AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 16 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 76



Mak Limah mengetap bibir. Kali ini menantunya sudah keterlaluan, sanggup  nak menceraikan anaknya kerana si hitam itu.  Ini sudah melampau. Dia menyinsing lengan. Langkah sudah diatur.  Tangisan Ain di talian malam tadi masih bermain difikiran.  Disuruh balik, tidak mahu.  Kereta Kancil miliknya dipandu laju menuju ke rumah besannya.  Mereka ingat dia dan anaknya tiada maruah dan harga diri?  Senang-senang sahaja menolak anaknya, waktu suka bukan main lagi, kasihlah, sayanglah. Bila ada masalah kata putus terus diberi.  Langsung tidak mahu berbincang.  Ikut suka mak bapak dia saja, leternya dalam hati.
            Beberapa minit memandu, dia sampai di hadapan rumah besannya yang terbuka luas pintunya.  Ada beberapa pasang kasut di hadapan pintu. Ada tetamu rupanya? Kereta menantunya tidak ada pun, kata Ain, Haikal pulang ke kampung? Merayap ke mana pula?  Mak Limah keluar dari perut kereta dengan pantas dan mendekati pintu rumah yang terbuka luas, tanpa memberi salam dia terus menerjah masuk.
            “Haikal mana?” tanya Mak Limah dengan wajah masam mencuka.  Kalau asam keping masam, rasanya wajah Mak Limah lebih daripada itu.  Dia mencekak pinggang.  Tetamu yang ada di dalam rumah itu, langsung tidak dihiraukan.   Membuntang matanya memandang wajah Seman dan Hanum yang sedang berbual dengan besannya.
            “Kak Limah? Duduklah dulu.  Haikal keluar, kejap lagi baliklah,” sapa Hajah Mona lembut.  Tidak mahu mengeruhkan keadaan. Baharu sahaja dia menyebutnya tadi.  Kan sudah muncul orangnya.  Nasib baiklah tidak bawa parang. Kalau tidak haru jadinya.
            “Aku datang bukan nak duduk! Kalau nak duduk, kat rumah aku pun boleh, kerusi rumah aku lebih empuk, lebih lembut berbanding kerusi kat rumah kau ni!” marah Mak Limah.
            “Kenapa bising-bising Kak Limah. Ini rumah orang, tak kiralah rumah besan ke, tapi tetap rumah orang,” sampuk Seman, kurang senang dengan perlakuan Mak Limah yang kasar dan main serbu sahaja itu.  Berilah salam, itulah adab sopan bertandang ke rumah orang. Bercakaplah dengan bahasa yang lembut dan perlahan, ini macam orang nak bergaduh sahaja.
            “Kau jangan campur urusan aku sekeluarga Seman! Kau jaga sendiri keluarga kau!” tengking Mak Limah. Pantang dirinya ada yang menegur.
            “Kenapa ni kak? Datang rumah saya bising-bising?  Cuba bawa bertenang, duduk dulu,” ujar Hajah Mona, kurang senang dengan sikap kasar besannya itu. Jarang berjumpa wanita itu bercakap elok, perlahan dan penuh hikmah. Apa yang dia biasa dengar adalah marah, marah, marah! Silap haribulan boleh kena serangan jantung.
            “Kau tanya aku? Sudah gaharu cendana pula!”  Mak Limah mendengus kasar.
            Hajah Mona mengeluh.  Dia dan Hanum saling memandang. 
            “Akak duduk, kita bincang baik-baik. Budak-budak kak…  Buat keputusan tanpa merujuk orang tua.” Hajah Mona tidak mahu bertengkar.  Kalau boleh dia mahu berbincang elok-elok. Selesai dengan cara baik.  Bergaduh dan bertengkar tidak mendatangkan apa-apa faedah.
            “Aku nak Haikal pujuk anak aku balik! Ingat senang-senang dia nak mainkan anak aku?  Ingat kami tak ada maruah?  Hey… keturunan kami banyak duit dan berharta, ingat aku hairan dengan anak kau tu!”  kata Mak Limah bangga.  Mereka ingat dia hairan sangat dengan Haikal, setakat pegawai biasa.  Berapa sen gaji?  Nak dibandingkan dengan anaknya yang bakal mewarisi kekayaan yang ada.  Tanah berekar-ekar, Rumah sewa, rumah kedai yang disewa tidak kurang sikitnya.  Duit simpanan usah cerita.  Ada dia hairan jika anaknya itu tidak berlaki?  Kalau setakat berkahwin dan menyakitkan hati anaknya, baiklah anaknya hidup solo sahaja. 
            “Ya kak, saya dah suruh, nanti dia pergilah cari Ain.  Akak jangan bimbang ya,”  pujuk Hajah Mona.
            “Bila dia nak pergi? Takkan tak boleh telefon ke?”  herdik Mak Limah. Tidak hormat langsung dengan besannya. 
            “Kak, cakap perlahan-lahanlah, orang dengar malulah,” nasihat Hanum.
            “Yang kau sibuk kenapa? Aku tak minta pendapat kau pun, Kau siapa?”  Mak Limah mengetap bibir.
            “Memang saya tak ada kena mengena dengan keluarga ini dan urusan akak anak beranak, tapi bising-bising macam ni, jiran sekampung dengar, kan tak bagus,” sampuk Seman. Orang perempuan kalau bergaduh, mulut bercakap macam murai tercabut ekor.  Cakap pula kuat-kuat, satu kampung boleh dengar, buat malu sahaja.
            “Kau jangan menyampuk Seman!  Tak ada kena mengena dengan kau!” marah Mak Limah.
            “Memang tak ada kena mengena.  Tapi Kak Limah berhutang dengan saya anak beranak!” Seman pula hilang sabar.  Orang nasihat tidak mahu dengar, cakap dia sahaja yang betul.
            “Apa yang aku hutang kau anak beranak?” tengking Mak Limah.  Dia mengerutkan dahi. 
            “Kak Limah, tak tahu ke apa yang Kak Limah buat selama ini satu dosa?” Seman menggeleng. Berbakul-bakul  wanita itu mengata dia  anak beranak, lepas itu tanya hutang apa?  Aduhai… cetek fikiran rupanya.  Tidak tahu hukum hakam agaknya.
            “Dosa apa yang aku dah buat?” herdik Mak Limah, semakin menyinga wajahnya.
            “Ya ALLAH kak, jadi selama ini akak mengata orang kampung, mengata kami, bawa mulut ke sana-sini, cerita pasal orang sana, cerita pasal orang sini… akak tak tahu itu semua itu salah dan berdosa, mengadu domba itu satu dosa, mengumpat itu satu dosa?”  Hajah Mona menjegilkan mata.  Biar betul besannya ini. 
            Mak Limah terus terdiam.  Berfikir seketika.
            “Peduli apa aku!” Mak Limah mencebik.
            “Peduli apa?  Nanti tak tertanggung kak.  Dosa dengan ALLAH, akak boleh minta ampun terus dengan ALLAH, dosa sesama manusia, akak kena jumpa dan minta maaf tau. Silap haribulan mengucap pun tak boleh!” kata Seman.
            Mak Limah terdiam sekali lagi.  Dia memandang kiri dan kanan.  Terccari pula pintu keluar. Sedangkan pintu berada di hadapannya.
            “…” Mak Limah tidak berkutik, wajah mereka dipandang seorang demi seorang.
            “Insaflah kak, hentikan kerja gila akak ni.  Akak jaja cerita tentang anak saya, tak henti-henti… ada saya serang akak?  Ada saya marah akak?   Saya diamkan saja.  Sebab saya malas nak bising-bising.  Anak saya tak bersalah kak, dia teraniaya, dianiaya oleh anak  akak sendiri, Ain.  Ada saya serbu dan marah dia? Cukuplah maruah anak saya dirobek dan harga dirinya dihancurkan.  Tak boleh ke akak buat hal sendiri, usah sibuk hal orang lain?  Pandai pula akak bercakap tentang harga diri anak akak, kami semua bagaimana?”  kata Hanum panjang lebar.  Dia sudah lama bersabar dengan perempuan itu.  Selama ini dia mendiamkan diri sahaja. 
            Mak Limah terkedu seketika.  Mereka ini serang diakah? Bukankah dia yang datang serang mereka? Mak Limah terkebil-kebil memerhati ketiga-tiga manusia di hadapannya itu.  Matanya membuntang. 
            “Tentang anak-anak kita, biarlah mereka selesaikan masalah mereka kak. Usahlah kita mengeruhkan lagi keadaan.  Kita jadilah pendamai, bukan perosak hubungan mereka,” nasihat Hajah Mona pula.
            Mak Limah masih terdiam.
            “Kak… kita duduk sekampung dah macam keluarga.  Kenapa  nak keruhkan hubungan baik yang ada?” pujuk Seman pula.
            Mak Limah masih tidak berganjak.  Mulutnya bagaikan terkunci.  Kakinya terpacak di lantai tidak bergerak-gerak.  Wajahnya serius.  Matanya tidak berkelip.  Bibirnya bergetar.
            “Berubahlah kak! Jadilah manusia yang menyenangkan  orang lain,” nasihat Hanum.  Buat apalah bermusuh sesama jiran.  Hari-hari akan bertembung dan berjumpa.  Tidak terasa malukah? 
            Mak Limah memandang wajah mereka seorang demi seorang.  Dia mengeluh berat. Dia memusingkan tubuhnya dan mula melangkah pergi.
            “Kak! Kak Limah!” panggil Hajah Mona. 
***
            Mak Limah berjalan laju meninggalkan rumah itu.  Panggilan besannya tidak dipedulikan.  Kata-kata mereka bermain difikiran, berlegar-legar di ruang akalnya yang waras.  Rasa marah bagaikan direntap pergi.  Dia melangkah masuk ke dalam kereta.  Dia termenung jauh.  Apakah selama ini dia telah melakukan dosa?  Air mata mula bergenang di tubir matanya.  Jahilnya dia?  Ke surau tidak pernah, membaca tidak langsung.  Ke masjid ikut kuliah agama dia tidak pernah pergi.  Hanya yang dia tahu adalah menjaja cerita penduduk kampung.   Salahkah apa yang dia lakukan selama ini?  Suaminya tidak pernah melarang.  Tidak pernah menegur.  Bersalahkah dia? Berdosakah dia? 
            Enjin kereta dihidupkan.  Dia memandu perlahan meninggalkan perkarangan rumah besannya. Hatinya galau.  Jiwanya kacau, fikirannya ligat berfikir. Usianya sudah menjangkau lewat 50-an, tetapi ibadahnya entah ke mana.  Tidak pernah diambil berat.  Tidak pernah diambil kisah.  Dalam fikirannya hanyalah menambah harta yang ada.  Mulutnya suka bercerita tentang orang lain. Pantang dapat apa-apa cerita, pasti satu kampung turut tahu. Ah… dia mengeluh.  Kata-kata mereka tadi begitu menyentuh hatinya.  Kalau berdosa dengan orang lain, kena minta maaf dengan mereka?   Benarkah?  Mak Limah mengeluh keras.  Usia sudah lanjut, tetapi dia masih belum menunaikan haji atau umrah. Bukan tidak ada duit, cuma… dia tidak pernah ambil peduli.  Baginya amal ibadat itu tidak penting. Cari duit yang penting. Itulah anggapannya selama ini.  Itu sebab dia tidak mendidik anaknya  Ain dengan didikan agama.  Air matanya mengalir lagi, lagi dan lagi.

No comments:

Post a Comment