Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 17 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 14



Cikgu Azmira diam tidak berkutik.  Apa lagi yang mampu dia katakan.  Cerita Johan membuatkan dia berfikir.  Manusia yang sering dibuli akan membesar menjadi pembuli pula.  Padanlah Johan hanya mensasarkan pelajar yang sering membuli pelajar lain seperti Faiz. 
            “Bagaimana dengan Saiful? Awak pernah bergaduh dengan pelajar itu, kan?” 
            “Memang saya mengaku, saya pernah bergaduh dengan Saiful.  Tapi saya tak pukul dia, cikgu.  Saya cuma beri amaran agar dia tidak melakukan perbuatan sumbang di sekolah.”  Johan membela diri.  Cikgu Azmira mengeluh.  Ketiga-tiga pelajar sudah disoal siasat.  Jawapan masih belum diperolehi.  Jika bukan Faiz, Khairul dan Johan yang memukul Saiful, siapa pula yang melakukannya?  Semakin sempit  kotak fikiran Cikgu Azmira.  Tiada petanda yang mampu merungkai masalah yang sedang  bermain dibenaknya.
            “Pagi tadi  pihak sekolah jumpa bayi dalam tandas?  Awak tahu ada mana-mana pelajar kita yang mengandung?  Maksud saya pelajar perempuan?”  Cikgu Azmira merenung mata Johan.  Cuba  belajar mengenali pelajar itu. 
            “Bayi?  Ada pelajar kita yang mengandung ke cikgu?”  tanya Johan masih keliru dengan apa yang terjadi.  Tidak pula dia melihat ada pelajar yang berperut besar mundar-mandir setiap  hari ke sekolah.  Siapa pula yang mengandung.  Kalau yang buat kerja tak senonoh hanya Saiful dan pasanganya.  Jangan-jangan…  Johan tidak mahu tersalah tuduh.  Kalau benar pelajar itu mengandung, tapi setiap hari pelajar itu datang ke sekolah.  Tidak pula nampak apa-apa perubahan pada tubuh pelajar itu melainkan badannya sedikit berisi. 
            “Bayi perempuan, comel pula tu.  Kita dah bawapun ke hospital.  Mungkin akan buat ujian DNA untuk  menentukan siapa waris pelajar tersebut,”  terang Cikgu Azmira.  Johan setia mendengar.
            “Kasihannya, nasib baik masih hidup.  Kalau meninggal,” kata Johan sayu.  Sudahlah berbuat dosa, bila melahirkan sanggup  pula meninggalkan bayi itu tanpa  ada belas ehsan.
            “Mungkin ibunya ketakutan, itu sebab tinggalkan bayi itu di dalam bilik air.” 
            “Cuba cikgu berjumpa dengan Siti Effa…  pelajar itu berkawan baik dengan Saiful.  Saya berjumpa mereka berdualahyang   buat kerja sumbang di belakang bangunan  sekolah.  Mungkin semua misteri cikgu akan terungkai nanti,”  cadang Johan.  Cikgu Azmira mengerutkan dahi. 
            “Siti Effa Jamil?”  soal Cikgu Azmira.  Johan mengangguk laju.  Cikgu Azmira mendengus. 
            “Baiklah, saya akan cari pelajar tersebut.  Terima kasih atas kerjasama awak membantu saya.  Cuma satu saya pinta daripada awak Johan.  Berubahlah menjadi pelajar yang baik.  Banggakan ibu awak.  Buat jahat tidak ke mana perginya,  Johan.  Nama buruk dikenang orang sampai ke mati.  Biar pihak sekolah yang menanggani masalah pelajar-pelajar di sini.  Awak faham maksud saya, kan?”  Cikgu Azmira tersenyum manis.  Dia tahu Johan bukanlah pelajar yang bermasalah.  Cuma keadaan yang membuatkan dia menjadi begitu.  Setiap manusia mampu jadi baik, jika kena gaya mendidik dan memberi tunjukajar. 
            “Cikgu percaya pada sayakan?  Saya tak pukul Saiful seperti mana yang dituduh oleh Cikgu Jefri.  Saya juga tidak merosakkan anak dara orang sampai hamil.  Itu bukan diri saya cikgu.  Saya menegur dan bertindak kepada mereka yang tidak bersikap adil kepada mereka yang lemah.  Itu sahaja.”
            “Saya percaya kepada awak.”   Semakin manis senyuman Cikgu Azmira.  Johan turut tersenyum.
            “Semoga ibu awak cepat sembuh dan awak berjaya dalam kehidupan.” 
            “Terima kasih cikgu.”  Johan menunduk tanda hormat sebelum melangkah meninggalkan bilik kaunseling yang tenang dan damai itu.  Dia merasa lega dapat melepaskan semua yang terbuku di hati.
            Johan tidak terus pulang ke kelasnya.  Sebaliknya dia menuju ke kelas Siti Effa.  Dia perlu berjumpa pelajar tersebut.  Langkahnya semakin laju.  Johan tertinjau-tinjau ke dalam kelas yang sedang berlangsung sesi pembelajaran.
            “Awak cari apa?” tanya guru yang sedang mengajar.  Johan menunduk tanda hormat.
            “Saya cari Siti Effa, cikgu.  Dia ada?” 
            “Kawan-kawan dia kata, pagi tadi dia ada datang, lepas pergi tandas, terus tak masuk kelas.  Buku dan begnya masih ada lagi.  Kenapa?”  cerita guru itu sambil bertanya semula.
            “Tak ada apa-apa cikgu.    Dia ada pinjam buku saya.  Saya nak ambil semula,”  alasan Johan. 
            “Esok sahajalah awak berjumpa dia.”  Kata guru itu sebelum berlalu kembali ke tempat duduknya semula.  Johan mengeluh.  Menghilangkan diri secara tiba-tiba.  Tidak syak lagi.  Kepala Johan ligat berfikir.  Dia perlu buat sesuatu.  Dia pasti kes Saiful, Siti Effa dan bayi itu saling bersangkut paut. 
            Johan   mengusap dagunya.  Dia termenung jauh.  Otaknya masih lagi berfikir.   Misteri yang berlaku perlu dirungkai segera.  Apakah perbuatan sumbang Saiful Bakri dan Siti Effa sudah menjangkau di luar batasan perhubungan lelaki dan perempuan?  Johan menggeleng.  Dia mengeluh  kesal.  Bukankah lelaki adalah pelindung wanita. 

Tiada ulasan:

Catat Komen