AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 25 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 88


Pagi itu Rose menyusun bekas-bekas yang berisi lauk-pauk beraneka jenis dengan kemas, seperti biasa.  Empat pelas nasi lemak dan satu bekas nasi putih sudah pun dikeluarkan dari perut van.  Segala barang keperluan lain untuk membungkus makanan juga sudah disusun sebahagiannya di atas meja.  Kuih-muih jenis kukus dan goreng sudah bersusun kemas dan dipotong mengikut besarnya yang sesuai.   Dua buah payung yang mampu menutup  makanannya dari hujan dan panas juga sudah dibuka. Biarpun berat dan sukar untuk melakukannya, dia gagahi juga.  Semua makanan ditutup dengan plastik bagi mengelakkan dimasuk habuk dan sebarang kekotoran.
            Pelanggan pertama, kedua dan seterusnya  membeli dan membayar harga makanan.  Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.  Pelajar sekolah, surirumah tangga yang bekerja dan tidak bekerja, bersilih ganti membeli jualannya.  Sehinggalah sebuah lori dan kereta pacuan empat roda berhenti di hadapannya.  Tertulis Majlis Perbandaran.  Rose terkedu sekejap.  Kenapa lori itu datang?  Dahinya berkerut. 
            Turun beberapa orang anggota Majlis Perbandaran yang lengkap  berpakaian seragam mendekatinya. Mereka membelek barang jualannya.  Mereka memandangnya. 
            “Akak orang Malaysia ke Afrika?” tanya salah seorang anggota Majlis Perbandaran itu.    “Akak?  Tua sangat ke saya?  Melayu, beragama Islam dan warganegara Malaysia!” kata Rose memperkenalkan diri.  Sedap hati sahaja tanya dia orang Afrika ke Malaysia, mentang-mentanglah dia hitam. Kecil hati dia.  Rose menjeling.
            “Dah lama berniaga sini?”  tanya seorang lagi lelaki, di tangannya ada fail.  Di tangan sebelah lagi, ada pen. Mencatit sesuatu. 
            Rose tidak sedap hati.
            “Dah hampir setahun,” jawab Rose, jujur. 
            “Ada lesen?” tanya seorang lagi.  Mereka berempat semuanya.  Semuanya lelaki.
            Rose menggeleng, hatinya rasa tidak tenteram, berdebar-debar pun ada.  Rasa nak demam pun ya.  Alamak!
            “Ini tempat awam, kalau ikutkan memanglah tak boleh berniaga.  cik boleh disaman kerana berniaga di bahu jalan.  Lesen tak ada, pasti tiada suntikan typod, pasti tidak pernah ikuti kursus pengendalian makanan.  Cik boleh disaman tau,” terang seorang lagi lelaki yang bertubuh besar.  Seorang lagi terus mencatit.
            “Kami terpaksa angkat semua barang-barang ni naik lori, nanti cik bayar boleh dapat  balik barang-barang ni. Tapi… kami tak benarkanlah cik berniaga di sini.”  Lelaki itu terus mengangkut bekas-bekas berisi makanan  masuk ke dalam lori.
            Rose terkedu seketika. Dia tergamam.  Dadanya sesak, nafasnya turun naik.
            “Jangan macam ni encik!”  Rose cuba menyelamatkan barang-barang perniagaannya hari ini.  Selamba sahaja mereka masukkan makanannya ke atas lori.  Hampir menitis air matanya.  Penat jerihnya malam tadi, rosak begitu sahaja. Permintaannya langsung tidak dilayan.  Ya ALLAH! Jeritnya dalam hati.  Rasa berpinar matanya.
            “Kak, tak berniaga ke?” tanya seorang pelajar yang ingin membeli makanan yang dijual.
            Rose menoleh, dia menggeleng perlahan. Terpancar kekecewaan di wajahnya.  Pelajar itu berlalu pergi.  Rose cuba menahan keempat-empat pekerja Perbandaran itu memunggah barang-barang perniagaannya. Lauk-pauk, meja, pelas, bekas polisterin, semuanya diangkut naik ke dalam lori. Menitis air mata Rose melihatnya. Pastilah lauk-pauk itu rosak dimasuki habuk.  Dia menekup mulut dengan tangannya. Air mata terus laju mengalir.  Dia memandang ke kiri dan kanan, manalah tahu ada sesiapa yang sudi membantu. 
            Habis mereka punggah semuanya.  Hanya tinggal tapak tempat dia berniaga.  Payung pun mereka bawa pergi.  Terduduk Rose di atas tar jalan, Terjerit-jerit dia memanggil para pekerja Perbandaran itu.  Dia mengejar lori tersebut beberapa meter, dia terduduk lagi, menangis bagaikan anak kehilangan ibu. Habis semuanya! Dia menekup muka dengan kedua belah tangan.  Hampir beberapa minit dia berkeadaan begitu.  Rose menarik nafas panjang, melepaskan kelelahan di hati.  Dia bingkas bangun.  Dia menoleh dan…
            Rose jatuh tersungkur di bahu jalan, sebuah motosikal telah terlanggarnya.  Dia terlalu marah, terlalu sedih sehingga tidak perasan sebuah motosikal mendekatinya.  Kepalanya berdarah, kakinya tercedera.  Rose mengerang kesakitan.  Kali ini benar-benar sakit, sakit di hati dan sakit di tubuhnya.  Matanya berbalam dan terus gelap.
            “Dik! Dik… tak apa-apa ke?  Maaflah abang tak perasan tadi.  Adik menerpa saja, abang tak sempat nak elak. Kalau abang elak, kereta di sebelah abang pula bantai abang,”  kata lelaki yang telah terlanggar Rose.  Dia benar-benar tidak nampak tadi.  Dia terlalu ingin cepat sehingga memandu laju, kalau dia mengelak gadis itu, kereta yang dipandu laju di sebelah semakin mendekati, dan pasti dirinya pula yang dilanggar. 

***

            “Aduh!” Rose mengerang kesakitan.  Berdenyut kepalanya.  Terasa sengal kaki dan tanganya.  Kepalanya berbalut, lengannya juga.  Dia cuba membuka mata, terasa peritnya.  Dia di mana?  Matanya dibuka luas.  Dia berada di atas katil yang berwarna putih, sudah matikah dia?  Tangannya pantas mencubit pipi dan menarik telinganya.  Masih terasa sakitnya.  Tiada sesiapa di situ.  Tidak kedengara suara sesiapa.    Dia cuba gerakkan kakinya tetapi tidak berdaya. Seingat dia tadi, dia dilanggar oleh sebuah motosikal.  Matanya terasa berat kembali.  Terus dipejam rapat.
            “Tidur lagi?  Sakit sangat ke?  Takkan dua jam tidur tak sedar,sedar?” bebel Zaiton. 
            “Rose!  Rose!”  panggil Zaiton.  Risau juga dia, dibuatnya koma, macam mana? Apa yang dia nak beritahu keluarga sahabatnya itu.
            “Aku kat mana?  Kau malaikat maut ke? Kenapa suara kau  macam aku kenal?”  kata Rose dengan mata tertutup.
            “Malaikat maut?”  Zaiton membelek tubuhnya.  Adakah rupanya seperti Malaikat Maut? Hish… tak guna punya sahabat! Sakit, sakit pun masih boleh buat lawak bodoh.
            “Hoi, bangunlah! Tak ada kecederaan di kepala, hanya tergesel sikit saja, tak ada gegaran otak, tak ada patah…  luka ringan sajalah… rasanya tak mati lagilah kut?”  kata Zaiton, ditariknya hidung Rose sekuat hati. Biar sedar sikit. 
            “Hah?  Suara tuan Malaikat macam suara kawan saya! Ton… Malaikat Maut dah datang nak ambil aku,”  kata Rose  macam orang mamai.  Matanya masih tidak dibuka. 
            Zaiton mencekak pinggang.  Ini sudah kes teruk.
            “Ha ah, Malaikat Maut nak ambil nyawa kau, itu yang aku datang jumpa kau dulu, manalah tahu kau ada salah dengan aku ke, ada hutang yang kau perlu bayar ke, kan?”    Zaiton merenjis air di muka Rose.  Terpisat-pisat gadis itu bangun dan membuka matanya.
            “Ton? Kau datang, Ton!”  Rose melakarkan senyuman.  Hilang rasa sakit di kepala.
            “Mana Malaikat Maut?” tanya Rose sebaik sahaja matanya terbuka.
            “Banyak kau punya Malaikat Maut!  Sejak tadi, aku saja kat sini tau,” tempelak Zaiton.  Selepas mendapat berita tentang Rose yang kemalangan, dia terus bekerja ke hospital.  Macam manalah boleh dilanggar dengan motosikal?  Sedangkan sahabatnya itu berniaga di tepi jalan, bukan di tengah jalan.  Menurut kata lelaki yang  melanggar Rose, barang-barang perniagaan sahabatnya itu tidak ada di tempatnya.  Ke mana perginya?  Hairan, hairan.
            “Habislah Ton! Aku tak boleh berniaga!” tangis Rose tersedar apa yang telah berlaku sehingga dia dilanggar.
            “Kenapa pula? Apa yang berlaku?” tanya Zaiton kehairanan. Kepalanya mula ligat berfikir. 
            “Majlis Perbandaran angkat semua barang-barang berniaga aku Ton! Satu pun tak tinggal. Habis lauk-pauk diangkutnya,” adu Rose dengan air mata mengalir laju, macam paip bocor sahaja. 
            “Ya ALLAH!”  Zaiton menekup  mulut.  Sudah lama sahabatnya itu berniaga, tidak ada yang mengganggu.  Kenapa baharu sekarang?  Dia mengeluh kesal.
            “Macam mana ni Ton?” soal Rose, dia buntu memikirkannya.
            “Bagi kau sembuh dulu, nanti kita fikirkan yang lain ya?” pujuk Zaiton.  Dia sendiri tidak pernah menghadapi situasi ini, mana boleh dapat idea terus.
            “Boleh ambil balik tak barang-barang tu?” Zaiton memandang wajah kusut gadis itu.  Tangan sahabatnya sibuk mengelap air mata yang mengalir.
            “Entahlah, kosong kepala otak aku ni, macam dah tak ada otak nak berfikir,” ujar Rose, matanya masih berkaca. Sedih benar hatinya, itulah sumber rezekinya.  Apa yang harus dia lakukan sekarang ini?
            “Otak kau dah hilang ke?” Zaiton menyengih. Sengaja ingin menghiburkan hati sahabatnya itu.
            “Hilanglah!’ jerkah Rose, dia tahu Zaiton bergurau.  Dalam keadaan dia susah hati, ada sahaja soalan tak cerdik keluar daripada mulut teman serumahnya itu.
            “Jangan marahlah! Kang doktor dengar suara kau, nanti mereka fikir kau dah hilang arah? Apa nak jawab?”  Zaiton mengangkat kening. 
            Rose mencebik.
            “Kau jangan bagitahu mak aku tau! Nanti riuh rendah pula dia, sampai datang sini,”  pinta Rose.  Dia tidak mahu orang tuanya tahu apa yang berlaku.   Biarlah dia selesaikan sendiri masalahnya.  Dia tidak mahu menyusahkan mereka.  Cukuplah  mereka sudah membesarkannya.  Selebihnya kenalah dia pandai berdikari.
            “Laa… takkanlah kut?  Jadi apa-apa dengan kau, nanti mereka salahkan aku pula.”  Zaiton tidak bersetuju.  Dalam soal sakit pening ini, keluarga perlulah tahu. Biarpun tidak parah tetapi mereka berhak tahu.
            “Janganlah! Aku tak mahu mereka risau,”  luah Rose.  Wajahnya masih muram, suram dan tidak gembira memikirkan nasib perniagaannya yang baharu sahaja hendak mula berjaya. 
            “Mereka emak dan ayah kau? Mereka berhak tahu!’ Zaiton masih berkeras.
            “Tolonglah! Janganlah!” rayu Rose.  Nanti mereka suruh dia balik kampung terus.  Dia nak buat apa di kampung? Takkan nak tanam padi kut?  Manalah dia tahu, makan hasil padi, dia tahulah.  Selama ini dia tidak pernah membantu emak dan ayahnya bergelumang di sawah bendang.  Dia hanya membantu menjaga adik-adik dan belajar. 
            “Hish… kau ni!” Zaiton mencebik. 
            “Terima kasih Ton, aku bila boleh balik?  Erk… siapa beritahu kau, aku masuk hospital?”   tanya Rose, soalan lain-lain.
            “Kau nak aku jawab yang mana dulu?” Zaiton merenung wajah Rose buat seketika.
            “Mana-manalah.”
            “Lelaki yang melanggar kau tu telefon aku, dia tengok telefon bimbit kau.  Sebab tertulis rakan serumah.  Dia juga yang bawa kau ke hospital. Kau belum boleh balik, sebab doktor masih nak tengok keadaan kau stabil atau tidak lagi,” cerita Zaiton.
            “Janganlah lama-lama aku tinggal sini, tak suka!”   Rose mengeluh.  Kalaulah dia tidak berdiri di tengah jalan, tentu sekarang dia berada di Majlis Perbandaran menyelesaikan masalahnya.  Tidak pasal-pasal dapat penyakit, percuma, tiada sakit cari sakit, inilah padahnya.
            Zaiton menemaninya sehingga waktu melawat selesai. Malam itu dia tinggal sendirian.  Melayan  luka di hati.

No comments:

Post a Comment