AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 28 February 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 80



Weeda membersihkan sisa makanan yang tertumpah di atas meja makan.   Letih juga seharian menjaga  Hajah Sofiah,  ketika Dasuki  keluar daerah.   Dia sendiri yang menawarkan diri. Padan dengan muka.  Sudah biasa bersenang-lenang di hujung minggu. Hari ini dia menyibukkan diri membantu dan menjaga emak temannya itu.   Dia merenung wajah Hajah Sofiah yang sedang mengaji di ruang tamu. Keluhan dilepaskan lagi. Sehari sudah mengeluh, bagaimana jika berbulan, bertahun atau seumur hidupnya dia terpaksa melakukan kerja-kerja itu. Memandi dan menyediakan makanan untuk Dasuki dan emaknya.  Aduhai… biarpun dia perempuan, tetapi dia tidak suka buat kerja-kerja rumah. Itu sebab rumahnya juga menggunakan orang gaji, biarpun dia tinggal sendirian.  Keluarganya di kampung.  Rumah banglo setingkat itu dibeli dengan duit titik peluhnya bekerja. 
            “Cik Weeda penat ke? Pergilah berehat di bilik tetamu,” suruh Kak B. 
            “Tak apalah Kak B, biar saya di sini saja,” tolak Weeda dengan penuh sopan.  Akalnya masih berfikir. Jika dia hendak menjadi suri hati Dasuki, dia harus bersedia menjaga suri hati lelaki itu, Hajah Sofiah. Mampukah dia? Sedangkan dia bekerjaya, dan dia suka dengan kerjanya.  Kalau Dasuki suruh dia berhenti setelah berkahwin nanti, mahukah dia? Sedangkan dia sayangkan kerja-kerjanya.  Weeda mengeluh berat.
            Laungan orang memberi salam mengganggu lamunan Weeda.  Dia menjengah ke luar tingkat.  Kak B sudah pun melangkah keluar.  Membuka pintu pagar dan mempelawa gadis itu masuk.
            “Siapa datang?” tanya Hajah Sofiah, dia berhenti mengaji. Matanya memandang wajah Weeda yang sudah bersedia menunggu kehadiran tatamu di muka pintu.
            “Rose, mak cik,”  kata Weeda menjawab soalan Hajah Sofiah.        
            “Rose?” Hajah Sofiah sudah tersenyum gembira.  Gadis itu pandai melayannya berbual.
            Daun pintu dibuka perlahan. Terpacul Rose dengan mangkuk tingkatnya.  Sengaja dia bawa makanan di waktu petang. Untuk minum petang dan makan malam.
            “Puan Weeda pun ada?” Rose agak terkejut.  Tidak sangka pelanggannya yang seorang lagi ini ada di rumah itu.
            “Rose, Weeda temankan mak cik, Sukikan keluar daerah.  Tak sangka Rose nak datang juga hari ni?” sampuk Hajah Sofiah menjawab bagi pihak Weeda yang berdiri kaku di hadapan gadis itu.
            “Hari ini Rose ada masak istimewa sikit, nak mak cik cuba, manalah tahu suka dan ingin berubah selera.”
            “Rose masak apa?”  Hajah Sofiah teruja mendengarnya.
            “Hari ini, Rose bawa lauk Masak lemak pucuk paku dengan udang galah,  paru goreng berlada, dan ikan pekasam goreng garing. Nanti mak cik makan dengan Kak Weeda tau,”  cerita Rose tentang menu yang dibawa.
            “Kak B tak boleh ke, Rose?” gurau Kak B.
            “Kak B sekalilah.”  Rose tersenyum.
            Mangkuk tingkat dibawa ke dapur oleh Kak B. 
            Rose pula terus melayan Hajah Sofiah berbual.
            Weeda memerhatikan sahaja Rose dan Hajah Sofiah berbual.  Mesra dan serasi mereka berdua.  Senyuman terlakar di bibirnya.  Hajah Sofiah mudah mesra dengan sesiapa sahaja. 
            “Rose berniaga esok?” tanya Weeda. Matanya melakar di wajah polos Rose.
            “Berniaga kak Weeda, nak jadi kaya cukuplah sehari saja bercuti,” gurau Rose.
            “Nanti jangan lupa bungkus nasi untuk akak ya, kirim saja dengan Ton,”  pinta Weeda. 
            “Berkat berniaga, Rose dapat ramai kenalan.  Terima kasihlah mak cik dan Kak Weeda sudi jadi pelanggan Rose,”  ucap Rose, gembira.
            “Kami sepatutnya ucap terima kasih, baharulah puas membeli. Sedap dan murah harganya.” Weeda mendekati kedua insan yang semakin dekat di hatinya.
            “Bila nak buka restoran pula?” tanya Weeda.  Sudah selayaknya Rose mencuba dan beralih berniaga  di restoran pula.
            “Sedang kumpul modal Kak Weeda,” jelas Rose. Memang ada perancangan.  Biarlah cukup modalnya dulu. Dia tidak boros berbelanja.  Biarpun pendapatannya lumayan dia tetap menabung untuk membuka restorannya sendiri nanti.
            “Kenapa tak buat pinjaman bank?”  Hajah Sofiah merenung wajah Rose.  Dia memerhati setiap inci wajah itu. Cantik juga, cuma kulitnya agak gelap.    
            “Tak nak berhutang mak cik.  Biarlah lambat tetapi modal sendiri. Jadi apa-apa dengan perniagaan tidaklah gigit jari sangat sebab tak mampu bayar hutang bank,”  jelas Rose tentang perancangannya.  Kalau perniagaan berjaya tidak mengapa, bagaimana kalau gagal, hutang tetap kena bayar, sudah tentu ahli perniagaan itu akan diburu oleh pihak bank.  Dia tidak mahu begitu. Biarlah dia susah dahulu dan senang kemudian. 
            “Bagus Rose,”  puji Weeda.
            Bunyi enjin kereta masuk ke perkarangan laman rumah membuatkan mereka menoleh  serentak ke arah pintu yang terbuka.  Terpacul Dasuki yang baharu sahaja pulang. Dia memberi salam dan mendekati Hajah Sofiah. Tangan diraih, dicium dan dikucup penuh hormat. 
            Weeda dan Rose memerhati dengan senyuman terukir.  Hormat dan sayang sungguh  Dasuki dengan emaknya. 
            “Rose pun datang? Terima kasih pada awak berdua kerana sudi menemani emak saya.  Taklah emak sunyi sangat, kan?”  Dasuki terharu.  Kedua-dua gadis itu hanya kawannya sahaja tetapi sanggup bersusah kerananya.  Erti sebuah persahabatan yang baik, saling bantu membantu.
            “Tak ada apa nak buat dirumah, jadi datanglah sini, tengok-tengokkan mak cik.   Lagipun saya ada masak lebih sikit, itu yang hantarkan,” jelas Rose tentang kehadirannya. Bukan dia sengaja.  Hati tergerak untuk memasak lebih dan menghantarnya kepada Hajah Sofiah.
            “Saya nak minta diri dulu. Esok Abang Suki tolong bawakan mangkuk tingkat itu ya, tak naklah ganggu  tuan rumah yang baharu balik dari kerja.  Mak cik, jangan lupa makan ya.  Kalau sedap pujilah, kalau tak sedap bagi tau juga ya.” Rose mengenyitkan mata ke arah Hajah Sofiah yang tersenyum manis.
            “Baik Rose! Pasti sedap,” puji Hajah Sofiah.
            “Tak makan lagi dah kata sedap,”  usik Rose.
            “Ya, nanti mak cik makan dulu, lepas tu tengoklah nak puji ke nak keji?”  gurau Hajah Sofiah.
            “Ala mak cik ni…” Rose merengek manja.  Wanita itu sudah bagaikan emaknya sendiri. Layanan dan kemesraan mereka bukan pura-pura.  Dia bersalaman dengan Weeda dan Kak B serta Hajah Sofiah sebelum melangkah keluar.
            Dasuki senang melihatnya.  Emaknya semakin ceria dan bersemangat, tidak lagi bersedih seperti dahulu. Ruang dan masa yang ada diisi dengan mengaji dan membaca.
            Weeda yang hanya melihat turut tersenyum.  Gelagat mereka buat hatinya bahagia.  Kemesraan mereka bagaikan sebuah keluarga.
            “Kalau begitu, saya minta diri dululah.  Awak pun dah balik…”  Weeda memohon diri, dia sendiri berasa letih dan ingin berehat. 
            “Takkan nak balik dah?” Dasuki mengerut dahi. Tidak sempat nak berbual dengan  temannya itu.
            “Lain kali saya datang lagi.”  Weeda mengambil beg tanganya.  Setelah bersalaman dengan Hajah Sofiah dan Rose, dia terus melangkah pergi. 
            “Weeda, malam ni kita keluar, boleh?” ajak Dasuki.
            Weeda memandang wajah temannya buat seketika.  Dia tersenyum dan mengangguk perlahan.
            “Nanti pukul 9.00 saya datang ambil awak.”
            “Okey, saya tunggu.”  Weeda masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin dan memandu pergi.  Pertemuan demi pertemuan berlaku antara mereka, sejak berjumpa semula.  Adakah Dasuki turut berasakan apa yang sedang dia rasakan ketika ini?  Weeda mengeluh.  Kemesraan Rose dan Hajah Sofia mengganggu fikirannya juga.  Dia mengeluh perlahan.

No comments:

Post a Comment