AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 2 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 91


Termenung adalah satu terapi dalam mencari jalan bagi menyelesaikan masalah. Bukan termenung kosonglah, melayan perasaan entah apa-apa, tetapi termenung sambil memikirkan apa yang harus dilakukan bagi meneruskan kehidupan. Kalaulah dia tahu usianya pendek, mudahlah buat keputusan. Ini tidak tahu bila akan sampai ajalnya. Entah-entah dia mampu hidup sehingga beratus tahun, itu tidak mustahil kerana ajal maut di tangan ALLAH SWT bukan di tangan manusia.  Berusahalah seolah-olah akan hidup selamanya, beribadah seolah-olah akan mati esoknya. 
            Semalam adalah malam yang sungguh menghampakan. Ingatkan niat lelaki itu ikhlas untuk berkenalan dengannya.  Rupanya ada udang di sebalik batu, ingin jadikan dia orang bawahannya untuk perniagaan jualan langsung. Memang menyakitkan hati. Lepas itu tidak faham bahasa, ditolak berkali-kali, masih lagi memaksa.  Memang tangkap geram dan sakit hatilah. Nasib baik Haikal dan Ain tidak berkecil hati atas penolakannya, dan kepada lelaki itu minta maaflah, jangan hubungi dia lagi.
            Hari ini, dia harus memikirkan jalan hidup yang terbaik buat dirinya.  Memang seronok berniaga, tetapi banyak pula cabarannya.  Kalau tidak kuat, mahu berhenti sekerat jalan, seperti sekarang ini.  Dia nak berniaga di mana?  Taman selera? Memanglah boleh, tetapi kenalah buat permohonon, hadiri kursus, banyak kerja dan mengambil masa yang lama lagi.  Kenapalah hidupnya jadi seperti ini?  Inilah balasan bagi orang degil yang tidak mendengar kata orang tua, asyik fikir kepala sendiri.
            Keluhan berat dilepaskan. Resah yang mengusik hati, membenam rasa payah dalam diri. Kehidupan tidak seindah yang disangka. Bukan seperti dalam sebuah cereka ciptaan manusia, memang ada luka tetapi berakhir dengan kegembiraan. Kehidupan hakiki tidak begitu, ada ketika kesedihan dibawa sehingga nyawa hilang daripada badan.  Kesabaran bukan rekaan, hanya mereka yang kuat sahaja mampu hadapinya.  Lemah dan tidak berdaya akan kalah dan jatuh tersungkur. 
            Seharian berfikir,bagaikan tiada jalan pulang.  Keluhan yang dilepaskan bagaikan merosakkan hati dan membuat otak tidak boleh berfikir lagi. Ya ALLAH kepadaMu kuberserah.  Penyerahan diri yang bukan main-main atau sengaja memohon simpati.  Selama ini hidupnya bergantung hanya kepada ALLAH, bukan dirinya atau orang lain.  Dia tidak punya daya untuk mengatur jalan hidup ke arah seperti yang diimpikan.  Kalaulah dia mampu membuat keputusan dan segala keputusan menjadi semuanya, adakah dia akan jadi manusia yang bersyukur? Belum tentu, kerana manusia mudah lupa diri.
            Sambung belajar?  Adakah itu jalan terbaik buat dirinya?  Masih berfikir dan masih mencari jalan keluar.  Kena juga fikirkan yuran pengajian, kursus yang nak diambil dan siapa yang akan tanggungnya belajar.  Kalaulah dia anak orang berada, atau keluarganya berharta, semua itu tidak menjadi masalah kepadanya.  Cakap sahaja nak belajar di mana.  Kos bukan masalah.  Tetapi kehidupan keluarganya hanya biasa-biasa sahaja.  Sikapnya yang tidak mahu menyusahkan sesiapa kadangkala menyusahkan diri sendiri juga. 
            Kalau dia meneruskan niat untuk membuka restoran pula, terlalu banyak jalan yang terpaksa ditempohi dan bukan mudah juga.  Banyaknya alasan! Sampai bila pun tidak akan selesai.  Orang yang terlalu banyak memberi alasan, akan menjadi manusia yang tidak berjaya.  Kerana alasan tercipta untuk tidak mahu melakukan apa-apa.  Alasan tidak boleh dijadikan penyebab untuk tidak berusaha dan berjaya.  Setiap yang berlaku adalah terbaik buatnya.  Jangan sesekali pernah menyesal, itulah sahaja cara untuk dia  memujuk diri ini. Kalau tidak dia akan kalah dan jatuh ke lembah yang paling dalam dan tidak mungkin boleh bangun semula.
            Bosan duduk sendiri,  sepatutnya dia bertanya dan berkongsi pendapat dengan orang lain. Berfikir sendiri tidak menyelesaikan masalah, malah membuatkan otaknya bertambah berserabut.  Semakin payah jadinya.  Semakin bosan melanda diri.  Penat duduk, dia berdiri, penat berdiri, dia berjalan. Penat berjalan dia baring, akhirnya perutnya yang berkeroncong minta di isi.  Tunggu teman berbual, petang nanti baharu pulang.  Nak membaca, bahan bacaan tidak banyak. Kebanyakkan sudah dibaca.  Hendak membeli belah,  dia dalam proses berjimat cermat.  Inilah hidupnya, semua perkara ambil kira. Kalau dia menggunakan duit simpanannya untuk belajar dan melupakan niat untuk membuka restoran, boleh juga.  Tidaklah bergantung kepada orang lain.  Cadangan sendiri yang boleh diguna pakai.  Jurusan apa yang sesuai dengan dirinya?  Kedoktoran?  Ambil masa yang lama juga, perniagaan, bagus juga.  Pengalaman sudah ada, minat juga ada.  Kalau tidak dicuba, dia tidak akan tahu kemampuan sendiri.  Dari membebel sendirian, baiklah dia ke dapur memasak untuk perut sendiri dan teman serumahnya yang akan pulang petang nanti.
            Ayam dikeluarkan, menu ayam sambal sudah lama tidak dimasak.  Sejak berhenti berniaga, dia masak ketika rajin sahaja, kalau tidak, kedailah menjadi tempat mereka berdua menjamu selera.  Bukan boleh selalu-selalu makan di kedai. Ada ketika jemu juga.  Masakan sendiri boleh diubah-ubah menunya, mengikut selera sendiri.
            Bagaimana keadaan Hajah Sofiah, sejak dia tidak berniaga, sudah lama dia tidak mendengar khabar berita wanita itu.  Sudah dianggap seperti keluarga sendiri.  Terasa rindu pula di hati.  Kebaikan wanita itu melayannya adakala menyentuh hati.  Bukan ada hubungan kekeluargaan pun tetapi melayan dirinya bagaikan anak sendiri.
            Ayam sambal kesukaan wanita itu.  Rose masak lebih sikit daripada biasa.  Daripada duduk seorang diri melayan perasaan entah apa-apa. Baiklah dia pergi ziarah Hajah Sofiah sambil membawa masakan kegemaran wanita itu. Bukan jauh sangat pun, masih di dalam kawasan taman perumahannya.  Ayam masak sambal, masak lemak kobis, sambal belacan bersama ulam timun dan ikan sepat rongeng goreng rangup.  Pasti terbuka selera Hajah Sofiah nanti.  Rose kembali tersenyum, lupa sejenak masalah yang bersarang di hati.  Biarlah dia memikirkannya semula malam nanti.  Mungkin boleh minta pendapat teman serumah merangkap sahabatnya itu.   Semoga ada solusi terbaik buatnya. 
            Perjalanan ke rumah Hajah Sofiah hanya beberapa minit sahaja.  Myvi hitam matelik di letakkan di tepi pagar rumah banglo yang mewah dan cantik itu.  Loceng rumah ditekan beberapa kali.  Tidak sampai beberapa saat muncul Kak B mendekati pintu pagar yang terkunci rapat. 
            “Rose!”  kata Kak B riang.  Riak wajahnya riang, seperti sudah lama mereka tidak bertemu.
            “Masuk, masuk, puan asyik bertanyakan Rose saja,”  luah Kak B.  Mereka bersalaman dan saling berpelukan.
            “Mak cik dah makan Kak B?” tanya Rose sambil mengikut langkah pembantu dan penjaga Hajah Sofiah itu.
            “Sejak Rose tak berniaga, puan hanya makan roti dan sesekali nak jugalah menjamah KFC… pening juga kepala En. Suki.  Weeda masak pun dia tak berapa suka, Kak B nak cakap apa?  Kecil jugalah hati Weeda, nanti dia dah jadi menantu rumah ini, takkan tak memasak.  Nampaknya kenalah dia pergi belajar memasak dengan Rose,”  cerita Kak B tentang majikannya itu.
            “Takkan sampai macam tu sekali?”  Sukar untuk dia mempercayainya.  Wanita itu terlalu obsess dengan masakannya.  Padahal bukan sedap mana pun, mungkin pada dia biasa sahaja, kepada orang yang menjamahnya, tentulah sedap, agaknya.
            “Rose?”  Hajah Sofiah yang sedang membaca, menoleh memandangnya. 
            Rose menerpa, mendekati Hajah Sofiah,  Wanita itu dipeluk dan dicium pipinya.
            “Kenapa lama tak datang?  Rindu mak cik dengan masakan Rose,” luah Hajah Sofiah tangan Rose dipegang dan diusap lembut, seperti selalu terpancar kasih sayang di wajah itu.
            “Itu sebab Rose datang dan bawa masakan kegemaran mak cik, ayam goreng sambal, masak lemak kobis, sambal belacan dan ikan masin, jom kita makan bersama.  Kak B, jom kita hidangkan makanan ni,”  kata Rose riang. Lega hatinya dapat menggembirakan wanita itu.  Semoga ALLAH jugakan akan mengembirakan hatinya dalam memilih jalan hidup yang terbaik buatnya.
            “Terima kasih Rose, sebab masih ingat pada mak cik,” ucap Hajah Sofiah sedikit merintih.  Begitu tersentuh hatinya melihat masakan kegemarannya terhidang di hadapan mata.  Terbuka seleranya.  Sudah hampir sebulan dia hanya makan sedikit sahaja.  Lantaran tidak berselera dengan masakan yang dibeli oleh anak lelakinya.  Dia sukakan masakan Rose, bagi orang lain mungkin biasa, tetapi baginya kena sekali dengan tekak tuanya. 
            Mereka menjamu selera sambil berbual mesra.  Pelbagai cerita dikongsikan bersama.  Riang ria terpancar di wajah masing-masing.  Bagi Rose, ada teman  berbicara, hilang rasa gundah gulana yang tersimpan di hati.  Senyuman Hajah Sofiah menyentuh hatinya.  Benar-benar terpancar kegembiraan di wajah itu.  Dua kali menambah nasi dan berketul-ketul ayam menjadi santapan wanita itu membuatkan hatinya berbunga riang.  Esok, kalau ada masa dia boleh masak lagi.  Kalau dia bekerja sahaja di rumah itu menjaga makan minum Hajah Sofiah alangkah baiknya.  Jadi pembantu rumah?  Marah pula emaknya. Bukan pembantu rumahlah, tukang masak juga.  Tukang masak khas buat Hajah Sofiah. Kepala En.  Dasuki  dan Kak Weeda. Menyelesaikan masalah orang juga adalah satu kerja kebajikan.  Sementara menunggu dapat kerja lain, biarlah dia berkhidmat dengan wanita yang manis itu.  Semakin lebar senyuman Rose kerana masalahnya sudah selesai.  Sambil-sambil itu bolehlah dia cari jalan untuk selesaikan masalah sendiri.

No comments:

Post a Comment