Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 12 September 2017

PROLOG 1 - IKATAN KASIH - ASMAH HASHIM



PROLOG
           
            Langkahnya lemah dan tidak berdaya.  Fikirannya pun buntu, penat berfikir hingga malas hendak berfikir lagi. Haluannya kelam. Matlamatnya suram. Rumah yang disangkakan bakal menjadi tempat dia berlindung juga menolaknya. Dia  mengikut sahaja gerak kakinya. Sesungguhnya, dia hilang arah.  
Akalnya tepu, fikirannya berserabut. Masalah menimpa dirinya bertubi-tubi. Tiada langsung ruang untuk dia melepaskan diri, hidup dalam aman dan tenteram.
“Allah…” Hanya keluhan mengalir keluar dari bibirnya. Badannya dihurung keletihan, tekak digodam kehausan, perutnya diburu kelaparan. Namun, seleranya terus terputus lantaran mengenangkan nasib diri.
Dia masuk ke dalam kedai serbaneka 24 jam, dua botol air mineral disambar. Lantas, duduk di kaki tangga di hadapan kedai tadi. Sebotol air mineral 450ml ditunggang sekali sahaja. Lega. Hilang rasa dahaga dan tubuhnya sedikit segar. Akalnya sudah mula bekerja.
“Pertama sekali, aku kena cari tempat tinggal, kemudian cari kerja.”
Khali. Bukan mudah cari rumah atau bilik dengan waktu sesingkat itu. Melainkan hotel atau motel. Maka, itulah pilihannya untuk beberapa hari sebelum mencari rumah atau bilik untuk disewa. 
Dia tidak boleh memilih kerja, jadi pembantu kedai atau tukang cuci pun sudah kira bagus. Terima sahajalah apa yang mendatang. Asalkan dia ada kerja dan tidak meminta-minta.
Dia menyambung langkah. Punggung seluar dikibas-kibasnya. Sambil itu matanya melilau. Manalah tahu jika ada kedai atau restoran di dalam deretan sebaris dengan laluan ini.
Langkahnya mati tiba-tiba. Matanya terpandangkan sesusuk tubuh terbaring di satu lorong yang sempit dan agak kotor.  Dia memandang kiri dan kanan.  Orang ramai lalu lalang. Namun tiada siapa yang kisah. Atau mungkin tak perasan.  Dahinya berkerut. 
“Dah mati kut?” Dia berfikir sejenak. Kalau sudah mati, tak perlu cari masalah. Namun, perlahan-lahan kakinya menapak, mendekati. Semakin dekat, semakin jelas suara orang terbaring itu seperti meminta tolong.
Bergegas dia mendekati, memandang orang yang terbaring itu. Perempuan rupa-rupanya. Dia mengerang kesakitan, sesekali terdengar suaranya sarut, meminta tolong. 
“Tolong aku…” Sah-sahlah tiada siapa yang mendengar. Rintihnya mungkin tak dapat mengatasi kesakitan yang ditanggungnya. Terlalu perlahan.
“Eh…kau cedera ni!” Spontan mulutnya bersuara. Darah! Perempuan itu bermandi darah! Dia mengundur sedikit sebaik kakinya memijak air. Bukan air. Lopak darah! ALLAHU AKHBAR!
Peristiwa semalam masih berlegar di dasar akal Rabeta. Ketakutan menghadirkan diri. Lemah lututnya. Apatah lagi melihat darah. Dia menarik nafas panjang. Tidak! Dia perlu membantu. 
“Bertahan tau…” Dia memujuk. Memujuk diri sendiri juga. Dia berlari-lari anak ke pangkal lorong. Namun, kemudiannya berpatah balik. 
Mungkin perempuan itu masih berpeluang untuk diselamatkan. Tompokan darah di jalan yang berturap itu memualkan tekaknya. Perlahan-lahan dia menyentuh tubuh perempuan itu. 
            Tubuhnya terasa seram sejuk. Sambil itu dia menoleh juga ke arah jalan. Dia tercari-cari kelibat manusia yang boleh dipanggil untuk membantunya. Ketika itulah tiada siapa yang lalu. Rabeta mendengus.
            “Kak, boleh bangun tak? Saya tak tahu nak  buat apa ni…” luah Rabeta. Bertinggung di sisi perempuan itu.
Dia juga hilang punca. Perempuan itu kelihatan amat lemah sekali. Mungkin banyak kehilangan darah. Dia menjenguk-jenguk ke sekitar. Tercari-cari kalau ada senjata di tubuh perempuan itu. Ataupun di sekitarnya. Nasib baik tiada.
“Akak ni kenapa… siapa yang buat akak sampai akak cedera macam ni?” Banyak pula soalan Rabeta. Sepatutnya, dia tidak boleh membuang masa. 
            “Tolong saya! Saya tak mahu mati macam ni….Saya tak mahu mati!” rayu perempuan itu, tersekat-sekat. Air mata mengalir jatuh ke telinganya.
Dia terbatuk-batuk dan letus darah memercik ke wajah Rabeta.

Tiada ulasan:

Catat Komen