AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 30 May 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 96


Air matanya gugur ke pipi.  Dia tidak bermimpi, ini kenyataan.  Bukan satu ilusinasi tetapi realiti yang harus dia hadapi.  Kenapa berlaku begini?  Kenapa dirinya?  Tidak malukah lelaki itu nanti berjalan seiringan dengannya?  Persoalan yang seharusnya dia tahu jawapannya. Mahu sahaja dia menolak,  tetapi pujukan Hajah  Sofiah membuatkan hatinya lemah.  Zaiton juga jenuh memujuknya.  Dia takut menghadapi masa depan, dia takut dikecewakan.  Kedua orang tuanya menyerahkan segala-galanya kepada dirinya sendiri. Ini masa depannya. Hanya dia yang mampu menentukannya. 
            Dalam kedinginan bilik berhawa dingin di rumah Hajah Sofiah dia bermandi peluh dan air mata.  Habislah solekan di muka.  Penat lelah mak andam mendandannya tadi.  Hati siapa yang tidak tersentuh, tiba-tiba disuruh kahwin.  Pengantin perempuan tidak hadir, dia jadi penggantinya. Masalahnya, mahukah pengantin lelaki? Atau dipaksa?   Pakaian pengantin yang dibuat daripada kain lace bertahta mutiara berwarna biru muda melekat kemas di tubuhnya.  Orangnya tidak cantik, apa sahaja yang tersarung tidak juga cantik di pandangan mata.
            Bilik pengantin terhias indah, sememangnya khas untuk pasangan pengantin yang sebenar, tetapi ironinya pengantin perempuan menghilangkan diri.  Tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.  Keluarga Weeda juga pening memikirkan keadaan itu. Anak gadis mereka melarikan diri entah ke mana. Sejak dia tiba pagi tadi, bayang Dasuki tidak kelihatan.  Jangan-jangan lelaki itu pun lari tak?  Habislah dia.  Semua lelaki yang kena kahwin dengannya akan melarikan dirikah? Kasihannya dia, malangnya nasib.  Rose mengeluh dalam hati, semakin laju air matanya mengalir.  Kalau dia juga melarikan diri bagaimana? 
            Ligat kepalanya berfikir.  Dia tidak mahu Dasuki serba-salah dengannya. Dia tidak mahu Dasuki terpaksa mengahwininya.  Dia tidak mahu lelaki itu hidup  merana kahwin dengannya.  Kegelisan di hati, merobek seluruh jiwanya.  Ketakutan dan kebimbangan, melahirkan rasa takut jauh di sanubari.
            “Rose!” panggil Zaiton dari luar bilik.
            Rose berdebar-debar, seram sejuk tubuhnya. Apa yang akan berlaku di luar sana?  Keluarga Dasuki setujukah?  Ya ALLAH, dugaan apakah ini? 
            “Rose!” laung Zaiton sekali lagi.  Daun pintu diketuk agak kuat. 
            “Apa?”  tanya Rose.  Dia menyandar di pintu.
            “Bukalah!” pinta Zaiton.  Pintu terus diketuk dan namanya terus-terusan dipanggil.
            Perlahan-lahan daun pintu dibuka. 
            Zaiton menolaknya dan terus melangkah masuk.
            “Dah siap?” Zaiton meneliti wajah sahabatnya itu.  Ya ALLAH buruknya rupa.  Bukankah sudah disolek tadi? 
            “Kau buat apa? Menangis?”  soal Zaiton, tangannya dicekakkan ke pinggang.  Sudah macam mandor yang   sedang marah pekerjanya.
            “Habis tu? Nak suruh aku ketawa?”  tempelak Rose. Dia duduk di birai katil dengan muka cemberut.  Air mata yang berbaki di lap dengan tisu.  
            “Tok kadi dah sampai, jomlah turun!” ajak Zaiton.  Dia mengambil bedak dan gincu, membetulkan semula wajah Rose yang sudah macam tepung komak.  Mana sesuai pakai bedak, kulitnya yang gelap tidak sesuai dengan semua bedak yang ada di pasaran.  Pakai gincu bibir sahaja sudah cukup, getur hati kecil Zaiton.
            “Aku takutlah!”  kata Rose, berat hatinya nak melangkah. 
            “Jangan mengada-ngada… pengantin lelaki pun dah tunggu tu,”  bentak Zaiton.
            “Erk… ya ke?  Bukan patungnya saja?”  Rose kurang percaya, tidak mungkin Dasuki setuju berkahwin dengannya?  Tidak mungkin? 
            “Kau ni kenapa? Orang nak kahwin dengan kau, kau pula jual mahal?”marah Zaiton. 
            “Sesuai ke aku dengan dia Ton? Itu masalahnya,” ujar Rose.
            “Itu semua bukan kerja kau nak fikirkan! Dia dah setuju, kau tunggu apa lagi?” 
            “Bukan terpaksa?”
            “Paksa atau tidak, bukan juga urusan kau!”  Zaiton mencengkam  lengan Rose dengan kuat.  Kalau sahabatnya itu cakap banyak, dia akan tarik gadis itu turun ke tingkat bawah.
            “Aku takutlah!”   kata Rose. 
            “Bukan masanya nak fikir takut, seram, atau teruja. Jom ikut aku!” arah Zaiton.
            “Ton! Boleh ke aku hidup bahagia seperti orang lain?” tanya Rose perlahan.
            Zaiton memandang wajah Rose tidak berkelip. Tiba-tiba rasa hiba menghimpit hatinya.  Lantas ditarik tubuh sahabatnya di dalam pelukan.  Erat.  Kau berhak, sahabat, detik hati kecil Zaiton. Tubir matanya mula mengalir perlahan-lahan membasahi pipinya.
            “Jom… kita lakar kebahagiaan itu,” ajak Zaiton.
            Kakinya masih berat untuk melangkah.
            “Yakinlah dengan diri sendiri, sahabat!’ pujuk Zaiton dengan lelehan air mata di pipi.
            “Ton… doakan kebahagian aku ya?”  pinta Rose dengan mata berkaca.  Rasa malu menyinggah di hati.  Biar apa pun berlaku, dia perlu teruskan juga.  Tidak boleh berpatah semula, takut banyak hati-hati yang kecewa.  Kalau dia tidak bahagia, hanya dirinya sahaja.  Kalau dia menolak perkahwinan ini pasti hati orang tuanya turut terhiris kecewa.
            Dengan mata yang dibasahi air mata, Rose melangkah perlahan menuruni anak tangga bersama-sama Zaiton menuju ke ruang tamu yang dipenuhi ahli keluarga, teman-teman dan rakan sekampung.  Dia lihat wajah Haikal dan Aina yang sedang tersenyum manis kepadanya.  Wajah Mak Limah melakarkan senyuman gembira.  Hajah Mona mengangguk perlahan ke arahnya.  Kak Maznah pun ada, dia benar-benar terharu.  Mereka hadir di hari penikahannya?  Cuma… pengantin lelaki, tidak berani di pandang lagi. 
            “Mari sayang.” Hajah Sofiah mendekatinya dan memeluk tubuhnya. 
            Semakin sebak dadanya.
            “Janganlah menangis lagi,”  pujuk Zaiton di sebelah. 
            “Duduk di atas bantal ini,” suruh Hajah Sofiah. 
            Rose akur, ramai juga tetamu yang datang. Sebahagiannya langsung tidak dikenali.  Rose menunduk semula.  Duduk sopan di atas bantal lebar yang nipis berwarna kuning keemasan.  Zaiton setia di sisi, menemani.
            Hanum mendekati dan memeluk anak gadisnya erat.  Dia mencium  dahi Rose, lalu mengucapkan tahniah.
            Keadaan sunyi sepi ketika Tok Kadi bertanyakan beberapa soalan kepada pengantin lelaki.  Ketika itu Rose tidak dengar apa-apa.  Terasa tuli telingannya.  Buta matanya dilimpahi dengan air mata.  Berkali-kali Zaiton mengelap air mata yang mengalir.  Bukan dia takut bernikah tetap takut penerimaan Dasuki terhadap dirinya. Manalah tahu lelaki itu jerkah dia nanti, sewaktu mereka berdua sahaja.  Diugut nak bunuhkah? Dihalau keluar dari rumahkah? Dijadikan orang gaji sepenuh masa?  Mana nak tahukan?  Bebel Rose dalam hati. Semakin difikir, semakin takut jadinya.  Terasa  tangannya berpeluh, dingin.
            Sedang dia melayan perasaannya sendiri, Zaiton terus menerpa dan memeluknya erat.  Ucapan tahniah meniti di telinganya.  Sudah  selesaikah?  Kenapa dia tidak dengar apa-apa?  Memang layan perasaan sungguh dia ketika itu.  Takut punya pasal sehingga lupa nak perhatikan lelaki yang diijab kabulkan dengan dirinya. 
            Alamak! Dasuki mendekati bersama Hajah Sofiah.  Bertambah takut hatinya.  Bertambah seram sejuk tubuhnya.  Kalaulah wajahnya seputih Zaiton, pasti ternampak wajahnya yang pucat.  Rasa berhenti jantungnya berdegup.  Biar betul? Dia tidak  bermimpi.  Lelaki pujaan hati semakin mendekati.  Nasib baik dia duduk, kalau berdiri sudah tentu jatuh terjelepuk ke lantai.
            “Assalamualaikum…” Dasuki memberi salam.
            “Wa… Wa…” teragak-agak dia menjawab.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Zaiton sambil tersengih.
            Dasuki duduk di sisinya.  Cincin bertahta berlian mata satu disarungkan ke jarinya dengan penuh lembut dan perlahan.  Menunggu seketika gambar diambil di hari yang penuh bersejarah itu.  Dahinya pula dikucup lembut.  Terasa kehangatan bibir Dasuki mengucupnya.  Lelaki itu menghulurkan tangan untuk dicium dan disalam oleh Rose.
            “Rose!” Zaiton mencuit lengan Rose yang kaku bagaikan patung.  Keras sahaja tubuh sahabatnya. Matanya tidak berkelip.  Ah, sudah!  Zaiton menggoyangkan tubuh sahabatnya.  Rose terus rebah di sebelah Zaiton.  Riuh rendah ruang tamu. Sahabatnya pengsan kerana terkejut.
            “Suki!  Bawa dia masuk bilik! Aduhai… terlampau terkejut agaknya,” Hajah Sofiah menggelengkan kepala.  Dia tersenyum sendiri.
            “Baik mak!” Dasuki mengikut arahan emaknya.  Dia mencempung tubuh kecil Rose dan membawanya naik ke tingkat atas.  Dia menolak pintu bilik dan membaringkan Rose di atas katil yang telah dihias indah.
            Zaiton mengeluh perlahan.    Air mata gembira mengalir keluar.  Tiada reaksi tidak enak di mata Dasuki, semoga lelaki itu menerima sahabatnya dengan hati yang terbuka dan redha. 
            Hajah Sofiah melayan para tetamu menjamu selera.  Kejap lagi sedarlah menantunya itu.
            Keadaan kembali stabil.  Masing-masing menarik nafas lega.  Majlis persandingan akan diadakan seperti biasa di hotel seperti dalam perancangan. Malam itu kenduri besar-besaran akan diadakan.  Hajah Sofiah menarik nafas lega.  Dia mendekati Zaiton.  Bahu gadis itu dipeluk erat.
            “Terima kasih Ton,” ucapnya perlahan.
            “Terima kasih kembali mak cik,”  jawab Zaiton dengan wajah manis manja. 

No comments:

Post a Comment