujur. Bertaburanlah cerita itu tersebar dek kerana mulut kita.

Waktu itu skop bercerita dan orang yang menjadi mangsa kita adalah jiran tetangga, orang yang kita kenal, buruk-buruk pun waktu Hari Raya masih boleh minta maaf dan ampun.
Apabila sudah belajar, faham, tahu dosa pahala, perlahan-lahan berubah. Bila saja ada datang sipenyampai, cepat-cepat teringat akan adegan makan daging mentah dan busuk di neraka nanti. Nau'zubillah...

Hari ini, dunia mengumpat dan mengata tersebar luas. Orang yang kita kata dan kutuk itupun kita tak kenal. Terlihat saja satu cerita yang kita rasa orang itu salah dan tidak betul, maka ramai-ramai kita kutuk berjemaah. Tidak kira, orang itu tua atau muda. Kita hilang rasa hormat, hilang rasa belas sesama kita.

Ya Allah! Bagaimana kita nak minta maaf kepada orang yang kita umpat, keji dan kutuk itu? Tidakkah kita tahu bahawa dosa kita takkan terampun selagi orang yang kita umpat itu ampunkan.
Lalu, kita bawa bersama dosa tersebut ke akhirat. Waktu dihisab, orang yang kita umpat itu akan ambil pahala kita. INGAT! Jangan sampai MUFLIS di akhirat nanti!

Berapa banyak kisah tular kita kongsikan? Berapa banyak perkara yang tidak berfaedah kita kongsi dan orang lain sama-sama mengeji dan mengata? Tahukah teman-teman semua, itu termasuk dosa Mengumpat dan Mengata.

Banyak sangatkah amalan kita? Baik sangatkah kita? Maksumkah kita? Tanamlah azam tidak mahu lagi berkongsi cerita yang boleh membuatkan kita terpalit dosa. Berazamlah hendak menjadi sebaik-baik insan seperti mana kita diciptakan oleh Allah Swt.

Kalau ingin TULARKAN sesuatu, tularlah kisah orang miskin dan susah yang memerlukan bantuan. Atau rumah anak yatim, sekolah pondok yang memerlukan sumbangan. Atau mereka yang sakit memerlukan derma. Carilah yang baik-baik saja.

Sebelum dosa kita terus menimbun, bawalah insaf dan sedar diri, bahawa AKU JUGA INSAN YANG LEMAH DAN BERDOSA!

Dosa dengan Allah terampun dengan ISTIGHFAR, tapi dosa kita dengan manusia lain tidak akan terampun selagi kita tidak diampunkan oleh orang yang kita sakiti.

#muhasabahdiri
#insafdengandosasendiri
#takutmurkaAllah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan