Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 16 September 2017

IKATAN KASIH - BAB 39 - ASMAH HASHIM ( Hak Cipta Terpelihara)



Jasmina memarkirkan keretanya di parkir pelawat RIKA. Dia bertembung dengan seorang lelaki yang baru menolak pintu pejabat RIKA. Dahi Jasmina berkerut. Jasmina menunduk hormat. Begitu juga lelaki itu.  Dari dalam pejabat keluar tiga orang insan yang amat dikenalinya.
            “Angah?” Rabeta berjalan laju mendekati Jasmina. Mereka berpelukan.
            “Apa mimpi datang jumpa mama ni? Mana tahu tempat ni?” tanya Rabeta sambil tangannya meraih bahu Jasmina dalam pelukan.
            “Ala mama ni…Angah minta daripada abang longlah.” Jasmina membalas pelukan Rabeta.
            “Apa khabar Mak Naz, Zara?” sapa Jasmina, ramah.
            “Alhamdulillah…  baik,” jawab Nazatul.
            “Kita duduk di pondok wakaflah. Kena angin sikit,” ajak  Rabeta. 
            “Boleh saja, ma.” Jasmina tidak membantah.  Dia sendiri tidak mahu berkurung di dalam bilik pejabat mamanya.
            “Ini untuk mama.” Setelah mereka berdua melabuhkan punggung di kerusi yang sedia ada. Beg berisi baju pengantin yang telah siap ditempah dua minggu yang lalu dihulurkan. Terpaksa juga diambil biarpun majlisnya dibatalkan.
            “Baju pengantin?”  Rabeta teruja melihatnya.
            “Ya… mama suka tak?” 
            “Cantiknya, kenapa? Angah tak nak ke?”  Rabeta merenung wajah anak gadisnya dengan tanda tanya.
            “Angah dah putuskan pertunangan angah dengan Zaheer tu. Lega hati angah…ma,” jelas Jasmina.
            “Betul? Beraninya anak mama, ayah kata apa?” 
            “Tentulah marah. Ala… dalam marah-marah tu… angah tahu, dia suka. Dia bukan suka sangat dengan Zaheer. Awal-awal lagi dia dah bantah. Angah saja yang degil.” 
            “Baguslah, sekurang-kurangnya angah tidak menjadi mangsa Zaheer tu. Mama pun bimbang.  Kalaulah angah jadi berkahwin dengan dia, mama orang pertama yang akan bantah keras.”
            “Angah faham, ma. Semua ini salah angah.  Terburu-buru. Ingatkan tua, baiklah orangnya.  Rupa-rupanya bertopengkan manusia. Nasib baik ALLAH masih melindungi angah.”
            “Itulah pentingnya solat. Sebab angah tidak pernah tinggal solat, buat baik dengan orang lain, ALLAH akan bantu angah daripada orang yang berniat jahat. Kalau kita terpaksa menempuh juga, itu adalah ujian buat kita. ALLAH lebih Maha Mengetahui, angah.” 
            “Yalah ma… semoga ALLAH sentiasa jauhkan kita daripada segala bencana. Angah takut juga, jika Zaheer datang cari angah. Angah nak buat apa, ma?”
            “Angah kena hati-hati. Jangan keluar ke mana-mana seorang diri. Kalau boleh bawa sesuatu di dalam beg sebagai senjata. Manalah tahu, jika orang-orang Zaheer cuba tangkap angah,” nasihat Rabeta. 
Dia sendiri kerisauan. Tidak mustahil Zaheer bertindak kasar. Tambahan, Zaheer itu pendendam dan pemberani.
            “Baiklah ma, lepas ni nak ke mana saja, angah akan ajak kawan-kawan angah.”
            “Bagus.” Rabeta mengusap lembut pipi anak gadisnya itu.
Kulitnya licin bak telur dikupas. Alisnya lentik, keningnya lebat. Bibirnya nipis, hidungnya pula sedikit mancung.  Kurus, tinggi lampai. Hampir sama tinggi dengan dirinya.
            “Kad undangan mama dah siap ke?”
            “Dah, Pak Cik Fakhrul yang siapkan semuanya. Mak dia… sebenarnya.”
            “Angah tak boleh lama sangat. Nanti kalau balik lewat, tak cukup tanah ayah membebel.”  Jasmina bersedia untuk pulang.
Dia tidak mahu ayahnya bertanya yang bukan-bukan.Tidak tahu sampai bila api kebencian itu akan terus menyala. Sukan Olimpik pun ada waktu padam nyalaan obornya. Semoga ALLAH membuka pintu hati ayahnya.
            “Hati-hati angah. Mama takut Zaheer mengintip ke mana saja angah pergi. Pastikan telefon sentiasa ada bateri. Kalau ada kereta yang menghalang, jangan buka tingkap, terus telefon polis. Minta bantuan. Kalau rasa ada orang ikut, terus pandu ke balai polis, faham!” pesan Rabeta.
            “Baik ma. Insya-ALLAH.”
            “Terima kasih untuk baju ni. Bila nak datang lagi?” Bahu Jasmina dirangkul mesra. “Mama nak sangat bertemu Riyana.” Rabeta menunduk. Rasa sebak merusuh di hati. Mereka berjalan seiringan menuju ke kereta  Jasmina.
            “Minggu depan peperiksaan akhir. Lepas periksalah kut.” Jasmina membuka pintu kereta. “Riyana, ayah hantar ke sekolah berasrama, ma… Sabar ya ma. Satu hari nanti pasti mama akan bertemu dengan anak bongsu mama tu.” Jasmina memeluk erat Rabeta. 
            “Along, dah seminggu tak datang. Dia ke mana?”
            “Ke Langkawi ma, ada projek untuk tesis masternya.” Jasmina meraih tangan Rabeta. “Okeylah ma. Angah balik dulu.”
            Rabeta melambai perlahan, menunggu hingga kereta anak gadisnya berlalu meninggalkan perkarangan RIKA. Dia tersenyum sendiri melihat pakaian nikah anaknya yang dihadiahkan kepadanya. Tidak perlulah dia membeli pakaian lain. Itupun kalau muat. Dia kembali ke pejabat. Masih menunggu kehadiran Fakhrul yang berjanji hendak menyinggah.
            Nazatul dan Zara asyik menikmati cucur udang air tangan Arni. Sedap kuah kacangnya.  Hingga menjilat jari.
            “Amboi makan cucur udang tak ajak,” usik Rabeta. Dia mendekati ketiga-tiga rakan baiknya itu.
            “Jas dah balik?” tanya Arni. Tidak sempat menjamu anak sahabatnya itu.
            “Dia nak cepat Arni. Wah, cucur udang, kuah kacang. Kalau tak ada Arni, kurus keringlah kita,” rengek Rabeta. 
            “Jangan nak bodek, cakap sajalah nak makan.” Arni bingkas bangun dan mengambil sebiji lagi piring.
            “Eta, Arni… akak ada cadangan. Kita buka restoran nak?”  tanya Nazatul.
            “Mama ni, yang ada pun tak terurus, nak tambah lagi?” Zara membantah. Bukan tidak suka, tetapi di restoran banyak kerjanya.
            “Kita buka di sini, untuk penduduk sekitar.  Kalau sedap, ceruk hutan pun orang cari tau, Zara.”  Nazatul menepuk bahu anak gadisnya.
            “Di sini?” Arni dan Rabeta jawab serentak.
            “Pelan cadangan tu dah siap. Dah lulus pun. Nanti kita suruh Tuan Yaakob lakarkan pula restoran kita di tepi bangunan baharu tu,” jelas Nazatul.
            “Kak Naz serius ni?” Rabeta mencari kepastian.
            Laju Nazatul mengangguk.
            Rabeta dan Arni saling memandang.
            “Arni tak ada masalah, kan?” soal Nazatul. Dia ingin Arni yang menguruskan restoran tersebut. Keuntungannya akan diberi kepada temannya itu, sebagai tambahan dari gaji yang diterimanya.  Sebagai insentif atas kesungguhan Arni bekerja di situ. 
            “Insya-ALLAH Kak Naz.” Sebak dadanya. Itulah impiannya. Jika benar, peluang yang datang itu tidak akan dipersia-siakan.
            “Alhamdulillah.” Nazatul tersenyum bahagia.
            “Tak lama lagi kita akan kehilangan seorang kawan, maklumlah dia pun dah nak berkeluarga.” Mata Nazatul menyorot ke arah Rabeta.
            “Janganlah macam tu kak? Risau Eta. Kalau semua tak setuju, Eta tak jadi kahwinlah.” Rabeta enggan mereka terasa dengan kehilangannya nanti.  Dia tetap bekerja di situ.
            “Hish, kami gurau sajalah Eta. Kami tumpang gembira, percayalah!” Nazatul memeluk bahu Rabeta erat.  Rasa sayang menyalur di hati. Rabeta sudah seperti adiknya sendiri. Kebahagian Rabeta, kebahagiannya juga.
            “Kak Naz. Eta tak ingat sama ada pernah beritahu akak dan Zara yang Jasmina pernah bertunang dengan Zaheer, suami Kak Naz.” Rabeta menunggu reaksi Nazatul. Rakannya itu kelihatan tenang dan menunggu Rabeta terus bercerita. “Alhamdulillah, sempat kami halang. Tadi tu, dia datang beritahu. Dia dah putus tunang. Maafkan Eta kak. Jasmina tidak kenal siapa Zaheer sebenarnya. Eta takut dia ada agenda terhadap Jas.” Rabeta menunduk.
            “Alhamdulillah, nasib baik sempat dihalang, Eta. Kalau tidak kita menyesal seumur hidup.”  Nazatul menarik nafas lega. Zaheer sendiri yang mengaku. Cuma tidak tergamak membuka mulut bertanya. Takut Rabeta risau dan bimbang akan hal tersebut. Cerita Rabeta tadi membuatkan dia boleh menarik nafas lega.
            “Tapi Jasmina kena hati-hati. Akak takut,  Zaheer sakit hati dan nak balas dendam.”         
“Itulah yang saya ingatkan kepada Jasmina. Berhati-hati.” 
            “Tak pernah sedar diri si Zaheer tu. Asyik, menyusahkan orang tak habis-habis!” Arni mengeluh kesal.
            “Pihak polis tengah kumpulkan bukti. Jangan bimbang. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Percayalah.”
            “Semoga segala urusan kita dipermudahkan!”
            “Aamin…” serentak mereka menjawabnya. 
            “Dah dua hari adik ipar Kak Naz datang ke sini. Kenapa tak keluar saja dengan dia, bawa Zara sekali? Kasihan pula, terpaksa mengadap muka-muka kami juga.” Rabeta menghabiskan potongan cucur udang yang berbaki di pinggan. Tekak masih sedap, perutnya sudah kenyang.  Baik berhenti. 
            “Dia ada masalah, minta pendapat akak,” cerita  Nazatul tentang adik iparnya itu. 
            “Masalah apa? Kalau akak tak kisah berkongsi cerita dengan kami.” 
            “Cerita 17 tahun dahulu, Eta. Sebenarnya…”  Nazatul menceritakan tentang latar belakang adik dan suaminya. Dari mula hingga ke akhir, adik iparnya melarikan diri ke Thailand dan akhirnya ke Australia.  Di sanalah dia membina kehidupannya, menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada dahulu.
            “Okey, saya tak nampak pun masalahnya?”  Rabeta tercari-cari masalah yang sedang dihadapi oleh adik ipar Nazatul itu.
            “Dia sedang mencari seseorang.  Zaheer tidak benarkan. Mungkin, dia takut jika Zaki akan ditahan oleh pihak polis dan dihukum. Biarpun kisah itu sudah lama berlalu,” cerita Nazatul lebih lanjut.
            “Masalah apa sampai libatkan polis?” tanya Arni pula.
            “Dia cederakan orang, lepas tu larikan diri. Waktu itu umur dia baru 17 tahun. Masa tu dia menagih dadah. Dia pecah rumah orang, nak mencuri. Tapi bertembung dengan tuan rumah, dia panik kemudian tertikam tuan rumah itu. Zaki dapat maklumat, lelaki itu selamat tetapi orang lain yang dituduh. Setakat itu saja yang dia tahu. Siapa yang kena tuduh, dia tak tahu,”  nyata Nazatul  panjang lebar.
            “Di mana kejadian tu kak?” Rabeta mula cuak. Plotnya mirip kisah dirinya.
            “Tak pula dia cerita, tapi dia ada sebut nama lelaki tu. Katanya, keluarga lelaki tu, pelanggan di pasar mini tempat dia bekerja. Dia selalu hantar barang ke rumah tu. Hari itu, dia terdesak sangat, tu yang dia nekad mencuri tu.”
            “Pasar mini? Hantar barang?” Rabeta terus menyusun plot cerita Nazatul.
            “Kenapa Eta?”            soal Arni yang terlihat perubahan wajah sahabatnya itu.
            “Kenapa mak cik?” Zara memandang wajah pucat Rabeta. Tiba-tiba wajah tenang tadi bertukar riak.
            “Kak!” Rabeta muram. Ditambah sebak, sedih dan pilu.      
            “Siapa nama lelaki yang adik ipar akak sebutkan tu?” sambung Rabeta
            Semua yang ada di situ kehairanan melihat sikap Rabeta.
            “Ramadan, kalau tak salah akak,” jawab Nazatul tanpa mensyaki apa-apa.
            “Esok Eta nak jumpa adik akak tu. Boleh aturkan temujanji dia dengan Eta?”
            “Kenapa Eta?” tanya Nazatul kehairanan.
            “Kita tunggu esok, nanti akak pasti tahu, kenapa.” Rabeta tidak mahu bercerita lanjut tanpa mencari bukti yang sahih. Dia enggan menuduh atau serkap jarang. Mungkin cerita sama tetapi pelakonnya berbeza. Mereka bertiga membisu seketika.  Pelbagai persoalan bermain di fikiran.

Tiada ulasan:

Catat Komen