Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 29 Disember 2017

PERCUTIAN MENARIK


















Setiap tiga bulan sekali, kami pasti akan keluar bercuti bersama anak-anak yatim didikan kami.  Destinasi dipilih secara rambang.  Kali ini, kami bercadang bercuti ke sebuah tempat yang ada kolam renang sahaja. Percutian kali ini hanya santai-santai sambil merehatkan minda.
Masuk melalui tol  Alor Gajah, pertama kali saya menjejakkan kaki di Alor Gajah, pemandangan di kiri kanan sangat cantik dengan barisan rumah penduduk kampung, ada juga kawasan peninggalan sejarah Allahyarham Dol Said, kami juga melalui sebuah kampung yang cantik namanya Cherana Putih, menurut suami, seperti nama zaman Hang Tuah.  Ya Allah! Indahnya ciptaan Allah, dikelilingi Banjaran Titiwangsa, Alor Gajah menarik dengan gayanya tersendiri.   Sebuah kampung yang damai dan tenang.  Di kiri kanan jalan, akan kelihatan, gerai-gerai kecil berjualan hasil kerjatangan penduduk kampung, tidak ketinggalan makanan tradisional Melaka yang terkenal, dodol dan wajik, ada yang dimasak di kawasan gerai, memang menarik.
 
Tempatnya terletak di sempadan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.  Kami bertolak dari Maahad Az Zein Al Makki Sg. Buluh sekitar jam 9.30 pagi.  Sampai di destinasi kami Kolam Renang Marine Arm yang  terletak di kawasan Kampung Seri Kendong di dalam daerah Rembau hampir pukul 11.30 pagi.  Kawasannya terletak di tebing Banjaran Tititwangsa.

            Terletak di kawasan kampung, agak tenang, dan tersorok ke dalam.  Di kelilingi kehijauan hutan belantara, pemiliknya seorang bekas pekerja kapal, membangunkan sebuah kawasan rekreasi yang menarik biarpun tidak berapa kemas kerana masih dalam pembinaan.  Paling menarik, kolam renangnya, air yang mengalir datangnya sumberi mata air dari atas bukit berdekatan.  Kolamnya juga luas dan besar, mampu menampung pengunjung yang ramai.  Airnya tidak berkalorin, segar dan sejuk.  Berbumbung, pengunjung akan selesa dan tidak perlu berjemur menahan cahaya matahari.
            Bentuk hadapan kolam seperti kepala kapal agak unik.  Bangunan yang dijadikan ruang pejabat dan chalet juga seperti ruang pejabat yang terdapat di dalam sebuah kapal.  Turut disediakan sebuah dorm yang mampu memuatkan berpuluh orang dalam satu masa, beberapa buah chalet dan surau.  Bilik air yang banyak.  Ada ruang untuk menjalankan aktiviti barbeque, ada sebuah café yang dibuka hanya ketika hujung minggu dan  untuk tempahan berkumpulan.
            Beberapa perkhidmatan juga disediakan, seperti mendaki bukit dan menghayati keindahan alam, belajar berenang dengan cara yang pantas, menurut pemilik, tiga sahaja, seseorang yang tidak boleh berenang, akan mahir berenang menggunakan kaedah yang diajarnya. 
            Jalan masuk ke Kolam Renang Marine Arm terletak di simpang empat, ke Tampin, Rembau dan Alor Gajah.  Ketika berada di kawasan tersebut, terasa seperti berada di dalam dua negeri dalam satu masa.  Daerah-daerah itu bersempadan.  Mahu makan malam di Melaka, atau Negeri Sembilan, boleh, boleh saja. 
            Pekan kecil Kampung Seri Kerding tidaklah begitu menarik, tidak banyak bangunan, hanya ada sebuah Taman Selera atau Kedai Mara dan sebuah bangunan setingkat di seberang jalan.  Deretan kedai di dalam Taman Selera memang menarik hati, apa yang menarik?  Makanannya, terdapat beraneka jenis masakan Negeri Sembilan dan juga Melaka.  Pilih sahaja.  Cara susunan dan ulam-ulaman yang terhidang pasti menarik selera sesiapa sahaja, terutama mereka yang sedang kelaparan.  Harga berpatutan.  Tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah.    Cuma aspek kebersihan kurang ditekankan terutama jika sebuah Taman Selera yang berkongsi ruang makan.  Harga Masak Lemak Cili Api Daging Salai RM7.00 seorang makan.
            Di seberang jalan ada sebuah restoran menjual masakan panas.  Boleh tahan sedapnya. Harganya pun biasa-biasa saja yang terdapat di pasaran.  Sepinggan nasi ayam berharga RM5.00. 
            Kalau ke kiri dari kawasan Kolam Renang Marine Arm, menuju ke Tampin, sebuah pekan kecil yang agak sibuk, ada Mydin dan Giant.  Kalau terus akan masuk Kampung Cherana Putih yang terletak dalam daerah Alor Gajah.  Di kampung tersebut ada sebuah kolam air panas.  Kami singgah juga, tetapi tiada apa yang menarik, apatah lagi hadir waktu tengahari, dan kolam tersebut tidak berbumbung. Rasa-rasanya nak tahan rasa panas air tersebut atau panas teriknya matahari.  Kami tidak tunggu lama, hanya seketika sebelum singgah untuk menjamah buah durian yang mahal harganya, tetapi tuan empunyai gerai baik hati, memberi harga yang murah kepada kami, dapatlah anak-anak didik kami menikmati durian kampung di tepi jalan.
            Malamnya pula, seorang kenalan kami membawa kami merasa sate yang sedap di Bandar Tampin, Sate Zol, orang begitu ramai, padat, sejam kami menunggu sebelum dapat menikmati sate daging yang garing dan kuahnya yang  sedap. 
            Rupanya kawasan tempat kami menginap tidaklah jauh dari A Famosa sempatlah juga kami singgah di A Famosa Mall yang menjual semua barangan berjenama. Sekadar menikmati keindahan di dalam Mall tersebut.  Menurut teman kami, setiap malam ada pertunjukkan bunga api sekitar 9.45 malam.  Kami tidak sempat menikmatinya gara-gara menunggu sate. 
            Tiga hari dua malam menghabiskan masa di Rembau dan kawasan persekitarannya, bolehlah dikatakan menarik juga.  Bersenang-senang dan bersantai-santai.  Apa yang penting, anak-anak didik kami gembira, kami juga boleh berehat.
            Sebelum pulang, kami di bawa ke Pekan Tampin sekali lagi untuk menikmati cucur udang Alor Gajah yang dikatakan sedap.  Rugilah tak cuba, bukan mudah hendak datang jauh-jauh.  Memang sedap, cucur udang selain daripada cucurnya, kuahnya juga harus sedap. Baharulah terasa nikmatnya makanan tersebut.  Alhamdulillah, sekali lagi ada orang belanja.
            Malam sebelumnya, kami diraikan oleh teman kami ke rumahnya, menikmati makan malam yang enak dan menarik.   Dimasak sendiri oleh tuan rumah, mee hailam dan nasi goreng cina berserta ayam percik yang istimewa, hanya dijual dua hari sahaja dalam seminggu.  Terlupa pula namanya.  Hanya ada di Pekan Tampin. 
            Malaysia punya banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, ada yang berbayar, ada juga yang percuma.  Terpulang kepada diri sendiri untuk memilih yang terbaik untuk bercuti bersama-sama keluarga. 
            Begitu juga dengan makanan.  Sememangnya makanan di Malaysia beraneka jenis dan enak-enak belaka.  Masyarakat yang berbilang kaum dan etnik menambah cantiknya negaraku ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan