Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 12 September 2017

IKATAN KASIH - BAB 38 - ASMAH HASHIM



Fakhrul gelisah menunggu, selalunya lelaki itu jarang lambat. Penat duduk, dia bangun. Tempat itu agak tersorok,  tiada siapa tinggal di gudang lama itu.    Dia mengeluh kepenatan. Decitan tayar membelok masuk membuatkan dia menarik nafas lega. 
            Sebuah kereta Proton Wira diparkir sebelah keretanya. Pintu hadapan gudang lama itu ditutup rapat. Lelaki yang berpakaian ranggi itu mendekati Fakhrul.  Di tangannya ada dua botol air isotonik.     “Maaf tuan, terlambat.”
            “Kenapa tiba-tiba datang jumpa saya? Awak ada masalah ke?” tanya Fakhrul.
            “Taklah tuan, saya nak bagi tahu. Ada maklumat baru,” cerita lelaki itu. Dia meneguk air tadi.
            “Awak kena berhati-hati. Operasi kita tak lama saja lagi. Selesai nanti, awak boleh kembali bertugas.”
            “Baik tuan, saya faham! Saya cuba sebaik mungkin. Segala bukti sudah saya kemaskinikan.  Tunggu untuk bertindak sahaja lagi,” kata lelaki lagi. Dia menyandar di tiang batu.
            “Dia macam mana? Tak menggelabah?”
            “Mahu tak mengelabah? Nak gila pun ada juga!” Lelaki itu ketawa.
            “Bagus! Kita biar dia beroperasi seperti biasa.  Kita tunggu dan lihat apa yang dia akan lakukan seterusnya!” Fakhrul tersenyum sinis.
            “Dia juga ada masalah dengan tunangnya.  Tuan tahu apa yang dah jadi?” Air diteguk sedikit demi sedikit.  Matanya masih lagi terpaku pada wajah Fakhrul yang berdiri di hadapannya.
            “Entah malaun mana yang beritahu tempat maksiat si Zaheer, dia ternampak Zaheer di situ. Lelaki itu menanggalkan jaket kulitnya sambil ketawa kecil. “Bagus juga orang yang bagi tahu tu ya?”
            “Kau ke yang bagi alamat?” Fakhrul mengangkat kening.
            “Ala tuan, takkan saya nak tengok bakal anak tiri tuan jadi mangsa Zaheer. Kalau saya jadi menantu, padanlah juga. Ingat saya tak kacak ke?” gurau lelaki itu lagi.
            “Yalah tu, kau ingat aku berkenan?” Pecah gelak Fakhrul.
            “Saya harap kita dapat selesaikan misi ini dengan cepat, rindulah tuan, nak balik kampung.  Mak dan ayah saya pun pelik, kerja apa sampai tak ada cuti,” rungut lelaki itu.
            “Sabarlah, segala bukti yang kau dan Nazatul beri dah banyak membantu. Tunggu kemuncaknya saja.”  Fakhrul menghabiskan airnya pula.
            “Lagipun tak menarik langsung, asyik berjumpa sembunyi-sembunyi. Saya bukan kekasih gelap tuan,” usik  lelaki itu.
            “Eee… tak sanggup aku! Nabi Muhamad pun tak mengaku umat!” Pecah gelak mereka berdua.
            “Zaheer mati akal sekarang ni, sebab adik lelakinya ada di rumah.”
            “Budak tu balik kenapa?”
            “Katanya nak cari seseorang, tak pasti siapa?” 
            “Cuba kau siasat, jangan-jangan sama saja dengan abang dia.” Fakhrul ragu-ragu.
            “Rasanya tak… tuan. Dia rajin solat, selalu juga saya dengar dia mengaji. Jauh bezanya daripada Zaheer. Zaheer tu dah melampau. Ada ke tunang dia pun nak dijual?” Lelaki itu mengeluh kesal.  
“Baguslah, dia ada cari kakak ipar dia ke?”
            “Bertanya juga, tapi Zaheer bagi macam-macam alasan. Macam biasa.” Lelaki itu terus bercerita.
            “Kaki dia di Johor kata dah dapat stok baru.  Minggu depan juga sampainya. Nak buat macam mana ni? Nak telefon RIKA ke atau pihak polis yang  bertindak dulu?”
            “Telefon RIKA. Nanti mereka bawa budak-budak tu ke sana dulu. Kali ini saya akan serbu semua yang ada di Jalan Mati! Biar mati terus!” Fakhrul mengetap bibir.
“Baik tuan! Saya dah lewat ni, apa-apa hal saya telefon tuan.” Lelaki itu bersalaman dengan Fakhrul dan kembali ke keretanya. Dia memandu keluar meninggalkan kawasan gudang terbiar itu. 
            Fakhrul memandang sahaja kereta itu berlalu.           
Dia kembali ke keretanya. Hari perkahwinannya sendiri sudah semakin hampir namun tugas di pejabat tidak pernah susut. Dia hanya berharap kepada kedua-dua orang tuanya sahaja menguruskannya. Dia juga sudah lama juga dia tidak bertemu Rabeta. 
            Adik lelaki Zaheer menarik minatnya. Siapa yang dicari oleh lelaki itu? Dahinya berkerut.
***
            Segala barang hantaran dicampakkan ke lantai. Dia menjerit sekuat-kuat hati. Marah, geram dan benci membuak-buak dalam hati. Habis bertaburan barang-barang yang dibeli waktu meminang Jasmina. Cincin juga telah dipulangkan. Dia benar-benar terkejut. Nampak jelas sekali Jasmina tidak lagi mahu meneruskan hubungan dengannya. Merah padam mukanya. Genggaman penumbuk padu mampu menghancurkan wajah sesiapa sahaja. Habis semua rancangannya. Rosak segala perancangan yang telah diatur. Dia menyepak bekas hantaran di lantai. 
            “Buang semua barang-barang ni, Joe! Aku tak nak tengok satu pun ada di rumah ini!”
Lagi ditatap mata, lagi sakit hatinya. Rasa hendak ditembak sahaja seluruh keluarga Jasmina, biar mati sahaja. Memalukan dirinya, mencabar keegoannya. Rancangan sudah diatur cantik, tetapi lain pula yang terjadi. Lain yang diarah, lain pula jalan ceritanya. Semuanya musnah! 
            “Sayangnya… bos. Beg berjenama, kasut pun cantik. Kalau tak nak, bagi saja pada aku. Aku boleh bagi awek aku,” bebel Joe sambil mengutip barang-barang tersebut. “Cincin tu nak buang juga ke?” tanya Joe dengan mata bersinar-sinar. Kalau tidak mahu, bagi sahaja kepadanya. Tahulah dia nak buat apa.
            “Ambillah, kalau kau nak! Zaheer mencampakkan cincin tersebut ke arah Joe.
            Pantas lelaki itu menyambutnya. Senyuman gembira terpancar di bibirnya. Rezeki  jangan ditolak, musuh jangan dicari. Joe sibuk mengutip barang-barang hantaran yang telah dipulangkan.
“Jaga kau Jasmina! Aku akan cari kau sampai lubang cacing paling dalam!” azam Zaheer. Dia tidak perlu bersedih kerana pertunangannya diputuskan.  Hanya sekarang, dia perlu mencari jalan mendapatkan Jasmina semula. Gadis itu tidak akan boleh lari daripadanya. Bisnes tetap bisnes.
            Dia melangkah turun ke tingkat bawah. Joe sudah tiada di ruang tamu. Dia menapak keluar ke anjung rumah. Joe sedang bersandar di tepi kereta, membelek cincin yang diberinya tadi. 
            “Joe! Jom keluar!” laung  Zaheer.
            “Baik bos!” jawab Joe. Aik? Tadi bukan main marah lagi. Angin kus-kus sudah hilang agaknya. Joe melangkah masuk ke dalam kereta. Zaheer terus masuk dan duduk di tempat di sebelahnya.
            “Nak ke mana, bos?” tanya Joe.
            “Aku nak cari Jasmina… dia ada hutang dengan aku.” 
            “Erk nak cari di mana? Kolej atau rumah dia?”  soal Joe.
            “Mana-manalah! Asalkan jumpa dia!” jerkah Zaheer.
            “Erk… baik bos! Baik!” Joe terus memandu meninggalkan perkarangan rumah itu.
            “Zaki pun satu hal! Dah dua hari aku tak nampak bayang dia? Ke mana agaknya? Telefon pun tak angkat!” bebel Zaheer.
            “Mungkin ada urusan di luar kut, bos,” jawab Joe. Kalau sudah marah, habis semua orang hendak dimarahnya. Kalau ada sesiapa buat cerita poyo waktu ini, pasti kena penampar samurai, berkecai gigi!
            “Jangan-jangan dia pergi cari lelaki itu tak?”  teka Zaheer.
            “Takkan kut, bos?” Joe mengerling. Tidak mungkin Zaki segila itu, terjun ke lubuk buaya namanya. 
            “Kau apa tahu?” tengking Zaheer.
            “Takkan nak marah aku pula? Aku bukan buat salah dengan bos pun.”  Joe mencebik.
            “Pandu sajalah kereta tu!” lengking Zaheer.  Dia memandang ke luar tingkap. Kalau dilayan si Joe tu, macam-macam pula yang keluar nanti.
            Dari kejauhan dia memerhati kelibat Jasmina yang sedang rancak berbual dengan rakan-rakan sekolejnya. Mata Zaheer tepat jatuh ke arah Jasmina.  Dia menggepal geram dalam hati. Joe pula sudah gelisah di tempat duduk pemandu. Matanya juga terarah ke arah yang sama.
            “Kita nak buat apa ni bos?” tanya Joe.
            “Kita ikut dia!” arah Zaheer.
            “Jangan main-main bos, bahayalah. Kalau dia hilang, mesti keluarga dia boleh agak siapa punya angkara,” nasihat Joe.
            “Habis? Kau nak suruh aku lepaskan dia?” marah Zaheer.
            “Carilah perempuan lain bos, ramai lagi di luar sana,” pujuk Joe.
            “Aku tetap nak dia!” Sambil jari telunjuknya diarahkan pada Jasmina yang sedang bergelak ketawa tidak jauh dari situ.
            “Hish, bos ni!” bangkang Joe. Cuak beraja di hati.
            “Ikut kereta dia!” arah Zaheer.
            “Yalah, bos. Jadi apa-apa jangan salahkan aku.” Joe memandu kereta itu semula dan mengekori  kereta Jasmina.
            “Apalah bos ni, pasal perempuan pun nak buang masa macam ni,” rungut Joe.
            “Kau diam, boleh tak?”  Zaheer menjeling.
            “Yalah, aku diam!” rajuk Joe. 
            “Ala, bos, dia masuk rumah tu!” jerit Joe, tiba-tiba. Memang cari nahas nampaknya.
            “Kita tunggu di sini!” Zaheer menyandar di kusyen kereta. Matanya dipejamkan ketika.  Kepalanya berdenyut-denyut. Bertambah hatinya sakit.
Hari ini, dengan rasminya gadis itu bukan lagi tunangannya. Hari ini dengan rasminya, gadis itu adalah musuhnya. Semua yang ada di situ adalah musuh utamanya. Mereka pemusnah dirinya!  Bercambah-cambah rasa benci dan marah di hati.
            “Bos! Aku lapar ni. Nak tunggu sampai bila ni?” leter Joe.
            “Sabarlah! Mungkin kejap lagi dia keluar,”  jawab Zaheer.
            “Mana bos tahu?” Joe menempik. Hilang juga sabarnya. Perutnya sudah berbunyi. Pagi tadi dia tidak bersarapan. Sangkanya apabila keluar tengahari, terus pergi makan. Ini tidak, mengendap lagi. Buang masa betul.
            “Kau diam boleh tak? Kang aku buang kau kerja, baharu kau tahu!” ugut Zaheer.
            “Bila-bila masa saja bos!” jawab Joe berani.
            “Kau ugut aku balik?” Zaheer membuka mata, terjegil dia memandang Joe yang berada di sebelah.
            Joe memandang ke arah lain. Buat muka selamba. Bukan boleh layan sangat lelaki seperti Zaheer.  
            Zaheer diam semula. Dia memandang jam di tangan. Sudah setengah jam dia berada di situ.  Sebuah Proton Perdana dipandu keluar. 
            “Bukan ke tu kereta sewa Adik Bos?” Joe menjuihkan bibir.
            “Zaki?” Zaheer mengetap bibir. Adiknya telah bertemu dengan Nazatul dan Zara? Hatinya mula gelisah. Kebimbangan menembak jiwanya.
            “Habislah bos!” jerit Joe. 
            “Tak guna!” jerkah Zaheer. Semakin mendidih hatinya. Kalau Nazatul pecahkan rahsianya, pasti Zaki akan melayangkan nasihat berapi-apinya. Lagilah terbakar telinga dan hatinya.   
            “Nak buat apa sekarang ni, bos?” tanya  Joe.
            “Baliklah! Aku dah hilang mod. Aku nak jumpa Zaki!” arah Zaheer. Masalah bertimpa-timpa mendekati dirinya. Boleh gila kalau begini.  Rambutnya yang lupa diwarna, diramas keras.



Tiada ulasan:

Catat Komen