AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 26 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 79



Seminggu sudah berlalu.  Ain masih di rumah Rose. Zaiton sudah boleh menerima kehadiran perempuan yang merangkap musuh sahabatnya itu.  Keadaan perempuan itu sudah jauh berubah.  Rajin membantu di dapur terutama membantu Rose memasak.  Ketiga-tiganya sibuk pada hari Sabtu, sama-sama turun padang membantu Rose berniaga. 
            Ain mendengus kasar.  Hubungannya dengan Haikal masih tidak ada tanda-tanda akan pulih.  Lelaki itu semakin jauh daripadanya.  Dengan Rose pula, dia semakin memahami gadis hitam itu.  Rajin berniaga, cekap dan cepat dia bekerja.  Hatinya kagum dengan kesungguhan Rose berniaga untuk mengubah nasib hidupnya.  Dia mengeluh kesal. Dia terlalu kejam dengan gadis itu, tetapi Rose tidak pernah mendendaminya. Malah melayannya dengan baik.
            Dia sudah mula mencari rumah sewa. Tidak mungkinlah dia menumpang di rumah sewa Rose selama-lamanya.  Bukan dia tidak mampu membeli rumah sendiri.  Cuma, belum waktunya sahaja.  Mungkin dia akan mencari sebuah rumah untuk dirinya sendiri. 
            “Menung jauh nampak?”  Rose mendekati.  Duduk di sebelah Ain sambil menikmati suasana malam di anjung rumah sewanya.
            “Maafkan aku Rose, sejak sekolah sampai ke hari ni, aku  hanya tahu memusuhi kau saja,”  luah Ain dengan wajah muram. Hatinya diulit rasa malu yang teramat sangat. 
            “Barang yang lepas hai jangan dikenang, kalau dikenang merosak diri…” nyanyi Rose ala-ala Saloma.  Dia tersenyum.
            “Kau tak patut cemburukan aku, dah berkali-kali aku bagitahu, tapi kau nak juga cemburu dan dendam dengan aku, akhirnya… kau juga yang merana.  Aku, tetap macam ni.” 
            “Yalah… hubungan aku dengan Haikal pun tak tahu nak ke mana? Aku sendiri tak pasti sama ada aku masih isteri dia atau kami sudah bercerai?”  Memikirkan hal tersebut membuatkan hatinya sakit.
            “Kau dah hubungi dia?”
.           “Dah, tak berjawab. Benci sangat dia dengan aku.”
            “Nanti aku cari dia, biar aku selesaikan masalah kau. Jangan cemburu pula, antara aku dan Haikal hanya seorang sahabat, tidak lebih daripada itu.”
            Ain memandang wajah Rose, mencari keikhlasan dan kejujuran daripada kata-kata itu.  Dia tersenyum.
            “Kalau aku suka kat dia, dah lama aku goda dan ajak dia  kahwin,  Ain. Lagipun Hajah Mona suka dengan aku.” Rose mengangkat kening dan tersenyum lagi.
            Ain tersenyum.  Dia teruk sangatkah? Jahatkah dia?  Dia mengeluh kesal.
            “Ain… rupa tidak boleh diubah, melainkan buat pembedahan plastik, itu pun belum menjamin akan berubah seperti yang kita kehendaki. Tetapi perangai dan sikap boleh diubah.  Buang perasaan negatif dalam diri. Jadilah manusia yang mampu menyenangkan manusia yang lain.  Awak pasti boleh. Dalam diri setiap anak cucu Adam, pasti ada terselit kebaikan di dalamnya,”  nasihat Rose.  Macam pakar motivasi pula dirinya malam itu. 
            Ain merenung sejenak. Ada benar kata-kata gadis hitam itu. Biarpun hitam rupa parasnya tetapi bersih hatinya..  Dadanya kian sebak, semakin malu kepada diri sendiri.  Malu dengan ALLAH, selama ini dia tidak pernah sujud kepada Yang Esa, sejak tinggal di rumah itu. Tidak pernah Rose mengabaikannya untuk solat bersama.  Begitu juga Zaiton yang sudi menerima dirinya.  Dia pula, harap sahaja muka cantik, tetapi hati busuk macam longkang.  Sepatutnya kecantikkan yang dianugerah oleh ALLAH biarlah sama cantik dengan perilakunya.  Ah… malunya!
            Rose menepuk belakang Ain, dia harus ke dapur, ada tugas yang menanti.  Cukuplah berehat. Masa untuk mencari duit pula.
            “Aku tolong!” pelawa Ain riang.  Seronok membantu Rose menyediakan bahan-bahan untuk masakannya. 
            “Tak penat ke?  Siang kau bekerja, malam kau tolong aku.”  Rose mencuri pandang wajah yang semakin riang itu. 
            “Tak… kan Ton?”   Ain terus melabuhkan punggung di sebelah Zaiton yang sedang menyiang ikan bilis.
            “Ya… janji bayar upahnya,” usik Zaiton sambil menyengih.
            “Tak ada masalah!” jawab Rose riang.  Bertiga mereka bergotong-royong memasak menu untuk jualan esok pagi.
            “Alhamdulillah… aku tumpang gembira tengok kalian berdua sudah boleh berbaik-baik.  Ada hikmah kau kena ragut hari tu Ain, kalau tak sampai sekarang hubungan dan Rose tak sehaluan,”  kata Zaiton gembira.
            “Yalah Ton… aku malu dengan kau dan Rose.  Dalam keadaan aku yang susah ni kau orang sudi bantu aku,”  luah Ain, memikirkan hal itu membuatkan dia mudah berasa sedih.
            “Kitakan kawan sekampung, Ain,”  ujar Rose. Dia tersenyum manis.
            Ain hanya mengangguk, tidak terluah dengan kata-kata.  Rasa diri hina sangat di hadapan gadis itu.
            “Dah, tak payah nak buat muka sedih! Kau dah jadi kawan kita orang.  Bagitahu kat laki kau tu, mungkin sejuk sikit hatinya.” Zaiton menepuk peha Ain yang kelihatan sedih itu.
            “Nanti aku cakap dia tak percaya.  Dia ingat aku main-main saja,” terang Ain, dia tidak berani menyatakanya.  Takut, jika Haikal tidak percaya. 
            “Nanti kita pergi jumpa dia, ya. Kau dah hubungi mak kau?”  Rose duduk mengadap kedua-dua gadis itu. Dia mula mengupas bawang pula.
            “Dah, tapi tak berjawab.  Risau juga aku,” luah Ain tentang emaknya.  Setiap hari dia menelefon, tetapi jawapan yang diterima amat menghampakan.
            “Nanti aku telefon mak aku, tanyakan tentang mak kau,”  cadang Rose.  Hairan juga.  Ke mana pula Mak Limah dan apa yang berlaku?
            “Membebel aje, bila nak siap kerja?’  Zaiton mencebik. Ikan bilis sudah siap dibuang perutnya. Satu  kilo seminggu.  Memang penatlah, sakit habis pinggang dan jarinya, tetapi kerana seorang sahabat dia terus membantu.
            “Yalah..” Rose mencebik.  Dia menumis cili yang telah siap dikisar untuk sambal tumis, semerbak bau harumnya.
            Ayam sudah digoreng, cuma tinggal masak sambalnya sahaja. 
            “Tengok kesungguhan kau ni, buat aku terfikir nak buka restoranlah Rose, daripada duit aku habis begitu saja.  Baiklah aku kongsi berniaga dengan kau,” cadang Ain.
            Zaiton dan Rose saling berpandangan.
            “Sabar dulu kawan! Jom kita saling kenal mengenali hati masing-masing dulu,” ujar Rose serius. Bukan mudah berkongsi perniagaan, silap percaturan boleh bergaduh besar.  Dia tidak mahu perkara itu berlaku. Biar selesaikan satu-satu dahulu. 
            “Aku serius,” ucap Ain.
            “Aku juga serius, kita baharu sahaja nak berbaik Ain, jangan gelojoh sangat.”
            “Ya Ain,” sampuk Zaiton.  Biarlah kedua insan itu saling mengenali hati budi masing-masing.  Selepas rasa serasi baharulah fikir langkah seterusnya.
            “Baiklah… jika dah terbuka pintu hati kau, kau bagi tahu aku ya,  Rose.”  Hanya itu sahaja caranya untuk dia membalas segala kemungkaran yang telah dilakukan terhadap gadis itu.  Malunya masih menebal dalam diri.  Nak berhadapan dengan keluarga Rose pun dia sudah terasa seksanya.  Malu sungguh!

No comments:

Post a Comment