Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 16 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 13



Hisyam dan Fadli memandang sayu wajah Johan.  Mereka simpati namun tidak mampu berbuat apa-apa.  Menjadi pemerhati yang setia.  Johan memeluk lutut sambil menggoyangkan tubuhnya bagaikan orang bertafakur.  Menahan rasa marah di hati.  Melepaskan tekanan di jiwa. 
            “Takkan kau nak diamkan diri je?”  Fadli duduk di hujung katil Johan.  Matanya masih lagi memandang wajah teman sebiliknya itu.
            “Kau nak suruh aku buat apa?  adu pada cikgu?”  Johan melawan pandangan mata Fadli.
            “Iyalah.” 
            “Cakap mudahlah, bukti ada?”  sampuk Hisyam. 
            “Nak bukti apa lagi?  Ramai saksi,”  yakin Fadli.  Johan tersenyum sinis, mengejek.
            “Siapa berani jadi saksi?”  tanya Hisyam sambil mengangkat-angkat kening.  Johan dan Fadli memandang wajah Hisyam pula.
            “Kau berani ke Syam?” tanya Johan.  Senyuman sinis terukir di  bibirnya.
            “Taklah…  aku belum bersedia menjadi mangsa Tahir seterusnya,”  kata Hisyam sayu.  Sedih dengan ketakutan diri sendiri.  Lelaki, tetapi tidak berani mempertahankan diri.
            “Tahu takut?”  Fadli mencebik. 
            “Kau tak beritahu ibu kau ke, Johan?”  Hisyam duduk bersila mengadap Johan. 
            “Tahir dah bagi amaran.  Kalau aku beritahu ibu aku,”  sambil menunjuk ke lehernya.  Hisyam dan Fadli saling berpandangan.  Berani Tahir mengancam nyawa orang lain.  Seolah-olah negara itu tidak ada undang-undang, begitu  juga di sekolah.
            “Susahlah macam ni?  Akhir tahun lambat lagi,”  Hisyam risau. 
            “Itulah…  bimbang aku tengok keadaan kau, Johan.”  Fadli memegang bahu Johan.
            “Tak apa, aku masih boleh bertahan.”  Johan tersenyum, hambar.
            “Sabar ya, Johan,”  pujuk Fadli lagi.  Johan mengangguk lemah.  Dia memang   boleh bersabar tetapi sampai bila.
            Johan menapak ke perpustakaan.  Dia ingin menghabiskan kerja sekolah yang  masih belum siap.  Sudah berkali-kali dia di denda lantaran kerja sekolah yang diberi tidak disiapkan.  Semuanya kerana Tahir dan kawan-kawannya.   Sejak bersekolah di sekolah itu dia tiada kawan rapat melainkan Fadli dan Hisyam.  Mereka juga kawan sekelasnya.    Badannya letih, selera makannya juga kurang.  Semuanya kerana Tahir.  Dia benci dengan nama itu dan orangnya sekali.
            “Hey, botak chin!” panggil Tahir.  Johan menoleh.  Kenapa pelajar senior itu ada di mana sahaja dia berada?  Hatinya meluap-luap menahan rasa benci yang semakin berakar di hati.
            “Kau nak ke mana?”  sambung Tahir. 
            “Pergi  perpustakaan,”  jawab Johan, nada suaranya ditahan agar tidak ketara perasaan benci terhadap pelajar itu.
            “Rajin!”  kata Tahir.  Dia ketawa kuat.  Kawan-kawannya juga turut ketawa.  Johan mengetap bibir.  Menahan rasa marah, benci dan meluat.
            “Malam ni aku nak jumpa kau!” kata Tahir, tegas.  Johan mengeluh.  Apa lagilah pelajar itu hendak daripadanya. 
            “Aku nak buat kerja sekolahlah.”  Johan menolak dengan baik.  Tahir yang tersenyum terus serius.  Dia menapak mendekati Johan.
            “Dengan aku, tak ada alasan.”  Tahir menunjal kepala Johan yang mula ditumbui rambut. 
            “Wah, rambut dia dah tumbuh baliklah,”  kata Tahir pada kawan-kawannya.
            “Boleh kita buat projek lagi nanti,”  sampuk salah seorang kawan Tahir.  Johan mendengus kasar.
            “Kenapa kau suka ganggu aku?  ramai lagi pelajar di sekolah ini?”  Johan bersuara. Tahir mengangkat kening.
            “Ait, berani bersuara,”  mereka mentertawakannya.  Johan mengecilkan matanya.
            “Jangan nak tunjuk hero atau berlagak dengan aku.  Kau ikut sahaja cakap aku, faham!”  Tahir mencekak leher Johan.
            “Lepaskanlah aku,”  rayu Johan.  Tahir ketawa.  Beberapa pelajar yang lalu lalang akan segera menjauh apabila ternampak kelibat Tahir dan kawan-kawannya.
            “Aku boleh lepaskan kau, tapi malam ini aku nak kau datang ke bilik kami,”  arah Tahir. 
            “Yalah,”  jawab Johan sambil menarik leher bajunya.  Tahir tersenyum.
            “Macam tulah,”  sambil menepuk-nepuk pipi Johan.  Pelajar itu kurang selesa.  Tahir tersenyum lagi.  Johan serius.  Pecah gelak Tahir dan kawan-kawannya.  Sakit hati Johan bertubi-tubi  menumbuk jantungnya.
            Johan tidak mengikut Hisyam dan Fadli ke bilik prep.  Dia sudah berjanji dengan Tahir dan kawan-kawannya.   Dia melangkah lemah menuju ke bilik Tahir.  Hatinya berdebar-debar kencang.  Apa pula kali ini?  Ketakutan menguasai dirinya.  Terasa serik menujah hati dan perasaannya.  Berkali-kali dibuli dan didera fizikal dan mental.    Siapa yang mampu bertahan. 
            “Datang juga kau ya?”  Tahir menarik Johan masuk ke dalam bilik.  Johan mengerutkan dahi.   Kempat-empat kawan Tahir juga ada bersama.  Tahir menarik Johan duduk di atas katil.
            “Kau nak apa Tahir?”  Johan memberanikan diri bertanya.  Tahir tersenyum  sumbing, sinis dan menakutkan.  Senyuman yang penuh erti.  Apa kena pelajar seniornya itu, detik hati kecil Johan.
            “Kau orang pegang dia, biar aku mulakan dulu,”  kata Tahir mengarah kawan-kawannya.  Mereka mendekati Johan.
            “Apa ni?”  Johan bingung.  Mereka membaringkan dia di atas katil, menyiarap.  Tangan dan kakinya dipegang kuat.  Seluarnya dilondehkan.  Johan menjerit.  Dia sudah dapat menduga apa yang mereka ingin lakukan.  Dia meronta dengan kuat.
            “Tahir! Kau gila ke?  Rasullullah tak mengaku umat, lepaskan aku!”  kata Johan cuba melepaskan diri.
            “Apa?  aku tak dengar!”  kata Tahir sudah mula mendekati Johan.  Seluarnya sudah terlondeh.  Kawan-kawannya ketawa berdekah-dekah.  Johan mengetap bibir.  Ini sudah keterlaluan.  Ini semua sudah melampau.  Haruskah dia mendiamkan diri lagi.  Tidak!  Dia tidak akan membiarkan menjadi mangsa manusia durjana seperti Tahir dan kawan-kawannya.  Kalau setakat suruh basuh baju dan membotakkan kepalanya, dia masih boleh bersabar tetapi jika perbuatan terkutuk itu dia tidak mahu terusan dibuli.  Dia harus melawan.  Johan merentap tangannya dengan kuat.  Dia meronta, menendang dan menolak.  Terpelanting Tahir yang sudah berdiri di belakangnya.  Begitu juga kawan-kawan Tahir.  Mereka menerpa semula.  Tahir juga tidak berputus asa.  Johan berdiri di atas katil dengan wajah menyinga.  Dia  melompat turun dari atas katil.  Seluar yang terlondeh disarung semula.
            “Kalian memang syaitan!”  tempik Johan.  Bilik itu tertutup rapat.  Tahir mendekati.  Johan menolak Tahir dengan kasar.  Kawan-kawan Tahir seorang demi seorang cuba memukul Johan.  Kali ini pelajar itu tidak membiarkan dia terus dibuli.  Johan menendang, menangkis setiap serangan.  Kekuda diperkukuhkan.  Dia melompat menendang seorang demi seorang kawan-kawan Tahir.  Ada yang terperosok di celah almari, ada juga jatuh di lantai dan atas katil.  Mereka mengerang kesakitan.  Tahir yang menyaksikan kejadian itu menahan marah.  Dia menerpa cuba menumbuk muka Johan.  Dengan pantas Johan  menendang  kaki Tahir sehingga pelajar senior itu jatuh ke lantai.  Waktu itulah Johan menerpa dan menumbuk Tahir bertalu-talu.  Hilang kesabarannya.  Kebencian yang membuak di  hati disalurkan ke seluruh tubuhnya.  Dia terus menumbuk Tahir sehingga lembik.   Johan ditarik dengan kasar oleh kawan-kawan Tahir.  Dengan kekuatan yang masih berbaki, Johan menolak keras.  Dia menendang seorang demi seorang.  Mereka berlima dikalahkan dengan mudah oleh Johan.    Tahir masih tidak mahu mengaku kalah menerpa ke arah Johan dengan pisau di tangan.  Pisau itu diacu-acukan ke muka Johan.  Pelajar itu mengelak.  Tahir menyengih. 
            “Berani kau melawan aku, ya?  Kau ingat aku dah lembik, aku tak boleh melawan kau?”  Tahir  mendekati Johan perlahan-lahan.  Pisau masih di tangan  Tahir.  Johan  berhati-hati. 
            “Kau  sudah keterlaluan Tahir.  Aku beri kau muka selama ini bukan kerana aku takut.  Aku tidak mahu buat musuh!”  kata Johan berani.  Tahir menghunus pisau untuk  menikam.  Johan menepis sehingga pisau itu terpelanting jatuh ke lantai berhampiran dengannya.  Johan tersenyum.  Kawan-kawan Tahir sudah menghilangkan diri.  Johan sudah tidak peduli lagi.    Hanya tinggal dia dan  Tahir di dalam bilik yang menempatkan empat buah katil bujang. 
            Ah, jangan cakap banyak!”  Tahir menerpa.  Dengan sepantas kilat Johan mencapai pisau dan bersedia untuk bertindak.  Tahir menumbuk.  Johan menarik tangan Tahir dengan kasar, menolak sehingga Tahir tersungkur.  Dengan segera Johan mengacukan pisau ke leher Tahir.
            “Aku boleh bunuh kau!” jerkah Johan.    Tangan Tahir dikilas ke belakang.
            “Johan!” jerit seseorang.  Johan mendongak.  Pengetua, PKHEM dan warden asrama serta  kawan-kawan Tahir  berdiri memandangnya.  Johan mengetap bibir.  Mereka menganggunya menghabiskan nyawa Tahir.  Manusia yang bersifat durjana ini harus mati dari hidup merosakkan orang lain, detik hati kecil Johan.  Hanya itu yang bermain-main di mindanya ketika itu.
            “Letak pisau itu, Johan.  Lepaskan Tahir,”  kata pengetua, Cikgu Nordin.
            “Dia nak liwat saya cikgu, takkan saya nak biarkan!” kata Johan keras.
            “Baik, saya terima laporan awak itu, tapi lepaskan Tahir dahulu,”  rayu Cikgu Nordin.  Johan tidak berganjak lagi.  Dia masih duduk di atas badan Tahir dan pisau di leher pelajar itu.
            “Johan, tolonglah!  Jangan buat kerja gila.  Awak tentu tak nak duduk dalam penjara di usia mudakan?  Takkan awak nak digelar sebagai pembunuh,”  rayu PKHEM, Cikgu Salina. 
            “Mereka dah melampau cikgu, mereka suruh saya basuh baju mereka.  Mereka botakkan kepala saya.  Semua yang mereka lakukan, saya masih boleh diam, tapi bila mereka hendak liwat saya…  saya tak mampu berdiam lagi.  Saya ada maruah dan harga diri!”  luah Johan. 
            “Kenapa awak tak buat aduan?”  tanya Cikgu Salina.  Johan  tersenyum.
            “Siapa berani?  Kalau cikgu  hanya tahu tanya tentang bukti?” tempelak Johan.  Cikgu  Salina terdiam seketika. 
            “Yalah, setiap pertuduhan perlukan bukti dan saksi, Johan,”  sambung Cikgu Nordin.
            “Siapa berani jadi saksi, cikgu.  Mereka semua ini tahu mengugut dan membuli je,”  jerkah Johan. 
            “Johan, lepaskan pisau tu.  Lepaskan Tahir.  Kami percaya cerita awak.  Tolong jangan buat kerja yang akan membuatkan awak menyesal seumur hidup,”  rayu Cikgu Nordin.
            “Johan!”  Hisyam menerpa. Johan memandang wajah kawan sebiliknya.
            “Aku dah hilang sabar, Syam.  Mereka semuanya gila!”  Johan mengesat peluh di dahi dan mukanya dengan  tangan kirinya.
            “Kalau mereka gila, kau jangan jadi sama gila dengan mereka,” kata Hisyam, memujuk.  Keadaan  mula riuh rendah. 
            “Johan, tolonglah.  Awak tak kasihan ke pada ibu awak?”  Cikgu Salina memandang wajah Johan.  Pelajar itu sangat naïf dan baik waktu mula-mula mendaftarkan diri di sekolah tersebut.  Hari ini pelajar yang sama  hendak menjadi pembunuh rakan sekolahnya sendiri. 
            Johan melepaskan pisau apabila sahaja Cikgu Salina menyebut nama  ibunya.    Tahir menolak Johan dengan kasar sehingga  jatuh ke lantai.  Tahir menerpa ke arah Cikgu Nordin.
            “Dia dah gila cikgu…  dia nak bunuh saya,”  kata Tahir.  Johan menjegilkan mata. 
            “Awak diam Tahir!” marah Cikgu Nordin.
            “Semua ikut saya ke pejabat.  Tak pasal-pasal malam-malam saya  kena datang!” rungut Cikgu Nordin.  Hisyam  mendapatkan  Johan.  Dia membantu kawannya itu bangun dan berdiri.  Johan dipapah keluar dari bilik itu.  Fadli mendekati.  Dia tidak dapat masuk kerana dihalang oleh pelajar lain di muka pintu bilik itu.
            “Kau okey ke?”  tanya Fadli pula.  Johan mengangguk perlahan. 
            “Alhamdulillah,”  Fadli mengurut dada, lega melihat Johan tidak diapa-apakan.
            “Terima kasih,” Johan memandang wajah kedua-dua rakan sebiliknya.  Mereka saling tersenyum.  Mereka terus melangkah ke bilik pengetua.  Cikgu Salina mengarahkan pelajar yang tidak terlibat kembali ke asrama.
            Puan Safiya terdiam mendengar cerita Cikgu Nordin.  Dia berbegas ke sekolah Johan apabila ditelefon oleh pihak sekolah.  Tiada apa yang mampu dia katakan ketika itu.  Hanya menjadi pendengar.
            “Maafkan saya puan, pihak sekolah terpaksa  buang Johan.  Dia hampir hendak  membunuh pelajar senior.  Untung kami sampai awal, kalau tidak, tak tahulah saya nak cakap apa puan,”  adu Cikgu Nordin.  Puan Safiyah terkejut mendengarnya.  Benarkah Johan sanggup bertindak sampai  ingin membunuh?  Sudah beberapa kali dia datang menziarahi anaknya itu tiadalah ternampak apa-apa perubahan pada anak bujangnya itu melainkan dia agak kurus sedikit. 
            “Saya rayu cikgu…  tolong jangan buang anak saya.  Kalau cikgu nak tukarkan dia ke sekolah lain pun saya tak kisah.  Tapi jangan buang dia dari sekolah.  Ini melibatkan masa hadapannya,”  rayu Puan  Safiyah.
            “Saya faham.  Walaupun pelajar senior itu bersalah juga kerana mendera dan membuli Johan tetapi anak puan tidaklah boleh bertindak di luar batasan seorang pelajar dan manusia.” 
            “Saya faham, cikgu.  Mungkin Johan tidak tahan didera dan dibuli, itu sebab dia bertindak  begitu,”  Puan Safiyah  mengeluh kesal.
            “Beginilah puan.  Kami akan cadangkan sebuah sekolah biasa untuk anak puan.  Mungkin di sana nanti dia akan dapat menyesuaikan diri.  Duduk di asrama ni banyak dugaannya, puan.” 
            “Tak kisahlah cikgu.  Asalkan dia bersekolah,”    Puan Safiyah bersetuju.  Cikgu Nordin  menulis sepucuk surat dan menghulurkannya kepada Puan Safiyah.   Menitis air mata Puan Safiyah.  Dalam usia muda, anak bujangnya sudah membina titik hitam dalam hidupnya sebagai seorang pelajar. 
            “Terima kasih cikgu.  Saya memohon maaf bagi pihak anak saya.”  Puan Safiyah tidak mahu berlama di situ.    Sedih bercampur baur dengan perasaan geram dan marah terhadap anaknya  itu. 
            “Tak mengapa, puan.  Pihak kami juga bersalah.  Semoga di sekolah baharu nanti Johan lebih  berdisiplin.  Pelajar-pelajar  yang membulinya juga telah kami kenakan tindakan disiplin.  Kami adil dalam menjalankan hukuman puan.  Jangan merasa kami menghukum anak puan sahaja,”  kata Cikgu Nordin.  Dia terpaksa mengantung lima pelajar  yang telah membuli dan mendera Johan.  Perbuatan Johan satu kesalahan, dan pelajar itu juga harus didenda kerana hendak membunuh.  Itu satu kesalahan besar baik undang-undang di sekolah mahupun negara.
            “Terima kasih sekali lagi cikgu,”  Puan Safiyah bingkas bangun dan berlalu keluar.  Johan sedia menunggu di ruang tamu pejabat pengetua.
            “Jom, balik.”  Puan Safiyah  melangkah laju.   Johan mengerutkan dahi.
            “Kenapa ibu?” tanya Johan kebingungan.
            “Johan dibuang dari sekolah, faham tak?”  marah Puan Safiyah.   Johan terdiam.  Dia dibuang dari sekolah?  Dia seperti tidak percaya.  Apakah dia bersalah?  Johan mengikut langkah ibunya yang semakin jauh meninggalkannya.
            “Macam mana?” tanya Hisyam yang muncul di hadapannya.  Johan terkejut.
            “Aku dibuang dari sekolah,” beritahu Johan.  Hisyam terkejut.  Kenapa pula Johan yang dibuang dan lima pelajar itu cuma digantung seminggu.
            “Tapi kenapa?”  Hisyam bertanya lagi.  Johan mengangkat bahu tanda tidak tahu.  Dia sendiri keliru.
            “Sebab Johan  hmapir membunuh orang,”  sampuk Puan Safiyah.  Dia menjeling tajam memandang wajah Johan.   Hisyam dan Johan saling  memandang. 
            “Pergi ambil barang-barang di asrama.  Ibu tunggu di sini.”  Serius sahaja wajah Puan Safiyah.   Johan menarik tangan Hisyam mendaki tangga ke bilik asrama mereka.  Fadli membantu mengumpulkan semua barang-barang Johan.
            “Jaga diri kau di sekolah baharu nanti.  Jangan jadi pembuli pula,”  nasihat Hisyam.  Mereka bertiga turun bersama barang-barang yang telah siap di isi ke dalam beg dan baldi. 
            “Tahulah aku jaga diri,”  kata Johan, senyuman terukir.   Itu adalah kali terakhir dia berada di sekolah berasrama.  Dalam hati dia berjanji pada dirinya sendiri, tidak akan sama sekali tinggal di asrama. Serik rasanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen