Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 13 Januari 2018

MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI






Tiga pelajar yang akan menyambung pengajian mereka ke peringkat 'Alim ke maahad atau sekolah pondok yang telah kami pilihkan untuk mereka. Alhamdulillah.
Dua orang berasal dari Terengganu akan ke Sukabumi, Indonesia bersama Tuan Guru Habib Naufal sebelum menyambung pengajian ke Mekah pula.
Seorang lagi berasal dari Tanjung Karang, akan ke Maahad An-Noer Janda Baik bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki.
Ketiga-tiga mereka anak yatim. Mempunyai ibu yang berhati waja, ketiga-tiga mereka anak bongsu.
Semoga mereka akan terus bersemangat dan cekal menuntut ilmu.
Mereka juga diberi pilihan jika ingin mengambil SPM dahulu, tapi ibu-ibu mereka mahu mereka ambil bidang agama sepenuhnya. Kami tidak menghalang.
Ingin BERSAMA kami dan menjadi KELUARGA besar AZ ZEIN? Hubungi nombor telefon yang tertera.

#maahadtahfiz
#asnaf
#sekolahpondok
#anakyatim

Jumaat, 12 Januari 2018

MANGSA- BAB 6



            Tangannya laju membersihkan kawasan rumah arwah mak sunya.  Harun tidak gentar atau takut dengan keadaan rumah arwah yang kelihatan seperti rumah berhantu itu. Kawasan semak samun itu menambah keusangan keadaan kawasan dan rumah tersebut.  Beberapa hari yang lalu, Harun sudah pun membersihkan ruang di dalam rumah.  Segala barangan buruk sudah dibuang dan dibakar.  Begitu juga dengan pakaian arwah, tiada orang kampung yang sudi menerima pakaian-pakaian tersebut.
            Ayahnya sudah menghalang dia datang ke rumah tersebut.   Ah! Apa hendak ditakutkan?  Arwah sudah pun meninggal. Cerita hantu sering dia mendengarnya, tapi tak pernah pula berjumpa, atau ada sesiapa yang bertemu empat empat?  Malas nak ambil tahu.  Apa yang pasti, kawasan itu perlu dibersihkan.  Pertemuan beberapa janin bayi di belakang rumah arwah menambah misteri lagi kematian  arwah mak sunya itu.  Adakah mak sunya mengamalkan penguguran  bayi secara haram?  Kenapa ayahnya langsung tidak tahu kegiatan adiknya sendiri? Pelik betullah!
            Usai membersihkan kawasan tersebut.  Harun terus pulang ke rumah.  Badannya berasa bergetah.  Sudah dua hari dia bercuti.  Esok dia akan kembali ke Kuala Lumpur, kembali bekerja. 
            Harun duduk di kaki tangan, dia membelek sebentuk cincin emas berlian bermata satu, cincin siapakah ini? Takkan cincin arwah mak sunya?  Mengikut bentuk dan saiz cincin tersebut, tentu kepunyaan gadis muda.  Harun mengeluh, mungkin kepunyaan salah seorang gadis yang telah mengugurkan kandungannya di rumah arwah. Kemungkinan itu ada.  Harun mengeluh kesal.  Sudah buat dosa, kemudian tambah dosa lagi.
            “Dah selesai kau bersihkan kawasan rumah arwah mak su kau tu, Harun?”  tanya  Haji Manaf yang baharu saja pulang dari masjid. Ada mesyuarat AJK masjid sejak pagi tadi.  Tengahari  baharu selesai. Motosikal diparkir di tepi rumah, lalu duduk di kaki tangga bersama anak tunggalnya itu.
            “Sudah ayah, esok Harun dah nak balik ke KL. Harun dah letak mangga di pagar dan di pintu rumah arwah mak su.  Harap-harap jangan ada sesiapa yang ceroboh, pihak polis sahaja yang boleh masuk dan siasat apa yang berlaku.  Nanti ayah uruskanlah, kalau ada pihak polis nak masuk ke dalam rumah arwah.  Harun dah bersihkan semuanya, tiada apa yang lagi yang tinggal di dalam rumah, biarpun pihak polis menghalang, tapi kawasan belakang, Harun tak usik, mungkin ada bukti-bukti yang diperlukan oleh pihak polis.  Sisa-sisa janin masih ada lagi di situ, tulang belulang manusia juga ada, entah milik siapa?  Seram juga memikirkannya,” Harun mengeluh.
            “Nanti marah pihak polis dengan ayah, kan mereka dah pesan jangan bersihkan?  Bagaimana mereka nak jejak pembunuh arwah mak su kau?”  Haji Manaf mengeluh kasar.
            “Kesan darah arwah dan tempat arwah dibunuh, Harun tak bersihkan.  Harun cuma buang barang-barang dalam rumah yang buruk dan busuk, itu aje,”  beritahu Harun. 
            “Baguslah begitu, entah manusia jenis apa yang sanggup membunuh orang tua yang lemah seperti arwah mak su kau! Kejam sungguh!” tempelak Haji Manaf. 
            “Kenapa arwah sanggup buat kerja kotor itu ayah?  Selama ini kita tak pernah tahu pun arwah menggugurkan bayi?  Allah! Dosa besar itu ayah, sama dengan membunuh!”  Harun mengeluh kesal.  Dia sayang arwah emak saudaranya itu, sesekali ada juga dia datang menjengah arwah kalau dia pulang bercuti di kampung itu.  Pandai sungguh, arwah menyembunyikan kerja kotornya itu. Padanlah arwah sering melarang Harun ke belakang rumah, rupanya ada yang disembunyikan.  Tidak tahu berapa ramai bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerja kotor arwah.  Semoga Allah mengampunkan dosa arwah emak saudaranya itu.
            Haji Manaf tidak berkata apa-apa, hanya menggelengkan kepala.  Arwah adiknya bukan manusia begitu, mungkin terikut-ikut cara arwah suaminya, teka Haji Manaf.  Simpati dengan nasib arwah adiknya itu.  Hidup bergelumang dosa.  Semoga Allah mengampunkan semua dosa-dosa arwah, aamiin, doa Haji Manaf dalam hati.
            “Harun bila balik KL?” tanya Haji Manaf, menukar tajuk cerita.  Tidak sanggup memikirkan kisah arwah adiknya itu.  Orang kampung sudah mula bercakap-cakap.  Kadangkala terusik juga hatinya, yang dikata adiknya sendiri, darah dagingnya.  Nasib orang perempuan, dapat suami baik, baiklah jadinya.  Jika sebaliknya?  Haji Manaf mengeluh berat.
            “Lusa,” jawab Harun perlahan.  Berat hatinya hendak meninggalkan kampung halamannya itu, apatah lagi memikirkan kematian arwah emak saudaranya yang sangat misteri.  Siapakah yang telah membunuh Mak Su Temahnya itu?  Persoalan itu berlegar dalam fikirannya.  Polis pun masih menyiasat perkara tersebut.  Harap mereka cepat dapat menangkap pembunuh tersebut.  Biar terbalas kematian arwah emah saudaranya itu.
            Harun tidak memberitahu ayahnya akan pertemuan cincin berlian itu.  Mungkin cincin mereka yang telah datang untuk menggugurkan kandungan, atau cincin arwah mak sunya? 
            “Kenapa dua beranak ni jadi penunggu tangga?  Tak nak naik makan ke?” tegur Hajah Kamariah  yang muncul di muka pintu utama.
            “Nak naiklah ni,” kata Haji Manaf, lalu bingkas bangun berdiri dan naik ke dalam rumah.
            Harun masih termenung memikirkan nasib arwah mak sunya.  Mati seleranya hendak menikmati makan tengahari yang enak dimasak oleh emaknya. 
            “Harun!” panggil Hajah Kamariah.
            “Ya, nak naiklah ni,” jawab Harun perlahan.  Dia bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah. 

Khamis, 11 Januari 2018

ULASAN NOVEL - SEHELAI DAUN DARI POHON SIDRAH


1) Sehelai Daun Dari Pohon Sidrah.
Kumpulan Cerpen.
Rozninah Abd. Aziz.
DBP
2017
308 muka surat
****/5 bintang

15 cerpen yang menarik dibaca. Ada satira, ada duka, ada yang mampu buat pembaca tersenyum sendiri. Penulis seorang yang berpengalaman dalam dunia penerbitan, editorial, dan penulisan.
Kepada penulis yang ingin belajar teknik menulis cerpen dengan pelbagai gaya bahasa, boleh dapatkan karya ini. Pasti tidak menghampakan.

~done~

ULASAN NOVEL JANGAN MENANGIS SAKINAH

Jangan Menangis Sakinah
Sharifah Umamah Al-Edrus
ITBM
Novel Remaja
2015
220 muka surat
****/5

Kehidupan normal Sakinah berubah apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya menyebabkan dia lumpuh. Sakinah terus berubah 360 darjah. Sikapnya yang dahulu ceria, bersemangat telah berubah menjadi manusia yang suka menyendiri, berasa rendah diri dan hampir putus asa dengan hidupnya.

Dia cuba hadir ke sekolah, namun perasaan hampa dan berasa diri tidak berguna membuatkan Sakinah tidak selesa ke sekolah.

Pelbagai dugaan dan cubaan yang dihadapi oleh Sakinah, apakah dia mampu mengubah nasib dirinya? Adakah sinar baharu untuk dirinya di masa hadapan? Untuk mengetahui cerita selanjutnya, sila dapatkan buku yang mengusik hati ini.
~done~

ULASAN BUKU - KRIMINAL

3) Kriminal
Syahril A. Kadir.
Pojok
2016
191 muka surat.
*****/5

Catatan seorang wartawan jenayah. Banyak kisah menarik dalam dunia penjenayahan di negara ini. Kebanyakkan cerita, saya pernah baca dan ikuti ceritanya di televisyen.

Kisah penjenayah paling dikehendaki Botak Chin, cerita Al Mauna. Bagaimana banduan disebat, pembunuhan, kisah anggota polis yang berjasa tapi kita tidak tahu. Kisah Adam yang mengamuk di Chow Kit, apa sebenarnya yang berlaku. Semua cerita di belakang tabir akan kita ketahui. Kisah Geng Mamak juga ada. Fuh! Memang menarik!

Buku yang menarik dibaca. Rugi kalau tak beli.
~done~

MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI - PENGAMBILAN BAHARU

Pengambilan pelajar untuk kemasukan baharu ke Pusat Penjagaan Anak Yatim Tahfiz Maahad Az Zein Al Makki Sg. Buluh, Selangor.

Kami juga buka kepada anak-anak ASNAF, lekaki sahaja, berumur 10 tahun hingga 12 tahun.
Pendidikan Tahfiz, adab dan akhlak sepenuhnya. Pengambilan adalah TERHAD.

PENDIDIKAN PERCUMA!

Jika berminat boleh hubungi nombor telefon yang tertera di gambar iklan

MANGSA - BAB 5



            Sebuah rumah banglo dua tingkat dengan kawasan lamannya seluas mata memandang.  Dihiasi dengan tanaman pokok bunga beraneka jenis, tersusun kemas dan bersih.  Anjungnya tersergam indah dengan pancuran air berdinding yang mengalir tenang.  Deretan kenderaan mewah menampakkan betapa kayanya penghuni rumah banglo tersebut.  Pintu rumah tertutup rapat.  Di tepian pagar yang tegap berdiri, memagari kawasan rumah seluas dua ekar itu kelihatan beberapa orang lelaki sedang bekerja membersihkan pokok-pokok bunga yang tumbuh subur.
            Di dalam rumah, di ruang tamu, tiada siapa di situ. Hiasan dalamannya begitu mewah, dengan almari antik tersusun di dalamnya barangan Kristal pelbagai  bentuk dan jenis.  Sofa berjenama yang hanya dibeli oleh mereka yang tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan duit yang ada, tersusun kemas dihiasai jambangan bunga ros besar.  Karpet yang menjadi penghias tambahan hampir menenggelamkan kaki sesiapa yang memijaknya.  Lampu Chandelier menjadi ruang itu bertambah mewah.
            Di sebalik dinding bertal bunga matahari, terdapat ruang makan yang serba sempurna. Pemiliknya benar-benar bercita rasa besar.  Meja makan yang mampu memuatkan dua puluh empat orang dalam satu masa, bar tender juga disediakan di ruang makan yang begitu luas, tersusun gelas beraneka jenis dan jus buah-buahan yang pelbagai rasa.  Jambangan bunga kekwa dan ros menghiasi kiri dan kanan sudut.  Lampu China Cristal Chandelier menambah seri ruangan tersebut.  Meja khas yang menjadi tempat menghidangkan makanan terletak di tepi dinding yang bercermin besar.
            Di satu sudut rumah tersedia ruang untuk keluarga bersantai. Ada sebuah televisyen bersaiz 55 inci melekat di dinding.  Seperti biasa hiasan bunga hidup pasti akan menghiasi ruang tepi dinding rumah.  Terdapat sebuah meja kopi dan deretan sofa lembut untuk duduk bersantai sambil berbual. 
            Mata wanita tua yang berbadan sederhana memandang tajam wajah tetamu-tetamu yang ada di hadapannya.  Bukan orang lain, tetapi anak-anaknya.  Dia mendengus kasar.  Sesekali giginya berlaga sesama sendiri, seperti orang yang sedang menahan marah yang berapi-api. 
            “Betul kalian tidak tahu?” herdik wanita itu,  Bergetar suaranya, cuba menahan tonansi suara agar tidak meledak keluar. 
            “Betul mama!  Sudah seminggu Esya hilang, kami langsung tidak tahu dia ke mana?”  kata lelaki yang duduk menghadap wanita tua itu.
            Wanita tua itu melepaskan keluhan, ke mana perginya cucu kesayangannya itu?  Tidak mungkin pergi bercuti langsung tidak memberitahu kepada keluarga atau dirinya sebagai orang paling tua di rumah itu.
            Puteri Esya, berumur 25 tahun, seorang ahli perniagaan, mempunyai syarikat hiasan dalaman sendiri. Masih bersendirian, terlalu sibuk berniaga hingga tiada masa untuk mencari pasangan hidup.  Anak sulong dari tiga beradik. 
            “Abang kau,  Zakaria, langsung tidak ambil tahu akan kehilangan anaknya?  Mama suruh datang sini pun, tak datang!” bentak wanita tua itu kemarahan. 
            “Abang ada mesyuarat penting mama, itu tak sempat nak datang hari ini.  Bukan abang tak bimbang pasal kehilangan Esya, dia anak kami mama,”  kata  Datin Zara.
            “Kau pun sama, sibuk dengan urusan persatuan, hal anak-anak langsung kau tidak kisah!  Biarpun mereka sudah besar, selagi tidak berumah tangga, menjadi tanggungjawab kita mengambil tahu urusan harian mereka, faham!” nasihat wanita tua itu dengan wajah garangnya.
            “Esya dah besar mama, pandailah dia jaga diri.  Bukan budak kecil lagi,” ujar Datin Zara.  Suaminya pun satu hal juga, anak sudah menghilangkan diri berhari-hari pun masih buat tak tahu.  Boleh tenang seperti tiada apa yang berlaku.
            “Yalah mama…  Esya dah besar panjang, takkan nak risaukan lagi?  Lagipun, tahulah dia menjaga diri,”  sambung Jafni, anak ketiga wanita tua itu.
            Wanita tua itu menjeling sekali imbas ke arah Jafni yang berambut lurus, digunting kemas, berkaca mata, berkulit putih seperti  kulit wanita tua itu.  Matanya sedikit sepet  sama seperti mamanya.  Dengan hanya bert-shirt leher bulat  berwarna kelabu dan berseluar slack hitam, Jafni duduk tenang sahaja.  Bukan tidak risau akan kehilangan anak saudaranya itu, tetapi Esya sudah cukup besar dan matang.  Mungkin bercuti di mana-mana negara dan sengaja tidak memberitahu ahli keluarganya.
            “Mama jangan risau, nanti baliklah si Esya tu,” kata anak keduanya, Riana.  Bertubuh langsing, masih bersendirian biarpun usia sudah menjangkah empat puluhan.  Sibuk bekerja, mengejar kejayaan dalam kerjaya.   Wajahnya masih cantik dan sudah pasti seorang yang bergaya.  Membantu menguruskan syarikat milik keluarga bersama abang sulongnya Dato’ Zakaria. 
            Wanita tua yang masih tegap berdiri dan kukuh lagi langkahnya bingkas bangun, bercekak pinggang, memandang ke laman rumah dengan mata yang bening, otaknya tidak berhenti  memikirkan ke mana cucunya itu pergi?  Tidak pernah Esya berkelakuan begini, dia tahulah, sebab dia yang menjaga cucunya itu sejak dilahirkan. 
            “Kita buat laporan polis!” arah wanita itu, matanya memandang wajah anak-anaknya seorang demi seorang.
            “Hish!  Nanti apa pula orang cakap, mama?  Biar kita cari dia dulu, kita upah penyiasat persendirian, kalau masih tidak  Berjaya, baharulah kita buat laporan polis,”  cadang Jafni, pembantu peribadi kepada Dato’ Zakaria, biarpun berkelulusan sehingga peringkat master dalam perniagaan, tetapi minatnya pada perniagaan tidak sehebat abang dan kakaknya.  Dia lebih suka menguruskan hal lain selain perniagaan yang dirasakan cukup memeningkan kepala. Apatah lagi mamanya masih lagi menjadi Pengarah Urusan.  Cerewetnya usah cerita, boleh sakit jantung.  Sudah berumah tangga tetapi belum mempunyai zuriat. 
            “Benar mama, Riana setuju dengan cadangan Jafni tu,”  kata Riana.
            Dato’ Mariam menunduk seketika, dan berfikir sejenak.  Dia duduk kembali di sofa.
            “Baiklah, mama setuju, Riana aturkan untuk kita mendapatkan perkhidmatan penyiasat persendirian.  Esya mesti dicari sampai jumpa,”  perintah  Dato’ Mariam dengan wajah seriusnya.  Wajah kacukan Cina Melayu yang diwarisi daripada orang tuanya terserlah di wajah anak-anaknya juga.  Berkulit putih bersih, berkening nipis, mata sepet dan berhidung penyet.  Namun, tetap ayu seperti wajah Riana dan kacak seperti Zakaria dan Jafni.
            “Mama, terima kasih,” ucap Datin Zara.  Kalaulah ibu mertuanya tidak mengambil tahu hal anak-anaknya, entah apa akan jadi dengan mereka.  Suaminya sibuk menguruskan empayar perniagaan milik keluarga suaminya itu.  Langsung tiada masa untuk bersama-sama keluarga.  Dialah yang menjaga anaknya sepenuh masa dan dibantu oleh mertuanya, tetapi anak-anaknya sudah besar sekarang, rasanya tidak perlu lagi dia menguruskan mereka.  Kehilangan anak perempuannya itu turut merisaukannya.  Entah-entah anaknya diculik? Siapa tahu?  Ah!  Pening kepalanya memikirkan masalah yang menimpa tiba-tiba.
            “Sudah, usah fikir banyak, nanti kita cuba selesaikan misteri kehilangan  Esya ini sama-sama,” kata Dato’ Mariam.  Cuba bertenang biarpun hatinya benar-benar kerisauan.  Esya, adalah cucu kesayangannya, dan dia hanya mempunyai tiga orang cucu. Esya sahajalah perempuan. Dua lagi lelaki.  Dato’ Mariam mendengus kasar.