AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 12 January 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 67



Hajah Mona terkedu mendengarnya.  Rasa terhenyak jantungnya.  Sebak dadanya.  Terasa berat kepalanya.  Terasa berdenyut kepalanya.  Berita yang baharu disampaikan oleh Haikal benar-benar mengejutkan.  Tidak pernah terduga olehnya, menantunya sejahat itu!  Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia menyuruh Haikal menceraikan perempuan yang tidak berhati perut itu. Tidak sesuai langsung dijadikan isteri dan ibu kepada cucu-cucunya nanti.
            “Malu Haikal mak, malu!  Mana Haikal nak letak muka kalau Rose dan keluarganya tahu apa yang Ain lakukan!” luah Haikal.  Terasa lemah dirinya.
            “Mak pun Haikal! Ya ALLAH, sampai hati Ain. Kejam sungguh tindakan dia tu!”  Hajah Mona mengurut dada.   Terasa sakit dadanya.  Dia mengurutnya perlahan.  Mencari ketenangan seketika agar darah tingginya tidak naik mendadak kerana terkejut.
            “Kalau ikutkan hati Haikal, mahu saja Haikal tinggalkan Ain. Tak tahulah mana Haikal nak letak muka ni.”  Haikal mendengus kasar.
            “Harapkan muka saja cantik, tapi hati macam syaitan!” kata Hajah Mona geram.  Tidak gunalah bermenantukan cantik lawa macam model, kalau perangai macam orang tak berakal.  Anak dan emak sama sahaja. Menyesal tidak sudah dia mengikut kenak Haikal ingin memperisterikan Ain. Kalau ikutkan hati dia rela Rose yang hitam gelap itu menjadi menantunya.  Dia faham kenak anaknya.  Tidak mungkin memilih gadis itu sebagai isterinya. Hati bukan boleh dipaksa. 
            “Maafkan Haikal mak. Haikal dah kecewakan mak.”  Haikal menunduk malu. Dia sangkakan pilihannya terbaik, cantik, berpelajaran tinggi dan bijak orangnya.  Tetapi dia silap.  Dia tidak tahu menilai hati budi.
            “Nak buat macam mana Haikal, jodoh itu ketentuan ILAHI,”  pujuk Hajah Mona walaupun dalam dirinya turut berasa kecewa dan kesal.
            “Apa harus Haikal buat mak? Tak sanggup rasanya tengok muka Ain dan emaknya.  Kalau ikutkan hati marah Haikal, naya saja.”  Marahnya tidak kunjung padam.  Mengingatkan hal itu buat hatinya sakit, benci dengan isteri sendiri. Dia bukan bencikan orangnya, tetapi sikap yang wujud dalam diri isterinya itu. Kenapalah jadi seperti ini? Sepatutnya dia sedar, Ain takkan mungkin berbaik dengan Rose.  Kalaulah sahabatnya itu tahu apa yang isterinya lakukan, pasti diamuknya seperti mana Hang Jebat mengamuk  melawan Sultan Melaka. 
            “Malu Haikal nak jumpa Rose! Rasa bersalah sangat dengan Rose dan keluarganya, mak!” 
            “Yalah, Haikal. Apa pula kata Mak Hanum dan Pak Seman kalau mereka tahu. Ya ALLAH!” Hajah Mona menggeleng kesal.  Sebak dadanya.  Wajah pasangan suami isteri itu begitu menyayatkan hati. Sudah lama mereka tidak lagi bergaul dengan penduduk kampung Kenduri-kendara pun mereka sudah jarang datang dan dijemput. Ada kata membawa siallah.  Zaman  moden begini pun masih ada yang percaya perkara karut marut itu.  Rupanya semua yang berlaku adalah kerja menantunya.  Menantu hantu! Jeritnya dalam hati. Air mata mengalir laju. 
            “Mak… maafkan Haikal.”  Haikal memeluk erat bahu Hajah Mona yang menangis. 
            “Kau tak salah Haikal, jika kita memilih  kerana memandang cantiknya wajah, inilah padahnya.  Kita tanggung malu sama kerana tindakan yang tidak berhati perut si Ain tu,”  luah Hajah Mona.
            Haikal tidak mampu berkata apa-apa. Dia jatuh hati dengan paras rupa Ain.  Dia tidak pertimbangkan  banyak perkara.  Dia ingat, dia mampu mendidik isterinya itu.  Rupanya sikap Ain lebih parah lagi.  Perbuatan mencemar dan menjatuhkan maruah dan harga diri orang lain, tidak boleh diterima.  Terlalu kejam rasanya. Lebih teruk daripada membunuh.
            “Haikal tak tahu nak buat apa ni, mak?  Haikal bingung!”  Haikal meraup muka dengan kedua belah tangannya.  Mengeluh tidak sudah-sudah.  Dia berasa berdosa dan bersalah. Dia seharusnya meminta maaf kepada keluarga Rose.  Kalaulah gadis itu tahu apa yang berlaku kerana isterinya.  Ya ALLAH! Jangan Pak Seman mengamuk sama sudahlah.
            “Haruskan Haikal bagi tahu   Rose mak?” tanya Haikal memohon tunjukajar emaknya.
            “Jangan Haikal!  Malu kita.  Malu mak dengan Mak Hanum kau! Tentu mereka akan marah dengan kita.” Tidak mungkin dia akan mendedahkan perkara itu kepada keluarga Rose.  Biarlah menjadi rahsia mereka sekeluarga.  Biarpun perit dan sakitnya itu di sini, di hati.  Dia tidak mungkin memberitahu Hanum.  Pasti sahabatnya itu akan marah. Hajah Mona mengeluh kesal.
            “Ya ALLAH mak!” Haikal rasa geram dan marah.  Tidak tahu harus berbuat apa? 
            “Sabarlah Haikal! Ujian dan dugaan ini sama-samalah kita hadapi ya nak,” pujuk Hajah Mona. Dia faham perasaan anak tunggalnya itu.
            Haikal termenung jauh, mengenangkan apa yang berlaku membuatkan hatinya sakit, kecewa dan terluka.  Bagaimana dia nak berhadapan dengan Rose dan keluarganya?  Bagaimana pula dia nak hidup dengan perempuan yang berhati busuk dan keji itu? Semua ini terasa beban yang amat besar di kepalanya.  Serba tidak kena jadinya.
            “Jangan fikir sangat Haikal. Banyakkanlah berdoa, semoga Ain berubah.  Haikal dah pun jadi suami dia, baharu sahaja kahwin, takkanlah nak bercerai pula?”  Risau Hajah Mona memikirkannya.  Takkanlah dia nak membiarkan perkara itu berlaku.  Sakit bagaimana pun hatinya tidak sesekali dia meruntuhkan rumah tangga anaknya sendiri.  Ain berhak diberi peluang untuk berubah.  Dia perlu meminta maaf dan ampun dengan keluarga Rose.  Hanya itu sahaja caranya untuk menghapuskan dosa sesama manusia.
            “Tak fikir macam mana mak?   Rose sahabat saya, Ain pula isteri saya.”  Pening kepalanya. 
            “Yalah, mak faham Haikal.” Kalau dia berada di tempat Haikal pun tentulah dia akan berasa  serba-salah.  Kalau tidak kenal Rose dan keluarganya tidak mengapa. Tidaklah terasa sangat. Ini keduanya  saling kenal mengenali, kedua-duanya disayangi. 
            “Haikal tidur sini boleh tak mak?” Malas  dia nak balik ke rumah mertunya. Buat hatinya yang sedang sakit ini bertambah sakit nanti. Mahu diserang  isteri dan mertunya tanpa sebab nanti. 
            “Kau tak nak balik ke rumah mertua kau ke?”  Hajah Mona mengeluh. 
            “Malaslah mak! Biar mereka meroyan berdua. Pandai sangat buat jahat!  Tanggunglah sendiri!”  marah Haikal, geram.
            “Jangan sampai mengganggu-gugat rumah tangga Haikal sudahlah. Marah  pun biarlah kena masanya ya?” pesan Hajah Mona.
            “Faham mak, selagi Ain tidak mahu berubah dan meminta maaf dengan Rose, selagi itulah saya tidak akan melayan dia sebagai seorang isteri.  Saya nak dia berubah!” 
            “Bertindak  biarlah wajar Haikal, kau jangan buat tindakan yang merosakkan hubungan kalian berdua,” nasihat Hajah Mona lagi.
“Baik mak…”  Dia tidak boleh terburu-buru dalam bertindak.  Perkara ini perlu ditangani dengan  bijak, jika tidak hubungannya dengan kedua perempuan itu akan  hancur berkecai. Rose akan merajuk dan tidak mahu lagi berkawan dengannya.  Ain akan terus meninggalkannya dan mereka tidak akan ada apa-apa hubungan. Ain akan diajar agar tahu menghormati orang lain. Tidak perlu meninggi diri, sombong dan bongkak, tidak bawa ke mana-mana pun. Malah mencipta jurang dalam hubungan  yang baik, ikhlas dan jujur.  Haikal mengeluh berat.

No comments:

Post a Comment