AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 27 April 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 89


Sudah seminggu berlalu sejak kejadian kemalangan itu.  Dia masih tidak berniaga lagi.  Tidak tahu nak berniaga di mana.  Kata amaran sudah diberi, saman sudah dibayar, barang-barang perniagannya sudah diambil semula.  Dia tidak dibenarkan berniaga di kawasan itu semula. Kalau dia berbuat demikian, dia akan disaman lagi.  Apa yang harus dia lakukan?  Keluhan dilepaskan pergi, terasa berat dan sesak hatinya memikirkan nasib diri.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia pulang ke kampung, tetapi memikirkan kerja apa yang nak dia lakukan, membuatkan dia melupakan sahaja hajatnya itu. 
            “Rose,”tegur  Zaiton. Dia membawa dua mug milo panas dan sepiring pisang goreng yang dibeli tadi.
            “Kau carilah kerja, cuba minta tolong dengan Encik Dasuki atau Puan Weeda, manalah tahu mereka boleh tolong.  Encikk Dasukikan ada syarikat sendiri. Puan Weeda kalau aku bersuara, pasti dia sudi tolong kau.  Dia ada bertanya tentang kau, bila nak berniaga semula, aku jawab tak tahu lagi,”  cadang Zaiton. Hanya itu idea yang ada ketika itu.
            “Tak naklah makan gaji, malas nak kerja dengan orang.  Aku dah seronok kerja sendiri,” ujar Rose.  Dia akan cuba mencari ruang dan tempat untuk dia berniaga semula.  Mungkin cadangan untuk membuka restoran boleh diteruskan.  Walaupun dia tahu bukan mudah untuk memulakan langkah besar itu, tetapi dia harus melakukannya.  Tidak mungkin dia menyerah  pada takdir dengan apa yang berlaku kepadanya. 
            “Cadangan kau?”  tanya Zaiton. Milo panas diteguk perlahan-lahan, terasa segar di tekak.
            “Aku nak cari rumah kedai yang sesuai untuk aku buka restoran pula,”  cadang Rose. Matanya bertembung dengan mata galak Zaiton.
            “Nanti kita minta bantuan En. Google, cari tempat yang strategik dan menguntungkan,”  kata Zaiton gembira.  Dia yakin Rose mampu lakukannya.
            “Kau tak nak tengok mak En. Suki ke?  Menurut  Cik Weeda, emak lelaki tu asyik tanya pasal kau.”  Zaiton meletak kembali mug yang masih berisi milo yang tidak boleh dihabiskan segera.
            “Nantilah!”  Rose mengeluh.  Kalau boleh dia mahu mengurangkan masa bertemu dengan emak lelaki itu.  Hajah Sofiah masih berlagukan harapan untuk menjadikan dia menantu.  Dia bukan ada apa-apa yang istimewa, yang ada hanyalah kepandaiannya dalam bidang masakan. Itu semua boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja pun.  Cik Weeda sudah pun menjadi tunangan anaknya, kenapa masih berharap dengan dirinya?  Adakah Hajah Sofiah bermaksud ingin dia menjadi isteri kedua anak  perempuan itu?  Oh, tidak mungkin! Biarpun dia perempuan dan tidak cantik, menjadi yang kedua tidak sama sekali. Biarlah dia sendiri sampai hilang nyawa di badan. 
            “Kau janganlah fikir banyak sangat, aku rasa duit simpanan kau dah cukup untuk buka restoran.”  Zaiton meneliti wajah Rose yang semenjak dua menjak ini terlalu banyak berkerut.  Nasib baik kulitnya gelap, jadi tidaklah ternampak sangat kedutan yang terlukis akibat terlalu banyak berkerut.  Jangan tua sebelum tiba waktunya, detik hati kecil Zaiton.
            “Kenalah fikir kak  oi! Nak buka memang senang, masalahnya pekerja.  Nak cari pekerja di mana?  Macam mana?  Ada ke orang nak kerja dengan aku? Itu persoalannya.”  Rose mengeluh berat.
            “Yalah kan? Susah juga tu.”  Zaiton mengangguk perlahan. Nampak mudah tetapi tidak senang.
            “Kau iklankanlah…” cadang Zaiton, hanya itu sahaja caranya untuk mendapatkan pekerja restoran.  Kalau diperhatikan dikebanyakkan restoran, banyak pekerja luar yang bekerja. Nak cari orang tempatan, amatlah sukar.
            “Susah juga ni,”  keluh Rose.  Berniaga tepi jalan mudah, tidak perlu pakai pekerja.  Dia sendirian mampu melakukannya sendiri. 
            “Kau bertenanglah, buat kertas kerja, cari jalan.  Nanti kita sama-sama fikirkan.”  Zaiton memicit bahu Rose lembut.
            “Yalah…”  Rose mengeluh lagi.  Bukan senang nak senang, rupanya.  Semoga ada jalan terbaik buat dirinya untuk meneruskan hidup.  Kekesalan di hati atas kesilapan diri sendiri.  Ingatkan di mana sahaja boleh berniaga.  Rupanya tidak.   Jangan main terjah, lain kali bertanyalah daripada orang yang lebih arif.
            Kehadiran Haikal dan Ain menambah ceria di hati, nasib baik kesihatannya sudah pulih sepenuhnya, kalau tidak jenuh juga nak berjawab apa yang berlaku.  Dia juga sudah lama tidak pulang ke kampung. Leka berniaga dan terlalu seronok cari duit sendiri sehingga lupa tanggungjawab pada keluarganya.  Nasib baik tidak pernah lupa mengirim duit buat keluarganya.
            “Apa mimpi cari aku?” tanya Rose sambil menghidangkan minuman dan sejenis kuih untuk tetamu yang datang.
            “Saja datang, nak tahu keadaan kau macam mana, tak boleh ke?”  Ain tersenyum.
            Rose mengerut dahi. Senyuman yang berkembang lain macam sahaja bentuknya. 
            “Kami datang ni ada hajat, aku nak kenalkan kau dengan seorang kawan aku, aku harap kau tak kisah.  Bukanlah aku berniat nak carikan jodoh untuk kau, tapi pemuda ini nak cari bakal isteri yang sesuai dengannya.  Kalau kau setuju, Sabtu ini kita keluar bersama, boleh tak?” cerita Haikal tentang kehadirannya hari itu.
            “Hah?  Kau dah jadi pencari jodoh ke?” usik Zaiton yang sejak tadi leka memerhati telefon bimbitnya. 
            “Kau dengar ke?”  tanya Haikal. Ingatkan tidak dengar, kalau sudah sibuk melayan gajet yang ada.
            “Ingat  aku duduk bilik sebelah ke?”  sindir Zaiton.
            Haikal menyengih.
            “Berbalik pada tujuan kehadiran aku, macam mana, setuju tak?” tanya Haikal.  Tidak sabar ingin memperkenalkan Rose dengan seseorang. 
            Rose terdiam.  Dia memandang wajah Haikal dan Ain yang begitu mengharap.  Kemudian matanya singgah pada Zaiton yang turut memerhatinya.
            “Kau orang ni serius ke?  Kalau tak sesuai dengan aku macam mana? Aku tak suka ke? Dia tengok aku terus pengsan ke? Kau orang tak takut ke?”  Rose memandang wajah mereka seorang demi seorang. 
            “Aku dah tunjuk gambar kau kat dia, dia tak jadi masalah,” terang Haikal, itu sebab dia bersetuju bila kenalannya itu bersetuju nak berkenalan dengan Rose.
            “Jangan macam Joe sudahlah, aku serik tau,”  sindir Rose.  Walaupun bukan Haikal yang memperkenalkan Joe kepadanya tetapi lelaki itu juga yang mengatakan Joe adalah seorang lelaki yang baik.  Akhirnya, dia juga yang menanggung segalanya.
            “Kau cubalah dulu, Rose.  Berkenalan dulu.  Nanti baharu kau buat keputusan.  Manalah tahu sesuai dan kalian boleh bersama,” sampuk Ain.  Hubungannya dengan Rose sudah semakin baik.  Malah semakin rapat, begitu juga hubungan keluarga mereka di kampung.  Semakin mesra dan sudah seperti sebuah keluarga. 
            “Nantilah aku fikirkan.  Terima kasihlah atas bantuan kalian.  Susah payah aje.” Rose tersenyum. Biarpun hatinya berat untuk menerimanya, tetapi kerana persahabatan mereka dia akan cuba mengenali lelaki yang akan diperkenalkan kepadanya nanti.  Manalah tahu, sesuai… seperti yang dikatakan Ain tadi. Dia tidak boleh menolak sebelum mengenali orangnya.  Apa yang penting, siapapun lelaki itu dapatkah menerima diri ini seadanya.
            “Hari Sabtu kita keluar bersama ya? Nanti aku datang ambil kau.”  Haikal tersenyum lega. 
            “Aku boleh ikut tak?  Tak naklah tinggal sorang di rumah, nak juga tengok lelaki yang kau kenalkan dengan Rose.” Zaiton tersenyum.
            “Ikutlah, tapi janganlah banyak soal pula ya.” Ain mengerling.
            “Yalah… aku tahulah.”  Zaiton tersenyum nipis.
            “Alhamdulillah, tak sia-sia aku datang, kan?” Haikal menarik  nafas lega.  Mudahlah dia bercakap dengan kawannya nanti. 
            Rose mengeluh dalam hati.  Entah kenapa, bercakap soal berumah tangga hatinya jadi tawar, kejadian yang lalu membuatkan dirinya fobia.  Tidak mahu pisang berbuah dua kali, walaupun tahu, pisang tak pernah berbuah dua kali.  Dia ikutkan sahajalah kehendak sahabatnya itu. Jangan sesekali menghampakan perasaan orang lain. 

No comments:

Post a Comment