AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 3 February 2018

-HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 70



            Weeda tersenyum panjang. Hari ini fikirannya terganggu. Pertemuan yang tidak di sangka menyuburkan kembali kisah lama.  Teman sekuliah yang sudah lama menambat hatinya.  Lelaki itu terlalu sukar didekati.  Hari-harinya sibuk belajar dan mengulang kaji pelajaran. Tidak hairanlah menjadi pelajar cemerlang waktu belajar dahulu.  Semoga ada pertemuan lagi di lain masa.  Dia mengusap perutnya yang terasa lapar.  Teringatkan teman lama sehingga lupa pada nasi lemak yang dibelinya tadi.
            Nasi lemak berlaukkan paru dibuka bungkusannya. Semerbak harum bau sambalnya.  Sejak gadis itu menjual di hadapan  taman perumahan, setiap harilah dia membelinya. Tidak pernah selang.  Memang sedap masakan gadis yang berkulit gelap, tetapi bersih dan kemas penampilannya.  Membuatkan hatinya tidak cuak membeli.  Gadis itu juga ramah bersembang dengannya.  Punya impian dan cita-cita besar.  Usia masih muda tetapi tidak malu berniaga. Berkelulusan tinggi, tidak kekok berniaga kecil-kecilan di tepi jalan begitu. 
            “Bos! Nasi lemak lauk paru lagi? Hari-hari bos makan, tak jemu ke?” tanya Zaiton.  Dia baharu sahaja ditukar ke bahagian Unit Pemasaran syarikat Milinium.  Menjadi  PA kepada Weeda Ariani  yang cantik manis. Ramah dan baik orangnya.  Biarpun sudah berumur sedikit, kalau sudah 30-an, masih sendiri, sudah berumurlah sikit, kan?  Tetapi kecantikkan seperti gadis berumur 20-an… kenapalah cantik seperti itu masih sendiri?  Aduhai… ramainya bakal andartu? Termasuklah dirinya. Uhuhu… nau’zubillah… bisik hati kecilnya.
            “Sedap sangat nasi lemak ni Ton, cuba awak rasa,” pelawa Weeda.
            Zaiton teragak-agak, tidak pernahlah dia makan makanan ketuanya.  Terlalu ramah susah juga.
            “Cubalah…” paksa Weeda.
            Zaiton menyengih dan menjamah makanan tersebut.  Macam kenal sahaja lauknya “Bos beli kat mana nasi ni?”tanya Zaiton, selama ini dia tidak pernah ambil kisah pun apa ketuanya itu beli.  Hari ini dia perasan yang ketuanya akan makan nasi bungkus di pejabat.  Sudah pasti bungkusan yang sama.
            “Kat Taman Cendana, dekat dengan rumah sayalah,” terang Weeda, kehairanan.
            “Saya duduk kat Taman Selasih, tak jauhlah dari Taman Cendana… bos beli kat gadis berkulit hitam ya?”  tanya Zaiton.
            “Ha ah, gadis yang jual tu hitam manis orangnya.  Memanglah tak lawa, tapi masakan dia sedap, dia masak ke? Atau emaknya?”
            “Laa… itu kawan saya, sahabat dan rakan serumah.  Dia yang masak bos.  Memang sedap! Kalau bos nak makan hari-hari, boleh saya bawakan saja.  Dia dulu pernah bekerja di sini. Setiausaha kontrak.  Kerana tidak cantik, dia diberhentikan,” cerita Zaiton.
            “Kawan awak? memang pandailah dia  masak! Cukup asam garamnya.  Puas hatilah orang yang membeli makanan di gerainya,” puji Weeda.   
            “Kalau macam tu, awak tolong belikan nasi lemak untuk saya setiap pagi, tak payahkan saya beratur panjang,” pinta Weeda.
            “Saya selalu tolong dia berniaga pada hari Sabtu, tak pernah jumpa bos pun?”  Zaiton berfikir seketika. 
            “Adalah, mungkin awak tak perasan saya.  Saya pula tak perasan awak,” jelas   Weeda. Memang dia tidak perasan.  Selalunya gadis itu akan menjual seorang diri. 
            “Dia diberhentikan kerana paras rupanya?” soal Weeda.
            “Ya bos! Nak buat macam mana, bukan rezeki dia bekerja di pejabat.  Saya suruh cari kerja lain pun dia tak nak. Dah seronok berniaga, katanya. Lagipun kalau makan gaji lambat kaya.  Dia nak membuktikan kepada orang lain dan dirinya, yang dia boleh berjaya kalau berusaha.”  Zaiton mengeluh, sahabatnya menjadi seorang yang tabah dan sabar sejak ditinggalkan pada hari perkahwinannya.  Membuang semua perasaan sedih yang membuku di hati.
            “Rugi, saya lambat kenal dia,” luah Weeda.  Dia suka orang bawahannya yang rajin dan bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.  Tidak melakukan kerja sambil lewa.  Itulah yang dilakukan oleh gadis itu, berniaga bersungguh-sungguh.
            “Tak apalah bos, dia pun dah bahagia sekarang,” jelas Zaiton.
            “Okeylah, bos… sambung makan. Saya nak sambung buat kerja-kerja saya pula. Nanti saya bawa bekal untuk bos, ya.”  Zaiton mengenyit mata.  Sejak dia bekerja dengan ketua baharunya itu, dia rasa seronok dan gembira sangat.  Weeda bukan seorang ketua yang berlagak atau suka memerintah sahaja.
            “Terima kasih,” ucap Weeda sebelum sambung menjamah makanan yang masih berbaki. Dia jarang keluar makan tengahari.  Lebih suka duduk di pejabat dan melakukan kerja-kerjanya. Sebagai Penasihat Undang-undang  syarikat dan  Ketua Bahagian Pemasaran, tugasnya agak sibuk.  Dua urusan dijalankan serentak.  Keterbatasan waktu menjalankan kerja-kerjanya membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk bersosial.  Maka, sehingga ke hari inilah dia bersendirian.
            Kad nama milik Dasuki diambil dan dibaca seketika.  Temannya itu mempunyai perniagaan sendiri?  Hebat! Mungkin syarikat warisan keluarga. Seingat dia Dasuki anak tunggal dan kelaurganya memang ada perniagaan sendiri.  Sudah berkeluargakah temannya itu?  Dia tersenyum lagi. Jangan berangan-angan Mat Jenin. Kalau dia sudah berkeluarga, dia tidak akan mengganggu lelaki itu. Jika belum, tidak salah mendekati. Manalah tahu ada jodoh antara mereka?  Mungkin juga Dasuki adalah jodoh yang selama ini dicari.
            Tidak sabar bertemu semula. Adakah lelaki itu tinggal di taman yang sama dengannya? Tidak pula ada alamat rumah. Hanya alamat pejabat.  Kenapa pula alamat rumah hendak diletakkan di kad nama?  Peliklah kan, lainlah perniagaan itu dilakukan di rumah.  Weeda ketawa mengenangkan kebodohan diri sendiri. Orang pandai… sesekali terbodoh juga, kutuk diri sendiri.  Nasi yang dijamah sudah ke garisan penamat.

No comments:

Post a Comment