AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 14 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 75



Rose ketawa kuat, terasa hendak berguling-guling Waktu di rumah Hajah Mona dia tidak mampu berbuat demikian, masih menjaga adab sopan sebagai seorang perempuan, apatah lagi berhadapan dengan orang tuanya.  Tidak pasal-pasal kena tegur nanti.  Nasib baik dia tahu menjaga batas-batas lelaki dan  perempuan, jika tidak sudah disekeh kepala lelaki yang bermula sebal di hadapannya. Minum pun macam orang sudah putus cinta.  Menongkat dagu macam orang tidak ada masa depan.  Apalah nak jadi agaknya.
            “Ketawalah, ketawa!”  kata Haikal sebal. Orang sedang susah hati, dia sedap-sedap ketawa terbahak-bahak.  Haikal  mencebik. 
            “Mana  saya tak ketawa, tiba-tiba ajak saya kahwin, tak kelakar ke? Awak ingat pergi ajak keluar makan ke apa?”  Semakin kuat gelaknya.
            “Dahlah! Malu saya tau, orang semua tengok awak ketawa.  Dah macam langsuir pun ada juga,” bentak Haikal geram. 
            “Itulah, lain kali jangan buat lawak yang tak lawak tu.  Ada ajak kahwin, memang sengallah awak ni.” Rose menarik nafas panjang, menahan rasa geli hatinya.  Wajah monyok Haikal dipandang seketika, sudah seperti mati bini pula. 
            “Hoi! Awak tu lelaki, tegas dan tegaplah sikit, ini lembik saja,” sindir Rose geram.  Tidak ada semangat langsung.
            “Saya susah hati, awak pula bebelkan saya. Kut-kutlah nak gembirakan saya.” 
            “Sebab nak gembirakan awaklah, saya temankan awak keluar. Kalau ikutkan hati, saya dah nak balik KL, banyak kerja  sedang menunggu saya tau.”  Rose melihat jam di tangan.  Lauk-pauk untuk berniaga esok masih belum di masak.  Kuih-muih untuk dijual esok  juga masih belum dibuat apa-apa. Kalau dia lambat balik, alamat tak berniagalah dia esoknya.  Nanti apa pula kata pelanggannya terutama Hajah Sofia.  Tidak pasal-pasal dia jadi operator telefon, gara-gara tidak berniaga.
            “Awak tak sudi kahwin dengan saya ke?  Cinta boleh dipupuklah Rose. Mana tahu, lama-lama jatuh cinta.”  Haikal merenung wajah Rose yang selamba dan tersenyum manis itu. Hitam-hitam pun ada manisnya juga.
            “Kahwin dengan awak? Jomlah! Nak akad nikah kat mana?” usik Rose.
            “Orang cakap betul-betul, dia main-main pula!” 
            “Haikal… macam saya cakapkan sebelum ini.  Saya memang sayangkan awak, tapi sayang saya hanya sebagai seorang sahabat. Tidak lebih dari itu.  Takkan awak tak faham? Macam mana saya nak hidup dengan awak, jika saya anggap awak tidak lebih daripada keluarga saya sendiri,” luah Rose, itulah yang dirasakan terhadap lelaki itu. 
            “Betul awak tak pernah cintakan saya?” soal Haikal.  Takkanlah gadis itu tidak tertarik langsung kepadanya. 
            Laju Rose menggeleng.  Hatinya pernah terisi, tetapi kini tidak ada lagi.  Nama itu susah dibuang jauh dari ingatannya.  Tidak mahu lagi dikenang atau diingati. Biar berkubur bersama memori semalam.
            “Buruk benar saya  ni ya?”   soal Haikal, wajahnya tidak masih menguntumkan senyuman. Terlalu perit rasanya mendapat seorang isteri garang tidak kena tempat.  Ditambah dengan degil dan keras kepala.  Nak ikut cakap dia sahaja.  Mana boleh jadi?
            “Rose, saya tanya dari sudut hati awak paling dalam. Awak  rasa, Ain tu sesuai tak jadi isteri saya?  Boleh tak dia jadi seorang isteri yang baik dan solehah?” tanya Haikal perlahan. 
            “Awak nak saya jawab sebagai musuh isteri awak atau sebagai orang yang boleh menasihati awak?” Soal Rose kembali.
            “Kita tanya dia, dia tanya kita kembali!” Rungut Haikal.
            “Okey, okey… saya  jawab jujur dan sejujurnya.  Bagi sayalah, kalau nak cari pasangan hidup kena perhatikan kedua orang tuanya kut, kena tengok bagaimana hubungannya dengan kedua orang tuanya?  Kaki melawan ke, kaki membentak ke?  Dia hormat tak dengan kedua orang tuanya?  Dia sayang tak dengan kedua orang tuanya?  Lepas tu tengok pula, sikapnya dengan orang lain.  Kaji pula sikapnya, ego ke, kuat melawan ke, tak dengar cakap ke?  Banyak kena ambil tahu, kalau kena kaji satu persatu, alamat tak kahwinlah sampai ke mati,” gurau Rose.
            “Awak serius ke atau awak main-main?”
            “Terserah,saya  cakap saja.  Kan dalam Islam sudah diberi panduan bagaimana memilih pasangan.  Takkanlah awak tak baca, atau tak ambil tahu?  Jangan hanya pandang kepada kecantikan, inilah padahnya.  Kalau awak  memilih seseorang yang beragama, sudah pasti terpelihara hidup awak. kerana agama adalah panduan hidup. Seseorang yang kuat pegangan agamanya akan mampu menjadi seorang isteri yang baik, tetapi itu tidak tentu juga. Kalau suami salah mendidik, maka hancurlah rumah tangga.  Ala… senang cerita,  sebuah rumah tangga yang baik, ada segala-galanya, ada cinta, ada agama, ada kasih sayang, tolak ansur, saling berkerjasama.  Saling hormat menghormati.  Pendek kata, awak dan Ain kena sama-sama membangunkan kebahagian dalam rumah tangga.  Tak bolehlah harap seorang saja.”  Dahinya berkerut. Apa pasal dia kena bagi pendapat? Dia belum berumah tangga. Calon pun tidak ada.  Bercakap tentang soal rumah tangga dengan seorang lelaki yang sudah tersilap langkahnya.  Mampukah berpatah semula? Terpulang kepada mereka berdua.
            “Pergilah pujuknya, berbincang baik-baik. Buat masa ini awak tidak perlukan seorang isteri yang lain.  Jika awak sudah niat di hati menceraikannya, dan tidak pasti, segeralah rujuk dengan pejabat agama.  Saya tak mahu awak berterusan buat silap. Belajarlah bertenang dan bersabar.  Semua ini ujian,  menguji kasih sayang awak terhadap Ain, menguji kekuatan awak sebagai seorang ketua keluarga,” nasihat Rose panjang lebar.  Jadi pakar motivasi pula dia hari ini. Tidak mengapalah, asalkan hubungan sahabat dan musuhnya itu berbaik semula. 
            “Buat masa ini rasanya hati saya masih tawarlah,”  kata Haikal dengan mula sebal.  Hatinya masih sakit.  Masih tidak mampu menerima apa yang dilakukan oleh Ain. Biarlah masa dan keadaan memulihkan kembali luka yang dalam ini.
            “Kalau tawar, awak tambahlah garam ke, gula ke, kalau tak pun tambah asam keping atau asam jawa, biar ada rasa,” usik Rose dengan wajah serius. Menahan ketawa di dalam hati.
            “Susah betul cakap dengan orang berjiwa kartun macam awak ni! Saya cakap betul-betul, awak pula main-main!”  Haikal menjegilkan mata, rasa hendak ditelan sahaja Rose yang duduk di hadapannya dengan muka selamba bagaikan tidak mahu berkongsi perasaan duka dengannya. 
            “Jiwa kartun? Itu lebih baik dari jiwa sensitif  macam awak tu! Saya yang tak jadi kahwin dan disakiti ni pun tak berperangai macam awak! awak tu lelaki tau, jadilah lelaki yang sejati!” tempelak Rose.
            “Ait! Saya pula awak marah?” Haikal menggeleng.  Tidak ada perasaan belas ehsan betullah sahabatnya ini.
            “Jomlah balik!  Duduk bertengek kat kedai ni sambil tengok muka poyo awak tu, buat jiwa saya sakit tau!” ajak Rose. Dia tidak mahu berlama lagi di kampung. Perlu pulang segera ke Kuala Lumpur.  Banyak tugas menanti.  Nanti Zaiton juga risau.
            “Awak pujuklah saya, tenangkan hati saya,” rengek Haikal.
            “Err… gelinya dengar! Awak tu lelakilah, bukan perempuan!” tengking Rose.  Lembik macam orang tidak bertulang, tidak siapa suruh. 
            “Bertabah dan bersabarlah.  Jadi lelaki macho yang punya pendirian.  Bukan lemah semangat macam perempuan,” sambung Rose lagi.  Rasa hendak ditampar muka Haikal, biar sedar diri.  Ini macam orang mabuk daun ketum sahaja.  Sakit pula hatinya sedangkan tadi dia simpati dengan lelaki itu.
            “Yalah! Yalah! Jom balik,” ajak Haikal, terus dia menapak ke kaunter dan membayar harga minuman.  Keadaan lengang di dalam restoran itu langsung tidak menarik hatinya. Kalau sudah lengang, apa yang menariknya? Omelnya dalam hati.  Rose sudah pun berada di keretanya.  Cepatnya gadis itu berjalan. Tidak sabar-sabar nak pulang.
            “Awak berniaga sekarang ni ya? Kat mana?” Haikal mengangkat kening. Ingin benar dia tahu, sahabatnya itu berniaga di mana.  Emaknya yang memberitahu sekarang ini Rose menjadi usahawan, tidak lagi bekerja makan gaji,
            “Awak tak perlu tahulah. Nanti awak datang cari saya.  Biarlah rahsia ya,”  kata Rose sambil menyengih.
            “Pergilah balik, berehat, saya nak terus balik ke KL.  Nanti kita jumpa lagi, okey?” 
            “Nanti saya telefon awak, bolehkan?”  Haikal melakar senyuman buat pertama kali setelah masam kelat sejak tadi.
            “Yalah… kalau saya tak jawab, bermakna saya sedang sibuk,” jelas Rose. 
            “Okey, jumpa lagi.  Bawa kereta berhati-hati, ramai syaitan berkepala manusia di luar sana,” ucap Haikal.
            “Terima kasih, Insya-ALLAH.” Rose memandu keretanya menuju ke jalan besar. 
            Haikal memandang sahaja kenderaan sahabatnya itu berlalu meninggalkannya.  Tiada cinta antara mereka, yang ada hanya rasa kasih seorang sahabat kepada sahabat

No comments:

Post a Comment