AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 13 January 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 68



Ain gelisah. Dia mundar-mandir di dalam rumah.  Sesekali menjengah keluar.  Ini semua Joe punya pasal.  Kalaulah lelaki itu tidak menelefonnya, tentu Haikak tidak tahu apa yang berlaku.  Apa yang harus dia lakukan?  Macam mana kalau Haikal tinggalkan dia? Habislah!
            “Mak! Macam mana ni?” rengek Ain.  Mak Limah yang sedang menyandar di sofa dipandang seketika.  Dia mendekati.
            “Nak buat macam mana? Dah pandai-pandai buat jahat, kenalah pandai simpan, yang kau membebel kuat-kuat tu kenapa?” marah Mak Limah.  Sendiri salah, kalaulah anaknya tidak bising-bising tadi,tidak ada sesiapa yang tahu. 
            “Mana nak tahu Haikal dah balik?”  Ain menghempas punggungnya ke sofa. Dia mendengus kasar.
            “Kata orang tua, kerana mulut badan binasa, nak buat macam mana?”  Mak Limah mencebik. 
            “Mak ni, bukan nak bantu Ain, kalau Haikal tinggalkan Ain macam mana? Mak nak anak mak ni jadi janda?” 
            “Hah? Takkanlah sampai macam tu sekali Haikal akan  buat kat kau? Dia marah saja tu, dah sejuk tu, okeylah.” Takkanlah Haikal nak menceraikan anaknya hanya kerana hal tersebut?  Malu besar dia.  Anaknya baharu kahwin sudah diceraikan. Mesti orang kampung akan pandang serong kepada anaknya itu.  Siapa pula nak jadikan anaknya isteri?
            “Mana nak tahu? Menantu emak tu bukan boleh tahu langkahnya?  Habislah Ain, jadi janda muda!” Seram sejuk memikirkan kemungkinan itu.  Dia telah mencemarkan maruah diri keluarga Rose, tentulah Haikal akan marah dan mengamuk.  Kalau sudah suka sangan dengan perempuan itu, kenapa tidak kahwin sahaja dengan Rose?  Kenapa kahwin dengan dia? Ain mencebik. Lelaki, tetap pilih yang cantik-cantik sahaja.
            “Dah cuba telefon dia?  Mungkin balik rumah mertua kau agaknya,”  teka Mak Limah.
            “Mesti dia mengadu dengan emaknya.”  Ain memuncungkan bibirnya. Sikit-sikit mengadu, sikit-sikit mengadu.  Geram pula hatinya.  Kalau mertuanya tahu, panjang lebarlah nasihat yang akan keluar nanti. Silap haribulan boleh buat satu buku.
            “Biarlah dia nak mengadu. Kau duduk saja diam-diam,” pesan Mak Limah.  Dia sendiri tidak sukalah anaknya dimarahi. 
            “Mak! Ain bimbanglah!”  adu Ain.  Dia gelisah.  Haikal bukan boleh tentu tindakannya.  Kalau silap percaturan, habis dia. 
            “Jom, kita ke rumah mertua kau.  Kalau membebel kat sini pun, bukan boleh selesaikan masalah!”  ajak Mak Limah. Dia sudah pun menyarung tudungnya dan melangkah keluar.  Daun pintu dikunci rapat.  Jangan main-main, siang-siang hari ini bukan boleh percaya sangat.  Tidak pasal-pasal bila pulang, rumahnya cuci-calat. 
            “Tak naklah…” Takut juga dia, kalau mertuanya tidak cakap apa-apa, tidak menjadi masalah, bagaimana kalau disemburnya dengan racun ular sawa, koma dia sepuluh hari.  Tidak boleh jadi.
            “Jangan degil! Kau nak laki kau tak?’ tengking Mak Limah.  Dia sudah mencekak pinggang.
            “Mak ni main paksa pula!”  Ain menghentak kaki ke tanah.
            “Tak payah nak hentak-hentak kaki, kau bukan berumur lima tahun, dah 20 tahun lebih, malulah sikit!” sergah Mak Limah, dia terus melangkah masuk ke dalam perut kereta Kancilnya.   
            Dengan muka cemberut Ain mengikut sahaja kenak Mak Limah.
            “Tu, kereta laki kau ada kat laman.  Tentu dia ada kat sini,” kata Mak Limah sambil melangkah keluar setelah mematikan enjin keretanya. 
            “Mak!”  panggil Ain, takut juga hatinya nak bertemu dengan suaminya. Kalaulah suaminya mengamuk lagi, macam mana?  Aduhai… sakit kepalanya.
            “Apa lagi? Keluarlah!” jerkah Mak Limah. Hilang juga sabarnya dengan sikap lembap anak perempuannya itu.    Matanya membuntang memandang anak perempuanya masih berada di dalam kereta.  Takkan nak main tarik-tarik?  Ini sudah melampau!  Mak Limah mendekati keretanya.
            “Hah! Tunggu apa lagi?   Nak tunggu laki kau bentang karpet merah ke? Atau sediakan taburan bunga ros?” leter Mak Limah.
            Semakin masam muka Ain.
            “Dengan mak, tak payah nak buat muka seposen.  Jom!” paksa Mak Limah.
            Dengan langkah yang perlahan dan hati yang berat.  Ain mengikut Mak Limah masuk ke dalam rumah mertuanya setelah dipelawa masuk.  Tidak sanggup memandang muka suami dan emak mertuanya yang merenungnya macam nak telan dia hidup-hidup.
            “Kau nak balik ke KL pukul berapa Haikal?  Lama Ain tunggu, tu sebab mak bawa dia ke mari,” alasan Mak Limah.  Kalau tidak dimulakan bicara.  Jadi pertemuan orang bisulah nampaknya.  Hampir sepuluh minit masing-masing berlawan  dan beradu mata.
            “Tak tahu lagi,” jawab Haikal perlahan.
            “Mak tinggalkan Ain kat sinilah ya… kalau tak ada apa-apa, mak minta diri dulu. Aku minta diri dulu Mona.”  Mak Limah bingkas bangun dan bersedia untuk keluar dari rumah itu. Dia memandang wajah Ain sekali imbas.  Pandai-pandailah kau, hak anak… bisik hati kecilnya.  Setelah bersalaman dengan menantu dan besannya, dia terus pulang.  Tidak mahulah jadi tunggul di situ.  Silap haribulan dia turut sama terkena semburan maut nanti.  Sebelum kena, biarlah dia angkat kaki.
            Ain tidak berkutik. Tidak berani buka mulut memanggil emaknya, nanti dikatakan anak yang mengada-ngada.  Matanya mula berkaca. Janganlah dia menangis, buat malu sahaja. Nampak macam kuat dan berani.  Malulah.
            “Mak nak rehat, Haikal… ajaklah bini kau masuk bilik! Kang keras pula kat sini,” sindir Hajah Mona.  Malas dia nak melihat wajah menantu yang tidak diuntung itu.  Bikin malu keturunan sahaja.  Apalah nasibnya. 

            “Baiklah mak, pergilah berehat,”  jawab Haikal, langsung dia tidak memandang wajah Ain. Tidak juga dipelawa masuk ke dalam bilik. Haikal melangkah laju dan meninggalkan Ain sendirian di ruang tamu. Pandai sangatkan?  Hah! Pandai-pandailah nak hidup, bebel Haikal dalam hati.  Sakitnya masih ada, geramnya masih bercambah.  Jangan harap semudah itu dia akan melupakan apa yang berlaku.    Pintu bilik ditutup rapat.  Pada mulanya dia bercadang nak pulang  petang itu, nampaknya terpaksalah dia menangguhkannya.  Lagipun KL dan Tanjung Karang bukan jauh sangat. 
            “Awak!” panggil Ain perlahan, terasa malu dengan emak mertunya. Apatah lagi Haikal buat tak tahu sahaja dengannya.  Baharu kahwin dah bertengkar.
            “Haikal! Tolonglah!”  panggil Ain, daun pintu cuba dibuka.  Terkunci rapat.  Apa hal dengan suaminya ini?
            “Haikal! Jangan buat saya macam ni!” 
            “Buat apa?  Saya buat apa kat awak?”  kata Haikal sebaik sahaja daun pintu bilik terbuka.
            “Awak buat tak tahu kat saya?  Awak tinggalkan saya kat rumah mak,” rengek Ain.
            “Awak sedar tak kesalahan awak?  Awak tak rasa bersalah pun, kan?” marah Haikal.
            “Saya tak buat salah kat awak?  Kenapa mesti rasa bersalah?”  soal Ain.  Dia memeluk tubuh.
            “Awak buat salah dengan Rose dan keluarganya! Itu salah! Faham!” jerkah Haikal, geram.
            “Hey! Perempuan tu tak ada kena mengena dengan hidup kita tau! Kalau saya buat apa pun kat dia, tak bersangkutan langsung dengan awak! awak bukan adik beradik dia, bukan saudara mara dia!  Kenapa awak nak kisah sangat! Lagipun, dia tak mati pun, hidup lagi tu!”  tempelak Ain.  Geram juga hatinya.  Tahu hendak marah dia sahaja.  Apa yang dia lakukan, langsung tidak ada kena mengena dengan suaminya itu. Ikut suka dialah.  Rose yang hitam legam itu tidak ada urusan peribadi dengan dia dan suaminya.  Titik!
            “Memang dia tak ada kena-mengena dengan kita, dengan Ain dan Haikal, tapi dia manusia, tetap ada hubungan dengan kita.  Cuba Ain bayangkan, jika hati Ain disakitkan sama seperti mana yang Ain lakukan terhadapnya?  Apa perasaan Ain?  Tak boleh ke salami perasaan orang lain?  Ain tu menantu emak, isteri Haikal, jadi tanggungjawab kami mendidik dan membetulkan yang salah! Rose kawan Ain, sahabat Haikal, apa yang Ain lakukan adalah sangat kejam, tidak bermaruah dan tidak bertamadun!” leter Hajah Mona.  Kata-kata Ain tadi memang menyakitkan telinganya. Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja akan bercakap seperti itu.  Sudah matikah hati menantunya?  Wajah cemberut Ain langsung tidak mengusik hatinya. Merajuklah selagi daya.  Bukan ingin berlaku kejam atau jadi emak mertua yang tidak mesra menantu, tetapi  tengoklah keadaan.  Kalau sudah terang lagi bersuluh, kesalahan yang dilakukan teramat kejam, takkanlah dia hendak bermanis muka dan membiarkan sahaja.
            “Saya nak awak minta maaf dengan Rose dan keluarganya! Awak mencemarkan maruah dan harga diri keluarga saya juga dengan sikap bongkak dan sombong awak tu!” sampuk Haikal panas hati.
            Minta maaf?  Uh! Jangan harap! Ain memandang wajah kedua anak beranak itu. Dia mengetap bibir. Kalau dia berlama di situ, boleh gila jadinya. Biarlah dia angkat kaki, nak jadi apa pun jadilah.  Dia berserah sahaja.  Tidak sesekali merendahkan diri.  Dia juga ada maruah dan harga diri. Peduli apa dia dengan maruah dan harga diri perempuan hitam legam itu.  Ain melangkah keluar dari rumah itu, tanpa pamitan atau sebarang kata. 
            Haikal dan Hajah Mona terkedu dan terdiam, mereka saling memandang dan melihat sahaja Ain melangkah keluar.
           

No comments:

Post a Comment