AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 1 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 90


            Restoran Seri Tom Yam menjadi saksi pertemuan  Rose dengan lelaki yang ingin diperkenalkan oleh Haikal kepadanya.  Lelaki itu biasa, berkaca mata, giginya agak jongang.  Kulitnya sawo matang. Bertubuh sederhana besar.  Bekerja sendiri, ada perniagaan  jualan langsung dan dalam talian.  Baguslah wawasan yang sama denganya, minat berniaga. 
            Zaiton memandang wajah lelaki itu tidak berkelip.  Tidaklah kacak sangat, biasa sahaja. Setakat ini baik-baik sahaja.  Caranya bercakap, macam orang cerdiklah.  Kalau tidak bercakap lagi cerdik, Zaiton menyengih dalam hati.
            Haikal dan Ain tersenyum puas.  Sekurang-kurangnya Rose dan lelaki itu boleh bersembang baik.  Saling bertukar pandangan dan pendapat.  Makanan yang terhidang dijamah penuh selera, sambil menyambung perbualan mereka. 
            “Rose buat kerja apa sekarang ni?” tanya Rudi, dia membetulkan kedudukan cermin matanya.
            “Saya sedang cari kedai untuk buka restoran.  Masih dalam perancangan,”  jelas Rose. 
            “Wah, nak buka restoran?  Hebat.  Saya sendiri tak berani nak buka kedai.  Modal banyak, kena gajikan pekerja.  Susahlah!”  kata  Rudi. 
            “Yalah, itu juga yang saya fikirkan, tapi kalau tak berniaga, saya nak buat apa?”  Rose menyudu tom yam campur ke dalam mulut. Dia mengunyah isi udang dan sotong perlahan-lahan. 
            “Apa kata masuk grup saya, berniaga dalam talian atau jadi orang bawahan saya dalam perniagaan jualan langsung,” cadang Rudi.
            “Saya tak minat pula.”  Rose tidak berminat langsung dengan perniagaan jualan langsung. Memanglah ramai yang berjaya, tidak kurang juga yang kecundang.  Kena rajin dan pandai menjual kata-kata, baharulah orang percaya.
            “Kenalah cuba dulu… nanti saya daftarkan.  Awak ikut saja saya masuk kelas dan perjumpaan kami.” Rudi tersenyum puas.  Dapat seorang lagi orang bawahannya.
            “Hish… tak naklah!” Rose menolak. 
            “Cubalah dulu Rose, mana tahu sesuai dengan awak,” suruh Ain.
            Rose menggeleng laju.  Kalau tidak minat, janganlah dipaksa. 
            “Tak payahlah…” tolak Zaiton. 
            “Awak tahu tak kelebihan berniaga dengan syarikat jualan langsung ni, kita jual produk yang dijamin mutu dan kualitinya.  Awak janganlah bimbang,”  ujar Rudi meyakinkan.
            Rose menyandar di kerusi. Haikal dan Ain memandangnya.
            “Saya tak minat,” ucap Rose.
            “Kenapa tak minat? Sebab kena bekerja keras?”  Rudi memandang wajah Rose yang muram.
            “Tak kisahlah apa pun, saya tetap tak berminat!”  terang Rose. 
            “Awak tahu tak, dengan syarikat jualan langsung ramai yang mampu kumpul duit sehari berpuluh ribu, boleh beli rumah dan kereta mewah,” cerita Rudi, dia perlu meyakinkan gadis hitam itu.  Pertama kali melihat gadis itu, dalam kepalanya hanya nak cari orang bawahannya, agar perniagaan jualan langsungnya terus berkembang.  Rose macam boleh ‘makan’ sahaja.
            “Biarlah pendapatan satu juta sekalipun, saya tetap tak nak!” kata Rose bertegas.  
            “Rudi, dia tak nak janganlah paksa,”  tegur Haikal.  Dia berusaha memujuk  Rose agar mengenali lelaki itu, bila berjumpa bercerita pula tentang dunia perniagaan.   Lain yang diharapkan lain pula jadinya.  Lain kali jangan cari mereka yang berniaga dalam talian.
            “Macam mana ni bang?” tanya Ain, takut pula tengok muka Rose yang tegang itu.
            “Rudi ni pun satu, kenapa  cerita pasal perniagannya pula,” keluh Haikal kurang selesa. 
            Zaiton sudah menguap. Ini sesi berkenalan atau berniaga cari orang bawahan. Dia menggeleng. 
            Rudi terus bercerita tentang kebaikan berniaga dalam talian, keuntungan dan bonus yang diterima.
            Haikal dan Ain sudah mula bosan. Ini sudah melampau.  Nasib baik tidak bawa ejen insuran, kalau tidak haru jadinya.              
            Rose mendengar sahaja lelaki itu membebel dan bercerita.  Kalau masih tidak faham bahasa yang dia menolak untuk turut serta, dia tidak mampu berbuat apa-apa.
            Rudi sudah mengeluarkan borang keahlian. 
            Semakin terbeliak mata semua yang ada di situ.  Cuma,  Rudi yang masih seronok bercerita.  Berniaga tidak harus putus asa. Dia sudah biasa menghadapi situasi sebegini. Waktu ini memanglah tolak, nanti lama-lama pasti setuju.
            “Boleh saya minta kad pengenalan awak,”  pinta Rudi sambil tangannya dihulurkan ke arah Rose.
            “Hah? Buat apa?” Rose bingung seketika.
            “Daftarkan awak jadi orang bawahannya sayalah,” kata Rudi dengan muka manis.
            Rose bingkas bangun.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dibelangkong kepala lelaki itu yang tidak faham bahasa.  Wajahnya sudah kelat mengalahkan pisang kelat yang tidak sedap dimakan. 
            “Baiklah,” pinta Rudi dengan muka selamba.
            Haikal dan Ain terkejut, wajah mereka turut berubah melihat kebiadaban Rudi.  Lain yang diharap, lain pula jadinya. Ingatkan Rudi benar-benar ingin berkenalan dengan Rose untuk dijadikan teman hidup. Rupanya ada udang disebalik mee.
            Zaiton sudah mula panas hati. Ini kes paksa dan tidak rela.  Kalau kahwin paksa, lama-lama suka sama suka juga. Ini bukan kahwin paksa, ini paksa orang berniaga.  Sudah lebihlah!
            Rose duduk semula.  Mahu sahaja dia melepaskan rasa marah.  Jangan macam itu,, jadilah manusia yang pandai menjaga adab dan akhlak tidak kira di mana.  Dia sedar dirinya tidak cantic.  Namun, biarlah cantik budi bahasanya. Hanya itu asset yang dia ada.
            “En.  Rudi… saya tak berminatlah.  Awak faham tak maksud saya.  Takkan saya nak cakap Jerman atau Jepun ke, baru awak faham?”  kata Rose sedikit tegas. Dia menahan marah dalam hati.  Kalau dia mengamuk, dibuatnya lelaki itu ada FB, sudah tentu terpampang di dinding muka buku lelaki itu “perempuan hitam legam mengamuk’, malulah dia.  Baiklah dia menolak dengan tenang dan dengan penuh sabar. 
            “Awak cubalah dulu. Ikut saya ke perjumpaan yang diadakan.  Lama-lama nanti awak pasti minat, percayalah,” pujuk Rudi dengan muka manis.
            Rose mengeluh berat.
            “Kalau dah selesai makan, jom kita balik!” ajak Zaiton dengan muka selamba. 
            “Jomlah, dah mengantuklah,”  sampuk Ain sambil menguap berkali-kali.
            “Laa… saya tak isi borang untuk Rose lagilah. Kejap lagilah,” halang Rudi.
            “Tak bolehlah Rudi, dah lewat malam ni. Lain kali sajalah.  Saya kena balik segera.  Terpaksa pula hantar kedua orang gadis ni.” Haikal bagaikan dapat membaca fikiran isteri dan kawan-kawannya itu.  Nampak sangat mereka tidak senang dengan tindakan Rudi. Dia kenalah bertindak bijak.
            “Tak apa… biar saya hantar mereka balik,” pelawa Rudi.
            “Tak apalah… kami datang dengan Haikal, biarlah balik dengan Haikal juga.” Zaiton mendengus kasar.  Tidak pasal-pasal ada yang kena karate nanti.
            “Kalau begitu, En. Rudi, kami minta diri dulu.” Rose sudah bingkas bangun  dan mula melangkah. 
            Diikuti Zaiton dan yang lain.
            “Hoi!” panggil Rudi terpinga-pinga.  Dia gagal kali ini. 
            Di dalam kereta masing-masing membisu seribu bahasa.  Tidak mahu komen atau ulas apa-apa.  Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sakit hati dan geram. Marah, tidak belum lagi.  Melayan lagu retro di radio terasa sejuk sedikit hati. 
            “Rose, maafkan aku,”  ucap Haikal sebelum Rose melangkah keluar dari perut kereta.       “Tak apa, aku tak salahkan kau.  Soal jodoh aku, biarlah ALLAH yang tentukan.  Kau orang jangan risaukan aku ya… aku bukan bersendirian seperti yang kalian fikirkan.  ALLAH sentiasa ada di sisi aku,”  ucap Rose.  Dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar.
            “Rose! Nanti kita keluar makan sama-sama ya,” laung Ain, berasa bersalah di hati.  Simpati pun ada. 
            Rose hanya mengangkat tangan dan melangkah masuk ke dalam perut lif.
            “Haikal, Ain… terima kasih ya. Aku tahu niat baik kau orang berdua.”  Zaiton melangkah keluar dan mengejar Rose yang semakin laju melangkah.
            Haikal dan Ain mengeluh sendiri.  Kereta dipandu keluar dari kawasan itu.

No comments:

Post a Comment