AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 11 January 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 66



Ain menjengah ke luar tingkap. Mana pula pergi suaminya?  Keluar sejak selepas sarapan sehingga jam 12.00 tengahari masih tidak nampak bayang. Ke rumah emak mertuanyakah?  Tidak pula dia bertanya tadi. Usai sarapan dia tidur semula.  Waktu balik kampunglah dia nak bermalas-malas. Kalau di KL, banyak kerja menanti, Pagi pergi kerja, balik rumah kena uruskan rumah tangga pula.  Haikal pula asyik nak makan masakan di rumah. Tidak mahu beli kedai.  Dia bukan pandai masa sangat.  Jawabnya, hari-harilah dia jamu lauk telur masak kicap.  Itu sahaja yang dia tahu.  Nak masak masakan lain, alamat entah apa jadinya. 
            Bunyi telefonnya membuatkan lamunannya terhenti, dia menjawab panggilan.  Tiada nama pemanggil.  Siapa pula yang sibuk menelefonnya ini, bisik hati kecilnya.  Dia terus menjawab.
            “Kau nak apa lagi?  Aku dah bagi duit kan? Takkan tak cukup! Kau jangan nak ugut aku, kau pun terlibat sama! Kau mintalah duit kat kakak kau tu, kenapa cari aku?”  jawab Ain keras.  Lelaki tak berguna, malas bekerja.  Nak hidup senang dan bergaya.  Asyik memeras ugut dia sahaja. Duit simpanannya pun semakin susut, kalaulah emaknya tahu, mati dia dikerjakan. 
            “Tak boleh! Aku takkan bagi lagi! Mana aku ada duit sebanyak itu? Kau ingat aku orang kaya? Aku makan gaji saja tau?”   Ain mendengus kasar.  Kalaulah lelaki itu ada di  hadapannya, mahu sahaja dia cekik-cekik biar mati. Menyusahkan dirinya sahaja.
            “Itu kau punya pasal! Siapa suruh kau berjoli?  Kenapa tak bekerja? Jangan malas sangatlah! Sampai bila kau hidup nak memeras ugut aku?”  Ain mendengus kasar.  Siapa suruh berjoli sampai tidak ingat. Berhabis duit yang ada, bila sudah habis, minta lagi, lagi dan  lagi. Ingat dia bank agaknya?
            “Adulah kalau kau berani?  Aku buat laporan polis nanti, kata kau ugut aku! Kau mana ada bukti mengatakan aku terlibat?  Kau memang tak bijak, nama saja belajar di luar negara, ada ijazah, tapi bodoh!” tengking Ain, geram.  Ini sudah melampau, sampai nak adukan dengan suaminya.  Ain mengetap bibir.
            “Ya, memang aku yang rancang supaya kau kenal dengan budak hitam tu, semuanya aku yang jalankan! Tapi aku dah bayar kat kaukan?  Hey jantan pemalas! RM30k tau, bukan sikit-sikit.  Tidak termasuk duit kau beli cincin dan barang-barang hantaran tu! Kau ingat aku cop duit ke?”  marah Ain.
            “Aku kata tak boleh! Tak bolehlah! Cukuplah dengan apa yang aku dah bagi! Kau memang teruklah Joe!” marah Ain.   Lelaki itu sudah melampau.  Memeras ugutnya tidak putus-putus.  Kalau macam ini, tauke balak pun  tutup syarikat.  Dia hanya makan gaji, bukan pengurus syarikat. 
            “Kau nak telefon budak hitam tu?  Telefonlah! Aku peduli apa?  Perkara dah lepas, aku dah cuci tangan!  Tak ada kena mengena dengan aku!” Ain menyengih sendiri.  Lelaki itu ingat dia takut, agaknya.  Pergi jalanlah!  Ain mendengus kasar.
            “Pergi mampuslah kau, Joe!” jerkah Ain.
            “Memang aku yang rancang! Tapi kau yang laksanakan, jadi kau pun bersalah!”  tengking Ain.  Tidak faham bahasa!
            “Rancang apa Ain?  30k untuk apa?” sergah Haikal, sejak tadi dia mendengar perbualan isterinya dengan seseorang di talian. Siapa gerangan yang empunya suara?
            “Erk… beli saham!” jawab Ain mengelabah.  Kenapa dia tidak perasan kepulangan suaminya. Ini semua gara-gara  panggilan yang tidak berguna itu, ingatkan sudah selesai masalahnya.  Eh... berani minta duit lagi!
            "Jantan mana yang telefon awak?  Duit apa yang awak bagi?  Siapa Ain? Rancangan apa yang awak aturkan? Budak hitam mana?” soal Haikal bertubi-tubi, geram pun ada.  Dadanya berombak.  Dia menggepal penumbuk. 
            “Mana ada? Awak salah dengar ni?” kata Ain mengelakkan diri. 
            Haikal mendekati. Telefon bimbit di rampas.  Dia mendail nombor yang menelefon Ain tadi.  Tiada jwapan.  Apa yang telah dilakukan oleh isterinya itu?
            “Saya belum pekak lagi Ain, baik awak bagi tahu, sebelum saya tahu dari mulut orang lain!” tengking Haikal, geram. 
            Ain terdiam, pucat lesi mukanya.  Kantoi! Macam mana Haikal boleh terdengar.  Apa yang harus dia katakan.  Tidak mungkinlah dia mengaku telah bersekongkol dengan Joe untuk mengenakan Rose, sehingga maruah gadis itu tercemar.
            “Cakap!” jerit Haikal, bertambah panas hatinya. Bertambah  geram jadinya. 
            “Ss… ss…”Tidak terucap olehnya. 
            “Awak ni manusia ke syaitan!?”
            “Awak!”  Ain mencebik.
            “Saya tak sangka, saya berkahwin dengan perempuan berhati iblis!  Rose tu kawan kita, walaupun awak tak suka dia, janganlah awak jatuhkan maruah dia!”  jerkah Haikal. Kalau ikutkan hati mahu sahaja penampar naik ke muka isterinya itu.  Menggigil kaki tangannya.  Berdegup kencang jantungnya.
            “Yang awak pertahankan sangat perempuan hitam legam tu kenapa?  Memang layak dia dimalukan macam tu!  Memang saya yang rancang musnahkan maruahnya!  Saya yang upah Joe supaya pura-pura suka kat dia?  Apa abang nak buat?  Nak marah saya?  Marahlah kalau berani?”  kata Ain terus terang.  Panas juga hatinya melihat sikap suaminya yang marahnya hanya kerana perempuan hitam itu.
            “Awak!!”  Haikal menggenggam penumbuk.  Kalaulah di hadapanya itu adalah Joe, sudah pasti penumbuk singgah di muka.  Dia mengetap bibir, wajah Ain dipandang kecil, besar, kecil, besar sahaja.  Kalau dia menunggu di situ, pasti teruk Ain dikerjakan.  Sebak dadanya.  Orang yang disayangi dan cintai sanggup dan tergamak melakukan perbuatan gila itu.  Menjatuhkan maruah oranng lain hanya kerana dendam kesumat yang tidak pernah padam.
            “Apa bising-bising ni?” Mak Limah kehairanan.  Dia baharu sahaja balik dari pasar.  Suara anak menantunya bertengkar boleh dengar sampai ke jalan. 
            “Mak tengok anak  mak ni! Dia yang merancang supaya si Rose berkahwin, dan lelaki itu tinggalkan Rose!” adu Haikal.
            “Laa… ingatkan pasal apa? Kerana budak hitam tu kau marah bini kau?”  Mak Limah meletakkan barang-barang yang dibeli di sudut pintu dapur.  Dia memandang wajah kedua-dua mereka.  Masing-masing sedang bertegang urat. 
            “Kan mak… pasal budak hitam tu aje, awak sanggup jerkah dan tengking saya!”  Ain menjeling tajam.
            “Saya tak fahamlah perangai mak dan Ain,  apa yang ada dalam kepala awak agaknya ya?  Cuba maruah awak diinjak-injak seperti itu?  Cuba maruah dan harga diri emak dimalukan seperti itu?  Tak pernah emak dan Ain fikir agaknya?  Sebab mak dan Ain hanya tahu malukan orang lain!”  kata Haikal kasar.  Ya ALLAH, manusia jenis apa yang berada di hadapannya? Kedua-dua langsung tidak berasa bersalah dengan apa yang telah mereka lakukan.
            “Apa kau cakapkan ni?  Kau nak jadi anak durhaka?”  tengking Mak Limah, berani sungguh menantunya itu.  Berani melawannya. 
            “Durhaka apanya mak?  Saya buat apa?  Saya nak nasihatkan emak dan Ain, jangan buat kerja sia-sia, mengumpat, tabur fitnah dan sekarang suka snagat jatuhkan maruah orang lain!”  Haikal mengetap bibir.  Bercakap dengan orang yang tidak ada hati ini memang susah.
            “Apa awak ni?  Emak pun awak nak marah?”  Ain kurang senang dengan tindakan suaminya itu.
            “Sebab awak dan emak awak tak pernah ditegur dan dimarahlah, jadi macam ni!” 
            “Kerana perempuan hitam legam tu, awak sanggup cakap macam tu dengan emak dan saya?”  Ain mencekak pinggang.  Dia  bertikam pandangan dengan Haikal.  Peduli apa dia, Haikal nak mengamuk, nak meroyan, ikut suka suaminya itu.
            “Awak tu cantik, putih melepak, tapi hati awak lebih hitam dari kulit Rose! Hati awak busuk!  Awak telah mencemarkan maruah saya tanpa awak sedar!”   jerkah Haikal.  Dia melangkah keluar.  Tidak mungkin dia akan terus tinggal di rumah itu.  Ain harus diajar.  Kali ini tindakan Ain keterlaluan.  Rupanya Ain terlibat dengan Joe untuk memusnahkan maruah dan harga diri keluarga Rose.  Apalah salah gadis itu sehingga begitu sekali isterinya mendendami  Rose.  Tidak mungkin dia memberitahu sahabatnya itu,  Ini melibatkan maruah dan harga dirinya juga.  Dia suami Ain.  Ya ALLAH, keluhnya dalam hati.  Hiba hatinya, rasa nak meraung sekuat hati, agar hilang rasa sebal yang sedang menjalar di hatinya. Kecewa dan hancur luluh hatinya.  Tidak disangka, begitu kejam sekali sikap Ain.  Menjatuhkan maruah dan harga diri orang lain tanpa rasa bersalah.   Panggilan dan laungan Ain langsung tidak dipedulikan. Dia terus melangkah pergi meninggalkan rumah itu.


No comments:

Post a Comment