AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 6 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 71



Weeda mengeluh, macam manalah  Zaiton boleh lupa memesan nasi lemak berlauk paru untuknya.  Niat di hati hendak terus ke tempat kerja, nampaknya terpaksakan singgah di gerai Rose, gadis berkulit hitam manis itu.  Dia berhenti di belakang sebuah kereta. Dahinya berkerut. Macam kenal sahaja kereta tersebut.  Weeda melangkah keluar.
            Pagi itu  juga Dasuki ke gerai Rose seperti biasa.  Gadis hitam manis yang disenangi oleh emaknya.  Dia kejar masa. Minggu ini terlalu banyak mesyuarat yang harus dihadiri.  Bukan tidak boleh pesan makanan yang dijual oleh Rose dan menghantarkannya ke rumah, tetapi dia kasihan, gadis itu berniaga sendiri. Hanya hujung minggu sahaja ada orang yang membantu.    Dia berbaris seperti biasa.  Walaupun dia mengenali gadis itu dan menjadi  pelanggan tetap, Rose tidak memberi keistimewaannya kepadanya.  Semuanya dilayan sama rata.  Siapa datang dahulu, ikut giliran.  Tidak boleh potong barisan.  Tidak adil, katanya.  Dasuki tersenyum sendiri. Jujur sekali gadis hitam manis itu.
            “Suki?”  sapa seorang gadis yang berdiri di belakangnya. 
            Dasuki menoleh.  Berdiri di belakangnya dengan senyuman manis yang terlakar indah, Selly, rakan sekuliahnya dahulu.  Mereka berjumpa buat kali kedua.    Dasuki membalas senyuman gadis itu.  Berkerampilan menarik, gaya seorang yang berpangkat besar.  Dia memerhati wajah yang keanak-anakkan itu. Tetap cantik seperti dahulu.  Malah semakin manis menawan. Sudah terpancar kematangan seorang wanita. 
            “Weeda?  Awak buat apa kat sini?” tanya Dasuki.
            “Nak beli tiket kapal terbang!” gurau Weeda.
            Dasuki ketawa.  Tentulah nak beli nasi lemak, takkan nak beli sayur atau tiket kapal terbang seperti yang dinyatakan oleh gadis itu tadi. 
            “Tentulah saya nak beli nasi lemak gadis hitam manis ni,”  kata Weeda, masih lagi tersenyum. 
            “Awak tinggal dekat-dekat sini ke?” tanya Dasuki.
            “Taman Cendana, rumah No.85,” jelas Weeeda.
            “Saya juga tinggal di Taman Cendana, No.48.”
            “Kita tinggal dalam satu tamanlah ya?  Tak sangka pula.”
            “Yalah… sesekali singgahlah ke rumah, saya tinggal bersama emak saya dan seorang pembantu yang tolong menjaga emak saya,”   cerita Dasuki.  Giliranya akan tiba tidak lama lagi.  Hanya tinggal beberapa orang di hadapannya.
            “Awak pun suka beli nasi lemak di sini?” tanya Weeda.
            “Mak saya yang suka sangat.  Dia tak nak makan masakan orang lain. Nak beli kat sini juga,”  jelas Dasuki.
            “Isteri awak tak memasak ke?” tanya Weeda, soalan serampang dua mata. 
            “Isteri?  Saya belum berkahwinlah.”
            Wow! Weeda tersenyum dalam hati. Masih bujang, sama sepertinya. Bolehlah cuba nasib, detik hati kecilnya.
            “Hai, sekacak ini masih sendiri?”  Weeda menggeleng, tidak percaya.
            “Nantilah, lain kali saya cerita.”  Dasuki tersenyum malu.
            “Okey, saya tunggu panggilan daripada awak.”        
            “Awak pun suka masakan Rose ni?”  soal Dasuki.
            “Sepatutnya PA saya tolong bawakan hari ni, kebetulan dia serumah dengan Rose.  Tadi dia telefon, katanya terlupa nak pesan. Itu yang saya kena beli sendiri juga hari ni.   Peminat tegar,” kata Weeda dengan muka manis manja.
            “Ooo… PA awak kawan Rose?”
            “Ha ah… kebetulan pula.  Panjang ceritanya, nanti kalau kita jumpa, saya cerita kat awak ya?”  Weeda meninjau lauk-pauk yang masih berbaki di dalam bekas empat segi itu.  Dasuki telah pun membayar harga makanan yang dipesan.          
            “Bukan main bersembang Kak Weeda dan Abang Suki?  Dah kenal lama ya?” tanya Rose, tangannya cekap membungkus makanan yang dipesan Weeda.
            “Kami dah kenal lama Rose, Abang Suki ni rakan sekuliah akak. Tak sangka jumpa semula setelah bertahun-tahun kami terpisah.” 
            “Ooo… teman tetapi mesralah ni,” usik Rose.
            “Begitulah lebih kurang.” Weeda menyengih.
            “Alhamdulillah… ada jodohlah tu,” gurau Rose.  Makanan yang dipesan, siap dibungkus.  Dia menghulurkannya kepada Dasuki dan Weeda.  Dia tersenyum, kedua-dua jejaka dan gadis itu sama cantik dan kacak.  Memang sesuailah jika mereka berjodoh.  Dia tersenyum sendiri, pandai-pandai hendak padankan orang. Dia sendiri masih sendiri.
            “Alhamdulillah…”Weeda mengenyit mata.
            “Rose, saya tak sangka, awak serumah dengan  PA saya, Zaiton.”  Weeda teruja bercerita.
            “Ya ke kak?  Kecilnya dunia.”  Rose  pantas membersihkan mejanya setelah habis orang membeli. Tunggu pelanggan yang lain pula.
            “Esok, Rose kirim nasi lemak kegemaran akak dengan Ton ya? Tak payah akak singgah beli,”  pinta Weeda.
            “Boleh kak… nanti saya bungkuskan untuk akak,”  akur Rose.
            “Kalau begitu, saya minta diri dululah Weeda, Rose,” ucap Dasuki sebelum berlalu pergi dengan keretanya.
            “Akak kawan lama Abang Suki ya?” tanya Rose ramah, kebetulan tiada pelanggan.
            “Ya, Rose,” jawab Weeda.
            “Baguslah kak… boleh sambung hubungan  lama.” 
            “Hish… kami kawan biasa sajalah Rose,” ujar Weeda, memang benar, tiada hubungan cinta antara mereka.
            “Takkanlah kut?” Rose tidak percaya.
            “Ya… kalau masih belajar, biarlah digunakan untuk belajar saja.  Bercinta, berkawan… rasanya tidak sesuai lagi kut?  Takut nanti, bila putus cinta terus patah semangaat nak belajar?  Kan haru jadinya? Kasihan emak ayah yang mengharapkan agar kita berjaya dan jadi orang berguna.  Cinta boleh dicari seusai tamat belajar. Atau mungkin, berkawan biasa dahulu, dah ada pekerjaan yang sesuai, sambunglah balik kisah lama, tak gitu?  Rose  pernah masuk pusat pengajian tinggi, tentu tahukan?” cerita Weeda panjang lebar.
            Rose tersenyum, itulah yang berlaku dikebanyakan pusat pengajian tinggi.  Lelaki dan perempuan pantang berjumpa, kalau masih sendiri, pasti hati terbuka untuk saling mengenali.  Dia tidaklah melaluinya kerana siapalah yang nak dengannya.
            “Saya tak pernah alami Kak Weeda, tengoklah fizikal saya, tak ada siapa yang sudi,”  kata Rose merendah diri.
            “Biasalah  Rose, pastilah kawan-kawan lelaki akan cari yang cantik-cantik saja,” ujar Weeda. Kecantikan pilihan utama.  Dia juga cantik, tetapi tidak ada juga yang berani mendekati.  Nasibnya sama sahaja dengan Rose.  Mana bezanya? Rose masih muda tetapi dia sudah menjangkau 30-an… tidak sedihkah?
            “Bukan semua orang yang cantik itu bertuah, tengok akak ni? Cantikkan?  Tapi, masih sendiri,” luah Weeda. Bukan tidak ada yang mengetuk pintu hatinya, ada.  Namun, hatinya yang terlalu mencintai kerjaya, sehingga dia menolak jodoh yang datang.  Akhirnya tinggallah dia bersendirian.
            “Belum sampai masanya lagi kak. Sabarlah,” nasihat  Rose.
            “Akak pun sama dengan Rose, jangan dinilai cantik dan buruknya saja.  Jodoh itu ketentuan ILAHI, entah-entah Rose sampai jodoh dulu daripada akak.”
            “Mana ada orang nak saya kak?  Tak apalah, jodoh saya biar ditentukan ALLAH SWT.  Jika tak ada pun, saya tak kesal atau kecewa,”  ucap Rose dengan mata bercahaya.Jujur dan ikhlas dia menuturkannya. Kenapa dipaksa diri mencari dan memaksa orang menyukai dirinya. Biarlah dia senang begini.
            “Kalau tak ada, kita hidup berdua sajalah Rose, kau jadi tukang masak akak, akak jaga kau baik-baik, Ton dah jadi PA akak… tentu meriah hidup kita, kan?”  usik Weeda.
            Rose berfikir sejenak. Dia ketawa. Tinggi angan-angan  gadis cantik manis dan baik hati itu.  Biarpun cantik orangnya tetapi tidak sombong macam Ain.  Dia mendengus kasar.
            Weeda mengenyitkan mata.  Dia melangkah pergi. Semoga ada jodoh dia dan jodoh gadis berkulit hitam manis itu.

No comments:

Post a Comment