AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 13 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 93


“Saya dah agak, Cik Weeda pasti melopong dengar cerita saya.”  Zaiton tersenyum. Dia menceritakan cadangan Rose untuk jadi tukang masak pada Hajah Sofiah, bakal mertua ketuanya itu.
            “Biar betul?  Dia tak nak berniaga lagi ke?”  Weeda benar-benar terkejut.  Tindakan Rose memang suka diduga.  Gadis semuda dia tidak akan sanggup lakukan kerja seperti itu.  Bukan dia tidak ada kelulusan.  Pandai berniaga pula.  Kenapa memilih untuk menjadi pembantu rumah?  Memang menghairankan.
            “Betullah Cik Weeda.  Takkan saya nak bohong.  Rose sendiri cerita kat saya,”  kata Zaiton beria-ia.
            Weeda menongkat dagu.  Memang berita itu sukar untuk dia mempercayainya. 
            “Dia tak nak berniaga lagi, dia nak sambung belajar, lepas tu baharu fikir nak buat apa.” 
            “Sambung belajar? Ambil bidang apa? Di mana?” soal Weeda. Ingin benar dia mengetahui perkembangan gadis yang istimewa di mata bakal mertuanya itu.
            “Master of Business Administration (MBA) di UM, katanya permohonan  sudah dibuka,” cerita Zaiton tentang rancangan sahabatnya itu.
            “Wah! Dia benar-benar ingin jadi ahli perniagaan.  Syabas! Saya kagum dengan dirinya,” ucap Weeda bangga.  Gadis itu memang istimewa dan tidak pernah kenal putus asa.
            “Yuran pengajian dia bagaimana pula?  Dia mohon PTPTN atau biasiswa?”
            “Duit simpanan dia. Dia tidak mahu berhutang dari mana-mana, baik kerajaan atau swasta.  Duitnya ada,”  sambung Zaiton.
            “Kawan awak tu memang hebat!” Puji Weeda. 
            “Dia dah bagi tahu dengan En. Dasuki ke?” 
            “Entahlah? Saya tak tanya pula. Katanya dah berbincang dengan Hajah Sofiah.  Mungkin bakal mertua Cik Weeda dah bincang dengan bakal suami cik, agaknya.”
            “Mungkinlah tu… apa pun terima kasih Ton, sudi berkongsi dengan saya.  Nanti saya tanyakan bakal suami saya.”  Weeda melakarkan senyuman buat setiausahanya yang ramah dan rajin itu.    Kebetulan tengahari ini dia akan keluar makan tengahari bersama Dasuki.  Mungkin dia boleh bertanyakan  hal itu.
*** 

            Restoran Nasi Ayam Tat menjadi pilihan, sudah lama dia teringin menjamah nasi ayam yang berasal dari utara tanah air itu. Ramai yang memuji. Sudah banyak cawangan dibuka di sekitar kawasan Lembah Klang.  Tidak salah mencuba, kalau sedap boleh datang lagi.  Kalau sebaliknya lain kali jangan datang lagi. 
            Usai memesan makanan dan minuman, Weeda terus bertanyakan tentang hal yang dibincangkan dengan Zaiton pagi tadi.  Dia ingin benar tahu apa yang sedang berlaku.  Adakah benar Rose akan bekerja di rumah Dasuki?  Sebagai bakal ahli keluarga, dia perlu tahu.   
            “Mak awak ada bincang apa-apa tak?”  tanya Weeda setelah makanan yang dipesan sampai.
            “Bincang? Hal apa?” Dasuki memandang wajah Weeda agak agak kerisauan.
            “Rose ada jumpa dia baru-baru ni. Dengar kata mereka dah berbincang.  Rose nak bekerja di rumah awak sebagai pembantu rumah,” cerita  Weeda.
            Dasuki tersenyum.  Pagi tadi emaknya ada bertanya. Cuma… dia belum memberi sebarang jawapan.    Biar betul? Dia bagaikan tidak percaya gadis itu mahu jadi pembantu rumah.  Apa agaknya yang ada dalam fikiran gadis itu.
            “Oh, pasal tu?  Mak ada tanya, tapi saya tak bagi jawapan lagi.  Awak rasa macam mana?” tanya Dasuki. Ingin juga dia  mengetahui  pendapat tunangnya itu. 
            “Kalau Rose benar-benar tidak kisah, dan tidak berkira.  Saya rasa tak ada salahnya.  Lagipun, emak awak suka sangan dengan masakan dia.  Apa salahnya awak gajikan dia.  Tapi… janganlah bayar murah sangat.  Biarlah berpatutan.”  Weeda tersenyum. Jika bakal mertuanya suka sangat dengan masakan gadis itu, biarlah.  Sudah tentulah Rose sendiri bersetuju untuk bekerja di rumah tunangnya itu.  Bukan mereka yang menawarkannya.
            “Kata mak, dia akan datang setiap hari.  Datang selepas subuh dan pulang selepas asar setiap hari.  Kecuali hari Ahad,”  terang Dasuki.
            “Bagus juga tu, tak perlulah dia bekerja 24 jam, ada ruang dan peluang untuk dia merehatkan diri.”  Weeda berfikir sejenak.  Bukan senang nak dapatkan pembantu  rumah penduduk tempatan.  Sekurang-kurangnya  bakal mertuanya berselera menikmati makanan yang dimasak oleh gadis itu.  Dia juga boleh tumpang sekaki.  Weeda tersenyum sendiri.
            “Kenapa senyum sorang-sorang?” tanya Dasuki, kehairanan.
            “Taklah, sekurang-kurangnya saya pun  boleh tumpang makan.  Tentang gaji Rose, kita bayar sama-sama.  Apa yang penting emak awak puas hati dan senyuman akan mekar di bibirnya, tak begitu?” Weeda mengenyitkan mata.
            “Soal gaji saya tak ada masalah.  Cuma, tak sampai hati nak jadikan dia pembantu rumah.”  Itu sebab dia tidak memberi jawapan ada emaknya tadi. 
            “Dia masak dan  jadi kawan pada mak awak, bukan nak suruh dia mengemas dan mencuci rumah,”  jelas Weeda. 
            Dasuki mengangguk perlahan. Betul juga.  Sekurang-kurangnya emaknya ada teman berbual selain Kak B. 
            “Terima kasih kerana memberi pandangan.  Buntu juga saya bila fikir sorang-sorang,” ucap Dasuki, gembira.  Wajah Weeda mengusik hatinya. Gadis itu bukan sahaja cantik, pandai, bijak dan baik hati juga.   Sabar melayan kerenah emaknya sejak Rose tidak berniaga lagi. Menjaga orang tua bukanlah semudah yang disangka.  Kalau tidak sabar, boleh perang besar.  Sebagai anak dia perlulah bersabar melayan perangai emaknya yang turun naik itu.
            “Terima kasih juga kerana bersabar dengan saya.” Ujar Weeda dengan senyuman yang masin menawan buat kekasih hatinya itu.  Hanya tinggal beberap bulan sahaja lagi bagi mereka berdua melayarkan bahtera.  Segala persiapan berjalan lancar.  Hanya tunggu hari bersejarh itu sahaja lagi.  Tidak sabar melakar bahagia bersama lelaki itu.
            Tepat Jam 2.00 petang mereka berpisah untuk menyambung tugas masing-masing. Dasuki akan menyampaikan berita gembira itu kepada emaknya. Pasti senyuman lebar akan terukir di bibir emaknya. Padanlah semalam waktu dia pulang dari kerja, emaknya sudah pun makan malam.  Tidak menunggu makanan yang dia beli dari luar.  Rupanya Rose datang membawakan makanan untuk emaknya.  Baik sungguh hati gadis itu.  Tidak melupakan terus emaknya.  Semoga Rose boleh bersabar dengan kerenah emaknya nanti.
            Weeda akur dengan kehendak bakal  emak mertunya.  Jika itu jalan terbaik untuk menggembirakan emaknya tidak salah mereka mengajikan Rose.  Lagipun gadis itu sendiri yang rela dan sanggup bekerja di rumah itu.  Masalahnya, berapa lama?   gadis itu akan ada kehidupan sendiri satu hari nanti.  Rose juga akan sambung belajar, bekerja, waktu itu siapa yang akan masakkan untuk emak mertunya?   Memanglah dia boleh belajar.  Lagipun bukan susah sangat nak masak lauk-pauk kegemaran emak mertunya itu, Cuma... air tangan tidak sama.  Itulah yang membezakannya.  Kalaupun resepinya sama, tetapi cara memasak dan air tangan tukang masak juga perlu diambil kira.  Mungkin air tangan Rose serasi dengan bakal mertuanya.  Mampukah dia menjadi menantu yang baik?  Weeda mengusap kedua belah tangan ke muka.  Biarlah waktu dan masa menentukannya. 

No comments:

Post a Comment