Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 11 September 2017

Ikatan Kasih- Bab 37 - Asmah Hashim




Hembusan bayu yang nyaman dan segar menghiasi laman RIKA yang sentiasa tenang dan damai. Kelas harian berjalan lancar. Hanya kelihatan taburan manusia  yang menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang bersendirian, tidak kurang berkumpulan.  Suasana biasa.
             Ketukan di pintu membuatkan pandangan meluru ke arah pintu pejabat yang sentiasa tertutup rapat.  Laungan salam disambut bersama.
            “Zara? Cepatnya balik? Kata nak ke kedai dobi  pula? Dah ke sana ke?” tanya Rabeta. Dia bingkas bangun dan duduk di sofa. Zara hanya berdiri di muka pintu dan menyengih.
            “Kenapa pula tu? Dah macam kerang busuk?” tegur Nazatul. Melihat Zara menyengih tanpa sebab membuatkan fikirannya terganggu seketika.
            “Ada kejutan buat mama!” Zara kegirangan.
            “Kejutan? Kau jumpa putera raja untuk mama ke?” gurau Nazatul. Dia menutup fail yang sedang disemaknya. Melangkah dan duduk di sebelah Rabeta. Mata mereka serentak menembak ke arah Zara.
            “Mama!” Zara mempersilakan Zaki masuk.
            “Er…  siapa ni? Amboiii… Zara. Diam-diam ya.  Kenapa mama tak tahu? Zara bercinta di belakang mama ya.” Bertubi-tubi perkataan keluar dari mulut Nazatul. Wajahnya serius.
            “Hish, mama ni… ini Pak Su Zaki!” Terjerit  Zara, dahi sendiri ditepuk.
            “Zaki? Adik Zaheer?” Nazatul mengerut dahi. Lelaki yang berdiri di hadapan mereka semua, dipandang dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.  Mencari kesamaan.
            “Jangan bergurau dengan mama, Pak Su Zaki kau ada di Australia!” Nazatul memandang wajah Zaki dan Zara silih berganti. Meminta kepastian daripada kedua-duanya.
            “Kak Naz, sayalah ni!” Zaki mendekati kakak iparnya. Hiba mengamit hati. Berjumpa juga dia dengan kakak iparnya. Atau bakal bekas kakak iparnya.
            “Ya ALLAH, akak ingatkan Zara main-main tadi,” kata Nazatul sambil mengerling anak gadisnya yang sudah pun melabuhkan punggung di sofa berhadapan dengannya.  Zaki duduk di sebelahnya. 
            “Bila balik?” Nazatul tersenyum gembira. Tidak sangka akhirnya akan dapat juga bertemu dengan satu-satunya darah daging suaminya.
            “Sudah beberapa minggu…kak,” jawab Zaki.  Mula bercerita serba sedikit tentang dirinya. 
            “Oh ya, asyik bersembang, kenalkan Rabeta atau Kak Eta, sahabat Kak Naz.” Tangannya menepuk lengan Rabeta yang setia di sisi.
            “Kita pernah berjumpa tak sebelum ini?” tanya Rabeta. Wajah itu seperti biasa dilihat. Dia cuba mengingatinya. Di mana? Dia tidak pasti. 
            “Mungkin tak pernah kut? Saya dah lama tinggalkan Malaysia. Hampir 17 tahun,” jawab Zaki.  Dia mengamati wajah Rabeta. Tidak perasan.       “Mungkin saya teringatkan seseorang,”  kata Rabeta. Wajahnya tenang kembali. Senyuman manis sering terukir.       
“Kak Naz, Zara dan Zaki bersembanglah.  Saya nak jumpa Arni.”  Rabeta meminta diri.  Tentu banyak perkara yang ingin dibualkan. Maklum sahaja, jejak kasih. 
            “Apa mimpi singgah sini?” tanya Arni sambil mengesat dahinya yang berpeluh dengan belakang lengan. Apron getah yang dipakai masih terlekat di tubuh, menandakan masih belum selesai kerja-kerja memasak.
            “Tolong buat air, Kak Naz ada tetamu. Bawa sekalilah kuih kau yang enak tu,” pinta Rabeta. 
            “Siapa?”
            “Adik ipar dia. Malas aku nak campur. Kacau kau di dapur ni, perut aku kenyang,” usik Rabeta.  Dia duduk di kerusi. 
            “Kau lapar ke? Aku ada buat kek marble, masih panas. Nak makan?” tanya Arni. Kek marble yang baru siap dimasak, semerbak baunya. 
            “Hmm… sedap. Tentulah nak!” kata Rabeta girang.
            “Eta, aku nak minta tolong sikit.” Arni memotong kek tadi.
            “Bila-bila masa!” Eta mendepakan tangan.
            “Aku nak pergi ziarah anak aku di rumah anak yatim,  bekas suami aku letakkan mereka di situ. Aku baru dapat tahu,” cerita Arni. Wajahnya  berubah riak.  Duka terlakar.
            “Subhana-ALLAH, kenapa bekas suami kau buat macam tu?”  Rabeta menggeleng kesal.
            “Entahlah!  Aku sendiri tak pasti, mungkin dia ada masalah.” Arni duduk di sebelah Rabeta. Kek yang telah dipotong disorongkan kepada Rabeta.
            “Bila kau nak pergi? Aku sedia temankan.”  Bahu Arni ditepuk lembut. Mata mereka saling bertembung.           
            “Kalau aku bawa anak aku tu tinggal di sini, boleh tak? Itulah satu-satunya anak yang aku ada,”  pinta Arni. Dia tahu, tidak berhak dia meminta apa-apa, setelah apa yang telah mereka berikan kepadanya. Segala-galanya.
            “Arni, kau beri kami masa. Kami akan sediakan sebuah rumah untuk kau. Takkan kau bawa mereka tinggal di dalam bilik. Kau seorang, muatlah. Bolehkan?  Sabar ya.” 
Mereka ingin membina sebuah blok yang sama besar dengan bangunan sedia ada. Mungkin mereka boleh dimasukkan pembinaan kuarters di dalam kertas cadangan mereka.
            “Baiklah. Tapi kau janji nak temankan aku tengok diakan?” Arni tersenyum riang semula.
            “Insya-ALLAH.” Rabeta mencubit sedikit kek tadi. Arni memang pandai memasak, dari pelbagai jenis lauk hinggalah kuih-muih dan pastri. Arni bangun dan membancuh seteko air kopi.
            “Ton! Bawa ini ke pejabat!” arah Arni.
            Pembantu bernama Ton menghampiri. Dulang ditatang menuju ke pejabat.
            “Alhamdulillah… tak sangka kita akan berada di sini, aku ingat… aku akan merempat seperti dulu,” luah  Arni.
            “Aku juga berasa bertuah.” Rabeta menjawab dengan pandangan berkaca.
***
            Jasmina yang masih menunduk memandang lantai terasa kecil sahaja pada pandangan matanya. Kalaulah dia tahu begini akhirnya, tidak mungkin dia ikutkan kehendak anak gadisnya itu.  Dahulu bukan main cinta, sayang, kasih. Tidak sanggup berpisah.  Hari ini bawa  senikata dan irama lain pula. 
Aduhai… boleh kurus kering dia jika berterusan begini. Padanlah Zaheer sering menelefon bertanyakan Jasmina, rupa-rupanya ada cerita lain yang sedang ditayangkan.
            “Kau nak malukan ayah ya, angah?” marah Ramadan. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja ditamparnya anak gadisnya itu.
            “Bukan nak malukan ayah, tapi demi masa depan angah sendiri. Angah ada sebab-sebab angah sendiri, ayah. Percayalah.”
            “Kenduri lagi sebulan sahaja lagi, angah! Apa ayah dan mama nak cakapkan dengan pihak lelaki?”  Aida mengeluh.
            “Kalau angah tak nak, takkan nak paksa?”  Jasmina mencebik.
            “Kalau dari dulu dengar cakap kami, taklah jadi macam ni?” tengking Ramadan.
            “Kalau setuju dari awal, jalan cerita novel ni tak menarik nanti ayah,”  gurau Jasmina.
            “Kita tengah susah hati, dia boleh buat bergurau!” Aida menggeleng laju. Ada pula yang mendapat hadiah penampar Jepun sekejap lagi.
            “Ayah, tolonglah. Angah tak nak kahwin.  Anak ingat nak sambung ambil ijazah dulu,” beritahu Jasmina.
            Ramadan tepuk dahi.  Aduhai anak…!
            “Angah, kenapa jadi macam ni?” Aida sendiri bingung.
            “Tak payah tanya sebab apalah ayah, mama… mestilah ada sebab!” Jasmina masih belum bersedia untuk berterus-terang. Kalau ayahnya tahu, pasti kecoh nanti. 
            “Mana boleh tak tanya? Mestilah kami nak tahu sebabnya?” Ramadan sudah penat bermain teka-teki dengan Jasmina.
            “Dia dah tualah ayah…” Mudah Jasmina beralasan.   
            “Dulu tak tua ke?” Aida mengeluh keras.     
            “Baru ternampak uban di kepala,” alasan Jasmina.
            “Dah ambil kata putus ke?” soal Aida. Nanti sibuk-sibuk hendak memulangkan kembali barang-barang hantaran itu, anak tirinya itu berubah fikiran, mahu gila satu rumah jadinya.
            Laju anggukan Jasmina.
            Laju juga gelengan Ramadan dan Aida.

***
            Jasmina tidak berselingkuh. Habis kelas terus pulang ke rumah. Namun kenapa dia tidak lagi semesra dahulu? Pertanyaan itu asyik bermain di fikirannya. Bingung pun ada juga. Tidak terjawab persoalan yang sedang bermain di benaknya.
            Matanya leka memerhati Joe yang sedang mencuci keretanya. Penat pula duduk sahaja di rumah. Kalau ada Jasmina boleh juga berjalan-jalan dan makan angin di luar. Hidupnya kali ini benar-benar terasa sunyi. 
            “Kenapa  bos? Gelisah saja?” tanya Joe. Sejak tadi dia melihat Zaheer bagaikan orang hilang arah.  Gelisah dan tidak duduk diam. Berdecit-decit dan mengeluh tidak berhenti. 
            “Jom keluar! Bosan aku duduk rumah sorang-sorang. Zaki entah ke mana. Jangan dia pergi cari lelaki tu, sudahlah. Lagi besar balak datang.” Zaheer menapak, mendekati Joe.
            “Ala! Saya basah ni bos!” Joe mencebik. Tadi kata tidak mahu ke mana-mana, itu sebab dia cuci kereta. Sudah lencun begini, sibuk mengajak ke hulu ke hilir.
            “Pergilah mandi. Salin baju!” arah Zaheer.
            “Jangan suruh pergi mengintip lagi, sudahlah! Lagi bosan!” leter Joe. Dia membasuh tangan dan menyimpan peralatan mencuci kereta. Langkah di atur ke dalam rumah.
            “Kau mandi ke tidak? Kejap aja?”
            “Mandilah bos! Nak suruh aku mandi berapa lama? Kang aku mandi lama, bos juga yang bising!”  Joe masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan.
            “Ke mana bos?” tanya Joe. Dia menoleh, memandang wajah muram Zaheer. Langsung tidak bersemangat. Tidak mungkin kerana perempuan?  Bosnya mana ada hati dengan perempuan, dia hanya cintakan duit sahaja.
            “Kita ke Jalan Mati?” pinta Zaheer.
            “Jalan Mati? Siang-siang hari ni? Anak-anak ayam semuanya tidur bos,” beritahu Joe.
            “Ikut sudahlah! Kau ni banyak sangat bantah,” keluh Zaheer. Macam manalah dia boleh bersabar dengan lelaki itu. 
            “Yalah, bos!”
            Keadaan jalan memang sesak di waktu puncak. Terutama Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut. Lagi tambah sesak menuju ke Jalan Mati. Joe memandu mengikut laluan yang biasa dilalui.
Dia memandang Zaheer yang telah terlelap. Zaman kegemilangan lelaki itu sudah hampir runtuh agaknya. Satu demi satu perniagaan haramya berkubur. Semua arah telah disekat.
            Kereta menuju ke Jalan Mati. Joe memarkir kereta di bahu jalan. Enjin dimatikan. Zaheer melangkah keluar dengan pandangan meliar.
Keadaan di dalam rumah kedai dua tingkat itu, meriah. Para pekerjanya sedang bersantai sementara menunggu senja menjelang. Pakaian ikut suka, ada yang hanya berkemban sahaja. Sudah namanya pekerja sosial. Joe menyengih apabila disapa. 
            “Bos!” sapa seorang lelaki.
            “Kau tidur? Kalau ada yang lari, bagaimana?” sergah Zaheer.
            “Pergi tandas, bos.” Alasan diberi. Wajahnya selamba memandang Zaheer. Muka sememehnya diraup.
            “Bagaimana dengan barang kita? Masih jalan lagi ke?”
            “Masih bos! Bos carilah stok banyak sikit!”  kata lelaki itu. 
            “Bagus! Minggu depan barang masuk! Nanti aku suruh Joe hantar bekalan ke mari!”
            “Bila bos buat urusniaga ni. Aku tak tahu pun?” soal Joe. Adakah majikannya itu sudah tidak percaya kepadanya lagi? Dia menggaru-garu kepala.
            “Malas nak ganggu kau!” kata Zaheer. 
            “Yalah, bos!” Joe bermain dengan rokok yang berada di tangannya.
            “Berapa yang tinggal ni?” Zaheer terjengah-jengah.
            “Tinggal sepuluh sahaja lagi. Bila mahu tambah lagi bos? Yang ada, dah busuk. Mereka nak ayam baru.” Lelaki itu menunjukkan tanda bagus.
            “Sekarang, bukan senang nak dapat stok,  tahu tak? Yang ada ni jagalah baik-baik! Jangan terlepas!” marah Zaheer. “Tahu minta sahaja. Usaha menjaga baik-baik tak nak. Sudahlah duduk di Jalan Mati, lama-lama mati sungguh,” bebel Zaheer.
“Baik bos!” jawab lelaki itu.
            “Aku balik dulu, ingat pesan aku!” Zaheer bingkas bangun, diikuti Joe dan lelaki tadi. Mereka turun semula ke tingkat bawah.








Tiada ulasan:

Catat Komen