AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 16 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 85


Keseronokan berniaga  makanan adalah dapat duit banyak dan segera. Tidak seronoknya adalah kepenatan menguruskan segala-galanya.  Ain sudah pun pulang ke rumah suaminya semula.  Zaiton sudah pun selamat bertunang.  Tinggal dia seorang diri melakar bicara duka di hati.  Biarlah, ALLAH lebih tahu akan kekuatan dirinya.  Jangan ada kesal di hati dengan apa yang telah ditakdirkan kepadanya.  Inilah hidup namanya. Tidak mengapa, di akhirat nanti pasti dia secantik bidadari juga. Kenapa nak susah hati? Hanya itu sahaja caranya untuk dia memujuk hati sendiri.  Duit yang terkumpul sudah membolehkan dia membuka sebuah restoran yang sederhana dekorasinya.  Apa yang penting adalah kekemasan dan kebersihan. Dia juga penah fikirkan konsep restorannya nanti. Kalau guna khidmat pelayan pasti memerlukan pekerja yang ramai  untuk mengambil pesanan pelanggan dan mengemas meja.  Dia perlu teliti dengan baik, jika tidak pasti ada masalah nanti.
            Pelanggan baharu dan lama silih berganti.  Pelanggan datang dan pergi.  Dia tetap seperti dahulu, ramah dan sedia melayan kerenah manusia yang pelbagai. Jangan ada marah di hati, sabar dan bertenang melayan kerenah mereka.  Masa silih berganti, siang dan malam, hujan dan panas, semuanya dilalui dengan hati yang tabah.  Kedua orang tuanya, Hajah Mona dan Mak Limah selamat mengerjakan umrah.  Mak Limah sudah jauh berubah, Subhana-ALLAH, hidayah ALLAH tidak ada siapa yang berani mempertikaikannya.  Jika ditakdirkan seseorang itu akan berubah, sekelip masa sahaja dia akan berubah.   Joe juga sudah berubah, dengar kata akan membina mahligai bahagia dengan gadis pilihan kakaknya. Kak Maznah sudah pun berjumpa dengannya memohon maaf atas keterlanjuran Joe menipu dirinya.   Apa lagi dayanya selain ucapan memaafkan.  Biarlah dia menjadi manusia yang terbuka hatinya.  Lapang dadahnya, menerima suratan takdir dengan hati yang terbuka dan redha. 
            Seperti hari minggu-minggu yang lalu, dia akan bangun menyediakan sarapan.  Sengaja dia tidak mahu mengganggu Zaiton berehat.  Sejak berniaga, dia suka memasak, dan rasanya tidak lengkap hidupnya jika sehari itu dia tidak memasak.  Pagi ini dia akan jamu Zaiton dengan nasi  goreng kampung, ayam goreng berempah, telur mata kerbau dan kuih talam suji.  Kopi panas kesukaan sahabatnya turut dibancuh seorang satu mug.
            “Ya ALLAH, semerbak baunya Rose.   Tak tahan aku.  Maaflah aku hanya gosok gigi. Kira bolehlah ya, terus makan.”  Zaiton terus duduk di hadapan meja makan. Sarapan sudah terhidang. 
            “Gelojohlah kau!”  Rose mencubit pipi Zaiton.
            “Apa main cubit-cubit ni?  Sakitlah!”  Zaiton menolak tangan Rose.
            Rose ketawa senang.  Dia menyenduk nasi ke dalam pinggan dan meletakkannya di hadapan Zaiton.
            Zaiton terdiam.  Dia tunduk memandang rezeki yang ada di hadapan matanya.  Dadanya sebak, hiba mencengkam hati.  Berat matanya, sesak nafasnya.  Bergetar jantungnya.   Terketar bibirnya.
            “Ton?”  Rose kehairanan.  Dia duduk di hadapan Zaiton sambil meneguk kopi panas yang enak ditekaknya, terasa segar tubuh dan mindanya.
            Air mata Zaiton berguguran jatuh membasahi pipi gadis itu. Dia menangis semahu-mahunya.  Rasa sebak tidak mampu ditahan lagi. 
            “Kau kenapa?” Rose memandang dengan wajah cuak.  Apa halnya?  Dia ada buat salahkah?  Rose membelek makanan yang terhidang, takut-takut ada yang tidak kena.  Tidak sedapkah? 
            “Lagi beberapa bulan aku akan berkahwin, kau akan tinggal sendiri.  Aku tak dapat lagi makan masakan kau. Aku tidak lagi  dapat bantu kau, tolong kau, dan temankan kau!  Rose! Aku tak nak kahwin! Aku tak nak tinggalkan kau!” luah Zaiton dengan linangan air mata.
            Rose terdiam. Tergamam, matanya membulat memandang Zaiton yang menangis seperti ditinggalkan kekasih.  Apalah punya teruk sahabatnya itu.  Terlalu jauh berfikir.
            “Kau dah gila ke?  Tak nak kahwin? Kau nak suruh abang long kau pukul aku?”  bentak Rose. 
            “Aku tak nak kahwin, tak nak kahwin!” kata Zaiton  bagaikan anak kecil.
            “Jadi… kau nak jadi anak dara tua macam aku? Sanggup ke kau?”
            “Tak kisah, andartu, andartulah! Janji aku boleh duduk dengan kau, jaga kau, bela kau…”  kata Zaiton lagi.
            Rose menyandar di kerusi.  Dia membiarkan Zaiton merepek dan menangis sehingga dia puas.   Biarlah dia nak melepaskan  apa yang terbuku di hati.
            “Kau nak seluruh keluarga kau maki aku?  Cakap gunalah akal, sahabat. Jangan ikut rasa saja,”  tegur Rose.  Soal nikah kahwin bukan perkara main-main.  Ini soal keluarga dan masa depan Zaiton.  Perjanjian sudah dibuat, takkan nak tolak pula? 
            “Kalau aku kahwin, kau akan tinggal seorang diri di rumah ni.  Kau akan hidup sendiri, Rose.  Mana aku boleh biarkan?  Apa kata aku suruh abang long aku carikan jodoh untuk kau, nak tak?”  Zaiton merenung wajah Rose yang terdiam dan masih memandangnya. Mata mereka saling berpandangan.
            “Nanti mati pun sendiri juga Ton, nak risaukan apa?”
            “Tak sama Rose.”  Zaiton menunduk sekali lagi.  Otaknya berfikir mencari solusi untuk menyelesaikan masalah sahabatnya itu.  Manalah tahu jika abang longnya ada calon yang sesuai.
            “Nanti aku suruh bang long aku carikan jodoh untuk kau,”  kata  Zaiton riang.       Rose  terdiam, tidak sanggup membantah cadangan sahabatnya itu.  Nanti terasa hati pula.  Adakah orang sudi dengannya?  Mata ditutup buat seketika.  Zaiton anggap dirinya ini sama sahaja dengan dia.  Lihatlah diri sahabatmu ini, Ton, bisik hati kecil Rose.
            “Makanlah Ton, penat aku masak untuk kau.  Tengahari ni aku nak hantar sikit lauk kat  Hajah Sofiah.  Dah lama aku tak hantar. Kau nak temankan aku tak? Lepas tu kita keluarlah jalan-jalan. Boleh cari sekali barang hantaran untuk kau,”  ajak Rose.  Dia tidak mahu lagi pergi sendiri, terasa segan dengan Dasuki dan Weeda  yang kadangkala ada di rumah.  Kalau ada kawan, tidaklah terasa sangat.  Mereka juga akan berumah tangga tidak lama lagi.  Kenalannya akan membina mahligai bahagia.  Dia akan mendoakan kebahagian mereka sehingga ke syurga.  Jangan ada cemburu di hati.  Manusia diberi rezeki oleh ALLAH SWT seperti yang telah ditetapkan sejak azali.  Kenapa perlu ada rasa tidak senang di hati. 
            “Untuk kau apa saja, Rose.  Aku ikut, lepas hantar lauk pauk tu, kita ke Jalan Tunku Abdul Rahman ya?  Bang long suruh aku beli kain untuk majlis pernikahan.  Kau cadang nak cuti berapa hari?”
            “Tak ada masalah.  Mungkin tiga atau empat hari, sampai majlis selesailah.  Nak juga aku berkenalan dan mengenali bakal suami kau tu,” cadang Rose. Sahabatnya  berkahwin, takkan dia tidak membantu apa yang perlu. Hadiah?  Dia akan menghadiahkan sesuatu yang akan dikenang oleh sahabatnya itu seumur hidup.  Sudah lama dia merancangnya. 
            Rose memandang sahaja Zaiton menjamah masakannya dengan penuh selera.  Bohonglah kalau dia tidak terasa, tipulah kalau dia tidak bersedih.  Dia akan kehilangan rakan serumah yang begitu memahami dirinya, begitu mengambil tahu dan sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.  Rose menangis dalam hati. Biarlah dia simpan perasaan sedih itu sendiri.    Dia tidak mahu  Zaiton mengetahui perasaannya.   Biarlah dia sulam duka itu sendiri.  ALLAH sentiasa ada bersamanya.    Air matanya ditekan sekuat hati agar tidak bertabur di pipi. Biar bertabur di hati.  Biarlah menjadi lautan yang luas, tetapi hanya di hati.
            “Kau tengok  saja aku makan?  Kau tak makan ke?”  Zaiton menampar lengan Rose yang mengelamun jauh.
            Rose menyenduk nasi ke dalam pinggan. Dia menguntumkan senyuman.  Nasi itu enak di tekak Zaiton,  terasa tawar di tekaknya.  Tetap dijamah juga demi menjaga hati sahabatnya itu.  Dia yang masak, kenapa pula kena jaga hati Zaiton? Macam-macamlah.

No comments:

Post a Comment