AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 9 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 72



Mendidih hati Joe.  Duit yang diharapkan tidak ada.  Kepada siapa dia  nak meminta. Kakaknya? Mampus dia kena  leter nanti.   Tentu kakaknya tidak dapat menerima apa yang berlaku.  Tidak guna punya Ain, janji nak beri dia duit yang diminta, tetapi habuk pun tidak ada.  30k, berapa sangatlah, sekejap sahaja habis dibelanjakan.  Bukan dia tidak suka bekerja, tetapi semuanya tidak sesuai dengan dirinya.  Memanglah dia ada kelulusan tetapi kelulusannya tidak berapa bagus. Tiada siapa yang mahu mengambilnya bekerja. 
            Dia perlu berjumpa Ain. Sudah berhari-hari dia pulang ke Malaysia. Gara-gara duit tidak ada, terpaksalah balik. Duduk di negara orang tanpa duit ada di poket, memang cari nahaslah.   Dia menunggu Ain di pagar masuk ke pejabat perempuan  itu.  Hatinya gelisah, jiwanya tidak tenteram. Janganlah dia bertembung dengan kakaknya dan Rose.  Sudah dua malam dia menyewa di hotel murah itu.  Terpaksalah.  Duit yang ada hanya cukup untuk sebulan dua.  Kalau Ain tidak mahu juga bagi duit padanya, dia akan buat perhitungan dengan perempuan itu.  Dia akan akan ceritakan semua yang berlaku kepada Rose.  Biar perempuan itu tahu, siapa dirinya. Jangan main-main dengan Joe.  Dia tidak akan mudah mengalah.
            Joe memandang kiri dan kanan.  Dahinya berkerut terkena panahan matahari yang terik memancar.  Badannya sudah berpeluh.  Dia ke pejabat Ain menggunakan pengangkutan awam.  Keretanya telah ditarik oleh pihak bank kerana tidak berbayar.  Joe mengeluh perlahan.  Matanya memandang kereta keluar dan masuk. Bayang perempuan itu masih tidak kelihatan. Telefon pula tidak berjawab.  Sudah tukar nomborkah? Detik hati kecilnya. Dia gelisah. Nampak benar perempuan itu mahu melarikan diri daripadanya. Dia tidak mungkin membiarka perkara itu berlaku.
            Joe tersenyum sumbing.  Ke mana kau nak lari, perempuan! Katanya dalam hati. Dia melangkah laju mendekati Ain yang melangkah laju juga menuju ke keretanya.
            “Ain! Ain!” laung Joe, tangan Ain ditariknya. 
            “Joe?”  Aina terkejut. Dia memandang kiri dan kanan, takut terlihat oleh sesiapa.  Dia mendengus kasar.
            “Kau nak lari mana?” soal Joe geram.
            “Kau datang sini kenapa?  Kalau suami aku tengok dan nampak kau macam mana?”  mata Ain meliar.
            “Biarlah! Kalau kau tak bayar kat aku, aku tak teragak-agak bocorkan kerja kotot kau!” ugut Joe sambil menyengih sumbing.
            “Adulah… laki aku dah tahu pun!”  Ain menyengih pula.  Dia sedikit pun tidak hairan. 
            “Tapi Rose belum tahu, kan?”  kata Joe, senyumannya semakin melebar.
            “Kau jangan main-main dengan aku Joe!” tengking Ain.
            “Kalau kau tak nak aku main-main. Kau bayarlah! Aku dah sengkek ni!” tutur  Joe kasar.  Mindanya ligat berputar.  Kalau Ain masih berdegil lagi, dia perlu bertindak. Peduli apa dia jika perempuan itu hendak mengamuk.
            “Tak! Aku takkan bayar!”  Ain mengetap bibir. Kali ini dia tidak akan tunduk dengan ugutan Joe.  Selagi dia mengikut, selagi itulah Joe akan mempergunakannya untuk kepentingan diri sendiri.  Kenapalah dia menggunakan khidmat lelaki itu, sekarang dia yang susah.
            “Baik! Aku akan cari Rose, kau tahulah nasib kau nanti!”  Joe mengepal penumbut, perempuan itu memang berani.  Dia tidak akan membiarkan dirinya dipermainkan.  Dia turut sahaja kehendak perempuan itu kerana duit.  Kalaulah dia tidak mengikut cakap Ain tentu kehidupannya jauh  lebih baik.  Sekurang-kurangnya dia ada isteri dan kakak untuk dia menumpang.  Tidak lawa pun tak apa, yang penting pandai cari duit. 
            “Kau memang manusia tak guna Joe!” jerkah Ain  geram.  Kalaulah Rose tahu semua yang berlaku adalah angkaranya pasti gadis itu akan mengamuk dengnnya. Apa yang harus dia lakukan?  Langkah Joe diperhatikan dengan mata menyinga.
            “Joe!” Laungnya kuat.
            Joe berhenti menapak dan menoleh.  Dia memandang sahaja wajah Ain yang  merenungnya bagaikan singa lapar.
            “Berapa?”  Dalam keterpaksaan  dia melayan juga permintaan Joe.  Sakit benar hatinya.  Lelaki itu memang tidak guna! Marahnya berombak-ombak di hati.
            Joe menyengih.  Dia mengangkat kening.  Tahu takut, bisik hati kecilnya. Dia kembali  mendekati  Ain.  Wajah cantik tetapi masam mencuka itu dipandang seketika. Kalau dari awal dia goda perempuan itu, senang hidupnya sekarang.  Kenapalah dia membiarkan Haikal yang berkawan dengan Ain sewaktu mereka di universiti dahulu. Menyesal tak sudahlah jawabnya.
            “Aku nak 30k juga, sama seperti hari tu, lepas tu aku tak ganggu kau lagi!” cakap Joe.
            “Cakap kau mana boleh pakai!  Okey, aku turutkan. Tapi kau kena ingat, kalau kau ganggu aku lagi.  Aku buat laporan polis!”
            “Buatlah kalau berani?”   Joe mengetap bibir.  Beranilah buat laporan polis, silap hari bulan diri sendiri yang kena hukuman.   Joe memandang tajam.
            “Kejap lagi aku masukkan dalam akaun kau!”    Ain melangkah laju masuk ke dalam perut keretanya. Stering kereta menjadi mangsa tumbukannya, melepaskan geram di hati.  30k?  bukan sikit  harganya.  Hampir 100k dia berhabis kerana nak mempermainkan perempuan hitam legam itu.
            Joe berlalu meninggalkan Ain sendirian.  Lega hatinya.  Dapatlah dia meneruskan hidup untuk beberapa bulan.  Kau takkan lepas daripada aku, Ain. Semakin melebar senyuman Joe.
            “Tak guna! Tak guna!” jeritnya dalam kereta.  Habis duit simpanannya begitu sahaja. Kenapalah dia bodoh sangat!  Ain memejam matanya seketika, menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.  Sakit jiwanya memikirkan hal tersebut.  Entah-entah, esok lusa setelah duit sudah habis. Joe akan mengugutnya lagi.  Takkanlah dia nak membiarkan dirinya dipergunakan oleh lelaki pemalas itu? Harap muka sahaja kacak, tetapi kerja tidak mahu. Kenapalah dia mempercayai Joe untuk terlibat dalam konspirasinya.   Salahnya sendiri juga.  Menyesal kemudian sudah tidak berguna.   Dia memandu terus ke bank yang berdekatan.   Selesaikan dahulu urusannya dan Joe. Dia tidak mahu Joe menyusahkan dirinya lagi.  Jauh di sudut hatinya, dia tahu Joe tidak akan berhenti setakat itu sahaja.

No comments:

Post a Comment