AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 12 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 74



Haikal menunduk memandang lantai bila dirinya dimarahi emaknya sendiri.  Tidak sanggup bertentang mata dengan perempuan yang telah melahirkannya ke dunia ini.  Wajah Rose dan keluarganya juga tidak sanggup dipandangnya.  Dia  benar-benar malu.   Rasa nak jadi penyu atau kura-kura, menyorokkan kepala di dalam cengkerang, biar orang tidak nampak.  
            “Apa dah Haikal buat ni?” soal Hajah Mona dengan muka cemberut.  Pening kepala memikirkan masalah rumah tangga anaknya. Baharu sahaja beberapa bulan bernikah sudah macaam-macam masalah yang timbul.  Anak-anak zaman sekarang, selesaikan masalah dengan mengikut hawa nafsu, tidak mahu berbincang baik-baik. Kalau tidak sefahaman, keputusan terus diambil.
            “Apa lagi yang boleh Haikal buat mak?  Ain dah melampau, langsung tak hormatkan Haikal sebagai seorang suami. Ikut hatinya sahaja.  Nasihat Haikal dibuat main-main. Tak satu pun simpan dalam kepala atau ambil serius,” adu Haikal. Itulah yang berlaku antaranya dan  Ain. Kedegilan dan keegoan isterinya itu terlalu mencabar kewibawaannya sebagai suami.
            “Kalau ya pun taklah sampai lafazkan cerai?”  sampuk Hanum. Dia mengeluh kesal.
            “Maafkan saya Mak Hanum, Pak Seman dan Rose, rupanya Ain yang merancang agar Joe mendekati awak dan meminang awak.  Tapi dia tak hadir di hari perkahwinan,” cerita Haikal tidak mahu menyembunyikan lagi keburukan isterinya.
            “Kami dah tahu, Mak Mona dah ceritakan.”  Rose sendiri simpati dengan apa yang berlaku. Memanglah dia sakit hati, geram dan marah tetapi tidaklah sampai sanggup melihat rumah tangga sahabatnya itu runtuh.
            “Maafkan saya ya Rose!”  Haikal sesal.
            “Bukan salah awak pun.”  Rose melakarkan senyuman. Wajah sahabat yang disayangi bagaikan keluarga sendiri itu dipandang dengan penuh sayu. 
            “Tak lama lagi sampailah mak mertua kau datang serang rumah ni.  Penat tau Haikal, layan kerenah dan mulut mak mertua kau.  Sikit-sikit datang mengadu, cerita pasal kau dan Ain.  Lepas tu jaja satu kampung. Kalau jual kuih dapat juga duitnya, ini jaja air liur, apa pun tak dapat, dosa saja yang mendatang,” adu Hajah Mona tetang besannya yang memang sedia maklum, sentiasa menyibukkan diri dengan urusan orang lain. 
            “Ya Haikal, Mak Hanum tak salahkan Haikal.  Kalau ikut marah, memanglah marah.  Maruah kami dipijak-pijak.  Rose dimalukan sampai ke hari ni, tapi buat apa kami melawan balik?  Jika itu kami lakukan, apa beza kami dengan Mak Limah? Jadi… kami ambil keputusan, biarkanlah saja perkara itu berlalu. Lama-lama nanti senyaplah.”  Bukan tidak terasa hati, bukan tidak sakit hati. Kalau ikutkan rasa marahnya mahu saja dia amuk Ain dan emaknya itu, tetapi apa yang dia dapat?  Asyik bertegang urat, sampai bila pun tak aman.  Sudahlah duduk satu kampung, sesekali tersandung bahu, sanggupkah bermasam muka sentiasa?
            “Pak Seman pun macam tu, mungkin ada hikmahnya, taklah Pak Seman menghabiskan masa melepak di warung hujung kampung ni,” kata Pak Seman sambil ketawa. Kalaulah tidak berlaku kejadian anak dan keluarganya dimalukan, sudah pasti sehingga ke hari ini dia melepak di warung kopi bersama kawan-kawannya. Membuang masa, berbual kosong.  Sesekali tidak mengapa, sekadar bertanya khabar tetapi kalau sudah setiap hari, cerita apa yang akan keluar selain cerita mengenai orang lain.  Mengumpat dan mengadu domba, ingat perempuan sahajakah yang sering mengumpat? Lelaki pun sama sahaja.  Tiada beza.  Selagi ada mulut, selagi itulah bercakap.
            “Haikal… saya tahu awak sayangkan Ain, jangan kerana saya awak robohkan masjid yang telah awak bina? Tak baiklah.  Saya tidak mahu dituduh sebagai penyebab rumah tangga awak runtuh. Cukuplah saya saja yang kecewa.  Saya tak nak tengok awak juga begitu, pujuklah Ain kembali dan bahagiakanlah rumah tangga awak.  Jadilah seorang lelaki yang bertanggungjawab,”  nasihat Rose. Bukan cakap kosong atau sengaja hendak menunjuk.   Kata-kata itu lahir daripada hatinya. 
            “Senang-senang kita kahwin sajalah Rose!”  kata Haikal pantas.
            “Hah?” Semua yang ada di situ terkejut.
            “Apa?  Awak dah hilang akal ya? Saya kahwin dengan awak? untuk apa? Untuk sakitkan hati Ain dan puaskan hati awak?  awak selami tak perasaan saya?   Apa yang saya rasa? Awak nak malukan saya sekali lagi? Apa kata penduduk kampung nanti?” soal Rose bertubi-tubi. Macam bertih jagung baharu lepas masak, meletup-letup keluarnya.
            “Soal nikah kahwin bukan perkara main-main Haikal.  Hari ini suka, kahwin. Esok tak suka, cerai. Mudahnya.  Perkahwinan satu tuntutan dan termasuk dalam  ibadah.  Mak tak suka Haikal buat macam ni?  Mana tanggungjawab Haikal?” Marah Hajah Mona.  Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia mengetuk kepala anak lelakinya, biar waras semula.  Macam orang bingung sahaja bercakap. 
            “Habis tu Haikal nak buat apa?  Berbalik dengan Ain?  Tak mungkin… dia dah sakitkan hati Haikal. Jiwa Haikal dah tak mampu menerimanya,” luah Haikal tentang perasaannya ketika itu.
            “Seeloknya Haikal bertenang dulu, pergi bercuti ke? Berjalanlah ke mana saja.  Fikirkan semasak-masaknya sebelum buat keputusan.  Pak Seman takut Haikal menyesal.  Kita lelaki, Haikal.  Kita harus bertanggungjawab sepenuhnya dengan rumah tangga kita.  Bukan hanya tahu bercakap tentang tanggungjawab tetapi tidak sempurnakan sepenuhnya,” nasihat Pak Seman pula. 
            “Ya Haikal… Mak Hanum pun tak sanggup tengok Haikal macam ni.  Kami tak apa-apa, dah lali telinga kami mendengar lagu yang sama dimainkan oleh penduduk kampung tentang keluarga kami. Biarlah mereka nak menyanyi, dah letih pasti berhenti.  Haikal berbaik-baiklah dengan Ain semula. Kembalikan  kebahagiaan rumah tangga Haikal. Kami tumpang gembira, kalau Haikal bahagia.  Haikal dah seperti anak kami sendiri. Jadi macam ni, kami pun turut berasa susah hati,” ujar Hanum.  Wajah sugul Hajah Mona menjentik hatinya.  Sudahlah anak seorang, itulah  racun, itulah madu. 
            Rose  merenung wajah sahabatnya dengan mata berkaca.  Simpati yang menjalar semakin menebal.  Lelaki itu terlalu istimewa di hatinya.  Tidak mungkin dia merampas kebahagian orang lain dan hidup bahagia di atas kekecewaan orang lain. Biarlah hubunganya dengan Haikal sekadar menjadi sahabat sahaja, tidak lebih daripada itu.  Siapalah dirinya?  Mampukah dia membahagiakan Haikal, sedangkan tiada cinta antara mereka. Jika ada pun hanya secubit rasa sayang yang tumbuh subur sejak dahulu lagi. Hatinya risau ketika dipanggil pulang ke kampung dan bertemu dengan Hajah Mona.  Rupanya ada perkara yang berlaku.  Sejak Haikal berkahwin dengan Ain, dia tidak lagi mengganggu lelaki itu, melainkan jika pulang ke kampung  sahabatnya turut berada di kampung, baharulah mereka bertemu.
            “Berilah Haikal masa mak. Buat masa ini hati Haikal masih tidak boleh menerima keadaan ini.  Biarpun Pak Seman sekeluarga sudah memaafkan Ain, tetapi Haikal belum dapat menerimanya.  Ain masih perlu meminta maaf dengan  Pak Seman sekeluarga dan membersihkan nama Rose,” ujar Haikal. Wajahnya masih kelat.  Dahinya masih berkerut.  Terlalu berserabut hatinya. Terlalu banyak perkara bermain di benaknya. 
            “Baiklah, mak bagi tempuh pada Haikal.  Pergilah berehat ke mana-mana, tenangkan fikiran. Berfikir dan bertindaklah secara matang. Bila balik dari bercuti, mak nak masalah Haikal dan Ain boleh selesai dengan baik, faham!”  Hajah Mona menepuk belakang Haikal. Hiba hatinya.  Nasib anaknya jadi seperti ini buat hatinya hancur.  Sebagai seorang ibu dia ingin melihat anaknya hidup bahagia.  Bukan jadi seperti ini.  Dia mengeluh kesal.
            Haikal tidak berkata apa-apa. Ini melibatkan soal hati. Apa yang berlaku benar-benar menguji dirinya. Biarpun keluarga Rose telah memaafkan  isterinya tetapi dia tetap malu kerana tidak pandai memilih isteri.  Tidak pandai mendidik isteri agar menjadi seorang isteri yang solehah dan beriman.  Dia bukan Nabi Muhamad saw dan jangan harapkan isterinya boleh jadi Syaidatina Khadijah.  Tetapi dia boleh mencuba mendidik isterinya menjadi muslimah sejati, kan?  Haikal mengeluh sendiri, kesal yang bertandang tidak mahu pergi.  Biarlah bertahta seketika sehingga hatinya tenang.

No comments:

Post a Comment