Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 30 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 20



Kehadiran Siti Effa ke sekolah menjadi perhatian ramai.  Sudah dua minggu dia tidak hadir.  Apatah lagi kehadirannya ditemani oleh Puan Sara.  Mereka terus ke bilik pengetua.  Johan dan rakan-rakannya berada tidak jauh dari pintu pagar sekolah saling berpandangan.  Mereka teruja ingin tahu.  
            “Johan!” panggil seseorang. Johan menoleh, matanya silih berganti memandang Siti Effa dan orang yang memanggilnya.
            “Kenapa cikgu?”  Johan agak tergesa-gesa dan tidak sabar.
            “Kenapa awak tergesa-gesa ni?  Nak ke mana?”  tanya Cikgu Azmira.  Johan, Faiz dan Khairul menyengih.
            “Tu,”  sambil memuncungkan mulutnya.  Cikgu Azmira menoleh memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Johan.
            “Kenapa?  Pelajar perempuan itu dan warisnya? Siapa?”  berlapis-lapis soalan daripada Cikgu Azmira.
            “Itulah Siti Effa,”  jelas Johan.  Cikgu Azmira memandang sekali lagi. 
            “Awak yakin?” 
            “Tentulah, cikgu.    Siti Effa tukan rakan sekelas saya, takkan tak kenal?”  sampuk Khairul.  Cikgu Azmira mengangguk perlahan.
            “Jadi?  Kamu semua nak tengoklah sebab kehadiran dia, ya?”  teka Cikgu Azmira.  Johan menyengih.
            “Kami kaki sibuk, cikgu,”  Faiz ketawa pelayan.
            “Amboi,”  Cikgu Azmira turut ketawa.  Ketiga-tiga pelajarnya sudah banyak berubah sejak sesi kaunseling diberi kepada mereka.  Cikgu Jefri juga sudah boleh menerima  pendekatan yang diguna pakai oleh Cikgu Azmira.
            “Jom, ikut saya,” ajak Cikgu Azmira.  Johan, Khairul dan Faiz tersenyum, gembira.  Mereka berempat melangkah ke bilik pengetua.
            Cikgu Rahman memandang wajah Siti Effa yang sedang menangis di hadapannya.  Apa yang mampu dia katakan lagi.  Rupanya inilah pelajar yang telah melahirkan bayi di tandas sekolah.  Cikgu Rahman menggelengkan kepala, kesal.  Teramat kesal dengan apa yang terjadi.  Wajah muran Puan Sara dipandang seketika.  Tentu ibu pelajar itu turut kecewa.  Mungkin lebih kecewa daripada dirinya.
            “Di mana bayi itu, cikgu?” tanya Puan Sara ingin tahu.
            “Bayi itu selamat, sekarang ini ada di hospital.  Nasib baik ada petugas yang jumpa.  Kalau tidak sudah tentu bayi itu menemui maut,” terang Cikgu Rahman.
            “Alhamdulillah.  Maaf cikgu.    Saya tak tahu anak saya mengandung.  Saya tak sangka dia sanggup buat kerja terkutut itu,”  Puan Sara mengeluh kesal.  Cikgu Rahman mendengar dengan penuh minat.  Ketukan di luar pintu membuatkan mereka sama-sama menoleh.    Cikgu Azmira melangkah masuk.  Johan, Faiz dan Khairul menunggu di luar.
            “Masuk cikgu,”  pelawa Cikgu Rahman.  Cikgu Azmira menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Puan Sara dan Siti Effa.  Mereka saling melemparkan senyuman.
            “Ini cikgu kaunseling sekolah ini, Puan Sara,  Cikgu Azmira.”
            “Saya dah lama mencari Siti Effa.  Alhamdulillah datang juga dia ke sekolah,”  Cikgu Azmira masih lagi tersenyum.
            “Kenapa cikgu cari Siti Effa?  Adakah bersangkutan dengan kes yang sedang kita hadapi?”  Cikgu Rahman ingin tahu.
            “Mungkin ada bersangkutan cikgu.”  Cikgu Azmira memandang wajah Siti Effa yang masih pucat.  Mungkin masih tidak sihat.  Dengar kata baharu keluar dari hospital.
            “Betul tekaan cikgu.  Siti Effa sudah mengaku, dialah yang telah membuang bayi tersebut.  Dia melahirkan bayi itu di dalam tandas sekolah,”  terang cikgu Rahman. 
            “Subhana-ALLAH.”  Betullah tekaan Johan. 
            “Apakah ayah bayi itu, Saiful Bakri?”  tanya Cikgu Azmira.    Siti Effa memandang wajah Cikgu Azmira yang duduk di hadapannya.  Dia menunduk tanpa sebarang jawapan.  Puan Sara turut memandang  Siti Effa.
            “Beritahulah kami Siti Effa?  Siapa ayah bayi itu?  Siapa lelaki yang telah merosakkan awak?  Adakah Johan?”  tanya Cikgu Rahman. 
            “Bukan Johan cikgu, saya tak kenal sangat pun Johan tu.”   Siti Effa bermain-main dengan jari-jemarinya.  Takut dan berserabut.
            “Saiful Bakrilah ayah budak itu ya?”  Cikgu Azmira sedikit menunduk, mencuri perhatian Siti Effa.
            “Cakaplah, Effa!”  Puan Sara menolak bahu anak gadisnya yang kaku macam batu.
            “Beritahulah kami Effa, mungkin kami akan dapat membantu awak,” pujuk Cikgu Rahman.    Mata masing-masing tepat memandang wajah Siti Effa.  Menunggu dengan sabar jawapan daripada gadis itu.
            “Saya takut cikgu, jika saya beritahu keadaan takkan berubah apa-apa pun,”  keluh Siti Effa.
            “Jangan  nak buat kami berteka-teki pula, beritahu sahajalah!” marah Puan Sara.  Dari semalam dia menahan sabar dengan sikap keras kepala anaknya itu.  Buat apa melindungi lelaki  yang telah merosakkan dirinya.
            “Mama,”  Siti Effa masih ragu-ragu.  Apakah betul tindakannya itu.
            “Cukuplah buat dosa dan kesalahan berkali-kali, Effa.  Tolonglah, beritahulah pada kami, siapa  lelaki itu?”  rayu Puan Sara.
            “Saiful Bakri,”  kata Siti Effa, akhirnya.  Cikgu Azmira tersenyum. Betul tekaan Johan.  Pelajar itu nakal tetapi   pantas berfikir dan cepat bertindak. 
            “Adakah sebab ini jugalah maka dia dipukul?”  Cikgu Rahman mencungkil rahsia. 
            “Ya, cikgu.”  Jawab Siti Effa perlahan.  Namun masih dapat didengari.
            “Siapa yang pukul?  Johan?”  tanya Cikgu Rahman. Masih lagi menyebut nama Johan.  Cikgu Azmira kurang selesa mendengarnya.
            “Kenapa cikgu asyik sebut nama Johan?  Sedangkan saya dah terangkan pada cikgu, pelajar itu tidak bersalah,”  Cikgu Azmira mengeluh.
            “Maaf, cikgu.”  Cikgu Rahman merasa bersalah.
            “Abang saya yang pukul Saiful Bakri, cikgu.”  Siti Effa berterus terang.    Cikgu Azmira menarik nafas lega.  Tiada pelajar sekolah itu yang terlibat.  Alhamdulillah.
            “Abang Lutfi?”  Puan Sara terkejut.  Siti Effa mengangguk laju.
            “Ya ALLAH, kenapa libatkan abang awak dalam hal ini?”  Cikgu Rahman menyandar di sofa.  Rupanya orang luar yang terlibat.
            “Maafkan saya  cikgu, mama,”  Siti Effa benar-benar rasa bersalah.
            “Awak mempertarungkan masa depan abang awak sendiri,  Siti Effa.  Kalaulah keluarga Saiful Bakri buat laporan polis.  Abang awak akan ditangkap,”  Cikgu Azmira memejamkan mata seketika.  Kesal.  Sekali melakukan kesalahan, berkali-kali kesalahan berlaku.
            “Sampai hati Effa, abang pun terbabit sama,”  Puan Sara menangis.  Pilu hatinya.  Sudahlah anak bongsu berperangai  yang bukan-bukan, anak sulongnya juga terlibat sama.
            “Maafkan Effa.  Effa takut ketika itu.  Hanya Abang  Lutfi yang dapat membantu Effa.”
            “Nampaknya masalah  di sekolah sudah selesai.  Tentang  Saiful Bakri mungkin kita boleh selesaikan,”  Cikgu Rahman menarik nafas lega.  Masalah  di sekolah sudah selesai.  Cuma masalah keluarga Siti Effa dan keluarga Saiful Bakri baharu bermula.  Harap mereka akan segera menyelesaikan masalah itu.
            “Di hospital mana bayi itu dihantar, cikgu?”  Puan Sara menyeka air mata.  Malu benar dia dengan apa yang berlaku.
            “Di hospital besar, Puan Sara,”  jawapan Cikgu Rahman. 
            “Maafkan anak saya, cikgu.  Saya harap dia masih boleh belajar di sini.  Kami akan selesaikan masalah yang berlaku.  Terima kasih kerana banyak membantu.”  Puan Sara tidak mampu tersenyum lagi.   Dia benar-benar malu dan kecewa, apa lagi yang mampu dia kata.  Nasi sudah menjadi bubur, hanya taubat yang dipinta kepada Yang Esa. 
            “Semoga semuanya dipermudahkan, Puan Sara.  Perkara sudah berlaku, hendak disalahkan  satu sama lain, tiada gunanya.  Kita carilah jalan penyelesaiannya.  Semoga Siti Effa insaf dengan apa yang berlaku, kembali ke pangkal jalan.  Dekati diri dengan ALLAH, solat jangan tinggal.  Belajarlah agama, untuk benteng diri sendiri.  Apa yang berlaku, kita jadikan sempadan untuk perbaiki diri di masa hadapan,”  nasihat Cikgu Rahman panjang lebar.  Siti Effa menunduk sambil mengangguk perlahan.
            “Siti Effa, selepas ini seringlah berkunjung ke  bilik saya.  Mungkin kita boleh kongsikan sesuatu,”  Cikgu Azmira tersenyum manis.  Pelajar itu perlu semangat baharu untuk bangkit kembali meneruskan hidupnya.
            “Puan, jangan dibuang Siti Effa.  Memanglah dia telah melakukan kesilapan.  Semoga ada ruang untuk dia bertaubat.  Kita sokong dia, ya puan,”  pinta  Cikgu Azmira.
            “Jangan bimbang cikgu.  Dia tetap anak saya, biar bagaimana buruk pun sikapnya.”  Puan Sara tersenyum, namun hambar.  Malu masih menebal.
            “Mama,”  Siti Effa memeluk erat Puan Sara.  Dia benar-benar merasa bersalah atas sikapnya yang lalu.  Akibat mengikut kata hati, akhirnya  diri sendiri yang rugi.  Dia telah menyebabkan kedua orang tuanya menanggung malu.  Siti Effa benar-benar menyesal.  Dia lupa, masa hadapannya masih jauh.  Akibat lalai dan leka, inilah padahnya.  Diri sendiri menanggung akibatnya.  Parah, derita yang ditanggung  begitu terasa peritnya.

Tiada ulasan:

Catat Komen