AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 11 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 73



Haikal duduk di anjung rumah sambil termenung jauh.  Mengenangkan isteri dan nasib rumah tangganya.  Sudah berbulan-bulan dia tidak bercakap dengan isterinya. Hubungan mereka benar-benar hambar. Haikal tidak boleh terima sikap Ain begitu.  Dendam yang bersarang di dada membuatkan dia menjadi manusia yang tidak berperasaan.  Sanggup lakukan apa sahaja.   Bersekongkol pula dengan Joe, lelaki yang disangka baik, rupanya sama iblis seperti isterinya.  Kasihan Rose yang tidak berdosa itu.  Keluarganya bertambah-tambahlah lagi. Setiap kali ada majlis perkahwinan, kisah Rose yang tidak jadi berkahwin menjadi bualan hangat di meja bulat. Emaknyalah yang banyak mengadu, meluahkan apa yang dirasa.  Dia pula hanya mampu mengeluh.
            Sebagai suami dia berhak menegur dan menasihati Ain yang sudah tersasar jauh.  Di rumah itu mereka hanya bagaikan rakan serumah, tidak lagi sebilik.  Rasa sakit hati membuatkan dia tidak sanggup memandang wajah yang pernah berhuni di hatinya.  Berdosakah dia?  Mereka bercakap ketika perlu, tiada lagi gurau senda atau kemesraan seperti dahulu.  Dia cuba berlagak biasa, tetapi tidak mampu.  Orang yang dihancurkan hati dan perasaan itu dia kenal baik, mana mungkin dia berdiam diri atau buat tidak tahu.  Itu tidak adil namanya  Membiarkan isterinya melakukan kejahatan tanpa mengambil tindakan apa-apa. 
            Dia menunggu dengan sabar kepulangan Ain, kenapa pula hari ini isterinya pulang lewat? Selalunya jam 6.00 petang sudah sampai di rumah. Hampir senja, bayang isterinya masih tidak kelihatan.  Dia gelisah, walaupun marah, dia tidaklah sampai membiarkan Ain berbuat apa sahaja.  Kalau rasa langkahnya sumbang, dia tetap akan tegur.   Haikal mengeluh berat.  Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Bersiap untuk solat maghrib. 
            Bunyi kereta masuk ke tempat meletak kenderaan membuatkan dia menyelak daun langsir.  Isterinya baharu pulang.  Wajah yang mencuka itu dipandang seketika.  Haikal menggeleng kesal.  Wajah yang tidak pernah manis dan tersenyum sejak akhir-akhir ini.  Haikal menyambung langkahnya semula.  Perutnya juga sudah berbunyi, sudahlah dapat isteri yang malas memasak.  Nasib kaulah Haikal, bisik hatinya sendiri.
            Haikal membersihkan diri, bersiap untuk solat maghrib.  Usai solat dan berdoa dia melangkah ke ruang tamu, sunyi.  Dia membuka televisyen dan melabuhkan punggung di sofa. Matanya memandang ke arah bilik yang satu lagi.  Dia mengeluh lagi.  Penatlah asyik  mengeluh sahaja.
            Bunyi pintu dibuka membuatkan dia menoleh. Sekujur tubuh yang sudah berpakaian tidur mendekatinya.  Awalnya nak masuk tidur.  Perutnya yang lapar masih tidak berisi.  Dia memandang ke arah televisyen semula.  Wajah Ain langsung tidak dipandangnya.
            “Sampai bila awak nak lancarkan perang dingin ni? Awak dah lupa tanggungjawab awak sebagai seorang suami ya?”  tempelak Ain, geram juga hatinya. Suaminya buat dia bagaikan tunggul, bercakap tidak, apa pun tidak.  Menyusahkan betul! Omelnya dalam hati.
            “Sampai awak pergi berjumpa dengan keluarga Rose dan memohon maaf atas kerja terkutuk awak tu, bersihkan nama keluarga Rose, suruh saja emak awak sampaikan.  Jika tidak sampai bila-bila pun kita akan macam ni,”  jawab Haikal tenang namun masih tegas.
            “Awak! takkan saya nak jatuhkan maruah saya?  Biarkanlah. Lama-lama nanti senyaplah!”  Ain menolak. Buat apa dia menyusahkan dirinya.   Mulut orang nak bercakap, selama mana? Kalau sudah penat, mereka berhentilah.
            “Tapi dosa awak terhadap mereka masih tak hilang, Ain,” tutur Haikal.  Kesedihan menapak di hati. 
            “Dosa saya, biar saya tanggung sendiri!”  kata Aina geram.  Kenapalah suaminya suka sangat menyakitkan hatinya. Perkara sudah berlaku, sudah lepas, biarlah lepas.  Kenapa nak ingat semula?
            “Sedap mulut awak bercakap.  Awak tu tanggungan saya.  Awak buat salah, saya tanggung sama, takkan itu pun tak tahu?  Sekolah sampai ke luar negara, pelajaran agama awak tak belajar ke?” Marah Haikal. Tidak tahukah isterinya. Dia yang menanggung semua dosa yang dilakukan oleh isterinya.  Ain menganiaya orang lain, tentulah dia marah.
            “Kenapa awak susah hati  sangat pasal si hitam tu?  Tak boleh ke awak lupakan saja? Hidup kita ni nak jadi apa,  Haikal?  Awak buat saya macam orang tak ada perasaan! Awak tak layan saya, awak tak tegur saya, sampai bila kita nak begini?  Kalau dah tak suka, pulangkan saja kepada emak saya.”  Ain tidak mampu bersabar lagi.  Perkara yang berlaku telah membuatkan hubungannya dengan Haikal, hambar.
            “Sebab dia kawan  sekolah kita, jiran sekampung dan saya sahabat dia.  Kenapa awak tak faham-faham juga?”  Haikal mengeluh keras.  Apakah Ain tidak faham akan hubungan sesama manusia?  Perbuatannya telah memalukan keluarga itu. 
            “Kawan awak, tapi bukan kawan saya!” Katanya tegas dengan muka merah padam.
            “Kawan saya, kawan awak juga, kawan awak… kawan saya juga,”  kata Haikal mengingatkannya.  Apa salahnya berbaik sesama manusia, lagipun mereka saling mengenali. 
            “Bukan kawan saya! Saya tak ada kawan seburuk itu!” ujar Ain tegas.
            “Jangan sombong sangat. Allah itu Maha Mendengar. Kalau awak jadi sepertinya bagaimana?  Mana tahu lebih teruk lagi, jangan pandang orang hanya dengan sebelah mata. Sesekali buka luas-luas, siapa yang buruk sebenarnya?” nasihat Haikal.
            “Kalau saya,  semuanya tak kena, kalau si hitam tu, nampak baik semuanya,”  sindir Ain. Wajahnya tetap masam mencuka. Hatinya bertambah sakit dengan sikap anak sulongnya itu.
            “Sikap awak yang buat saya jadi seperti ini! Kenapa susah sangat awak nak jadi manusia?  Bersihkan jiwa awak tu dengan ayat-ayat al-Quran dan jangan sesekali tinggalkan zikir,” nasihat Haikal lagi sekali.
            “Itu untuk orang tua saja, kita masih muda…”  Ain mencebik. Nak nasihatkan orang,  diri sendiri pun tak betul.
            “Awak ingat, mati tunggu tua saja ke?  Kecil dan muda tak mati?” Soal Haikal.  Susah bercakap dengan orang yang tidak reti bahasa ini.  Kalau tidak ditegur, semakin menjadi-jadi perangai.  Bila ditegur dia pula ditempelak.
            “Kenapa dengan awak ni?  Kalau saya tahu perangai awak macam ni, saya takkan kahwinlah dengan awak!”
            “Awak ingat saya suka dengan sikap awak?  Sikap mak awak?  Kalau saya juga tahu perangai awak macam ni, saya pun tak sudi ambil awak jadi isteri tau!  Biarlah saya kahwin dengan si Rose tu, biarpun hitam, tetapi hatinya bersih, suci!”
            “Hah! Pergilah kahwin dengan perempuan hitam tu! Biar anak awak nanti macam tahi cicak, berbelang-belang!”  
            “Berbelang pun tak apa, asalkan tidak ada hati busuk macam awak dan mak awak tu!”  Haikal mengetap bibir.  Isteri jenis apakah ini, sanggup melawan suami?  Tidak ada rasa hormat langsung.  Ya Allah, Kau berilah aku kekuatan, doa Haikal.  Dugaan sungguh, baharu sahaja berumah tangga, keadaan sudah kucar-kacir, nampak sangat dia tidak cukup matang menangani masalah yang mendatang.  Keluhan dilepaskan, terasa beban menghimpit kepalanya.
            “Hey, ada saya hairan?” Semakin sakit hati Ain. Perempuan itu sahaja yang bagus di hati suaminya. Apakah dia tidak berguna langsung? 
            “Memanglah awak tak hairan, tunggulah jiran di kampung kutuk awak sebab saya kahwin dengan Rose,”  sindir Haikal, dia tersenyum sumbing. Perempuan seperti Ain harus diajar akan adab dan akhlak.  Harapkan sekolah sahaja tinggi, tetapi akal cetek.
            “Awak nak malukan saya dan keluarga saya ya?”  Ain memandang tajam ke  arah Haikal yang tersenyum sinis kepadanya. 
            “Awak malukan orang lain tak apa? Kalau awak, tak boleh dimalukan?  Hukum apa awak pakai ni?” sinis.
            “Ikut suka hati sayalah! Bukan saya malukan awak!”
            “Hey, cuba fikir dalam sikit.  Perbuatan awak tu memalukan saya, sebab saya suami awak! Apa saja yang awak lakukan, nama saya terpalit sama, tau tak?”  tengking Haikal. Ingatkan pandai, rupanya kurang cerdik.
            “Ikut suka hati sayalah!”
            “Okey, ikut suka hati awak ya?  Mulai hari ini, saya dan awak tak ada apa-apa hubungan lagi! Awak boleh berambus  dari sini! Ini rumah saya!” Halau Haikal. Dia tidak boleh menahan sabar lagi.  Ain sudah keterlaluan.
            “Hoi!  Awak ingat senang awak nak lafazkan cerai terhadap saya?  Negara ini ada undang-undang tau! Nak cerai?  Kita pergi ke mahkamah!” kata Ain tanpa rasa bersalah. Ingat boleh lafaz macam itu sahaja.   Mahkamah syariah tidak akan benarkan penceraian berlaku di luar mahkamah, silap haribulan kena denda nanti.
            “Keputusan saya muktamad! Awak boleh keluar dari sini!” Halau Haikal sekali lagi.  Tidak tahan dia dengan sikap Ain yang langsung tidak menghormatinya sebagai seorang suami.  Haknya terus dinafikan. Apa gunanya dia menjadi ketua keluarga dan pembimbing jika yang dibimbing langsung tidak mahu mendengar.
            “Saya pun tak sudi duduk di rumah ini!” Jawab Ain tidak mahu kalah.  Dia segera masuk ke dalam biliknya.  Keluar sepuluh minit kemudian.  Dia memandang wajah Haikal yang masih menonton televisyen.  Lelaki itu mencabar egonya.  Dia menggeleng kesal.  Berakhirkah sudah rumah tangganya.  Sudah benar-benar hilangkan rasa cinta dan kasih sayang mereka selama ini sehingga ke jinjang pelamin.  Dalam hati tetap terasa sebak.  Ain melangkah keluar tanp berpamitan.  Untuk apa?  Haikal yang menghalaunya.  Hujan yang turun di kala malam hari  bagaikan turut menangisi kesedihan di hati yang tidak dipaparkan di wajahnya. 
            Haikal membiarkan sahaja Ain berlalu pergi.  Dia rasa tercabar dengan apa yang berlaku.  Kehormatan dirinya diinjak-injak oleh isteri sendiri, mana mungkin dia membiarkan dirinya menjadi dayus.  Dia lelaki, dia perlu mempertahankan maruah dirinya.

No comments:

Post a Comment