AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 18 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 87


“Kau kenapa? Kat kedai tadi tu banyaklah kasut dan beg tangan  yang cantik-cantik,”  protes Zaiton. 
            “Ala… cari kat kedai lainlah? Atau pun kau beli saja dalam talian.  Banyak juga orang jual, Zalora pun okey juga?”  Rose mengangkat-angkat kening.
            “Teruklah!”  Zaiton memeluk tubuh.  Dia menyandar di kerusi restoran KFC yang terdapat di Jalan Tuanku Abdul  Rahman.    Belum sempat masuk SOGO sudah ditarik keluar.  Apalah yang merasuk sahabatnya itu. 
            “Nak makan dah ke?’ soal Zaiton.  Perutnya masih kenyang, takkan nak makan lagi?
            “Tak nak makan, kau minum air atau pesan kentang goreng.”  Rose  memesan kentang goreng, cheese wedges, dua tea o lemon.  Perutnya pun masih kenyang, sebab terkejut terus terfikir nak cari air bagi menghilangkan dahaga.  Baharu beli telekong.  Belum beli barangan yang tersenarai lagi. 
            Rose memandang manusia yang lalu lalang di hadapan restoran makanan ringan itu.  Melihat kerenah manusia mampu membuatkan dia menangis dan ketawa.  Melihat mereka yang mengemis, buat hatinya hiba. Bukan hiba kerana mereka mengemis tetapi hiba kerana yang mengemis itu masih kuat dan bertenaga.  Kenapa malas bekerja?  Selalunya yang mengemis itu adalah warga asing, datang ke negara ini lalu mencari jalan mendapatkan duit dengan cara mudah. Ada yang menggunakan anak kecil bagi meraih simpati orang ramai. Kasihan anak-anak itu berhujan dan berpanas. Sampai hati si ibu atau si ayah membiarkan anak-anak digunakan sebagai peminta sedekah.
            “Hajah Sofiah suka jika kau jadi menantu dia, kan?” tanya Zaiton setelah mendiamkan  diri beberapa saat.
            “Hish… mana pula?  Diakan sudah ada bakal menantu. Cantik dan lawa orangnya. Sama padan dengan En. Dasuki.”
            “Tapi kau suka dengan En. Dasuki, kan?” Serkap jarang lagi.
            “Kau jangan nak mengusi aku Ton, aku tak ada rasa apa-apa dengan En. Dasuki.” Menafikan sendiri perasaannya. Padahal, hatinya hanya dia yang tahu.
            “Kau jangan nak tipu akulah.  Aku ni sahabat kau.” Zaiton tahu Rose menyembunyikan perasaan hatinya. 
            “Kalau dah tahu, tak payahlah tanya. Buat sakit hati aku saja,” tegur Rose.  Dia menahan air mata daripada mengalir.  Tidak mahu menangis kerana perkara yang tidak menguntungkan.
            “Rose!”  Zaiton memegang tangan Rose.  Dia ingin mengurangkan rasa sakit di hati sahabatnya itu.  Biarlah rasa sakit itu mengalir melalui urat sarafnya. Biarlah dia rasa tekanan itu.  Biarlah dia berasakan beban itu.
            “Aku tak pernah jatuh hati, Ton.  Aku pernah menyayangi seorang lelaki, kami hampir berkahwin. Sekarang perasaan itu berkubur bersama perbuatannya terhadap aku.  Kali ini, aku jatuh hati lagi.  Bukan sebab kekacakkannya, tetapi sikap tanggungjawabnya terhadap emaknya membuatkan hatiku terusik.  Dalam diam aku kagum dengan kesabaran dan kebaikkan.  Kalau kau tengok cara dia melayan emaknya pasti kau juga akan terpikat.  Aku tidak pernah mengharapkan apa-apa Ton.  Aku sedar diriku.  Antara aku dan dia bagaikan  langit dan bumi. Kami tidak sekufu. Tidak sesuai bersama.  Betul Ton, aku tak mengharapkan apa-apa pun. Cukuplah hatiku  mencintainya dalam diam. Tersimpan kemas jauh di lubuk hatiku  yang paling dalam,” luah Rose panjang lebar. Masih banyak yang ingin diperkatakan tentang lelaki yang telah mencuri hatinya itu. 
            “Rose, kau tak boleh begini, sakitnya begitu berat!”  Semakin kuat genggaman tangan Zaiton.
            “Kau nak aku buat apa? Berterus-terang? Begitu?”  Rose tersenyum sinis.  Jangan bermain dengan api, dia takut terbakar nanti.  Jangan berani mencuba, nanti sendiri yang malu.
            “Apa salahnya?” cadang Zaiton.
            “Ton! Dia dah bertunang, dan tak lama lagi akan berkahwin.  Aku tak mahu diriku dimalukan sehingga nak jumpa orang pun aku tak sanggup!” 
            “Aku akan berdoa, agar kau dan En. Dasuki akan berjodoh!”
            “Jangan sakiti hati perempuan lain Ton. Nanti satu hari hati kita pula disakiti.”
            “Tapi mak dia sukakan kau.” Zaiton yakin dengan hal itu. Cara Hajah  Sofiah merenung dan membelai sahabatnya itu, dia pasti sangat-sangat.  
            “Anak dia yang nak kahwin, bukan maknya.”  Rose menjelirkan lidah.
            “Kita cakap hal lain, boleh tak? Tutup cerita pasal En. Dasuki.  Banyak lagi barang tak belikan?  Jom kita ke Sogo,”  ajak  Rose laju. Kalau layan bebelan Zaiton, sampai esok pagi pun tidak habis.
            Zaiton terdiam, hati sahabatnya susah nak diteka.  Suka menyimpan perasaan sendiri, terlalu berasa rendah diri.  Dia memandang susuk tubuh  Rose, sempurna sebagai seorang perempuan, hanya satu kekurangan dirinya, berkulit gelap.  Kalau duduk sebaris dengan perempuan dari Afrika…  Zaiton  mengeluh berat.
            “Kau jangan nak fikir sangat tentang aku. Takdir hidupku sudah ditentukan ALLAH, tak usah pening kepala,” kata Rose bagaikan dapat membaca apa yang tersimpan jauh di sudut hati sahabatnyai itu. Dia mengerling. Langkahnya semakin laju mendekati bangunan pusat membeli-belah Sogo.
            Tidak fikir?  Macam mana tidak fikir?  Gadis itu hari-hari berada di hadapannya.  Hari-hari dia melihat, memerhati dan berbual.  Setiap patah perkataan, perbuatan, semuanya dia ketahui. Memang merepeklah kalau dia buat tidak tahu, getus hati kecil Zaiton.  Penat bercakap dengan orang yang tidak memikirkan diri sendiri. 
            “Kau kenapa Ton?  Asyik mengeluh saja aku dengar?” tegur Rose, sejak  tadi dia hanya mendengar keluhan  yang keluar dari mulut sahabatnya itu.  Apa yang tidak kena lagi? Apa masalahnya? 
            “Tak ada apalah?”   jawab Zaiton malas nak bertekak atau bersembang terutama melibatkan diri sahabatnya itu sendiri.
            Usai membeli beg tangan, kasut, telekung, mereka terus pulang ke rumah.  Rose masih ada tugasan yang menanti.  Zaiton ringan tulang untuk membantu. Bertungkus-lumus mereka menyiapkan segala jenis menu untuk dijual esok pagi. 
            Zaiton memerhatikan sahaja Rose bekerja. Memanglah sahabatnya itu cekap dan mampu melakukannya sendiri.  Bagaimana jika dia tidak lagi tinggal di situ?  Perasaan hiba menghenyak hatinya bila memikirkan Rose tinggal sendiri, tanpa teman, tanpa sahabat dan taman kawan yang boleh diajak bersembang.  Rasa sedih menjerut rasa.

No comments:

Post a Comment