AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 17 January 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 69



Dasuki  tersenyum bahagia.  Kakinya  emaknya sudah dapat digerakkan.  Menitis air matanya.  Dia ingin  emaknya pulih daripada luka semalam.  Emaknya  perlu melawan perasaan duka yang masih berbaki. Ayannya tidak akan hidup semula, jika emaknya menangis air mata darah sekalipun.  Dia ingin melihat emaknya sembuh sepenuhnya. Dari dalam perut kereta, dia dapat melihat emaknya yang sedang duduk bersantai di hadapan kolam ikan.  Wajah emaknya ceria.  Dia tumpang bahagia sama.
            “Mak,” sapa Dasuki yang baharu sahaja pulang daripada membeli makanan kegemaran Hajah Sofiah.  Dia mendekati.  Menolak kerusi roda emaknya ke ruang makan.  Kak B sudah pun bersedia menghidangkan  minuman.
            “Lama pergi kali ni? Panjang ceritanya ya?” usik Hajah Sofiah.
            “Taklah lama sangat mak,”  jawab Dasuki. Wajah emaknya yang tersenyum dipandang seketika.  Apa pula yang ada dalam fikiran emaknya.
            “Kalau saling berkenalan pun bagus, mak bukannya memilih sangat. Asalkan boleh jaga  mak dan Suki dah cukup baik, ya tak B?”  usik Hajah Sofiah lagi.
            “Mak dah mulalah tu, makan kuih tu.  Suki terpaksa keluar awal, ada mesyuarat di  pejabat.  Mak jangan lupa makan nasi tengahari nanti.” 
            “Mak cadangkan saja. Terpulang pada Suki. Mak faham, Rose tak cantik, hitam.  Siapalah yang sudi jadikan dia isteri.”  Hajah Sofiah menjamah tepung talam yang dibeli daripada kenalan baharunya itu.  Tetap sedap dan rasanya tidak pernah berubah.
            “Mak, biarlah jodoh yang berbicara.  Kalau ada jodoh Suki, tak kisahlah siapa gandingannya.  Kalau ditakdirkan Suki membujang sampai ke tua pun, Suki terima.”
            “Jangan macam tu, rugi tau tak kahwin,”  gurau Hajah Sofiah.  Dia tersenyum.
            “Biarlah masa dan waktu menentukannya mak,” tutur Dasuki perlahan.
            Hajah Sofiah menganggukkan sahaja.  Hati anaknya sukar diduga.  Dipaksa dia tidak mahu, takut kecewa.  Dibiarkan, dia takut anaknya hidup sendirian sehingga ke tua.  Ketika dia masih hidup tidak mengapa, bagaimana jika dia sudah tiada, siapa yang hendak ambil tahu sakit demam anaknya itu.  Dia mengeluh dalam hati.  Tidak mahu menyusahkan hati Dasuki. Cukuplah pengorbanan anak tunggalnya itu.  Dia amat menghargai.
            Dasuki menjamah kuih talam yang menjadi kesukaan emaknya itu. Memang sedap dan emaknya tidak jemu menjamahnya. 
            Usai sarapan Dasuki bersiap untuk ke tempat kerja.  Dia perlu sampai awal pagi ini.  Jangan tersangkut dalam kesesakan sudahlah. 
            Dasuki memandu keluar dari kawasan perumahannya. Matanya menoleh memerhati Rose yang sedang berniaga.  Masih ramai pelanggan yang beratur dan menunggu.  Gadis itu kelihatan tekun sekali.  Dia tersenyum sendiri. Leka memandang gadis itu, dia tidak nampak kereta di hadapannya sedang menekan brek kecemasan, dan…
            “Ya ALLAH!” ucapnya panjang.  Dia mengeluh, sudahlah nak cepat pagi ini. Berlaku pelanggaran pula.  Salah dirinya juga, tidak berhati-hati memandu.  Asyik dan leka memerhati orang lain, diri sendiri terima bala.  Kereta di hadapannya sudah pun berhenti.  Pemandunya sudah pun keluar dengan muka masam mencuka.  Habislah dia kena marah di awal pagi.           Dasuki melangkah keluar. 
            “Maaf banyak-banyak cik! Saya tak perasan tadi,” pinta Dasuki. Pemandu perempuan rupanya. 
            “Kenapa tak pandu berhati-hati. Nasib baik tak ada apa-apa, kalau tak terpaksalah kita buang masa buat kerja tak berfaedah ni,”  ujar perempuan itu. Dia membuka cermin mata gelapnya. Keluhannya deras kedengaran. 
            “Saya terleka tadi, banyak sangat dalam kepala ni,”  luah Dasuki.  Bukan bohong ya, bohong sunat untuk melepaskan diri.
            “Macam mana ni?” tanya perempuan itu, matanya terus melekat ke wajah Dasuki  Diamati dengan lebih terperinci.
            “Dasuki! Dasuki Haji Omar?”  tanya perempuan itu, sambil bibirnya yang masam tadi terus terukir senyuman manis.
            “Ya saya, awak?”  tanya Dasuki, masih tidak dapat mengingati  siapa perempuan yang berdiri di hadapannya itu.
            “Dah lupa ke? Kita sama-sama belajar di UIA, Weeda Ariani! Takkan tak ingat? Rasanya baharu beberapa tahun tak jumpa kan?”  jelas Weeda memperkenalkan diri. 
            Dasuki cuba mengingati gerangan gadis itu.  Macam kenal,  tetapi dia tidak ingat di mana.
            “Weeda Arianilah, jurusan Undang-undang!”  kata Weeda sekali lagi. Memaksa lelaki itu mengingati dirinya.
            “Ya ALLAH, maaflah, memang saya tak perasan. Sekali lagi saya minta maaf sebab terlanggar awak,”  ujar Dasuki. Tidak sangka, perempuan itu adalah rakan sekuliahnya.  Sudah terlalu lama mereka tidak bertemu, usai belajar, masing-masing mencari arah tuju sendiri.
            “Ini kad saya, kalau awak nak perbaiki apa-apa kerosakan, bagi tahulah ya.”  Kad nama bertukar tangan.  Kenderaan sudah mula bertali arus dan jalan itu sudah mula sesak.  Ada yang  berhenti hendak membantu.  Tiada siapa yang cedera dan tiada sebarang kerosakan.  Mungkin dia memandu tidak laju dan keretanya  hanya tercium belakang bonet kereta teman sekuliahnya itu.
            “Ini pula kad saya, mana tahu sesekali boleh keluar minum bersama.”Weeda menghulurkan kad namanya juga. 
            “Saya terpaksa pergi dulu, ada mesyuarat hari ni, nanti saya hubungi awak ya?”  Dasuki tidak mahu berlama, bukan sombong tetapi dia ada tugas penting di pejabat.    Bukan  tidak berminat hendak berbual mesra. Tetapi tugasan yang menanti membataskan waktunya untuk beramah mesra.
            “Okey, jumpa nanti ya.”  Weeda tersenyum mesra. Hilang rasa marah, lagipun kenderaannya tidak mengalami apa-apa kerosakan.  Senyuman manis terukir, sudah lama dia mencari lelaki itu, akhirnya mereka bertemu dalam keadaan yang tidak disangka.  Semoga ada pertemuan lain lagi. Dia kembali ke keretanya dan bergerak pergi.
            Dasuki memandu laju meninggalkan kawasan itu.  Weeda Ariani? Wajah itu bermain di matanya, cuba mengingati gadis itu.  Cantik dan penuh karisma orangnya.  Berkeyakinan dan bergaya.  Mungkin sudah berumah tangga.  Tidak mungkin gadis secantik itu masih sendiri?   Dia tersenyum sendiri.  Hari ini dia terlalu banyak berfikir, tetapi berfikir tentang perempuan. Tentang emaknya, gadis penjual nasi, dan kini rakan sekuliahnya.  Ironinya… dia masih sendiri.

No comments:

Post a Comment