AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 6 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 83


Kad jemputan perkahwinan pelanggan setianya ditatap lama. Nama Dasuki diusap perlahan-lahan. Kenapa kau singah di hatiku, bisik Rose sendiri.  Pagi tadi Dasuki dan Weeda menghantarnya sendiri. Cepatnya mereka sudah nak berkahwin.  Perkara baik buat apa bertangguh.  Kebetulan mereka berdua orang berduit.  Apa sahaja mudah bagi mereka.  Dia turut mengucapkan tahniah kepada mereka berdua.   Dia akan hadir, biarpun hatinya sakit.  Jangan kecewa dan tidak seharusnya dia sakit hati.  Lelaki itu tidak pernah sedar pun akan kehadirannya.  Dia hanyalah penjual nasi di tepi jalan.  Wajah buruk dan hodoh pula, siapalah yang nak pandang.  Tangannya laju mengesat air mata yang  hampir gugur di tubir matanya.  Dia menyimpan kad tersebut ke dalam beg tangannya.  Dia mengemas meja dan bekas-bekas yang sudah kosong isinya.  Hatinya tersenyum puas.   Perniagaannya sentiasa laris.  Daripada melayan perasaan sendiri, biarlah dia melayan keuntungan yang diperolehi. 
            “Ooo… di sini gadis hitam ni ya?  Berniaga makanan?  Tentu lumayankan?” sapa seorang lelaki yang berpakain kemas. 
            Rose yang sedang mengemas berhenti melakukan kerja-kerjanya. Wajah lelaki itu amat dikenalinya.  Dia tersenyum sumbing. Masih berani lelaki itu menayangkan muka di hadapannya.    Dia menjeling tajam. Menyampah pula tengok wajah itu.  Orang yang telah memalukan keluarganya.  Lelaki yang tidak bermaruah.  Ain sudah menceritakan segala-galanya.  Kalaulah lelaki itu baik, tentu menolak tawaran yang dibuat oleh Ain, ini tidak, malah menawarkan diri.  Memang dasar mata duitan.  Kalau perempuan, mengikis harta lelaki, biasalah. Ini lelaki, mengikis harta perempuan, memang teruklah.
            “Joe!”  Rose mencekak pinggang. 
            “Apa kau nak?”  tanya Rose geram.  Kalaulah dia tidak ada perasaan atau gila, sudah tentu lelaki itu dihunus dadanya dengan pisau tajam.
            “Tak nak apa-apa. Aku lalu di kawasan ini, ternampak kau.” Joe memandang wajah gadis hitam itu. Tidak pernah berubah, tetap hitam dan gelap. 
            “Kalau tak ada apa-apa, pergilah berambus dari sini, aku sibuk ni!” Rose menyambung kerjanya semula. Malas dia nak melayan lelaki yang tidak ada hubungan apa-apa dengannya lagi. 
            “Rose! Maafkan aku,” luah Joe.
            Rose berhenti sejenak.  Dia memandang wajah Joe, mencari keikhlasan di wajah itu.
            “Aku dah lama maafkan kau,”  ucap Rose.  Kenapa tiba-tiba lelaki itu meminta maaf? Mungkin sudah insaf dan sedarlah agaknya.  Biarlah, bukan dia ada rugi apa-apa pun. Minta maaf atau tidak, dia tetap seperti itu.
            “Aku benar-benar kesal dengan apa yang berlaku.  Aku harap kau tidak mendendami aku.”  Joe mendengus kasar. Sudah lama dia mencari Rose, malah sehingga ke kampung gadis itu.  Tidak sangka bertemu di sini, kebetulan dia ke rumah kawannya berdekatan taman itu.  Terlihat sahaja Rose tadi, terus dia berhenti.  Dia berharap sangat gadis itu sudi memaafkan dirinya.  Dia insaf pada dirinya sendiri. Setelah mengambil duit yang diberi oleh Ain, dia terus berjalan kembali ke keretanya. Dia menyeberangi jalan tanpa memandang kiri dan kanan.  Tidak disangka sebuah kereta menghampiri dan terus melanggarnya. Seminggu dia koma, ketika itu macam-macam mimpi menyinggah, membuatkan dia berasa takut teramat sangat. Di bakar hidup-hidup, diseksa dan dihukum atas segala dosa yang pernah dilakukannya. Untung dia diberi peluang untuk berubah, nyawanya masih panjang.  Dia juga mencari Ain, untuk meminta maaf.   Dia benar-benar rasa bersalah.
            “Kau tak pura-purakan?” soal Rose, tidak percaya.  Mudah sangat berubah.  Tetapi semuanyakan kehendak ALLAH, tiada yang mustahil.
            “Taklah Rose, kau tengok kaki aku ni?  Aku dah guna kaki palsu,” ujar Joe sambil mengangkat seluarnya.    Akibat kemalangan itu, dia kehilangan sebelah kakinya yang hancur digilis oleh kenderaan lain. 
            Rose terkejut. Dia menutup mulut.
            “Maafkan aku ya, aku berdosa pada kau!” luah Joe dengan wajah penuh mengharap. Mungkin ini balasan yang selayaknya diterima setelah  melakukan banyak dosa.  Dia telah memalukan Rose dan menjatuhkan maruah gadis itu serta keluarganya.
            “Aku harap kau benar-benar bertaubat, tidak mempermainkan orang lain lagi.  Kembalilah ke pangkal jalan.  Kau boleh menjadi manusia yang baik, Joe,” nasihat Rose.
            “Aku juga ingin meminta maaf dengan Ain, puas aku mencari dia setelah kaki palsu aku ini dipasang. Kalau kau ada jumpa dia, tolong sampaikan kemaafan aku kepadanya.  Aku duduk dengan Kak Maznah. Dia pun cari kau.”  Joe meraup wajahnya.  Kecacatan membuatkan dia sedar, bahawa hidup ini adalah sementara sahaja.  Berbuat jahat dan melakuka dosa tidak membawa dirinya ke mana-mana, malah menjahanamkan dirinya sendiri. Inilah balasan yang telah diterimanya. 
            Rose terdiam,  perlukah dia memberitahu Joe di mana Ain berada?   Tidak perlulah, dia akan menyampaikan pesanan Joe tadi. 
            Setelah berbual seketika, Joe berlalu dari situ.
            Rose menarik nafas lega.  Orang yang selama ini berperilaku jahat sudah insaf dan kembali menjadi manusia yang berguna.    Dia benar-benar bersyukur.  Ada ruang dan peluang untuk bertaubat kepada mereka yang masih bermaharajalela di luar sana.  ALLAH itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih, tidak akan berlaku kejam kepada hamba-hambanya. ALLAH memberi ruang dan peluang kepada Ain, Mak Limah dan Joe untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. 

***

            Malam itu ketika makan malam, Rose menceritakan kepada Ain dan Zaiton tentang pertemuannya dengan Joe. Terlopong mulut mereka berdua.  Tentulah tidak percaya. Terutama Ain.  Dia masih marah dengan Joe kerana telah memeras ugutnya.
            “Aku tak percayalah! Joe pandai berlakon Rose. Kau jangan mudah terpedaya,”  nasihat Ain.
            “Yalah, pada mulanya aku  tak percaya juga, tapi bila dia tunjukkan kaki palsunya.  Aku percayalah.” Rose  mengangguk. Dia yakin benar, Joe sudah berubah.    
            “Kau ni cepat sangat percaya kat orang, kalau dia pura-pura macam mana?” Zaiton menundingkan jarinya ke wajah Rose. 
            “Itu dia punya pasal. Jangan dia datang ganggu aku sudahlah!”  Harapan Rose. Dia tidak mahu lelaki itu hadir lagi dalam hidupnya. Cukuplah perkara yang lepas.
            “Yalah, kita lupakan pasal Joe,  majlis perkahwinan bos aku sebulan saja lagi, kau dijemput tak  Rose?’ tanya Zaiton.
            “Ada,” jawab  Rose, cuba memaniskan mukanya.  Dia tidak mahu kedua sahabatnya itu perasan apa yang tersembunyi di dalam hatinya.  Kekecewaan yang tidak terucap dengan kata-kata.  Hanya dia yang tahu.
            “Nanti kita pergi ya, sebulan lepas tu aku pula bertunang. Kau orang berdua jangan tak hadir pula,” cerita Zaiton sambil melakar bahagia.
            Semua orang berpasangan. Dia juga yang bersendirian. Nasib badan. Terima sahajalah. 
            “Kalau Joe nak berbalik dengan kau, macam mana?” Ain mengangkat kening, ingin tahu pendapat Rose.
            “Hatiku sudah tertutup Ain, biarlah aku begini. Kau orang jangan bimbang ya.”
            “Rose!”  Zaiton mengusap lengan Rose dan memeluk bahu sahabatnya yang duduk di sebelah.
            “Aku okeylah!” Rose tersenyum. Hati yang menangis siapalah yang tahu, kan. 
            “Betul?” tanya Ain cuak.
            “Yalah… esok Haikal nak jumpa kau.  Dia hantar whatsapp kat telefon aku.”  Rose menyerahkan telefonnya untuk Ain membaca pesanan daripada Haikal.
            “Berbulan-bulan aku pujuk dia, baharu sekarang dia nak ajak aku keluar?”  Marah Ain, bukan sedikit duit dikeluarkan dalam usaha memujuk lelaki itu kembali kepadanya.  Egolah sangat.
            “Ala… tak payah nak marah.  Lelaki egonya tinggi.”  Zaiton ketawa.  Itulah lelaki, itu sebab dia tidak suka mendekati orang lelaki, kadang-kadang berasa ingin hidup sendiri sahaja.  Tetapi kehendak keluarga, dia turutkan juga.  Minggu hadapan baharu nak berkenalan dengan bakal suaminya. Pilihan abang sulongnya. Harap sesuai dan serasi dengannya. Memang ketinggalan zaman, berkahwin atas pilihan keluarga.  Salahkah?  Tidakkan? Asalkan ada  keserasian antara mereka, cukuplah.
            “Yalah Ain… nanti aku temankan kau ya.” Rose mengenyitkan mata.
            “Rose… terima kasih!” ucap Ain hiba.  Kalaulah dia mendekati gadis itu lebih awal, pasti hidupnya tidak jadi seperti ini.
            “Ala… kecik punya hal.”  Rose menepuk lengan Ain lembut.
            “Aku berdosa dengan kau, dengan keluarga kau!” Ain menangis sedih.
            “Hish… melodramalah pula… aku ingat Nengyatimah saja yang kaki menangis kut, Roseyatimah tak, kan?  Erk… Ain taklah kut!” Zaiton mentelengkan kepalanya memerhati Ain menangis.  Perempuan dan air mata memang tidak boleh dipisahkan.
            “Kau ni Ton, aku sedang bersedih ni!” Ain menampar bahu Zaiton.
            “Yalah, yalah, layan kesedihan kau tu! Itulah ALLAH suruh buat baik bukan ketika dah dewasa, tetapi sejak kecil juga tau.  Sekolah aje tinggi, tapi akal pendek,” omel Zaiton.
            “Aku tahulah aku salah.  Nasib baik aku sempat bertaubat dan tak buat macam tu lagi! Aku janji!”  Ain mengangkat  tangan sebelah separa dada.  Air matanya masih mengalir laju.
            “Dahlah tu. Walaupun kau cantik, tapi bila menangis, buruk juga ya,” usik Rose.
            “Hish, kau orang ni, tak sensitif langsung!”  Ain mencebik. Dia punyalah sedih, mereka berdua boleh buat lawak.
            “Kawan-kawan kau yang suka usik aku dulu tu mana pergi ya?  Kau tak pernah berhubung dengan mereka ke?”  Rose teringatkan kawan-kawan sekelasnya yang lain, yang bersama-sama Ain sering mengusik dan membulinya.
            “Entah… lepas habis sekolah terus tak jumpa mereka.”  Ain mengesat air mata yang mengalir keluar.  Dia mengambil tisu dan mengelapnya sehingga bersih.  Dia berasa tenang sedikit.
            “Kau tak pernah cari mereka?” Rose menghabiskan nasi di dalam pinggan dan terus bawa ke singki.
            “Tak…” Ain turut melakukan yang sama.
            Mereka kembali duduk di kerusi.
            “Biarlah… aku dah berkawan dengan kau pun. Jadi, kaulah kawan aku sekarang! Esok kau tak berniaga, kau ikut aku jumpa Haikal ya.”  Ain ceria semula.
            “Aku nak ikutlah!”  Zaiton mengangkat tangan.
            “Menyibuk saja,”  usik Ain.
            “Ala… bosanlah duduk sorang-sorang kat rumah,”  keluh Zaiton.
            “Yalah… ikutlah sekali!” Rose tersenyum. Sekurang-kurangnya dia ada juga teman berbual, ketika Ain menyelesaikan masalahnya dengan Haikal.

No comments:

Post a Comment