Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 14 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH- BAB 11



Johan tercari-cari kelibat Cikgu Azmira.  Dia tempat letak kereta pun tiada.  Di kantin juga tiada.  Takkan guru muda itu sudah pulang ke rumah?  Tidak mungkin?  Belum lagi habis waktu sekolah.    Dia terus mencari sehinggalah dia ternampak kereta Cikgu Azmira baharu hendak keluar dari perkarangan sekolah.  Johan menerpa dan menahan kereta  Cikgu Azmira.
            Cikgu Azmira memandu perlahan keluar dari perkarangan sekolah.  Hatinya sakit sebab Johan tidak muncul seperti yang dijanjikan.  Di dalam kelas juga tiada.  Ke mana pula pelajar itu pergi.  Mungkin dia tidak hadir agaknya.  Atau sengaja ponteng kelas.  Fikirannya merawang jauh memikirkan berbagai kes yang menerjah sekolahnya.    Kenapalah perkara itu terjadi di sekolah ini.  Kasihan abahnya.  Tentu pening kepala abahnya memikirkan keadaan yang sedang berlaku.  Kalaulah diketahui olhe pihak kementerian tentulah abahnya akan dipanggil.  Asyik melayan perasaan sendiri sehingga dia tidak sedar ada seorang pelajar  berdiri di hadapan keretanya.  Hampir sahaja dia melanggar pelajar tersebut.  Cikgu Azmira menekan brek kecemasan.  Berdegup jantungnya.  Kecut perutnya.  Tidak pasal-pasal  menambah kes lagi.
            “Hey, kenapa ni?  Dah tak waras agaknya?” marah Cikgu Azmira.  Dia membuka cermin tingkap  kereta.  Pelajar lelaki itu menerpa.
            “Johan? Kenapa dengan awak ni?”  marah Cikgu Azmira.
            “Saya nak jumpa cikgu,”  kata Johan tercunggap-cunggap.
            “Kalau nak jumpa cikgu pun, jangan buat macam ni? Kalau saya laju tadi, dah tentu awak terlanggar tadi.”
            “Maafkan saya cikgu,”  kata Johan.    Cikgu Azmira mengeluh.  Kereta diundurkan.  Dia meletakkan kembali kenderaannya di tempat  meletak  kereta.  Johan menunggu penuh setia.    Cikgu Azmira melangkah keluar dari perut keretanya.
            “Jom, ke bilik saya,” ajak Cikgu Azmira.  Johan mengangguk perlahan.  Dia mengikut langkah Cikgu Azmira.
            “Cuba awak cakap dengan saya, kenapa tiba-tiba berubah fikiran?” Cikgu Azmira memeluk tubuh,menyilangkan kaki berdiri menghadap Johan yang masih menunduk.  Pelajar itu dipandang lama.
            “Saya akan bekerjasama dengan cikgu dengan syarat, hal ini tidak sampai ke pengetahuan ibu saya.  Ibu saya sakit cikgu.” 
            “Ibu awak sakit apa?”
            “Jantung, cikgu.”
            “Dah lama?”
            “Itu saya tidak pasti.”
            “Baik, janji awak mahu bekerja sama dengan saya.”
            “Awak terpaksalah pulang lewat hari ini.”  Cikgu Azmira mengambil alat perakam.  Fail Johan dibentangkan di hadapannya.  Dia duduk di kerusinya.  Matanya masih lagi memandang wajah Johan.
            “Awak tahu tak, pagi tadi pihak sekolah jumpa bayi di dalam tandas.  Bayi perempuan. Comel.  Entah anak siapa?”  Cikgu Azmira cuba memancing perhatian  Johan.
            “Padanlah, pagi tadi ada pelajar yang menuduh saya perogol,”  Johan menahan geram.  Panas hatinya bila memikirkan perkara yang berlaku pagi tadi.
            “Awak ke yang buat? Siapa pelajar perempuan itu?”  sinis.  Sengaja mengapi-apikan perasaan Johan.
            “Saya belum gila lagi cikgu.  Buruk-buruk saya, saya masih hormati orang perempuan.  Masih tahu dosa pahala.”  Johan membela diri.  Cikgu Azmira tersenyum.
            “Baiklah, saya percaya pada awak, Johan.  Itu sebab saya masih mempertahankan awak untuk terus berada di sekolah ini.  Jika tidak sudah lama awak dibuang.”  Jelas Cikgu Azmira.  Johan terdiam. 
            “Kenapa awak jadi kaki buli Johan? setiap minggu awak akan dipanggil  waktu  perhimpunan.  Selalu ponteng kelas, banyak sangat kesalahan tatatertib.  Kenapa?  Sekolah ini adalah sekolah ketiga awak ditempatkan.  Tak malu ke?” 
            “Saya bukan buat salahpun.  Cikgu Jefri saja suka nak menghukum saya tanpa sebab.  Sepatutnya pihak sekolah berbangga, kerana kehadiran saya telah banyak mengubah  pelajar di sini, daripada mereka dibuli dan jadi samseng, saya telah mengurangkan keadaan itu.  Malah maksiat pun semakin berkurangan.  Apa salah saya, cikgu?”  soal Johan semula.  Cikgu Azmira menjungkitkan bahu.
            “Sekolah kita ada undang-undang dan peraturan Johan.  Mungkin niat awak baik, tapi tindakan awak itu salah.  Awak tak boleh ambil tindakan sendiri.  Ini sekolah.” 
            “Saya tahulah, cikgu.  Sebab sekolahlah, kena ada orang pantau dan perhati.  Maksiat bermaharajalela, yang kuat membuli yang lemah.  Tiada siapa yang ambil tahu.  Bila saya bertindak, dipersalahkan pula.”  Rungut Johan.  Cikgu Azmira mengeluh.  Dia faham maksud pelajar  itu tetapi niat tidak menghalalkan cara.
            “Boleh awak beritahu saya kenapa awak jadi macam ini, Johan.  Mungkin saya boleh merungkai permasalahan awak,”  Cikgu Azmira meneliti wajah pelajar di hadapannya itu.  Orangnya ada karisma tersendiri sebagai pemimpin.  Keputusan pelajaran,  pelajar itu juga tidaklah teruk sangat.  Tahap pertengahan.   Dibuang sekolah kerana memukul. 
            “Cikgu nak tahu?”  Johan tersenyum sinis.
            “Saya mendapat keputusan cemerlang waktu PMR.  Melayakkan saya tinggal di sekolah berasrama.  Ibu saya  orang yang paling riang menerima berita tersebut.  Walaupun hati saya menolak keras.  Saya tak suka tinggal di asrama.  Tak suka berjauhan daripada ibu saya,” cerita Johan.  Cikgu Azmira mendengar penuh minat.  Pita rakaman sudah terpasang.  Pen di jari sudah bersedia untuk bekerja.
            Puan Safiya tersenyum bahagia apabila Johan ditawarkan ke sekolah berasrama penuh.  Dia benar-benar bersyukur.  Puas dia memujuk anak tunggalnya itu.  Dia mahu Johan cemerlang dalam SPM nanti.  
            “Johan tak sukalah ibu.  Duduk asrama, lecehlah.”  Johan menolak.  Puan Safiya mendekati Johan dan mengusap belakang anak bujangnya itu, manja dan penuh kasih sayang.
            “Ala, Johan, dua tahun je.  Impian ibu nak tengok Johan berjaya dalam pelajaran.  Kalau duduk asrama, Johan ada kawan  untuk belajar,”  terus memujuk.
            “Duduk di rumah pun boleh belajar.  Buktinya keputusan PMR Johan,  cemerlang juga.”  Johan memandang wajah ibunya. 
            “Johan…  pergilah, ya.”  Puan Safiya tidak putus asa.  Johan mengeluh.  Mata ibunya mula berkaca.  Dia mengeluh.  Inilah yang dia tidak tahan. 
            “Tapi ibu?”  Johan serba salah.  Hatinya menolak.  Ibu pula terus mendesak. 
            Beg pakaiannya, barang-barang keperluan untuk dia tinggal di asrama semuanya telah siap sedia.  Hanya menunggu masa untuk berangkat pergi sahaja.   Wajah Johan tidak manis sejak dia ditawarkan ke sekolah berasrama.  Hiba terasa.  Wajah ibunya yang riang dipandang lama. 
            “Ibu tak apa ke tinggal seorang?” tanya Johan sengaja menguji hati ibunya.
            “Tak apalah sayang.  Walaupun ibu sepi, tapi demi anak ibu apa salahnya.  Setiap minggu ibu boleh ziarah Johan.”  Senyuman terukir di bibir ibunya.  Johan mengeluh keras.  Nampaknya tidak ada peluanglah dia hendak duduk di rumah.  Dengan hati yang berat Johan terpaksa  juga melangkah pergi.  Semoga ibunya tidak sunyi tinggal sendiri. 
            Suasana baharu, kawan baharu.  Sekolah baharu.  Johan memerhati keadaan sekolah  berasrama  itu.  Memanglah cantik, moden dan bersih.  Namun hatinya sedikit pun tidak terpikat.  Ibunya  yang lebih teruja daripada dirinya sendiri.  Macamlah ibunya yang hendak duduk di asrama.  Beriya-iya ibunya menyediakan semua keperluan.   Berkali-kali memeriksa semua keperluannya. 
            “Jaga diri ya, Johan.  Nanti ibu datang ziarah lagi.  Jangan nakal-nakal.  Dengar kata guru-guru di sini.  Belajar bersungguh-sungguh tau,”  nasihat Puan Safiyah.  Johan hanya mendengar.  Semua barang sudah dihantar ke asrama.  Ibunya yang bersungguh-sungguh ingin melihat bilik di mana dia ditempatkan.  Dua tahun sahaja, tidak lama.  Itulah yang bermain di benaknya.  Sabarlah hati, tenanglah fikiran.
            “Ibu balik dulu…  minggu hadapan ibu datang lagi,”  kata Puan Safiyah sebelum berpisah.  Johan memasukkan tangan di dalam poket.    Dia memerhati sehingga kereta Toyota Vios ibunya hilang dari pandangan.  Dia mengeluh berat.  Seberat hatinya kini.  Johan mengherotkan mulutnya.  Langkah diatur perlahan menuju ke asramanya.  Ramai juga pelajar baharu mendaftar masuk hari itu.  Bermakna ramailah kawan-kawan yang senasib dengannya.
            “Hey…  budak baharu, kan?”  tegur seseorang dari tepi bangunan asramanya.  Johan menoleh.  Lima pelajar lelaki memandangnya sambil tersenyum.  Johan membalas senyuman mereka.  Nanti dikatakan sombong pula. 
            “Ya, saya budak baharu di sini,”  Johan memperkenalkan diri.  Salam seorang pelajar itu menariknya ke belakang bangunan tersebut. 
            “Kenapa ni?  Awak semua nak apa dengan saya,”  tanya  Johan.  Takut pula dia melihat sikap kelima-lima pelajar tersebut.  Mereka menyengih bagaikan kerang busuk.
            “Kami senior kaulah.  Mulai esok kau kena basuh baju kami.  Tolong beratur ambil makanan kami…  tolong cuci kasut sekolah kami,”  kata salah seorang pelajar tersebut.  Dahi Johan berkerut.  Biar betul?  Mereka ini main-main atau bercakap serius. 
            “Kenapa pula?  Awak semua tak pandai basuh sendiri ke?”  Johan mencebik.  Kepalanya diduku dari belakang.
            “Jangan melawanlah, dengarlah apa  yang kami cakap.” Kata seorang lagi.  Johan tidak berani melawan.  Dia seorang, mereka ramai.  Silap haribulan, boleh masuk ICU.  Baiklah dia bersabar sahaja mendengar kehendak mereka.
            “Kau dengar tak?   Esok pagi-pagi, aku nak kau basuh baju kami berlima.  Dalam bilik air di tingkat 3,”  kata pelajar yang berkaca mata, bertubuh besar.  Johan mengangguk perlahan.  Baharu hari pertama sudah dibuli.   
            “Satu lagi, kau jangan beritahu sesiapa, atau berani mengadu dengan warden asrama.  Kalau kami dapat tahu kau mengadu, siaplah kau!” ugut salah seorang daripada mereka.  Johan membisu tidak berkutik. 
            “Dah, berambus dari sini,”  tubuh Johan ditolak dengan kasar.  Johan hampir terjatuh.  
Kelima  pelajar itu  mereka mentertawakannya. Johan melangkah kembali ke asrama.  Sebentar lagi mereka semua akan berkumpul di surau untuk solat asar.  Dia tidak mahu mengenang apa yang terjadi tadi. 
            “Kau ke mana? kenapa lambat?”  sapa kawan satu bilik dengannya.  Johan mengemas barang-barangnya.  Dia mendiamkan diri.
            “Kau kena tahan dengan budak senior, kan?” tanya kawannya lagi.  Johan berhenti menyakut baju-bajunya. 
            “Macam mana kau tahu?” soal Johan kembali. 
            “Nama aku Ramli.  Tapi buka P.Ramlee.  Kata ayah aku, dia letak nama Ramli sebab dia minat sangat dengan arwah.  Macam mana aku tahu kau ditahan oleh budak-budak senior… sebab aku nampaklah. Itu Tahir dan kawan-kawannya.  Kau kena hati dengan mereka.  Mereka tu samseng di sini.  Semua pelajar junior takut dengan mereka.  Guru-guru pun tak boleh buat apa-apa.  Mereka pandai mengelak bila tertangkap.”  Cerita Ramli panjang lebar.  Johan mendengar dengan penuh minat.
            “Mereka ganggu semua pelajar ke?”  tanya Johan ingin tahu lebih lanjut.  Dia hendak tahu juga dengan siapa dia berurusan.  Kalau mereka kaki buli, terpaksalah dia mengikut kehendak mereka.
            “Tak semua, mana yang mereka rasa boleh ‘makan’ macam kau.  Nampak baik dan naïf.” Ramli tersenyum. 
            “Kalau aku adukan kepada pengetua, macam mana?”
            “Tak payahlah.  Tahir tu ketua pelajar di sini.  Kau fikir, pihak sekolah akan percaya?  Jangan haraplah.”
            “Nampak seperti tidak adil?”
            “Bukan tidak adil. Tahir pandai membodek.  Kau yang baik pun boleh dianggap jahat.  Jadi jangan melawan, jika mereka suruh buat apa sahaja.  Johan terdiam.  Perlukah dia melakukannya.  Membasuh baju ke lima-lima pelajar itu.
            “Mereka minta aku basuh baju mereka?  Pukul  berapa aku harus bangun?”  Johan  mengerling. Ramli meletakkan jari telunjukkan di dagu sambil berfikir.
            “Pukul 3.00 pagi.”
            “Awalnya?”
            “Kau tak tahu berapa helai baju kau kena basuh?  Bukan ada mesin basuh seperti di rumah,”  Ramli menjeling.  Johan mengeluh.

Tiada ulasan:

Catat Komen