AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 20 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 78



Rose berjalan mendekati Ain semula.  Dia berdiri di tepi kereta dan membiarkan Ain menangis sepuas-puasnya.  Simpati menerjah dalam hati.   Itulah sudah elok-elok berkahwin dengan orang yang dicintai, siapa suruh merosakkan diri sendiri. Sekarang, sendirilah yang susah.
            “Aku tak tahu nak ke mana?” Ain memandang wajah gadis hitam yang sering dikutuk dan didendami itu.
            “Aku pula mana tahu kau nak ke mana?” ujar Rose, bingung sendiri.
            “Aku tumpang rumah kau, boleh?” tanya Ain. Macam tidak percaya sahaja dia boleh mengeluarkan perkataan itu.  Biar betul? Diakah yang bercakap?  Ain mengeluh dalam hati.  Terpaksalah.  Tiada jalan lagi. Lagipun… usah cakap, memalukan sahaja.
            Lama Rose membisu. Memikirkan kewajarannya membawa Ain tinggal di rumah sewanya. Nanti apa pula kata Zaiton?  Dia mengeluh,  tidak salah menolong orang lain, pasti ALLAH akan menolongnya nanti, itulah yang ada dalam fikirannya ketika itu.  Wajah Ain yang pucat dan tangan yang berbalut menimbulkan rasa simpati di hati.  Belas ehsan sungguh dirinya ini, pujilah diri sendiri, sebab tiada siapa yang akan memujinya. Akhirnya dia mengambil keputusan membawa Ain pulang ke rumah sewanya.  Kebetulan esok hari minggu, dia tidak berniaga.  Tanpa banyak kata, Rose terus membawa musuh tradisinya yang sedang kesusahan itu pulang ke rumah sewanya.  
***

            Zaiton cemberut merenung  Rose.  Memeluk tubuh sambil memandang tajam ke arah sahabatnya yang sedang membancuh air minuman untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang.  Tetamu? Layakkah dipanggil tetamu, perempuan yang telah menghancurkan maruah sahabatnya itu.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia menempeleng perempuan itu. Tidak sedar diri. Kenapalah Rose membantu perempuan itu?  Eee… inilah susahnya kalau prihatin sangat.  Nasib baik tidak kena pukul dengan peragut-peragut itu. Berani pula melawan? Memang cari nahas sungguh sahabatnya itu.
            “Jemputlah minum, air kosong saja,” pelawa  Rose, melayan tetamu yang ada biarpun musuh sendiri.
            “Berani awak datang sini ya?  Setelah apa yang awak lakukan, awak memang tak tahu malu, kan?” Bentak Zaiton, geram.
            Ain menunduk.  Tidak berani bertentang mata dengan Zaiton.
            “Ton!”  Rose menarik tangan sahabatnya.
            “Kau biarkan aku bercakap.  Perempuan tak tahu malu ini mana faham apa itu hubungan, apa itu kawan, sahabat dan kenalan! Dia hanya tahu dendam kesumat,”  ujar Zaiton. Wajah Ain yang pucat langsung tidak menyentuh hatinya.  Tangan yang berbalut langsung tidak mendapat simpatinya.
            “Ton! Aku tak marah, kenapa kau nak marah?”  Rose memujuk.
            “Kau apa tau, baik sangat!  Orang hina, orang campak maruah kau tepi jalan, orang jatuhlah air muka keluarga kau… kau selamatkan?  Kalau aku biar diheret oleh peragut tu, biar mati, senang sikit, taklah hidup asyik tahu buat dosa saja!” kata Zaiton garang.
            “Kalau aku  bertindak sama  dengan dia, apa bezanya? Kalau semua manusia ingin melunaskan rasa dendam dan berterusan menyimpan perasaan marah, sampai bila keadaan akan jadi teruk, dan tidak mungkin ada ruang berdamai, berbaik-baik,” ujar Rose. Dia duduk di sofa. Tangan Zaiton ditarik duduk di sebelahnya.  Kalau ikutkan hatinya, memanglah dia marah. Memanglah sakit hati, tetapi berbaloikah? Puaskah hatinya nanti? Persoalan yang hanya dia sahaja ada jawapannya.  Biarlah orang buat apa sekalipun, dia tidak akan membalasnya. Biarlah ALLAH yang membalas segala kejahatan manusia. Bukan dirinya.  Dia tidak mahu menjadi manusia pendosa.  Amalan tidak banyak untuk dibawa ke sana, lagi nak tambah dosa.
            Ain tidak menyampuk, membiarkan sahaja kedua gadis itu bertekak. 
            “Kau duduklah sini Ain, sampai masalah kau dan Haikal selesai. Walaupun macam-macam kau buat kat aku, aku tak pernah dendam dengan kau. Marah pun tidak.  Sakit hati tu memanglah ada.  Kau jatuhkan maruah aku sekeluarga. Kalau ikutkan hati marah, sakit dan geram, aku tak sudi nak tolong kau.  Kau jangan risau, aku bukan manusia yang  tidak punya perasaan.  Sekarang kau susah, biarlah aku tolong.  Walaupun aku susah, kau tak tolong.  Ada aku kisah.  Aku nak balasan daripada ALLAH, bukan daripada kau,” kata Rose panjang lebar.  Biar Ain tahu perasaannya ketika itu.
            “Kau bertuahlah Ain, kalau aku, mampuslah kau. Takkan aku tolong.  Untung kau benci dengan orang yang tidak akan memusuhi kau.  Emak dan ayah dia tak ajar dia berdendam, macam kau!” tempelak Zaiton geram.
            “Ton!”  Rose menjegilkan mata. Kurang senang dengan kata-kata sahabatnya.  Kawan yang baik bukan sahaja memuji perangai baik seorang sahabat, malah menegur juga perangai tidak  baik sahabatnya itu. Dia tidak mahu dalam hati Zaiton ada dendam.  Biarlah sepuluh kali pun orang berbuat jahat, sekalipun jangan membalasnya dengan kejahatan juga.  Balaslah dengan kebaikan berkali-kali ganda.
            “Kau ni Rose!” Zaiton mengeluh.  Rasa nak menangis melihat Rose yang membantu musuhnya itu. 
            “Kau sahabat akukan? Aku tak nak berkawan dengan sahabat yang busuk hatinya,”   nasihat Rose.
            Zaiton akur. Dia menunduk, kata-kata Rose ada benarnya.
            “Kami nak solat maghrib, marilah solat bersama kami,” ajak Rose setelah mendengar azan berkumandang.
            “Kau solatkan?” tanya Zaiton.
            Ain diam lagi.
            Rose menggeleng kesal.
            “Jomlah, ambil wudhuk, lepas tu solat besama kami,”  ajak Rose, matanya masih melekat pada Ain yang menunduk sahaja sejak tadi. Tap, tap, tap air mata jatuh ke lantai.
            “Menangislah! Minta ampun dengan ALLAH!” sergah Zaiton tanpa rasa bersalah.
            “Ton!” Satu tamparan hinggap di lengan Zaiton.  Rose mengeluh berat.
            Zaiton memyengih. Menyakat orang lain sesekali, seronok juga. Dia terus ke biliknya ambil wudhuk dan membentangkan sejadah untuk mereka bertiga.
            Ain sudah pun menghilangkan diri ke bilik air. 
            Rose sudah siap bertelekung.
            Usai solat dan berdoa, Rose dan Zaiton  menyediakan makan malam untuk mereka bertiga.
            Ain melihat susun atur rumah musuhnya itu, kemas dan bersih tetapi banyak periuk belanga bersusun di tepi dapur.  Peti sejuk punyalah besar diletakkan  antara dapur dan ruang tamu.  Bekas polisterin tersusun kemas di atas rak yang diletakkan ke dinding. 
            “Mari makan Ain, lauk ringkas saja,” pelawa Rose yang sudah pun berada di meja makan. Ayam  goreng kunyit, sawi tumis air dan sambal telur meniadi santapan mereka bertiga.  Buah sebagai pencuci mulut dijamah dahulu, ikut Sunnah Rasulullah saw.
            Ain duduk dan menjamah nasi dipinggan.  Lauk diambil, dimakan perlahan. Sedap! Pandai gadis hitam itu memasak rupanya.   
            Zaiton sesekali merenung tajam ke arah Ain.   Berkali-kali juga lenganya menjadi cubitan Rose.   Apalah punya kawan, detik hati kecilnya.
            Usai makan dan mengemas meja makam, mereka ke ruang tamu menikmati kopi panas sambil menonton.  Tempat tidur Ain sudah pun disiapkan. Di sofa sahaja. 
            “Ain… boleh aku tanya, kenapa kau dendam sangat dengan aku? Aku tak ada yang istimewa, kau sendiri tahu keadaan fizikal aku sejak di bangku sekolah,” tanya Rose ingin tahu. 
            “Kerana kau terlalu hebat dan sering kalahkan aku,” luah Ain. Matanya terus berkaca. Sedih menapak di hati.  Dia balas racun, orang balas dengan madu kepadanya. Hati siapa yang tidak hiba dan sedih.
            “Aku tidak berniat nak kalahkan sesiapa Ain, aku buat apa yang terdaya, jika sudah takdirnya aku melebihi kau dalam pelajaran, kau tak sepatutnya salahkan aku?” 
            “Aku tahu, Rose… maafkan aku!” ucap Ain sebak.  Ketika solat tadi, hatinya kembali tenang, terasa damai mendengar suara Rose mengalunkan ayat-ayat dalam solat serta doanya yang menyentuh hati.    Gadis hitam itu telah menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ragut. Sekali lagi gadis hitam itu membawanya ke balai polis dan klinik. Kini, gadis hitam itu membenarkan dia menumpang di rumah itu. Dia benar-benar malu.
            “Eee… betul ke kau minta maaf?”  sergah Zaiton.  Boleh percayakah?  Entah-entah menangis olok-olok sebab tidak mahu dihalau keluar dari rumah itu.
            “Hish,”  Rose mencubit lengan Zaiton yang duduk di sebelahnya.
            “Apa main-main cubit? Bengkaklah lengan aku!” jerit Zaiton.
            Rose menyengih.        
            Ain memerhatikan sahaja keakraban kedua-dua teman serumah itu.  Dia tidak pernah ada sahabat sebaik Rose dan Zaiton. Mungkin sikapnya membuatkan kawan-kawan tidak berani dekat.
            Rose menatap wajah Ain seketika. Isteri sahabatnya itu  cantik, cukup lengkap pakejnya sebagai seorang perempuan, segala-galanya dimiliki, jika hendak dibandingkan dengan dirinya.  Sepatutnya tidak ada cemburu di hati terhadapnya yang serba kekurangan itu.  Biasalah hati manusia yang dirasuk syaitan, sanggup buat apa sahaja. Semoga keinsafana dan kemaafan daripada Ain adalah tulus dan ikhlas.

No comments:

Post a Comment