AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 9 January 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 65



Haikal duduk bersimpuh di hadapan Rose dan Zaiton.  Sejak kejadian perkahwinan Rose yang tidak menjadi dan sahabatnya itu tidak hadir di majlis perkahwinannya, dia tidak bertemu dengan Rose. Kebetulan dia balik kampung dan gadis itu juga berada di kampung.  Ingin benar dia mengetahui perkembangan terkini temannya itu. 
            “Kau okey?” tanya Haikal. Wajah selamba Rose yang memandang ke arah sungai yang mengalir lesu itu mencuri hatinya. Tiada lagi riak sedih atau kecewa di wajah itu, tenang dan selamba sahaja lagaknya. Macam tiada apa yang berlaku.
            “Kau tengok?” soal Rose kembali.
            Haikal mengeluh.
            “Tak payah mengeluh.  Aku okey saja.  Kau macam mana? Dah jadi suami orang, bahagia?” Rose memandang sekali imbas wajah Haikal.
            “Bolehlah!  Kau bukan tak tahu perangai degil Ain, jenuh juga akan nak didik. Tambah-tambah emaknya, aduh… aku boleh sakit jiwa!” luah Haikal.  Ain masih keras kepala dan ikut rentaknya sahaja. Dinasihati agar bertudung, tidak lagi memakain skirt pendek, berpakaian mengikut tubuh, tidak juga mahu dengar.  Emak mertuanya pula asyik menangkan anak sendiri. Boleh pusing 360 darjah kepalanya itu.
            “Kata orang tua-tua, berkahwin dengan pilihan sendiri, jangan hanya pandang cantiknya wajah atau cinta yang kononnya setinggi Gunung Tahan, tengoklah orang tuanya, selidiki latar belakangnya, kenali hati budinya.  Kau macam tak boleh nak nilai orang pula?” perli Rose.  Geram pun ada, Ain memang keras kepala, degil, emaknya pula pemberita tidak bertauliah, yang sahabatnya masih juga nak jadikan gadis itu isteri, kenapa?  Memanglah jodoh, tetapi dalam mencari jodoh bukankah telah ada petunjuknya.  Jangan pilih kerana nafsu mata dan dengan hati yang buta.    
            “Kau perli aku nampak?” Haikal mencebik.
            Mereka berhenti berbual bila Zaiton tiba dengan talam berisi kuih dan air minum.  Talam itu diletakkan di hadapan mereka.  Zaiton duduk dan menyandar di batang pokok sambil membaca buku kegemarannya.
            “Kau buat apa sekarang? Aku ada cari kau di restoran tempat kau kerja.  Mereka kata kau dah berhenti?” Haikal malas nak bercerita tentang rumah tangganya yang masih  tidak tentu arah tujunya itu.  Perlahan-lahanlah dia mencuba menjadi seorang suami yang baik dan mampu mengubah  sikap Ain menjadi seorang isteri yang solehah.
            “Aku berniaga tepi jalan, jual nasi lemak, nasi putih, lauk-pauk dan kuih-muih,” cerita Rose.
            “Hah?  Kau pandai ke buat tu semua?”  Haikal seperti tidak percaya sahaja.  Biar betul, sahabatnya itu berniaga makanan?
            “Kenapa?  Tak percaya?” tanya Zaiton.
            “Macam mana aku nak percaya?  Rose bukan pandai memasak pun?”  ujar Haikal.
            “Itu dulu, sekarang dia sudah menjana pendapatan  RM1k setiap hari.  Ada percaya?” tambah Zaiton lagi dengan muka selamba. Sudah macam orang baca iklan pula.
            “Wah! Hebat! Sebulan 30k kalau kau berniaga setiap hari.”
            “Bolehlah nak cari makan.”  Rose menyengih.  Pendapatannya memang lumayan tetapi penatnya juga lumayan. Dapat berehat dan bersantai seperti ini adalah satu nikmat yang terindah dalam hidup bagi orang berniaga makanan sepertinya.
            “Kat mana?” tanya Haikal.
            “Biarlah rahsia. Aku tak nak kau terjah tempat aku berniaga, lepas itu bini kau datang kacau! Sekarang ni jiwa aku dah tenang sebab tak ada lagi jembalang-jembalang yang datang mengacau aku, terutama jembalang tanah bernama Ain,”  kata Rose keras dan tegas.  Cukuplah Ain datang menyerbu tempatnya bekerja dahulu.  Dia tidak mahu dimalukan lagi. Cukup, cukup sudah!  Biarlah dia dengan jalan hidupnya sendiri. Dia tidak mengganggu dan mengacau sesiapa.  Kenapa perlu ada orang yang nak ganggu hidupnya pula.
            “Bagilah tahu, boleh aku promosikan kat kawan-kawan aku,” paksa Haikal.
            “Minta maaf, lokasi adalah rahsia.  Kau hiduplah dengan bini kau tu,  Haikal.  Kita tetap kawan.  Aku tak nak jadi orang ketiga dalam hidup kau dan Ain.  Aku tidak mahu lagi menjadi bahan umpatan konon nak memusnahkan rumah tangga orang.  Sebelum fitnah itu sampai pada aku, biarlah aku berhati-hati.  Kau pun pandai-pandailah jaga diri dan rumah tangga kau,” bebel Rose.  Malas dia nak bertekak dengan Ain atas perkara remeh-temeh yang tidak mendatangkan keuntungan. Biarlah dia dengan hidupnya.  Haikal dengan cara hidupnya.  Dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu berbahagia sehingga ke syurga.
            “Janganlah macam tu Rose?”  rayu Haikal.   
            “Haikal, berilah aku peluang membina kembali hidupku setelah dihancurkan sehingga berkecai.  Baharu nak bercantum, dan tumbuh subur. Jangan kau menambah sakit di hati, luka yang telah sembuh jangan kau lukai kembali!” pinta Rose. 
            “Kau tak nak berkawan dengan aku lagi ke?” tanya Haikal bingung.
            “Taklah sampai macam tu, kalau kita jumpa, salinglah bertegur. Kalau tidak, jangan cari aku,” kata Rose tegas.
            “Hormatilah permintaan Rose tu, Haikal. Kami tak nak kau bergaduh dengan permaisuri kau kat rumah tu. Nanti Rose juga yang disalahkan jika rumah tangga kau ada masalah,”  sampuk Zaiton. 
            “Maafkan aku Rose, kau tak pernah jumpa Joe lagi?” 
            “Siapa? Aku tak pernah kenal nama tu?”
            “Kau ni kenapa Haikal?” marah Zaiton.  Berbulan-bulan sahabatnya itu cuba menenangkan diri melupakan apa yang berlaku. Kenapalah lelaki seorang ini sibuk nak tahu tentang manusia yang berhati syaitan itu. 
            “Erk… salah cakap ke?”  Haikal serba-salah.
            “Ee…” Zaiton memukul belakang Haikal dengan buku tebal yang sedang dibacanya itu. Tidak faham bahasa atau sudah biul sebab beristerikan Ain yang sengal itu.
            “Maaflah! Aku saja nak tahu, manalah tahu tiba-tiba banjingan tu telefon ke, minta maaf ke.”  Haikal menyengih.
            “Biarlah dia, tak perulah kita sakit kepala memikirkan hal yang lalu.”  Rose menjamah kuih lepat pisang yang dibuat emaknya.
            “Aku kagum dengan kau Rose, kau kuat dan tabah,” puji Haikal.
            “Kalau aku tak kuat dan tabah, siapa nak bantu aku?  Kau?” sindir Rose.
            “Kau ni semenjak dua menjak ni, garang yang amat,” kutuk Haikal.
            “Kalau tak garang, asyik kena buli saja,”  luah  Rose, itulah hakikatnya. 
            “Dahlah tu, asyik membebel saja. Jemput minum. Kau jangan berlama di rumah aku ni, kang naik hantu langsuir kat rumah kau tu, baru kau tau,” usik Zaiton.
            “Hah?  Naik hantu? Langsuir? Ada kat mana?’  soal Haikal, bingung seketika.  Mana ada hantu atau langsuir? 
            “Kat rumah kaulah!’ kata Zaiton.
            “Rumah aku? Siapa?”
            “Bini kaulah!” jawab Zaiton sambil mengangkat kening.
            “Tak guna kau Ton, kau kata bini aku langsuir?” 
            “Selayaknya pun,”  sambung Zaiton lagi. Dia mencebik
            Haikal tarik muka empat belas. 
            Rose tersenyum.
            Haikal hormati permintaan Rose. Asalkan sahabatnya itu gembira, sudah cukup baginya.

No comments:

Post a Comment