AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 6 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 92



            Terlopong mulut  Zaiton mendengarnya.  Memang kerja gila betulkan kawannya yang seorang ini. Macam-macam idea gila dilakukannya.  Mahu menangis tangkap meroyan kalaulah gadis itu anaknya sendiri. Orang lain tidak suka jadi pembantu rumah, kawannya yang seorang ini seronok pula nak bekerja di rumah orang.  Alahai, kalau dikatakan gila kang, marah pula.  Susah memang susah.  Nak sahaja dia memberitahu keluarga Rose tentang rancangan gila gadis itu.
            “Kau gila ke?”  jerkah Zaiton.  Ingat senang bekerja di rumah orang.  Walaupun orang itu dikenali dengan baik. 
            “Apa salahnya?  Boleh aku tengok abang Suki selalu,” gurau Rose langsung tidak menyembunyikan perasaannya terhadap lelaki itu.  Memang dia sukakan lelaki itu, kenapa harus dia menafikannya?  Dia bukan hipokrit.  Tetapi meluahkannya kepada lelaki itu tidak mungkin sesekali. Biarlah simpan kemas di hati yang paling dalam.  Cinta bukan untuk dimiliki, biarlah menjadi igaun di hati.
            “Kau ni memang cari penyakitlah!” marah Zaiton yang sebulat hati tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat.
            “Ala, sementara menunggu permohonan aku untuk sambung belajar, apa salahnya aku bekerja di rumah Hajah Sofiah?  Membantu dia kan satu ibadah,”  ulas Rose.
            “Kau ni manusia ke apa?” tanya Zaiton geram.  Terlalu memikirkan hal orang lain sampai hal sendiri diketepikan.  Ada lelaki yang dipuja tetapi hanya dalam mimpi, tidak berani berterus-terang.  Manakala lelaki itu sudah pun mempunyai teman bakal jadi teman hidup. Kawannya itu akan gigit jari dan melihat dengan hati yang kecewa ketika orang yang tersayang naik pelamin atau mengucapkan lafas ijab dan kabul dengan perempuan lain. Kalau terjadi kepada dirinya, pasti dia meraung tujuh hari tujuh malam.  Cukuplah, rugi air mata.  Buat bengkak mata dan hilang kecantikkan diri.  Menangis kerana lelaki tidak boleh terlalu lama, rugi dan membuang masa sahaja. 
            “Kau setuju sajalah Ton, redha dan terima keputusanku dengan hatimu yang rela,”  pinta Rose.
            “Kau ni!”  Kalau ikutkan hati mahu dicepuk kepala sahabatnya itu,  biar sedar diri. 
            “Aku bukan menyusahkan sesiapa pun, melainkan diriku sendiri.  Setakat memasak untuk Hajah Sofiah, bukan berat sangat pun.  Nanti lepas balik kerja, kau datanglah ke sana.  Kita makan ramai-ramai.”  Rose menyengih.
            “Kalau ikutkan hati aku, aku tak tahulah nak menangis guling-guling atau ketawa sambil turun bukit!”  Zaiton mencebik.
            “Kau janganlah peningkan kepala sendiri. Setuju sajalah, sokonglah aku Ton!” pinta Rose sambil mengoyangkan tangan Zaiton.
            “Kau buat hatiku semakin sedihlah Rose!”  Bentak Zaiton, matanya mula berkaca.  Hiba menyucuk dalam hati. Terasa jiwanya dibawa pergi melihat nasib sahabatnya itu. 
            “Janganlah menangis! Aku bukan nak bunuh diri!” tempelak Rose. Bukan marah tetapi tidak mahu orang lain sedih dengan nasib hidupnya. Bukanlah dia kata hidupnya sering dirundung malang, dan tidak mahu beranggapan begitu.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikan buat dirinya.
            “Kau nak sambung belajar di mana? Ambil jurusan apa?” tanya Zaiton.  Air mata diseka dengan hujung jari.
            “Aku ambil bidang perniagaan,  Master of Business Administration (MBA) di UM, tak apakan?  Lagipun aku minat berniaga.  Mana tahu boleh buka perniagaan sendiri.” Rose menyengih.
            “Bagus juga. Kalau kau ada perniagaan atau syarikat sendjri, aku sedia jadi setiausaha kau,” kata Zaiton pula.
            “Wah! Bagus tu.” Rose tersenyum riang.
            “Kenapa tak ambil bidang kedoktoran?  Kau sesuai jadi doktor kerana sangat prihatin.
            “Susahlah, aku tak suka main dengan darah.  Nanti orang lain sihat, aku jatuh sakit,” ujar Rose.  Memang dia takut tengok darah.  Apa jadi dengan pesakitnya nanti?  Tidak mahu memikirkannya.  Biarlah dia mencari bidang yang dekat dan diminatinya, selain kesetiausahaan dia boleh cuba perniagaan pula.
            “Aku suka kau sambung belajar, tetapi aku tak suka kau bekerja di rumah Hajah Sofiah,” luah Zaiton.
            “Ala, anggap aku cari duit poketlah!” kata Rose lantang. 
            “Yalah, yalah!” Zaiton akhirnya mengalah.  Kalau Rose sudah membuat keputusan, tiada siapa yang mampu menghalangnya. Biarlah waktu yang menentukan segalanya.
            “Yuran pengajian macam mana?  Berapa keseluruhan kos untuk kau sambung belajar?”
            “Dalam 30k jugalah, tidak termasuk duit belanja harian aku,”  ujar Rose. 
            “Mana kau nak cari duit sebanyak itu?”  Zaiton rasa bimbang.
            “Aku ada duit simpan sepanjang waktu aku berniaga tu.  Cukuplah untuk menampung yuran pengajian aku.  Kalau aku tak mampu bayar duit sewa, kau jangan marah kat aku, ya?”
            “Rose! Kenapa cakap macam tu?  Kau dan aku bukan saja kawan tau, kita dah macam adik-beradik.  Janganlah berkira sangat! Aku sanggup ikat perut kerana kau, ikat selera nak pergi membeli-belah asalkan kau berjaya.”  Panas matanya.  Hiba rasanya bila Rose kata begitu.   Apa salahnya dia berkorban demi melihat sahabatnya itu berjaya.
            “Tapi, kau dah nak kahwin sebelum sempat aku habis belajar, nampaknya terpaksalah aku cari bilik sewa saja, sepanjang aku belajar nanti.” Rose mengeluh. Dia terlupa akan hal itu.  Rumah sewa itu boleh tahan mahalnya.  Kalau dia sendirian membayarnya memanglah jenuh juga.  Kalau dia berniaga dahulu, tidaklah dia bimbang sangat.  Duit masuk setiap hari.  Keluhan mengalir keluar daripada mulutnya.
            “Aku akan bantu kau. Kau jangan bimbang ya?”  Zaiton meyakinkan.
            “Jangan sampai suami kau nanti marah pula,”  kata Rose, dia bimbang juga jika suami Zaiton nanti tidak benarkan sahabatnya itu membantu dirinya.  Dia kenalah pandai-pandai mencari jalan keluar dan menampung hidupnya sendiri. Mungkin juga dia boleh buat kerja sambilan.  Jangan fikir sangat, nanti pasti takut untuk dia meneruskan apa yang telah dirancang.
            “Kalau dia banyak songeh, aku sedia tak berkahwin sampai kau bertemu jodoh juga,” ucap Zaiton.
            “Jangan Ton! Kau gila ke?”  bentak Rose.  Nanti seluruh ahli keluarga Zaiton akan memgamuk dengannya.  Biarlah sahabatnya itu hidup bahagia.  Kenapa dia harus menjadi penghalang?  Kalau tunggu dia bertemu jodoh, alamat mereka berdua menjadi andartulah.
            “Kau jangan risaukan aku sangat tau?  Aku tahulah uruskan diriku sendiri.  Lagipun aku bukan budak kecil, Ton.”  Rose tersenyum.  Wajah Zaiton yang tegang benar-benar mengusik hatinya.  Risau benar Zaiton terhadap dirinya.
            Zaiton hanya mampu menangis di dalam hati. Tidak mahu nampak terlalu sedih dengan apa yang sedang dilalui oleh sahabatnya itu.  Pelbagai masalah melanda diri Rose.  Namun gadis itu tidak pernah patah semangat.  Tetap berdiri teguh dan yakin dengan diri sendiri.  Kalau dialah jadi seperti ini, mahu rasanya hilang pedoman dan tidak mampu berdiri lagi.  Wajah tenang sahabatnya menjadi santapan matanya.  Kerisaun melanda di jiwa.  Dia yakin Rose pasti berjaya dalam pelajaran. Rose adalah pelajar yang pintar dan geliga otaknya.  Dia benar-benar bersyukur sahabatnya kembali menyambung pelajaran.  Semoga kali ini, sahabatnya itu tidak kecundang lagi. 



No comments:

Post a Comment