Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 1 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 1 ( Hak Cipta Terpelihara)





            Bagaikan halilintar membelah bumi, suara YB Bakri bergema di dalam bilik mesyuarat itu.  Wajah Pengetua, PKHEM, Guru Disiplin dan Penolong Kanan  Sekolah Menengah Kebangsaan  Bentanjaya muram, mereka juga tidak mampu berkata apa-apa.  Segalanya telah berlaku.   Kejadian yang tidak pernah mereka duga dan jangka.  Kejadian yang tidah pernah berlaku di sekolah itu.

 
            “Saya tidak peduli  cikgu nak buat macam mana…  saya nak cikgu cari siapa yang  pukul anak saya sampai koma!  Ini sudah keterlaluan cikgu!  Di sekolah ini sudah ada kaki buli! Kaki pukul! Ini  sekolah ke, pusat melahirkan penjenayah?”  keras suara YB Bakri meluahkan apa yang sedang dia rasakan ketika itu.  Pelajar zaman sekarang perangai macam hantu.  Langsung tidak ada sikap saling menghormati sesama sendiri. 

            “Insya-ALLAH YB, kami akan cari pelajar yang bertanggungjawab memukul Saiful.  Kami tidak akan berdiam diri.  Kejadian ini  telah mencemar nama baik sekolah kami,”  kata Pengetua, Cikgu Rahman.  Dia menjeling ke arah orang bawahannya yang tidak berkutik, diam seribu bahasa.  Bagaikan tiada ayat yang sesuai untuk mereka lontarkan tentang kejadian yang terjadi.
            “Jangan berjanji sahaja cikgu…  usahakan, cari sampai jumpa!”lantang YB Bakri bersuara.
            “Baik YB.”
            “Jangan makan gaji buta sahaja, aktiviti pelajar sekolah ini kenalah ambil tahu,” sinis.
            “Jika terjadi apa-apa pada anak saya, saya tidak akan teragak-agak saman pihak sekolah.  Cikgu akan tahu akibatnya nanti.”  Sambung YB Bakri.
            “YB, kami akan cari pelajar yang bertanggungjawab menyebabkan anak YB terlantar di hospital, jangan bimbang, berilah kami masa,”  pinta Cikgu Jefri.  Sebagai guru disiplin dia bertanggungjawab terhadap  disiplin para pelajar sekolah itu. 
            “Cikgu sebagai guru disiplin, macam mana cikgu boleh biarkan seorang kaki pukul bermaharajalela di sekolah ini?”  Membuntang mata YB Bakri memandang wajah Cikgu Jefri.
            “Maafkan saya YB,”  Cikgu Jefri menunduk. 
            “Ucapan maaf sahaja  tidak mampu menyedarkan anak saya cikgu,”  YB Bakri mengeluh.

            “Saya bukan hendak cari salah cikgu semua.  Tapi ini sudah keterlaluan.  Manusia jenis apa agaknya orang yang memukul anak saya sampai koma?  Langsung tidak ada  perikemanusiaan.  Hampir hancur muka anak saya dikerjakan.”  YB Bakri meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya.  Tidak sanggup dia melihat keadaan anak bongsunya terlantar di atas katil hospital tidak bergerak-gerak.  Wayar bersirat di tubuhnya.  Air mata isterinya tidak pernah kering sejak anaknya dijumpai dan dibawa ke hospital.  Saudara mara ada yang sudah mula bersuara agar tindakan undang-undang diambil. 
            “Kami simpati dengan apa yang terjadi YB.  Kami akan segera mencari punca kejadian ini.  Kami tidak akan biarkan perkara ini mencemarkan nama kami dan sekolah,”  Cikgu Rahman mengeluh kesal.  
            “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, cikgu.  Tak mengapalah.  Saya percaya dengan cikgu semua.  Saya berharap sangat orang yang bertanggungjawab dapat ditangkap cikgu.  Doktor sedang berusaha untuk menyelamatkan anak saya.  Jika dia mati, maka akan jadi kes bunuh.  Lagi bertambah berat, kan?”  Yb Bakri memandang wajah guru-guru yang berada di hadapannya.  Dia tahu guru-guru itu tidak tahu apa yang  terjadi.  Tanggungjawab mereka begitu berat dan banyak.  Bukan anaknya sahaja yang belajar di sekolah itu.  Beratus pelajar, jadi tidak mungkinlah mereka mampu memerhatikan semua pelajar dalam satu masa. 
            “YB, bersabarlah ya,”  pujuk Cikgu Rahman.  Sebagai pengetua sekolah itu dia juga bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.  Dia akan siasat perkara ini.  Pelajar yang melakukannya akan ditangkap dan dibawa ke muka  pengadilan.  Dia tidak akan membiarkan wujudnya kaki buli di sekolahnya.  Dia tidak akan berdiam diri.
            Hampir sejam mereka dileterkan oleh YB Bakri.  Masing-masing tidak mampu berkata apa-apa.  Mereka sendiri terkejut dengan kejadian yang terjadi.  Nasib baik pelajar itu tidak maut akibat dipukul.  Kalau tidak lagi bertambah parah kes yang sedang mereka hadapi.  Silap haribulan mereka semua  boleh digantung kerja. 
            “Saya nak kita buat mesyuarat  tengahari ini juga.  Jangan bertangguh lagi.  Orang yang bertanggungjawab menyebabkan Saiful terlantar koma di hospital perlu dicari.  Cikgu Hana, buat memo panggil semua guru  hadir, tiada berkecuali.  Cikgu Jefri, pastikan semua kelas dipantau oleh pengawas.  Jangan ada yang bising atau keluar dari kawasan sekolah.  Saya tidak mahu lagi berkompromi dalam kes ini.  Malu saya, buruk nama sekolah.  Berpuluh tahun saya menjadi guru, belum pernah terjadi perkara seperti ini.”  Luah Cikgu Rahman. 
            “Baik  cikgu, sekarang juga saya bertindak.”  Cikgu Jefri terus keluar dari bilik mesyuarat.
            “Saya akan keluarkan memo sekarang juga.”  Kata Cikgu Hana juga berlalu pergi.  Cikgu Rahman kembali ke pejabatnya.  Dia menyandar di kerusi.   Keluhan demi keluhan meniti di bibirnya. 
            Suasana dalam bilik  mesyuarat riuh rendah apabila semua guru diminta berkumpul.  Mereka bertanya sesama sendiri, kenapa tiba-tiba mereka dipanggil bermesyuarat.  Cikgu Jefri pula telah mengaturkan agar pengawas sekolah menjaga kelas sewaktu ketiadaan guru-guru yang  mengajar.
            Cikgu Jefri mengeluarkan senarai nama pelajar yang selalu melanggar peraturan sekolah. Ada beberapa nama tersenarai.  Dia meletakkan fail tersebut  di hadapan  Cikgu Rahman.  Guru-guru lain masih bersuara sehingga membuatkan Cikgu Rahman kurang selesa. 
            “Saya minta cikgu semua hadir sebab ada hal yang perlu kita selesaikan segera.  Untuk pengetahuan cikgu semua, Saiful pelajar kelas 5A, anak  kepada YB Bakri koma dipukul. Kita masih tidak tahu siapa yang bertanggungjawab  atas kejadian ini.  Kita akan siasat sehingga jumpa pelakunya.”  Kata Cikgu Rahman memulakan mesyuarat tersebut.  Suasana yang senyap seketika tadi, riuh kembali.  Ada yang sudah mengetahui tentang kejadian tersebut, tidak kurang juga yang terkejut.
            “Padanlah sudah dua hari dia tidak hadir,”  kata Cikgu Zaki guru kelas 5A.  Dia menggelengkan kepala, terkejut dengan apa yang terjadi.  Saiful Bakri seorang pelajar yang kacak, bergaya dan pandai.  Menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan di sekolah itu.  Mungkin ada pelajar cemburu dengannya, siapa tahu. 
            “Saya pasti pelajar ini terlibat,”  kata Cikgu Jefri sambil menunjukkan nama pelajar yang tertulis di dalam failnya.  Pelajar yang selalu melanggar peraturan sekolah.  Selalu terlibat dengan kes pukul di sekolah itu.  Walaupun yang dipukul itu juga pelajar yang bermasaalah. 
            “Johan Abdullah?  Dia pelajar baru, kan?   Dia kenal ke dengan Saiful Bakri?”  soal  Cikgu Zanariah, guru kelas 5E.  Johan  adalah  pelajar kelasnya. 
            “Bukan masalah kenal cikgu.  Sudah beberapa kali pelajar ini ditangkap kerana memukul dan membuli pelajar kita.  Rotan saya tu, dah mangli, kalau boleh bercakap sudah tentu dia pun tak mahu mencium punggung pelajar itu,”  kata Cikgu Jefri.
            “Kita tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti cikgu, jangan hanya pelajar itu bermasalah dan sering menimbulkan masalah maka kita menuduh dia yang bertanggungjawab.  Kita kena siasat dahulu.  Kalau mengikut senarai cikgu ini, ada lebih dua puluh orang pelajar yang sering menimbulkan masalah di sekolah dan di kalangan pelajar-pelajar kita, jadi  kita nak menuding jari hanya pada Johan, rasanya tidak kena?”  kata Cikgu Azmira guru kaunseling yang baharu sahaja bertugas di sekolah itu.
            “Saya yakin dia terlibat cikgu,”  Cikgu Jefri masih dengan teorinya.  Cikgu Azmira menggelengkan kepala, tidak setuju.
            “Siasat dahulu, cikgu, jangan buat andaian sendiri.”  Sampuk Ustaz  Rahim.
            “Betul tu, kita siasat dulu cikgu…  setelah kita pasti pelajar itu yang bersalah, barulah kita ambil tindakan,” Cikgu Rahman tidak mahu orang bawahannya mengambil tindakan terburu-buru.  Mereka pendidik dan seharusnya bijak dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. 
            “Cikgu semua tahu tak,  rekod yang saya terima menunjukkan Johan pernah memukul pengawal keselamatan sehingga kritikal, itu sebab dia dibuang dari sekolah lamanya.  Saya amat pasti dia jugalah yang telah memukul Saiful Bakri.” Cikgu Jefri tetap dengan keputusannya.  Dia yakin sangat Johanlah pelajar yang telah memukul Saiful Bakri.
            “Manusia boleh berubah cikgu, kita siasat dulu,”  kata Cikgu Azmira tidak senang dengan tuduhan Cikgu Jefri yang dirasakan terlalu mengikut nafsu.  Kalaulah tekaan guru itu benar tidak mengapa.  Kalau salah bagaimana?  Bukankah mereka akan menganiaya seorang pelajar yang tidak bersalah.
            “Menurut maklumat yang sama terima, Johan adalah orang yang terakhir  bersama dengan Saiful Bakri sebelum dia dipukul sehingga koma,” Cikgu Jefri memandang sinis ke arah Cikgu Azmira yang duduk  di hadapannya.
            “Itu masih belum  boleh dijadikan  bukti, cikgu,”  bangkang Cikgu Azmira.   Cikgu Jefri mengetap bibir.  Cikgu Azmira bagaikan mencabarnya.    Baru setahun jagung mengajar sudah hendak mengajar orang lain. 
            “Bagaimana  Cikgu Rahman?  Kita  sudah dapat pelajar yang bertanggungjawab memukul Saiful, takkan nak biarkan sahaja?”  Cikgu Hana pula bersuara.  Semua mata memandang ke arahnya.
            “Siapa nama pelajar itu tadi?  Johan, dia memang suka buat kacau di kelas saya, kuat melawan pula tu,” adu Cikgu Sinnappu. 
            “Bukan dia sahaja yang suka buat kacau Cikgu, ramai lagi.  Itu bukan boleh kita jadikan sandaran yang pelajar itu bersalah memukul Saiful, kita perlukan bukti, saksti yang melihat kejadian itu, saya tidak mahu kita tersalah hukum pelajar yang tidak bersalah,”  Cikgu Azmira masih mempertahankan Johan.
            “Kenapa cikgu mempertahankan sangat pelajar itu?  Apa yang cuba cikgu buktikan?”  lengking suara Cikgu Jefri, sudah hilang sabarnya dengan sikap Cikgu Azmira.
            “Saya bukan mempertahankan sesiapa, cikgu.  Cuma saya tidak setuju cikgu buat tuduhan tanpa bukti.  Kita pendidik, kita diberi tanggungjawab untuk mendidik mereka.  Jangan pula kita lebih sudu dari kuah.  Nanti yang tidak bersalah dihukum, yang sepatutnya dihukum terlepas bebas, itukan aniaya namanya,”  Cikgu Azmira tidak mahu mengalah.  Dia yakin bukan Johan yang memukul Saiful. Kenapa dia yakin, dia sendiri tidak tahu, tapi naluri hatinya yang berkata begitu.
            “Sudah!  Saya panggil cikgu-cikgu semua, bukan untuk bertengkar tetapi untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi.  Kita semua bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.  Jangan kita pula saling tuduh menuduh.  Masing-masing ada peranan, saya mahu masalah ini diselesaikan segera. Cikgu Azmira, awak siasat perkara ini daripada pelajar yang kita sebut-sebutkan itu.  Jawapannya pasti kita akan jumpa nanti.”  Cikgu Rahman memandang seorang demi seorang guru-guru yang memenuhi bilik mesyuarat itu.  Dia mengeluh.    Hampir dua jam mereka bersidang, namun tiada jawapan yang diperolehi. 

Tiada ulasan:

Catat Komen