AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 18 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 77



Ain termenung jauh, memikirkan nak tidur di mana?  Rumah siapa yang nak diterjahnya.  Bukan boleh main terjah sahaja.  Bukan semua orang sudi menumpangkan orang lain. Tidak mungkinlah dia balik kampung. Waktu dia telefon pun emaknya sudah membebel berjam-jam. Tidak kuasalah menambah tahi telinga.   Rakan serumah lama  juga sudah berkahwin dan tinggal dengan suaminya di rumah itu.  Tidak mungkinlah dia tinggal di hotel. Membazir sahaja.  Sudahlah duit 30k sudah hangus menjadi milik lelaki jahanam itu. 
            Air yang dipesan, tidak lalu ditelan.  Sendirian di restoran mahal  itu membuatkan hatinya tiba-tiba rasa sunyi.  Dia mana ada kawan ramai. Sahabat jauh sekali.  Dia terlalu memilih kawan, sekarang sendirilah yang susah.  Ain mengeluh.  Suaminya pula senang-senang sahaja menghalaunya keluar dari rumah.  Langsung tidak memikirkan keadaan dirinya. Dasar lelaki tidak ada perasaan.  Semakin sakit hatinya memikirkan Rose si hitam legam itu.  Kerana perempuan itu, dia dihalau keluar.  Ain mengetap bibir. 
            Makanan  yang dipesan juga tidak dijamah. Status dirinya juga tidak diketahui.  Adakah dia masih menjadi isteri Haikal atau sudah pun bergelar janda.  Kacaulah kalau macam ini, keluhnya sendiri.  Para pelanggan yang memenuhi setiap meja di situ tidak dihiraukan.  
            Resah terus mencengkam hatinya. Beg pakaian ada di kereta.  Kalau tidak ada juga tempat yang hendak dituju, terpaksalah dia mencari hotel sedangkan sudah beberapa hari dia menginap di hotel.  Rasa hendak menangis sahaja.  Biarlah orang tengok, peduli apa dia.  Asalkan hatinya puas, melepaskan apa yang dirasa ketika dan disaat itu. Kenapa suaminya tidak mahu memahami dirinya. Tidak mahu mengerti. Hatinya puas dapat menyakitkan hati Rose.  Biar perempuan gelap itu sedar diri.  Tidak berlagak bijak.    Hatinya cukup puas bila Joe tidak jadi berkahwin dengan Rose.  Maruah gadis hitam itu dijatuhkan berguling-guling terus ke longkang.  Padan dengan muka si hitam, detik hati kecilnya. Memikirkan Rose membuatkan hatinya panas membara.   Hatinya sakit sebab Haikal terus-terusan membela si hitam itu.  Hatinya marah sebab Haikal suruh dia berbaik dengan si hitam. Jiwanya berdendam sebab Haikal terlalu memuji si hitam.  Sedangkan dia jauh lebih baik daripada si hitam itu. 
            “Hai, seorang saja?” sapa seorang lelaki yang berpakain kemas. 
            Ain mengangkat kepala sedikit.  Dahinya terus berkerut. Bertambah sakit kepalanya.  Wajah yang tidak ingin dilihat dan jumpa.  Kenapalah muncul tiba-tiba.  Dia mengetap bibir.
            “Kau nak apa  lagi?” herdik Ain.  Dia memandang ke arah lain, tidak sanggup memandang wajah lelaki yang menjijikkan itu. Hanya tahu mengikis duit orang lain.  Tidak ada rasa malu pula itu.
            “Tak nak apa-apa, aku tengok kau duduk sorang diri dan kelihatan gelisah, itu aku datang dekat.  Tak boleh ke?”  Joe terus duduk tanpa dipelawa. Dia menyengih. Duit yang diperolehi membuatkan dia mampu hidup  mewah buat seketika. 
            “Pergi berambuslah! Sakit mata aku tengok muka kau tu!” Ain menjeling. Meluat pun ada.
            “Hai… takkan meluat sangat kut?  Aku suka tengok muka kau yang cantik manis tu. Bertuah Haikal, dapat isteri cantik dan berharta pula tu,” kata Joe sambil menyengih. Pipi Ain yang gebu dan bersih itu diusap perlahan.
            “Jangan nak menggatal!” Ditepis pantas oleh Ain.
            “Ala… kita sama-sama jahat, sesuai sangat jadi pasangan. Haikal budak baik, tak sesuai dengan kau,” ujar Joe tanpa rasa bersalah.  Memanglah sesuai orang jahat kawan dengan orang jahat.  Dia tersenyum sumbing.
            “Pergi berambuslah!” Ain meluat mendengarnya. 
            “Jomlah ikut aku bersuka ria.  Duit tengan banyak ni, ada kawan syok juga berjoli,”  ajak Joe.
            “Joli? Kau nak berjoli?  Hey… lepas ni aku takkan  bagi duit kat kau lagi tau!  Jangan datang cari aku!” 
            “Kau ingat, aku akan lepaskan kau?”  Joe ketawa nipis.  Perempuan itu tidak tahu dengan siapa dia berurusan.  Sekali terjebak selamanya terjebak.
            “Tolonglah Joe, jangan cari aku lagi. Aku tak ada apa-apa urusan dengan kau!”  Rayu Ain. 
            “Okey, aku boleh lepaskan kau tapi dengan syarat… kau masukkan 100k dalam akaun aku. Lepas itu aku akan pergi jauh, jauh, jauh dan kau takkan jumpa aku lagi,” kata Joe dengan senyum simpulnya.
            “Gila!”  Ain hampir bertempik. Memang gila. Ingat 100k itu sikit? Mahu sahajalah dia memukul lelaki tidak tahu malu itu.
            “Terserah! Aku cuma bagi tahu saja.”  Joe mengangkat bahu.
            “Kau memang kejam, Joe!”  Menyesal dia mengupah lelaki itu. Kalaulah dia tahu nak jadi seperti ini, sudah pasti bukan lelaki itu yang menjadi pilihannya.  Harap rupa sahaja kacak tetapi pemalas.
            “Kau lagi kejam, kau hancurkan kehidupan seorang gadis yang baik. Kalau kau berkawan dengan diakan bagus, kenapa harus kau bermusuh pula?”  Bentak Joe.  Rose seorang yang jujur dan ikhlas.  Jauh disudut hatinya terasa juga rasa bersalah kerana menipu gadis itu. Kehendak diri lebih penting baginya.
            “Ikut suka akulah!”
            “Maka, ikut suka akulah nak minta duit dengan kau!” Joe ketawa lagi.
            Ain menahan rasa marah yang membuak di hati.
            “Sebelum aku mengamuk kat sini, baik kau berambus!”  Halau Ain dengan mata tajam menikam mata Joe.     
            “Ingat pesan aku tadi, kalau kau tak mahu diganggu, 100k  masukkan ke dalam akaun aku,” kata Joe sebelum berlalu pergi dengan hati yang riang.  Perempuan jahat seperti Ain harus diajar. Tidaklah buat aniaya dengan orang lain lagi. Macamlah dia baik sangat, Joe ketawa sendiri.
            Ain memandang sahaja langkah Joe meninggalkannya.   Hatinya bagaikan disiat-siat oleh lelaki tidak berguna itu.  Ah! Semua orang disekelilingnya hanya tahu menyakitkan hatinya sahaja.
            Setelah membayar harga minuman dan makanan serta melayan kerenah lelaki tidak berguna itu, dia keluar dari restoran tersebut.  Langkahnya perlahan menuju ke keretanya.  Dia mengeluh berat.  Masih  belum dapat tempat yang ingin dituju. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan.  Sebuah motosikal mendekati.  Ain tidak endahkan. Dia menunggu di bahu jalan untuk menyeberang menuju ke keretanya.  Dia tidak sempat berbuat apa-apa, tali beg tangannya direntap kasar.  Dia cuba menariknya semula, tetapi kuat genggaman peragut itu.  Hampir sahaja dia menyembah ke tanah.  Belum sempat dia jatuh, tubuhnya disambar seseorang.  Satu tendangan hinggap di tubuh lelaki yang meragut beg tangannya.  Dia tercampak ke belakang.  Kedua-dua lelaki yang berada di atas motor terjatuh, tergolek menyembah tanah tar yang hitam berkilat itu.    Orang ramai yang melihat kejadian itu datang mendekati. Kedua-dua lelaki itu mengerang kesakitan.  Cuba melarikan diri tetapi belum sempat bangun sudah ditendang sekali lagi. 
            “Apa punya manusia hah?  Asyik nak meragut kerjanya.  Hoi! Banyak kerja halal lagilah! Kenapa kerja haram ni juga kau orang nak buat?”  marah gadis bertudung tiga segi, berseluar jeans dan bert-shirt muslimah.  Dia menendang kedua-dua lelaki itu bertalu-talu.
            “Moh dik kita tendang berjemaah!” sampuk orang ramai yang ada di situ. Mereka mula hendak memukul…
            “Ops! Berhenti! Saya lepas geram sebab sakit kaki saya tendang mereka tadi, bang! Marah jugalah sebab mereka meragut, tapi taklah sampai nak membunuh.  Tolong saya ikat mereka ni, kita serah kepada polis,” kata gadis itu.
            “Laa… adik boleh pula pukul!” kata salah seorang yang menyaksikan kejadian itu.
            “Geram bang! Tengok muka, tengok badan. Kuat dan muda. Tetapi pemalas! Nak cari duit senang saja!”  Dia menyengih.  Setelah kedua lelaki itu diikat dan dibawa ke tepi jalan, Rose mendekati  Ain yang cedera di tangan dan kakinya. Akibat terseret dan terjatuh tadi.
            “Awak tak apa-apa ke?” tanya Rose sambil membelek luka di tangan Ain.
            Ain memandang wajah Rose tidak berkelip. 
            “Kita ke klinik ya, lepas tu saya hantar awak balik, awak pandu sendiri ke? Nak saya bagi tahu Haikal?” tanya  Rose.
            Beberapa orang turut bertanyakan khabar Ain. 
            “Saya tak apa-apa, terima kasih!” kata Ain.  Nak sahaja dia menepis tangan Rose yang menyentuhnya, tetapi memandangkan orang ramai ketika itu, dia biarkan sahaja.
            Setelah membuat laporan polis, Rose terus membawa Ain ke klinik menggunakan keretanya.  Sepatah pun  perempuan itu tidak bercakap dengannya.  Rose abaikan sikap Ain, sudah terang lagi bersuluh, perempuan itu tidak pernah suka dengannya.  Apa yang dia nak hairankan jika perempuan itu tidak mahu bercakap dengannya. Usai selesai semua urusan, Rose terus menghantar Ain kembali ke keretanya.
            “Awak teruslah balik rumah.  Urusan kita dah selesai,” kata Rose sebelum mula melangkah pergi meninggalkan perempuan yang pernah menjahanamkan maruahnya. Jangan ada dendam di hati, maka akan tercalitlah satu titik hitam di hati.  Biarlah orang buat jahat, dia jangan jahat sama. Jika tidak tiada bezanya dia dan perempuan itu.
            “Rose!” panggil Ain. Matanya sudah mula berkaca.
            “Baliklah, rehat!’ suruh Rose.
            “Aku tak tahu nak pergi mana?” kata Ain, air matanya meluncur laju.  Dia meletakkan  dahinya di stereng dan terus menangis lagi.
            Alahai… ini yang lemah, kenapa menangis pula?  Aduhai… terlupalah, dia sudah dihalau oleh Haikal. Masalah ini, keluh Rose. 

No comments:

Post a Comment