Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 18 Mac 2017

TAKDIR BERKASIH - BAB 2 - ROHANI DERAMAN



Sekian lama belayar dengan tenang, akhirnya kapal kasih kami dilanda gelombang.  Sekian lama kami hidup dalam cinta dan kasih sayang, akhirnya kami diduga dengan dugaan yang paling besar.
Sakit.
Awal tahun 2005, tiba-tiba suami jatuh sakit. Dia demam dan batuk yang sangat teruk hingga tubuhnya sangat lemah dan tidak mampu bangun langsung. Dia dirawat di Hospital Kulai selama beberapa hari. Kemudian bila batuknya agak reda dan demamnya kebah, dia dibenarkan pulang.
Bagaimanapun, ia tidak lama, selepas beberapa hari kemudian dia akan batuk dan demam lagi. Berkali-kali keluar masuk hospital. Berkali-kali hantar sampel kahak dan sampel najis ke makmal. Namun keputusan doktor tetap sama.
“Kami dah buat pemeriksaan dan kami dapati suami puan tidak mengidap apa-apa penyakit. Semuanya stabil.”
Sesuatu yang pelik berlaku. Suamiku batuk saban malam dan sukar berhenti hingga membuatkan dia tidak bermaya. Selera makannya hilang hingga berat badannya menurun dan tubuhnya semakin susut. Dan doktor mengatakan dia tidak ada sakit. Kondisi tubuhnya berada dalam keadaan stabil.
Sungguh aneh. Sepanjang enam bulan, tidurnya terganggu dek batuk yang menyeksakan. Ia seperti lagu yang mengulit malam.
Hampir semua klinik di Johor Bharu dan sekitarnya kami jajah. Berjenis ubat sudah ditelan namun sekali pun batuk suamiku tidak reda. Malah kadang-kadang sampai terkencing dan termuntah. Tidak ada langsung tanda-tanda sakitnya akan sembuh.
Satu malam, batuknya tidak berhenti. Hingga pada kemuncak batuknya, dia termuntah dan aku langsung tidak sempat untuk menadah bekas. Secara spontan, tanganku menadah muntah itu!
Muntah kuning memenuhi tangan. Ketika itu tiada langsung rasa geli geleman dan jijik. Yang ada hanya simpati atas kesakitannya. 
“Maafkan saya kerana dah kotorkan tangan awak,” katanya selepas aku membasuh tangan dan membersihkan tempat tidur yang basah dengan bendalir kuning itu. Bau hamis dan hanyir memang sangat menusuk hidung. Namun, entah kenapa aku tidak merasa apa-apa. Tiada rasa kotor dan cemar!
“Tak apa. Yang kotor boleh dicuci.” Aku menyapu wajahnya yang pucat dengan tanganku dan cuba melegakan rasa bersalahnya. 
“Awak terlalu baik. Syukurlah kerana Tuhan berikan awak untuk saya,” bisiknya dengan suara sebak.
Aku merenungnya dengan belas. Di pipinya merembes air mata. Dia teresak-esak seperti anak kecil. Simpatiku mengalir lembut. Rasa sebakku cuba ditahan.
“Awak adalah suami saya. Ingat janji kita dulu? Susah dan senang, sakit dan sihat kita akan bersama. Kata orang syurga isteri adalah bersama seorang suami. Awaklah syurga yang Allah berikan kepada saya.”
Tangisannya yang cuba kuredakan semakin mendodoi. Esakannya semakin jelas. Berkali-kali dia menyebut nama Allah. Keharuan memang sangat dirasai ketika itu.
“Dahlah. Jangan menangis. Tangisan awak buat saya sedih. Nanti saya pulak yang menangis. Kalau saya menangis, banjir pulak tempat ni.” Aku cuba bergurau. Biarlah semua kesedihan berlalu dari malam kami. 
“Awak janganlah menangis. Saya tak sanggup nak tengok air mata awak. Biarlah saya yang sedih, awak jangan.” Itu katanya. Kami saling memujuk. Kami saling menyerahkan rasa.
Akhirnya kami telah menangis bersama-sama. Esakan kami bersatu dalam satu rasa yang sangat pilu.
“Kenapa awak menangis?” Dia menyentuh pipiku dengan jemarinya. Air mataku disapu penuh kasih. 
“Sebab awak menangis,” jawapku sambil cuba tersenyum.
“Baiklah, sekarang saya akan ketawa.” Dia mula ketawa. Ketawa yang sangat pura-pura. Sangat sumbang dan terpaksa bunyinya. Aku yang mendengar langsung tidak ada rasa hendak ketawa.
Aneh.
“Kenapa awak tak ketawa?”
“Kenapa perlu saya ketawa?”
“Sebab saya sedang ketawa.”
“Saya rasa ketawa awak tak kelakar langsung. Malah ketawa awak tak mencuit hati saya. Buat apa saya nak ketawa.” Wajahku serius dan langsung tidak tersengih mahupun tersenyum seperti biasa.
“Sayang, dahlah. Saya penat,” katanya sambil memejamkan mata. Tidak lama, dia benar-benar terlena. Aku merenung wajahnya yang lelah. Kasihan dia. Kasihan dia. Hanya itu yang memenuhi perasaanku.
Aku tidak berputus asa membawa dia ke klinik dan hospital, setiap kali dia tidak dapat tidur. Walaupun keputusan yang kudengar  tetap sama.
“Suami puan tak ada penyakit.”
“Habis, dah berbulan dia batuk? Apakah tetap tak ada sakit?”
“Kami dah periksa kahak, dah x-ray, dah scan dan dah buat semua ujian dan kajian. Tapi pihak kami langsung tak dapat mengesan apa-apa penyakit.”
“Batuknya bukan batuk biasa doktor. Sekali dia mula batuk, tak akan berhenti sehingga dia muntah. Siang dia langsung tidak batuk, hanya waktu malam. Dah berapa lama kami kurang tidur,” kataku bersungguh-sungguh. Doktor yang merawat termenung panjang. Mungkin dia mencari-cari jawapan dari ilmu dan teori kedoktorannya. Namun tidak lama dia menggeleng beberapa kali.
“Macam nilah. Apa kata puan cuba berubat kampung.” Akhirnya itu putus doktor.
“Berbomoh?” tanyaku dengan sangsi. Sesungguhnya aku tidak terdedah dengan dunia perbomohan, walaupun ada fitnah yang disebarkan bahawa suami sayangkan aku kerana terkena ubat guna-guna dariku. Berdosalah orang yang menuduh. Sebenarnya aku tidak percayakan bomoh. Tidak pernah mencari bomoh untuk membuat orang suka dan sayangkan aku.
 “Itu saja yang saya boleh cadangkan.”
“Doktor percaya sakitnya ini akibat ilmu hitam?”
“Ilmu hitam memang ada. Hati manusia ni kita tidak boleh nak baca. Seperti kejadian manusia, syaitan juga ciptaan Allah. Cuma kejadian dan tugas kita yang berbeza. Apa salahnya kita berikhtiar. Setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati.”
Lama kami berfikir untuk membuat keputusan. Akhirnya kami setuju untuk berikhtiar melalui bomoh dan orang yang arif mengenai ilmu hitam.
“Awak rasa keputusan kita ini benar?” tanya suami ketika dalam perjalanan ke rumah seorang bomoh.
“Ini saja jalan terakhir yang kita ada. Allah pun suka kita berikhtiar. Cuma kita jangan terlalu percayakan bomoh.”
Akhirnya dari seorang bomoh kepada bomoh yang lain, kami jumpa. Berpuluh rumah bomoh yang kami pergi. Berbagai cara juga yang mereka gunakan dalam usaha mengubati penyakit suamiku.  Banyak masa dan wang ringgit yang kami korbankan dalam usaha mengubati penyakit aneh itu.
Namun semuanya tidak berlaku. Sakit suami tetap begitu dan keceriaan hidup kami semakin terganggu. Keriangan yang lama dikongsi akhirnya bertukar murung dan muram. 
“Saya dah rasa kita hanya membuang masa dan duit. Tak ada apa pun yang berubah,” keluh suami dengan kecewa.
“Jangan rasa masam tu. Mungkin Allah belum nak berikan kesembuhan-Nya. Kita tak boleh putus asa.”
Seperti biasa, bomoh begitu kaya dengan tohmahan, andaian dan syak wasangka. Ada yang masuk akal dan ada yang tergelincir dari fahaman kami. 
“Ada orang dengkikan suami puan. Dia nak ambil pangkat yang ada pada suami dengan cara mudah.”
“Apa maksud pak cik?”
“Dia akan buat suami puan sakit hingga diberhentikan kerja. Kemudian dengan mudah dia akan menggantikannya.”
Kami termenung dan mencari-cari siapa gerangan orang yang bertanggungjawab.
“Suami puan ni terkena ilmu hitam dari seorang lelaki. Dia  sebenarnya nakkan puan. Lalu dia nak buat suami puan mati supaya dia dapat kahwin dengan puan,” kata seorang bomoh yang lain. Itulah tohmahan yang sangat menggelikan hati. Ia membuatkan kami ketawa geli hati.
“Siapalah mambang yang tergila-gilakan saya ni?” tanyaku ketika dalam perjalanan pulang.
“Ramai lelaki di luar sana memang tunggu saja nak dapatkan awak, sayang.”
“Jangan nak merepeklah. Apa yang mereka kejar dari seorang perempuan kampung macam saya ni? Tak ada rupa. Tidak kaya. Juga tidak berpelajaran tinggi. Sakitkan mata saja!” balasku, mencebik diri sendiri.
Dia tersenyum. “Saya lelaki. Saya tahu perasaan dan kehendak seorang lelaki. Dan awak memiliki semua ciri yang lelaki cari, sayang.”
Aku tidak terbuai dengan pujian itu sebaliknya semua itu membuatkan aku tersenyum cuak dan keliru. Jika benar apa yang dikatakan oleh bomoh itu, siapakah lelaki itu? Selama ini, aku tidak pernah melayan dan ramah, rapat dan mesra dengan lelaki lain. Hanya suamiku seorang dalam hati dan kehidupanku.
Biarlah. Untuk apa diingat pada perkara yang remeh. Allah Maha Mengetahui semuanya. Bomoh hanya manusia biasa. Dia tidak ada kemampuan untuk menjangkau rahsia Allah.

“Dahlah sayang. Kita jangan fikirkan siapa empunya diri dan pembuat angkara. Yang kita kena fikir ialah bagaimana cara nak sembuhkan penyakit awak ni.”
Suami termenung seketika. Fikiran kami semakin bercelaru.
“Kenapa orang nak buat semua ni sedangkan kita tak pernah ganggu orang. Rasanya kita tak ada musuh,” kata suami memecah kesunyian.
“Kalau semua tohmahan itu benar, biarlah Allah yang menghukumnya. Kita berikhtiar untuk segera sembuh dan hidup seperti dulu. Itu saja.”
Suamiku angguk, akur. Sejak itu, kami ketepikan semua tohmahan. Kami tetapkan usaha hanya untuk sembuh. Kami rindukan kehidupan masa sihat yang selalu ceria.
Disamping berubat secara moden dan tradisional, aku juga tidak pernah lalai dari berdoa. Solat hajat dan bacaan surah Yaasin menjadi amalan untuk meringankan beban sakitnya. Bila dia mengerang kesakitan, saat itu yang menjadi temanku hanya doa dan air mata.
“Janganlah menangis sayang. Kalau awak menangis, saya rasa semakin sakit dan menderita,” katanya sambil menggenggam tanganku.
“Kalaulah sakit ini boleh dialihkan kepada saya, saya reda menerimanya.” Itu yang selalu aku ucapkan kepadanya. Memang aku tidak berbohong. Aku berkata tulus. Semakin hari semakin aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Wajahnya semakin cengkung. Kesengsaraan akibat demam, batuk dan muntah semakin tidak tertanggung.
Kami hampir berputus asa untuk terus berikhtiar. Kami hentikan semua ikhtiar. Siang malam aku hanya pasrah dengan doa. Tidak pernah sekalipun lalai untuk memohon ke hadrat Illahi : Ya Allah, sembuhkan sakit suamiku!
Akhirnya, Allah Maha Mendengar dan Maha Pengasih. Dia Maha Mengasihani. Pada satu hari, keajaiban pun berlaku. Kami ditemukan dengan seorang hamba Allah yang menjadi perantara. Dengan kehendak-Nya, melalui hamba Allah itu, kesakitan yang ditanggung oleh suami selama berbulan-bulan akhirnya pulih!
Aneh juga, lelaki itu muntah-muntah dan pengsan! Bila dia sedar dan pegang tubuh suami, dia muntah dan pengsan lagi. Beberapa kali hingga kami belas melihatnya. Hingga pengakhirnya, sudah tidak ada benda yang hendak dimuntahkan lagi. Lalu dia jatuh, lembik dan lemah.
“Insya-Allah, abang haji akan sembuh,” ujar lelaki itu ketika dia hendak meninggalkan rumah kami. Aku menghulurkan duit kertas bernilai RM100. Namun, dia menolak dengan senyuman.
“Saya tolong dengan ikhlas. Saya tak harapkan apa-apa bayaran.”
“Ini bukan bayaran. Kalau nak dibayar, memang tak padan dengan nilai ini. Adik muntah sampai lemah. Adik pengsan berkali-kali. Tapi, ambillah ini sebagai hadiah.”
Dia berlalu tanpa menerima huluranku. Aku melihat langkahnya hilang dalam gelap malam dengan penuh rasa syukur.  Keajaiban kurniaan Allah. Malam itu suami tidak batuk. Dia tidur sangat lena sehingga subuh. Langsung tidak terganggu.
“Alhamdulillah, Allah dah makbulkan semua permintaan kita. Dia kembalikan semua keindahan hidup masa sihat kita,” kataku sambil mengucup tangan suami.
“Kita buat kenduri kesyukuran,” balasnya dengan wajah ceria. Gambaran kesyukuran dan rasa gembira jelas pada wajah itu.
Hati kami berjuntaian bahagia
Jiwa kami berlabuh rasa gembira
Takdir berkasih tertulis setia
Akhirnya hidup kami kembali ceria.
Syukur kepada Yang Maha Esa.

Jumaat, 17 Mac 2017

TAKDIR BERKASIH - BAB 1 - ROHANI DERAMAN.



Cinta adalah satu perasaan yang halus dan sangat indah kalau ia dapat dihayati dengan ikhlas dan tulus. Cinta adalah itu anugerah terindah dan sangat manis kurniaan dari Allah.
Kadang-kadang ia dianggap semanis madu. AdakaIa ia  dianggap semanis gula.  Namun dalam manis itu tetap ada pahitnya sebagai penawar asmara. Ujian dan dugaan adalah bunga-bunga yang mengharumkan cinta. Jika kita menyintai sesaorang kita harus bersedia untuk menerima ujian-Nya.
Cinta itu anugerah Illahi. Bila kita menyintai sesaorang, kita mesti sanggup berkorban apa sahaja. Ketika sedang dilamun cinta, kurap panau dianggap bunga. Bulan bintang adalah saksi berjanji. Lautan memang sanggup untuk direnangi. Gunung dah lurah, dirasa mudah untuk dilalui.
Sebaliknya, jika cinta itu terputus di tengah jalan dan tidak kesampaian, berladunglah air mata. Tangisan menjadi saksi untuk segalanya. Akan kecewalah hati. Akan merintihlah jiwa. Akan meranalah perasaan.
Itulah penangan cinta. Itulah derita asmara.
Cinta sebelum kahwin, memang indah. Namun cinta selepas kahwin, lebih indah dan berkat. Bila sudah berkahwin, kita masih perlu bercinta. Seperti sebelum kahwin, cinta selepas kahwin perlu sentiasa manis dan jujur.
        Semua orang mempunyai kisah cinta dan kasih sayang bersama pasangan masing-masing. Begitu juga dengan aku. Walaupun kisah cintaku hanya kisah cinta biasa sahaja, namun ia tetap manis dan indah untuk kami kenang sepanjang hayat kami.
Yang baik dan indah mungkin mampu dijadikan tauladan. Yang buruk dan pahit, kita jadikan sempadan.
Perkenalan kami yang tidak dirancang, berakhir dengan percintaan dan akhirnya ke jinjang perkahwinan. Semuanya mengikut aturan teratur mengikut catatan takdir Allah. Ajal dan maut serta jodoh pertemuan seorang insan adalah ketentuan Dia.
Dengan takdir itu, perasaan yang ada dalam hati kami diikat dengan sebuah akad. Walaupun aku dan suami berkahwin dalam majlis yang sangat sederhana sahaja namun kami tetap gembira kerana pernikahan kami diwalikan oleh ayahku disaksikan keluarga terdekat.
“Alhamdulillah, akhirnya awak jadi isteri saya.” Itu ucapan pertama yang dibisikkan ke telingaku selepas dia menjadi suami.
“Syukur juga kerana awak dah jadi suami saya.” Itu pula balasku. Kami bertukar senyum bahagia dan rasa syukur. Allah memang mengkehendaki kami bersama. Semuanya rahsia Dia.
        “Saya janji akan sayang dan cintakan awak sampai mati,” katanya ketika mengucup dahiku.
        “Saya juga janji akan sayang dan cintakan awak sampai mati,” jawabku ketika tangannya kusalami.
Janji memang perlu dijawab dengan janji. Saat itu memang hati berbunga riang. Jiwa berkuntum sayang. Dia adalah payung yang akan memayungi kehidupanku sebagai isteri dan sebagai pelindung untuk anak-anak yang bakal dilahirkan.
Selepas ijab kabul, ada satu rasa yang membuatkan aku sebak dan menangis. Rasa  aman dan tenteram serta diberkati. Sebuah rasa pemberian Illahi. Ketenangan berada dalam ikatan yang halal.
“Hiduplah kamu berdua dengan aman. Banyak dugaan dan rintangan yang akan kamu tempuhi, tapi kamu kena sabar dan tabah. Jadi isteri yang taat dan patuh kepada suami selepas kamu taat kepada perintah Allah. Jadi isteri yang tidak meminta-minta perkara yang suami tak mampu.” Itu pula amanat seorang ayah.  
Alhamdulillah, doa dan impian kami untuk hidup bersama dimakbulkan Allah. Semuanya terlaksana dengan mudah. Allah memang telah menetapkan takdir ini sejak azali lagi. Sampai masa, kami pun bersatu dalam satu ikatan suami isteri yang halal dan diberkati.
                Kehidupan bersuami isteri selepas berkahwin memang banyak dugaan dan ujian-Nya. Namun, kami tetap mengharunginya dengan tabah. Angin dan ribut, panas dan hujan kami redah bersama. Yang penting, kami terus bercinta walaupun dalam serba kekurangan. Gurau senda adalah makanan jiwa kami.
Suami adalah syurga untuk seorang isteri. Malah semua orang telah tahu dan diajar bahawa syurga seorang isteri ada di bawah kaki seorang suami. Itu juga yang diajar oleh ayah dan ibuku. Itulah yang membuatkan aku tabah mengharungi kehidupan berumah tangga.
Suamiku, engkaulah raja dalam rumahtangga.
Engkaulah nakhoda dalam pelayaran ke pulau cinta.
Engkaulah imam dan aku makmum yang setia.
Sejak awal berkahwin lagi, aku melayan dia seperti raja dan dia melayanku seperti permaisuri. Walaupun kehidupan kami sangat sederhana tetapi kami tetap kayakan rumah tangga kami dengan gurau senda dan gelak ketawa.
Adat berumah tangga, kadang-kadang berlaku pertengkaran dan percanggahan pendapat. Atau kadang-kadang berbuat silap tanpa sengaja. Kata pepatah, sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula kehidupan berumah tangga. Walaupun selalu dalam keadaan berjaga-jaga dan penuh berhati-hati, selisih faham pasti akan terjadi.
Untungnya, kami jarang perbesarkan hal yang kecil. Yang remeh tidak kami jadikan bahan sengketa.  Yang payah kami akan selesaikan bersama.  
Kelemahanku hanya satu iaitu tidak boleh untuk bermasam muka dan berlama-lama tidak bercakap dengan dia. Kaku rasa dagu kalau tidak bercakap dan berbual dengannya. Risau hati kalau tidak dapat bercerita. Biasanya banyak hal kami akan kongsi cerita. Sampai kepada  cerita kucing beranak di pejabat pun menjadi bahan cerita kami. Kalau kisah duka, kami akan sama-sama bersedih. Jika kisah kelakar, kami akan ketawa bersama.
Disebabkan suka berceloteh dan suka bercakap, dia menggelar aku sebagai murai pagi yang suka berkicau. Kalau murai ini tidak berkicau, akan senyaplah hari. Akan sepilah pagi. Akan muram durjalah suasana. Itu yang selalu dikatakannya.
Aku hanya tersenyum. “Dah dilahirkan suka bercakap. Dah  ditakdirkan kuat bercerita. Nak buat macam mana?”
“Kenapa hari mendung? Nak hujankah?” Dia selalu menyindir begitu seandainya aku berdiam diri.
Adat hidup bersama, ada kalanya berlaku selisih faham. Namun kerana dilahirkan periang dan lincah, aku sangat mudah mengaku kalah. Sebenarnya sifat semula jadiku ialah mudah menyesal dan rasa bersalah. Setiap kali ada perselisihan, aku akan rasa kesal dan tidak selesa.
Lalu, akulah yang akan memohon maaf walaupun kadang-kadang aku rasa tidak bersalah langsung. Aku selalu menyerah salah. Aku mudah menitiskan air mata. Benar kata ayah, luarannya aku nampak lasak dan periang tetapi sebenarnya aku seorang yang sensitif dan suka menangis!

“Saya memang isteri yang tak sempurna. Maafkan kalau saya salah. Ampuni kalau saya berdosa.” Itulah ayat yang selalu kuucapkan setiap kali berlaku perang dingin.
Suamiku, walau wajahnya nampak garang dan perwatakannya yang perkasa namun dia selalu kalah dengan kata ampun dan air mataku.
 Pantangnya hanya satu, kata ampun dan maaf. Walau dia dalam keadaan marah dan geram yang teramat, dengan sepatah kata maaf saja dia akan cair. Lalu dia sentiasa cair denganku!
“Awak memang pandai tewaskan saya. Awak tahu kat mana kelemahan saya. Awak pandai mencairkan marah saya.”
Begitulah setiap kali berlaku perselisihan faham. Aku akan memohon maaf dan dia membalasnya dengan menarikku ke dalam pelukan dan mengucup kedua pipiku. Tidak lama, ketawa kami akan pecah mesra dan santai. Lalu terbatallah sebuah sengketa. Langsailah sebuah perselisihan. Tersimpullah semula cinta kasih kami.
Dek kerana kami sudah berjanji untuk saling kasih mengasihi dan saling menyintai hingga akhir hayat, maka kemesraan kami tidak pernah berubah dan berpura-pura. Sejak awal berkahwin hingga kini.
Kalau berjalan, kami akan berpimpinan tangan. Kalau makan, kami akan saling menyuapi. Kalau berdua, kami sering bergurau senda.
“Biarlah kita begini sampai bila-bila,” katanya.
“Awak tak malukah kalau orang ketawakan kita?”
“Nak ketawa kenapa? Kita tak lakukan perkara yang salah. Kita ni suami isteri yang halal.” Dia berkata penuh yakin. Aku tahu usulnya jujur. Dia ingin kami tetap mesra. Dia mahu kami tetap bercinta. Yang paling penting, sebelum kahwin dan selepas kahwin kami tetap sama. Masa muda dan masa tua juga sama. Waktu senang dan waktu susah, kami tetap saling menyintai!
Perkahwinan dengan cinta dan restu ini telah dikurniakan dengan dengan empat orang cahaya mata pengikat cinta. Mereka memeriahkan hidup kami.
Alhamdulillah, aku rasa sangat bersyukur atas semua kurniaan Allah ini. Taman cinta kami semakin segar dan mewangi. Anak-anak adalah bukti cinta kami. Mereka adalah amanah Allah untuk kami.
Daripada lahirnya anak pertama hingga yang bongsu, dia tetap suami dan ayah yang penuh kasih sayang. Dia lebih mahir memandikan bayi dan menguruskannya daripada aku sendiri. Pernah dia terpaksa pulang waktu makan tengah hari semata-mata untuk memandikan bayi kami. Namun dia tidak pernah merungut dan mengeluh.
Dalam hatinya penuh cinta bersemi
Kasih sayangnya sentiasa tulus dan murni
Itulah yang mengukuhkan mahligai cinta kami.