AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 17 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 95


Dasuki terdiam dan tidak terkata apa-apa.  Berjam-jam menunggu di masjid, orang yang ditunggu tidak juga tiba.  Berkali-kali menelefon, jawapan sungguh hampa sekali.   Berpeluh dahinya, bergetar jantungnya.  Suara emaknya menangis di ruang tamu rumah benar-benar menyentuh hatinya.  Apa yang sudah berlaku? Kenapa semua ini berlaku? Apa salah dirinya?  Kenapa dia dihukum begini? Persoalan demi persoalan bermain dibenaknya.  Terasa berat apa yang sedang dihadapi.  Malu dengan rakan-rakan taulan dan saudara mara.  Malu dengan jiran setaman dan tok kadi yang datang ingin menikahkannya.  Kenapa semua ini berlaku dalam hidupnya?  Mahu sahaja dia amuk keluarga Weeda, tiada siapa yang mampu memberikannya jawapan yang tepat ke mana menghilangnya pengantin perempuan.  Segala persiapan bagaikan sia-sia sahaja.
            Tidak ada perubahan pada diri kekasih hatinya itu.  Hubungan mereka seperti biasa.  Bercerita tentang masa hadapan antara mereka berdua.  Melukiskan bunga-bunga cinta yang semakin mekar kembangnya.  Membayangkan kebahagian yang tiada tepinya.  Berjanji setia selamanya, hidup bahagia sehingga ke syurga.  Terasa berat kelopak matanya.  Terasa panas hatinya.  Apakah dosanya, dilayan seperti ini? 
            “Tak usah kau bersedih lagi Suki! Lupakan dia.  Cari perempuan lain! Mak nak  kau kahwin juga hari ini!” kata Hajah Sofiah tegas.
            Ternganga mulut Dasuki mendengarnya. Kahwin juga?  Dengan siapa?  Emaknya tidak nampakkah dia sedang bersedih?  Bagaimana mungkin dia berkahwin dengan orang lain, sedangkan hatinya hanya ada Weeda.  Mustahil untuk dia melakukannya. Keadaan sudah kecoh jadinya.  Tetamu yang ada mula bercakap sesama sendiri. Keluarga Weeda langsung tidak mahu berkata apa-apa. Hanya memberitahu Weeda telah membuat keputusan.  Macam kisah Julia Roberts pula melarikan diri pada hari perkahwinannya.  Janganlah Weeda tiru filem itu pula.  Memang kes teruklah.  Takutkah dia nak berumah tangga?  Kenapa tidak berbincang dengan dirinya?  Kenapa tidak bertanya atau meluahkan apa yang dirasa.
            “Suki!” panggil Hajah Sofiah. 
            Dasuki tidak bergerak dari tempat dia duduk.  Memandang langit membiru, cahaya matahari terik memanaskan bumi, agak-agak sama panas dengan hatinya ketika itu.  Terasa berdenyut kepalanya memikirkan apa yang sedang berlaku? Kenapa berlaku?
            “Mak ada cakap apa-apa ke dengan Weeda?” tanya Dasuki agak keras.   Tiba-tiba hilang sabarnya.  Tertekan dirinya. Malu pun ada.  Tidak terluah dengan kata-kata.
            “Cakap apa?”  Hajah Sofiah mendekati dan memegang bahu anak lelaki tunggalnya.
            “Manalah tahu, mak tak suka kat Weeda, itu sebab mak halau dia dan tak bagi dia kahwin dengan Suki,” kata Dasuki sambil menunduk memandang kakinya sendiri.  Tidak pernah disangka dalam hidupnya pengantin perempuan akan lari meninggalkannya sebelum ijab dan kabul berlaku.  Buruk sangatkah dia? 
            “Sampai hati kau Suki, kerana seorang perempuan, sanggup kau tuduh mak begitu?”  Hajah Sofiah terasa hati.  Dia tidak menoleh lagi. Langkahnya laju meninggalkan anak tunggalnya sendirian.  Air matanya berguguran  jatuh ke pipi. Diseka dengan kasar.  Sakit benar hatinya.  Anak sendiri menuduh dia menghalang perkahwinan itu?  Dia sesekali tidak akan berbuat begitu.  Biarpun ada perempuan lain di hatinya untuk anak lelakinya itu, tetapi dia tidak pernah luahkan.   
            “Suki?”  Hajah Riani mencebik.  Apa sudah jadi dengan anak buahnya yang seorang ini.  Selama ini taat dan tidak pernah meninggikan suara.   Hari ini kerana sedikit ujian terus berubah laku dan tingkahnya.
            Dasuki menoleh.  Dia mengeluh berat.  Apa yang telah dia lakukan?  Menyakiti hati orang yang telah melahir dan menjaganya selama ini.  Tidak pernah dia meninggi suara terhadap emaknya.  Dasuki melangkah bangun dan mencari emaknya.
            “Mak mana Mak su?” tanya Dasuki.
            “Ada dalam bilik,”  kata Hajah Riani yang sibuk melayan adik-beradik yang datang.  Masing-masing mula membuat andaian sendiri. 
            Rose, Zaiton dan Kak B memerhati dari jauh. Tidak berani masuk campur.  Rose sendiri terkedu.  Pengalaman yang sama yang telah dilalui pada hari perkahwinannya. Pengantin lelaki tidak hadir, lebih memalukan jika hendak dibandingkan dengan  Dasuki, seorang lelaki.  Maruah dirinya direntap dan dijaja sekeliling kampung, hanya ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui akan perasaannya ketika itu.  Dia hanya mampu menangis dan menangis. 
            Langkah diatur perlahan menuju ke kamar emaknya yang terletak di tingkat bawah rumah itu.  Rasa bersalah menebal dalam hati.  Kenapa mulutnya jahat sangat.   Sanggup menyakiti hati emaknya.  Sanggup membiarkan emaknya menangis sedih, sanggup juga dia menuduh emaknya penyebab tunangnya lari. Kejamnya dia!  Semoga ALLAH mengampunkan perbuatannya tadi.
            Daun pintu dibuka perlahan. Dia melangkah masuk.  Di tepi tingkap yang tertutup, di sofa duduk seorang wanita yang sedang menangis, masih dibaluti rasa sedih.  Dasuki mendekati.  Wanita itu dipeluk dari belakang.  Dia menangis sama.  Terlalu sedih dengan apa yang berlaku.  Rasa bersalah terus menjalar di hati.  Tergamaknya dia! Hinanya dia! Hanya kerana seorang perempuan yang baharu sahaja hadir dalam hidupnya,  dia sakiti hati perempuan yang sudah berpuluh tahun hidup dengannya.  Adakah dia tidak mengenali hati wanit ini?
            “Maafkan Suki mak!”  Ucap Dasuki hiba. 
            “Ampunkan Suki, mak!” ucapnya lagi.  Air matanya terus mengalir laju.
            “Mak takkan sakitkan hati kau Suki! Mak sukakan Weeda juga.  Tak mungkin mak melakukan perkara yang mampu membuatkan hidup kau merana,”  ujar Hajah Sofiah.
            “Suki tau mak, maaf dan ampunkan Suki,”  pohon Dasuki.
            “Mak nak tengok Suki bahagia. Mak nak Suki kahwin juga hari ni, tetapi jika Suki tak suka, mak takkan paksa.  Mak berkenankan gadis ini.  Biar buruk rupa parasnya, tetapi cantik budi bahasanya.  Mak tak paksa, sayang.   Kalau Suki tak rela,” luah Hajah Sofiah akan rancangannya.
            “Siapa mak? Mak ada pilihan hati mak sendiri?”  Dasuki merenung wajah emaknya meminta kepastian.
            Hajah Sofiah mengangguk perlahan.  Mahukah  Dasuki melakukannya?  Sanggupkah Dasuki mengikut kemahuannya.  Dia berserah kepada nasib.  Nasib gadis itu juga. 
            “Mak?”  Dasuki merenung wajah kelat emaknya.  Terpancar kerisauan di wajah itu. 
            “Mak nak Suki kahwini Rose!  Boleh tak?”  tanya Hajah Sofiah tidak teragak-agak.
            Dasuki tersandar di dinding mendengarnya.  Wajah emaknya dipandang lama.  Mencari kesungguhan wanita itu ingin mengahwinkan dia dengan gadis yang hitam gelap itu?  Dasuki menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan, mencari kekuatan dalam diri.  Mampukah dia melakukannya?  Memanglah gadis itu banyak keistimewaannya. Kalau cerah sudah pasti beratur lelaki yang ingin mengahwininya.  Tetapi… Dasuki terdiam.  Penghawa dingin yang terpasang membuatkan tubuhnya bertambah berpeluh.  Dia berperang dengan perasaan sendiri.  Jawapan segerakah?  Haruskah dia bernikah hari ini juga? 
            “Kalau tak setuju, mak tak paksa, Suki.  Mak tak mahu kehilangan Rose.  Mak benar-benar berkenan dengan dia.”  Hajah Sofiah mengenggam erat jari jemari Dasuki yang menggigil itu.
            “Mak!” Hanya ayat itu sahaja yang keluar dari mulut Dasuki.  Mana boleh  bernikah  hari ini, siapa nak walikan gadis itu?  Dasuki mengeluh berat.
            “Mak tak paksa sayang,” ucap Hajah Sofiah.
            “Mak… gadis itu ada walinya mak.  Tidak sewenang-wenangnya Suki berkahwin dengannya hari ini,”  jelas Dasuki.  Dia menyandar  di dinding. 
            “Mak dah panggil orang tuanya datang,” kata Hajah Sofiah.
            “Hah? Mak macam dah rancang aje?”  Dasuki cuak, sekali lagi dia menuduh.  Aduhai… cepat sangat dia menilai orang tuanya sendiri.
            “Mak jemput  mereka  datang kenduri kau di hotel malam ini, mereka ada di rumah Rose, malam inilah mereka akan datang, bukan kerana nak kahwinkan kau dengan Rose. Mak tak rancang pun,”  terang Hajah Sofiah.  Anaknya cepat benar melata.  Suka serkap jarang tanpa usul periksa.  Walaupun hatinya terasa, dia pendamkan sahaja.  Nanti panjang ceritanya.
            “Ampunkan Suki kerana sekali lagi tersalah sangka dengan emak,”  luah Dasuki.  Dia menunduk dan mengeluh berat.  Kata putus perlu diberi.  Berat sungguh mulutnya nak beri persetujuan.  Emaknya langsung tidak memandang rupa paras, apa yang penting dalam fikirannya emaknya, gadis itu serba tahu dan mampu menguruskan rumah tangga.    Ya ALLAH, Kau Maha Mengetahui apa yang baik buatku, doa Dasuki dalam hati.  Usai solat zohor, Dasuki melakukan solat istikharah memohon petunjuk ALLAH SWT.

No comments:

Post a Comment