AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 15 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 94


Setiap pagi usai solat subuh dia sudah bergerak menuju ke rumah Hajah Sofiah.  Tugasnya hanya menyediakan makan minum untuk emak lelaki yang telah mencuri hatinya itu.  Dia hanya bertepuk sebelah tangan dan tidak pernah menyesal.  Sudah seperti orang angau jadinya.  Biarlah, asalkan dia melakar bahagia untuk diri sendiri. Tidak perlu rasa terseksa.  Itu adalah pilihannya sendiri, memuja lelaki itu dalam diam.  Sejak dia berada di rumah itu, setiap pagi dia akan melihat kesantunan Dasuki melayan  kerenah Hajah Sofiah. 
            Hari ini dia masak lontong, sambal tumis sotong kering dan kuah kacang.  Permintaan  Hajah Sofiah.  Nasi himpit sudah direbus sejak dari semalam.  Pagi ini hanya masak kuah lodeh dan sambal sotong kering sahaja.    Kuah kacang juga dia masak semalam.   Puas hatinya melihat Hajah Sofiah berselera menjamah masakannya sejak dia bekerja di situ.  Sebelum pulang dia akan pastikan makan malam untuk keluarga itu sudah siap dipanaskan.  Nanti Kak B akan menghidangkannya.  Sejak dia bekerja juga, hanya bertemu dengan lelaki pujaan hatinya itu di sebelah pagi.  Sewaktu dia pulang, lelaki itu belum pulang ke rumah lagi. 
            “Rose, dah siap ke?’ tanya Hajah Sofiah sambil berjalan mendekati meja makan.  Bau sambal tumis sotong kering menyingah di hidungnya.  Dia tersenyum gembira.  Sebut sahaja makanan yang ingin dijamah, pasti cepat sahaja gadis itu memasaknya.  Kalaulah gadis itu menjadi menantunya, dia adalah orang yang paling bahagia.  Tetapi Weeda juga seorang gadis yang baik.   Dasuki tidak akan bersetuju untuk berkahwin dua.  Weeda juga tidak akan mahu dimadukan, mungkin juga Rose begitu. Hati perempuan.  Sebagai orang tua dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.  Kebahagian anaknya juga harus difikirkan.
            “Dah mak cik…”  Rose menarik salah sebuah kerusi dan membantu Hajah Sofiah duduk.  Nasi himpit yang  telah siap dipotong dimasukkan ke dalam  mangkuk yang sudah tersedia.  Kuah lodeh yang masih panas dan berasap itu disenduk masuk ke dalam mangkuk. Sambal sotong kering dan kuah kacang juga disenduk ke dalam mangkuk. Lemak sayur lodeh, pedas sambal sotong dan manis kuah kacang bila sudah bercampur sekali memang enak di tekak.
            Hajah Sofiah membaca doa dan terus menyicip sedikit kuah lodeh itu.
            “Sedapnya Rose, cukup rasanya,” puji Hajah Sofiah.
            “Sedap sangat ke kak Hajah?” tanya Kak B.  Dia turut melabuhkan punggung di kerusi.  Menyenduk sendiri nasi himpit dan kuahnya.
            “Memang sedap Rose!” Puji Kak B pula.
            “Jom kita makan sekali,” ajak Hajah Sofiah. Tangan Rose ditarik duduk di sebelahnya.
            “Amboi, makan tak tunggu saya?”  Dasuki mendekati.  Dia baharu sahaja bersiap.  Sebelum ke tempat kerja, perut kenalah diisi dahulu.
            “Jemput makan Abang Suki,” pelawa Rose.  Dia membantu menghidangkan lontong untuk majikannya itu. Senyuman Dasuki buat hatinya bergetar kuat.  Terasa dia pula yang menjadi suri hati lelaki itu.  Jangan perasanlah ya, Rose, bisik hati kecilnya sendiri.  Ketika berhadapan dengan lelaki itu, perasaannya jadi tidak menentu.  Debarnya lain macam sangat.  Rasa nak gugur jantungnya.  Melihat wajah itu buat tidur malamnya tidak pernah lena.  Mandinya tidak pernah terasa basahnya, kalau sudah dilap, tentulah keringkan.  Makan pula tidak berselera, sebabnya dia yang masak, tentulah tidak lalu menjamah makanan sendiri.  Jangan marah ya, usik-usik sayang, bebel Rose dalam hati.
            Ketika di meja makan itulah dia dapat melihat wajah Dasuki sepuas-puasnya.  Menatap, berbual, dan bermesra bagaikan sebuah keluarga.  Melihat senyuman, mendengar butir bicara membuatkan hatinya bernyanyi riang. Memang teruklah orang yang bercinta ini.  Kalaulah dia secantik Kak Weeda pasti agaknya lelaki itu akan turut jatuh hati padanya.  Tetapi siapalah dirinya? Lihatlah diriku ini.
            “Tengahari ni nak masak apa pula?” tanya Dasuki, sejak gadis itu bekerja di rumah itu, pelbagai menu terhidang untuk dia dan emaknya.
            Rose hanya tersenyum.  Dia belum bertanya lagi dengan Hajah Sofiah. Selalunya menu ditentukan oleh wanita itu. Bukankan dia bekerja untuk wanita itu. 
            “Mak tak bagi tahu lagi,”  sampuk Hajah Sofiah. Dia tersenyum nipis dan mengusap belakang  Rose yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
            Kak B sudah selesai menjamah sarapannya.  Dia meminta diri untuk menyambung tugas-tugasnya semula.  Kerja Kak B semakin ringan sejak kehadiran Rose.  Gadis itu ringan tulang dan suka membantu. 
            “Ooo… mak yang tentukan  menunya?  Siapa pergi beli barang?”  Dasuki menghabiskan suapan terakhir.  Memang sedap lontong yang dimasak oleh Rose itu.  Kena benar dengan selera emak dan dirinya.             
            “Kamilah pergi beli,” kata Hajah Sofiah riang.  Sejak ada teman, dia sering keluar dari rumah.  Rose akan bawa dia ke mana sahaja dia nak pergi. Kadangkala singgah di rumah kawan-kawan lamanya yang sudah lama tidak ketemu.
            “Hah? Mak keluar dengan Rose?”  tanya Dasuki, selama ini emaknya tidak pernah ke mana-mana selain dengannya.
            “Tak boleh ke Abang Suki?” tanya Rose. Melihat wajah tegang Dasuki membuatkan hatinya risau.  Salahkah dia keluar bersama Hajah Sofiah.  Wanita itu semakin kuat berjalan dan kakinya semakin pulih.  Dia benar-benar bersyukur.
            “Taklah, malah saya ucapkan terima kasih.  Saya manalah sempat nak bawa emak ke sana ke mari.  Ada awak, ringan sikit beban saya,” ucap  Dasuki.  Dia benar-benar berterima kasih dengan gadis itu. 
            Rose menarik nafas lega.  Ingatkan lelaki itu akan marah dengannya.  Nasib baiklah. Kalau tidak habislah.  Mana dia nak letak muka, sudah besar panjang masih kena marah. Buat kerja mudah pun tidak boleh, memanglah memalukan. Matanya masih melekat pada wajah kesayangan hamba itu. Aduhai… terukanya  dia.  Cepat-cepat dia menjauhkan matanya, nanti lelaki itu perasan pula.
            Usai majikannya ke tempat kerja.  Rose bersantai dengan Hajah Sofiah di laman rumah.  Menikmati keindahan hiasan laman yang direka khas bagi memberi ketenangan kepada Hajah Sofiah.  Kak B seperti biasa membereskan semua kerjanya. 
            “Kita nak ke mana hari ni mak cik?”  tanya Rose, sambil itu dia membersihkan rumput-rumput yang tumbuh di taman bunga mini yang cantik dan segar itu.
            “Kita ke Giant, lepas tu pergi rumah kawan mak cik yang lain pula,”  beritahu  Hajah Sofiah.
            “Nak beli apa di Giant?  Mak cik nak makan apa hari ni? Semalam Rose dah beli  bahan mentah lebih sikit.  Petang nanti sebelum balik baharu Rose masak, ya mak cik.”
            “Mak cik nak beli sedikit cenderhati buat kawan mak cik tu,”  terang Hajah Sofiah akan rancangannya.
            Rose mengangguk laju.  Dia segera membasuh tangan dan menuju ke dapur bertemu Kak B, selalunya mereka bertiga akan keluar bersama.  Tidak sampai hati meninggalkan Kak B seorang diri.   Sunyi pula wanita itu nanti.
            Perjalanan dari rumah ke pasar raya Giant tidaklah jauh sangat.  Beberapa minit sahaja sudah sampai.  Rose menolak kerusi roda yang dinaiki oleh Hajah Sofiah.  Kalau wanita  itu perlu berjalan jauh, biasanya akan menggunakan kerusi roda.  Kalau setakat dalam rumah, dia akan berjalan menggunakan tongkat. 
            Usai membeli beberapa barang makanan dan hadiah untuk temannya.  Mereka terus ke rumah  kawan Hajah Sofiah.  Rose menelan air liur melihat rumah yang tersergam indah itu. Bagaikan sebuah istana.  Bertingkat-tingkat.  Rumah siapakah ini?  
            “Kak B, kita perlu masuk ke?” tanya Rose separuh berbisik.
            “Masuk sajalah, nanti kita terus saja ke dapur,” terang Kak B. sewaktu Hajah Sofiah sihat dia sudah beberapa kali datang ke rumah itu.  Bukan rumah orang lain.  Rumah adik bongsu Hajah Sofiah.
            “Kak Sofi?  Masuklah!” ajak seorang wanita yang berpakaian kemas dan cantik orangnya. Penuh bergaya. 
            Memang sesuailah dengan keadaan rumahnya yang cantik.  Rumah cantik, orangnya kenalah cantik.  Terkedu seketika melihat penampilan wanita muda itu.  Tidaklah tahu usianya berapa, tetapi di pandangan mata Rose, wanita itu masih muda.
            “Ria apa khabar?” tanya Hajah Sofia sambil memeluk erat adik bongsunya.  Sejak dia lumpuh mereka jarang berjumpa.  Adiknya ada urusan sendiri.
            “Baik kak… jomlah masuk,”  pelawa Hajah Riani.  Dia sempat menoleh ke arah  Rose yang memandangnya tidak berkelip.
            “Siapa  tu kak?” tanya Hajah Riani, berkerut dahinya melihat Rose yang masih terpinga-pinga memandangnya.
            “Oh… ini Rose, anak angkat akak,” kata Hajah Sofiah memperkenalkan Rose kepada adiknya itu.
            “Anak angkat?”  Hajah Riani kehairanan. Kenapa tidak cari yang lawa sikit.  Kakaknya memang macam-macam.  Buat apa sahaja diluar jangkauan. 
            “Kenapa tak boleh?” soal Hajah Sofiah.
            “Ikut suka akaklah…”  Hajah Riani mengeluh. Jangan cakap banyak, nanti kecil hati pula kakaknya itu. 
            “Dasuki apa khabar?  Majlisnya tidak lama lagikan?”    Hajah Riani duduk di sofa kulit berwarna krim. Matanya sesekali mencuri pandang ke arah Rose yang duduk sopan di sisi Kak B yang sudah dikenalinya.
            “Baik, jangan lupa pula catat di dalam kalendar kau. Asyik ada urusan di luar, anak buah sendiri kahwin pun lupa,” sindir Hajah Sofiah, faham benar kesibukan adiknya itu.  Suaminya seorang ahli perniagaan. Anak-anaknya seramai lima orang semuanya sudah  besar panjang dan bersekolah di sekolah berasrama.  Jadi, urusannya adalah mengikut suaminya ke mana sahaja suaminya pergi.  Untunglah orang masih bersuami.Tidak sepertinya yang hidup sendiri,, anak pula hanya seorang. 
            “Yalah kak…”  Hajah Riani menjeling.  Guna kuasa veto itu.  Suaminya sendiri sudah faham dengan perangai kakaknya itu. Kalau program atau jemputan daripada kakaknya, suaminya tidak pernah tolak. Kalau tidak sampailah panggilan maut nanti. 
            Hampir sejam mereka menghabiskan masa di rumah itu.  Rose dan Kak B, langsung tidak menyampuk. Hanya menjadi tukang dengar cerita kedua beradik itu.  Rupanya Hajah Sofiah ada tujuh orang adik-beradik.  Hajah Sofiah nombor tiga, dua orang sudah meninggal.  Tinggal lima sahaja.  Kebanyakkannya tinggal di luar negara, ikut suami masing-masing.  Rupa-rupanya Hajah Sofiah bukan calang-calang orang.   Pernah bekerja , pangkat terakhir adalah sebagai Pengarah di sebuah jabatan kerajaan.  Terasa kecil dirinya.  Sudahlah buruk rupa, kelulusan pula tidak seberapa.  Kerja juga tidak sehebat mana.  Malunya. Dia ingatkan Hajah Sofiah hanya seorang surirumah tangga.  Rupanya… alahai malunya.
            Apa yang ingin diceritakan, iaitu… jangan pandang orang dengan melihat penampilan diri seseorang itu.  Lihat Hajah Sofiah, seorang wanita biasa sahaja dipandangan matanya tetapi rupanya hebat dalam dunia kerjaya.  Memiliki PHD, ada harta tetapi merendah diri.  Dia jatuh sakit sejak kehilangan suami tercinta.  Tidak kuat menghadapi ujian yang mendatang sehingga memakan diri sendiri.  Akibat terlalu mengikut hati, dia menjadi lumpuh bersama penderitaan  di hati.  Baharu sahaja pulih sepenuhnya, mahu kembali bergaul dan bermasyarakat.  Itu sebab  Dasuki begitu berhati-hati menjaga perasaan emaknya.  Rose mengeluh sendiri.  Setiap orang ada masalahnya tersendiri.  Masalah dirinya kecil, jika nak dibandingkan dengan Hajah Sofiah. 
            Itulah rutin hariannya.  Ke mana sahaja  Hajah  Sofiah nak pergi, dia akan bawakan.  Hatta ke fisioterapi. Kadangkala dia akan bermalam di rumah majikannya jika Dasuki keluar daerah.  Permohonannya untuk menyambung belajar juga sudah mendapat jawapan.  Dia akan mendaftar dua bulan lagi.  Bermakna tinggal dua bulan sahaja lagi dia akan bekerja di rumah itu.  Tidak tahu bagaimana hendak menceritakan tentang hal itu kepada Hajah Sofiah yang sudah sihat dan ceria itu. Tidak lagi menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana.  Sudah mampu dan kuat berjalan sendiri.  Hajah Riani melayannya juga dengan baik.  Walaupun pandangan mata bagaikan tidak selesa.  Biarlah pandangan mata kadangkala tidak sama apa yang ada di hati.  Semoga pandangan Hajah Riani terhadapnya adalah positif.

            Dia berdoa, semoga ada jalan keluar nanti.  Lagipun tidak lama lagi  majikannya akan berkahwin, dan sudah tentulah Kak Weeda akan mengambil alih tugasnya pula.  Semoga semuanya berjalan lancar.  Dia akan meneruskan hidupnya seperti biasa.

No comments:

Post a Comment