AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 11 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 84



            Wajah tenang lelaki itu menjadi santapan matanya.  Berpinar seketika setelah dipanah matahari yang memancar terik.  Jambangan bunga yang dibawa oleh Ain diletakkan di atas meja.  Ke mana pula perginya Ain, Zaiton pula duduk di meja sebelah buat wajah poyo sambil mengangkat kening.  Restoran makanan ringan KFC itu masih lengang.  Rose memandang kiri dan kanan, ke mana pulalah si Ain ni? Dia gelisah.
            “Mana kawan baik awak tu?”  tempelak Haikal geram. 
            “Hish… sabarlah, dia ke bilik air, gugup agaknya!”  Rose rasa nak tampar sahaja muka Haikal.  Poyo sangat. Konon, garanglah itu. Muka cemberut Haikal dipandang dengan jelingan tajam.
            “Awak berdiri macam tunggul kayu tu kenapa?” Haikal mengangkat kening. 
            “Erk…”  Rose terus duduk di hadapan Haikal.  Serba salah jadinya.  Ain ini memang nak kenalah.   Seingatnya Ain masuk dahulu ke dalam restoran. 
            “Bunga ni untuk saya?” Soal Haikal.
            Laju Rose mengangguk.  Matanya masih lagi mencari Ain yang menghilangkan diri entah ke mana.
            “Awak apa khabar? Sejak berkawan dengan Ain, okey ke?” Haikal menyedut ais lemon tea yang dipesan awal tadi.  Wajah serabut Rose ditenung lama.
            “Baik…” Sepatah sahaja jawapan yang keluar dari mulut Rose, dia gelisah sebenarnya.
            “Abang… Ain minta maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, akan segala kesalahan yang Ain lakukan selama ini.  Sudilah kiranya abang menjadi imam Ain dan Ain sedia menjadi makmumnya. Bimbingilah isterimu ini ke jalan yang diredhai, bawalah Ain terbang bersama abang menyelusuri setiap lorong dan danau dalam rumah tangga kita,”  kata Ain yang muncul tiba-tiba dengan jambangan bunga yang lebih besar, siap dengan beruang kola yang agak besar.  Ain melutut di hadapan  Haikal dengan mata penuh mengharap.
            Rose dan Zaiton membuntang melihatnya.  Telinga terasa nanar mendengar butir bicara Ain. Nak tergelak pun ada.  Rose menahan ketawanya di hati.  Memang romantik betullah.
            Haikal pula terkejut beruk. Memang kes parah kalau macam ini. Beberapa petugas restoran makanan segera itu sudah mula senyum-senyum dan bercakap sesama sendiri.  Memang teruklah! Apa punya strategik yang digunakan oleh isterinya.   Bunga, beruang kola.  Malunya! Oi! Dia lelakilah.
            Rose terus duduk di meja belakang bersama Zaiton, dia mengangkat bahu tanda tidak mengetahui rancangan Ain.  Mahu pecah gelaknya melihat wajah Ain. Pandai juga perempuan itu berlakon.  Berlakonlah Ain, asalkan Haikal ingin kembali bersama.
            “Awak ni kenapa? Buat malu saja!”  Haikal menarik tangan Ain duduk di hadapannya. 
            “Saya buat dengan hati yang ikhlas bang, takkan tak suka?”  Ain mengerdipkan mata. Aksi menggoda.
            “Sudahlah tu! Rimas saya tengok…” rungut Haikal. Dia menoleh, memerhati, jika ada pelanggan yang melihat. Ada cctv, habislah kalau dimasukkan ke dalam youtube, satu dunia tengok. Malu besar dia nanti.
            “Susah sangat nak pujuk, awak nak saya buat macam mana lagi, untuk pujuk awak?”  Ain mencebik.
            “Ait! Dah ubah mood ke?” tanya Haikal serius.
            “Taklah… awak tu janganlah merajuk sangat.  Buruk tau!’ kata Ain selamba.
            “Awak tu yang keras kepala, kalau saya tak merajuk, ada awak nak pujuk?” ujar Haikal lagi.
            “Tapi takkanlah makan masa berbulan-bulan, kalau saya mengandung, dah beranak tau!” kata Ain sedikit kasar. 
            “Erk… tak mengandung ke?’ tanya Haikal sambil menyengih.
            “Hish… perlahanlah sikit. Didengari oleh kedua budak perempuan kat belakang tu, jadi bahan lawak mereka pula nanti,” tegur Ain. Bukan dia tidak tahu perangai Rose dan Zaiton yang sedang mencuri dengar perbualan mereka berdua.
            “Biarlah…!”  Haikal menyengih.      
            “Eee… tak malulah!”  Ain mencubit lengan Haikal.
            “Nak jadi ketam pula ke?” 
            “Awak yang mulakan dulu, kan?”  Ain menjeling manja.
            “Bang… maafkan saya ya?” pinta Ain sambil menunduk.  Dia sedar kesalahannya. Rose banyak membimbingnya, malah membelikannya buku tentang rumah tangga.  Dia benar-benar rasa bersalah, tidak bersyukur dengan kurniaan ILAHI. Haikal seorang lelaki yang baik tetapi dia tidak pandai menghargainya.  Dia kurang ajar, dia tidak hormat Haikal sebagai ketua keluarga, memang teruklah sikapnya.  Rupanya menguruskan rumah tangga pula juga dipelajari dan bertanya daripada orang yang lebih berpengalaman.  Dia tidak salahkan emaknya yang kurang mendidiknya dalam soal rumah tangga. Sepatutnya dia mencari sendiri, bukan mengharapkan bantuan orang lain. 
            “Abang pun nak minta maaf kerana berkasar dan tidak mendidik Ain dengan betul,” ucap  Haikal. Dia juga bersalah. Buat syarat yang bukan-bukan dan tidak ada kena mengena dengan rumah tangganya.  Tidak sabar dengan kerenah Ain yang sepatutnya dibimbing dan ditegur dengan cara yang lebih berhemah.  Bukan dengan herdikan atau kemarahan. Kenalah saling hormati menghormati. Bertolak ansur dalam beberapa perkara selagi tidak melanggar hukum agama.
            “Alhamdulillah… dah selesai.  Boleh saya pesan makanan tak?” sampuk Rose di belakang.
            Haikal dan Ain memandang wajah Rose yang tersenyum manis.
            “Pergilah pesan!” arah Haikal.
            Ain tersenyum bahagia.  Masalahnya telah selesai. 
            “Bila  boleh balik rumah kita?” tanya Haikal, wajah Ain yang semakin tenang dan ceria itu ditenung lama.  Paling dia suka, Ain sudah memakai tudung.  Terkejut juga dia tadi. Pakaiannya juga sedikit longgar. Haikal tersenyum lega.  Ain adalah tanggungjawabnya.  Dia tidak boleh lalai mendidik isterinya tentang aurat seorang muslimah. 
            “Bila-bila saja,” ucap Ain sambil tertunduk malu.
            “Balik hari ni ya?” Haikal mengenyit mata.
            “Hah? Hari ni… duit sewa, duit makan, bil letrik, bil air, jangan lupa kira ya!” usik Zaiton.
            Ain menjelirkan lidah.  Zaiton memang kuat menyakatnya.
            Rose tiba dengan set KFC seorang satu.  Dia duduk di hadapan Zaiton.
            “Kenapa duduk sini? Tak puaslah. Moh duduk sebelah mereka,”ajak Zaiton. Dia terus bingkas bangun dan duduk di sebelah Haikal.
            Membuntang mata Ain merenung Zaiton.
            Zaiton menyengih.
            “Jangan nak buat aksi mata besar ya?  Kes kau dah selesaikan?  Jom kita makan-makan pula!” kata Zaiton. 
            Rose menggeleng laju.  Apalah punya kawan. Tidak bagi peluang kedua pasangan suami isteri itu  nak berbual mesra.
            “Rose, mari duduk sini!”  ajak Zaiton.
            “Kau ni apalah Ton, bagilah peluang Haikal dan Ain bersembang.  Kacau daun saja.”  Rose duduk di  Ain.
            “Nak sembang balik rumah!” jawab Zaiton, dia menyengih.  Ayam KFC terus dijamah perlahan. 
            “Terima kasihlah pada kau orang berdua, sudi jagakan isteri aku ni,” ucap Haikal.
            “Ala… sikit saja bantuan kami ni, kalau nak bayar tak terbayar juga. Duit motivasi dan duit buku pun mahal juga,” usik Rose.  Dia ketawa nipis.
            Mereka saling tersenyum. Rose menarik nafas lega, masalah Haikal dan sahabatnya telah selesai.  Semoga rumah tangga mereka terus melakar bahagia.   Jika bergaduh-gaduh manja itu, perkara biasa.  Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Lidah yang mana tidak tergigit. Inilah asam garam kehidupan.  Kalau tidak sabar memang hancurlah.  Mereka sudah melakar bahagia, bagaimana dengan dirinya?  Hanya ALLAH jualah yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment