Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 7 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH- BAB 5



            “Aku tidak bersalah!!” jeritnya sekuat-kuat hati di atas tembok bangunan blok E yang terletak di bahagian belakang sekolah. Bangunan itu juga  menempatkan bilik stor dan bilik makmal sekolah.  Johan menggenggam penumbuk.  Hatinya benar-benar sakit.  Dia paling benci orang menuduhnya melakukan perkara yang dia tidak  lakukan.  Bukan dia yang pukul Saiful Bakri.  Bukan dia yang buat kerja gila itu.  Dia tidak sekejam itu.  Dia masih ada hati, masih ada perasaan, masih ada belas ehsan.  Kenapa tergamak Cikgu Jefri menuduh dia?  Tidak cukupkah lagi hukuman yang  sering dikenakan kepadanya.  Punggungnya sudah berbirat dengan libasan rotan ajaib guru disiplin itu.
            Dia tahu apa yang dia lakukan, dan siapa mangsanya.  Memang dia ada tegur Saiful Bakri, memang mereka ada bergaduh, tetapi bukan dia yang menyebabkan pelajar itu koma.  Bukan dia!  Johan mendepangkan tangannya.  Dia memejamkan mata.  Tubuhnya terasa ringan di awang-awangan.  Terasa damai seketika hatinya yang sedang berperang sesama sendiri.  Perasaannya sudah diganggu gugat oleh masalah yang bukan dia lakukan. 
            “Johan! Jangan jadi bodoh!  Takkan kau nak bunuh diri?  Perkara itu kecil sahaja.  Kita masih ada jalan keluar!” jerit  Faiz yang baru sahaja tiba di atas bangunan empat tingkat itu.  Dia terlihat kelibat Johan berdiri di atas tembok bagaikan hendak membunuh diri.  Sudah hilang akalkah kawannya itu.  Kalau mereka ada masalah sekalipun, bukan itu caranya untuk menyelesaikan masalah.
            Johan masih tidak berganjak dari posisinya.  Dia ingin mencari sedikit ketenangan.  Dia inginkan kedamaian singgah sekejap di hatinya, walau hanya sedetik cuma.
            “Jo…  turun, Jo…  Ingat Tuhan Johan…  jangan buat kerja gila!  Kau jangan ambil jalan singkat ni Jo.  Tak cium bau syurga tau!  Turun Johan… kau jangan buat kami takut Jo…,” rayu Khairul. 
            “Yalah, Johan.  Kami masih ada.  Janganlah buat kami macam ni! Nanti apa kami nak beritahu ibu kau?  Johan! Turunlah!!”  Faiz menarik kaki seluar Johan.
            “Hoi! Apa kau orang merepek ni?” jerit Johan.  Sebaik sahaja dia membuka mata, wajah kedua orang rakannya dipandang dengan geram.    Johan terjun, turun dari tembok tempat dia berdiri tadi.  Dia mengerutkan dahi. Wajah kebimbangan kedua-dua rakannya dipandang lama.  Dia menggelengkan kepala.
            “Sejahat-jahat aku, aku tak nak mati sesat!”  kata Johan sambil berlalu ke kerusi malas yang menjadi tempat dia bersantai jika dia ponteng kelas.  Kedua-dua rakannya mendekati.
            “Bukan kau nak bunuh diri ke tadi?”  tanya Khairul.  Johan mencebik.
            “Aku belum gila  lagilah,”  Johan mengeluh.  Dia menghidu sesuatu.  Dia bingkas bangun dan menghidu tubuh kedua-dua rakannya.
            “Kau ambil benda itu lagi ya Faiz?”  jerkahnya.  Faiz mengundur ke belakang.  Wajah Faiz ditenung lama, marah.  Geram.
            “Apa yang kau dah janji dengan aku?”  Johan menolak tubuh Faiz.  Tergerak pelajar itu ke belakang.  Wajahnya pucat.
            “Aku rungsing Johan!”  alasan Faiz.  Johan menampar  kepala Faiz.
            “Kalau rungsing pun, kenapa kau ambil juga?”  sakit hati Johan.  Liar-liar dia pun, dia tak ambil benda haram itu.  Benda yang menjahanamkan anak bangsanya sendiri.  Benci dia dengan benda tersebut. 
            “Aku tak tahu nak buat apa, Johan.”
            “Alasan.”
            “Kau pun sama Khairul?”  matanya beralih ke arah Khairul pula. 
            “Faiz bagi pada aku!” Khairul menunjuk ke arah Faiz.
            “Kau orang nak sangat mati ke?  Tadi bukan main  pujuk aku, jangan bunuh diri konon…  kalian berdua buat apa?  bukan bunuh diri juga ke?”  dia menjegilkan mata.  Membuntang matanya bagaikan hendak ditelan kedua-dua rakannya itu.
            “Aku ambil sikit je pun,”  Faiz menunduk.  Johan mencekak  kolar baju Faiz.
            “Mula-mula sedikit, lama-lama satu tiub kau layan!”  marah  Johan. 
            “Aku bukan minta duit kau pun!”  Faiz tidak mahu mengalah. 
            “Duit mak bapak kau jugakan?”  lengking Johan.
            “Mak bapak jangan sebut!”  Faiz menyinga. 
            “Ikut suka akulah!”
            “Jangan lebih-lebih.”
            “Siapa lebih-lebih? Kau atau aku?  Aku bagi amaran.  Kalau kau nak rosak, biar kau rosak seorang diri.  Jangan kau libatkan Khairul pula?”  Johan menolak Faiz dengan kuat sehingga jatuh ke lantai.  Faiz bingkas bangun dan mula mengenggam penumbuk.  Khairul sudah ketakutan. 
            “Hoi, takkan nak bergaduh pula?”  Khairul duduk di tengah-tengah antara Faiz dan Johan.
            “Kau ke tepi Khairul, biar aku belasah budak berlagak ni,”  Faiz menolak Khairul agar ke tepi. 
            “Kau ingat aku takut dengan kau.  Aku tak nak ada kawan  penagih!  Jangan susahkan aku, kau faham!”  ugut Johan, keras dan tegas.  Jelas dan terang.
            “Aku pun tak nak berkawan dengan kaki buli macam kau!”  Faiz tidak mahu mengalah. 
            “Hey, Johan… Faiz, tolonglah! Jangan kita pula bergaduh.  Aku minta maaf Johan.  Aku janji aku tak ambil benda haram itu lagi.” 
            “Hey… Khairul.  Kalau kau nak telan seribu tiub pun, aku peduli apa?  kau nak buat apa pun, ingat mak bapa kau.  Aku tak susah! Mereka yang susah nanti. Faham tak?”  Johan menjegilkan mata ke arah Khairul.
            “okey, okey…  aku faham!”  Khairul mencuri pandang ke arah Faiz. 
            “Kau Faiz, ini amaran terakhir.  Kau nak rosakkan diri kau, dipersilakan.  Jangan bawa Khairul sama!”  Johan memberi amaran.
            “Aku tak ajak pun, dia yang nak!” kata Faiz membela dirinya.
            “Kalau kau tak tunjuk dan menunjuk,”  marah Johan kembali.
            “Hey, Johan. Jangan kau nak atur hidup aku pula.  Aku ikut kau pun, bukan dapat apa-apa pun!  Asyik kena hukum sahaja!”
            “Apa kau cakap? Pergi berambuslah, aku pun tak minta kau berkawan dengan aku,”  Johan  menarik baju Faiz dan menolaknya lagi. 
            “Kau jangan main kasar!”  Faiz menerpa dan mula menumbuk.  Berlaku pergelutan.  Khairul mengelabah. 
            “Hoi! Sudahlah! Berhenti!” jerit Khairul.  Tidak dipedulikan oleh kedua-dua rakannya.  Johan terus menumbuk  muka Faiz.  Tendangan singgah di perut Johan. 
            “Ya ALLAH!” jerit Khairul sekuat hati.  Bergema suaranya. 
            “Berhentilah!!”  kata Khairul.  Johan menolak Faiz sehingga jatuh ke lantai.  Khairul menarik tubuh Johan sekuat hati dan menolaknya ke tepi.  Tertolak Johan hampir sahaja dia tersungkur.  Faiz mengesat bibirnya yang berdarah menggunakan hujung jari. 
            “Kenapa dengan  kalian?  Tak boleh ke kita duduk berbincang?  Esok kita kena jumpa Cikgu Azmira! Pandai-pandailah bela diri!” Khairul mencuka.  Dia berlalu pergi meninggalkan kedua-dua rakannya itu.  Biar mereka mengamuk puas-puas.  Hendak pukul sampai mati pun, dia peduli apa?  larang  pun tidak berguna, kedua-duanya degil.
            Johan menghempaskan punggungnya di sofa.  Bajunya kotor akibat bergaduh dengan Faiz tadi.  Dia merebahkan diri, tubuhnya terasa sengal-sengal.  Boleh tahan juga tumbukan Faiz.  DIa memejamkam mata.  Bunyi tapak kaki mendekatinya membuatkan dia membuka matanya semula.  Berdiri di hadapannya.
            “Kenapa baju Johan kotor ni?”  Puan Safiya membelek baju Johan yang hitam dan berdebu.  Johan bingkas bangun dan duduk menghadap ibunya.  Dia mengeluh.
            “Ada permainan bola sepak di sekolah,” alasan Johan.  Puan Safiyah menggelengkan kepala.
            “Bergaduh lagi ya?”  Muka Johan pula diteliti. Ada kesan bengkak dan merah.
            “Taklah ibu…”  Johan menolak perlahan tangan ibunya.
            “Sudah-sudahlah jadi samseng, johan.  Masuk sekolah ini, tahun ini sahaja sudah tiga sekolah.  Ibu dah tak larat nak merayu pada pihak PPD.  Malu ibu.”
            “Johan tak bergaduh pun ibu, percayalah.”  Johan mengeluh.
            “Kalau tak bergaduh, kesan lebam dan bengkak di muka itu, kenapa pula?” Puan Safiyah tidak percaya.
            “Johan, ibu sakit.  Johan nak ibu masuk ICU, baru Johan nak berubah?  Baru nak jadi baik?  Kalau beginilah sikap Johan, tiada guna ibu hidup lagi.  Ibu takkan buat pembedahan jantung itu jika Johan masih dengan sikap degil Johan,  suka bergaduh dan pukul orang.  Tidak perlu jadi hero membantu pelajar yang lemah, konon.  Yang dapat buruknya adalah Johan sendiri.  Cukup-cukuplah. Ibu dah tak tahan lagi,”  luah Puan Safiyah.  Dadanya sebak.  Johan satu-satunya zuriat yang dia ada selepas kematian suaminya. 
            “Ibu, Johan dah tak buat itu semua!”
            “Itu kata Johan!  Kalau ibu dengar  aduan dari pihak sekolah tentang Johan, matilah ibu,”  kata Puan Safiyah.  Dia ingin menyedarkan Johan agar tidak bertindak di luar batasan seorang pelajar.  Dia masih bersekolah dan tidak selayaknya  menjadi pengamal undang-undang yang tidak bertauliah.  Sekolah ada undang-undangnya sendiri.  Biarlah pihak sekolah menangani masalah pelajar nakal dan suka membuli.  Dia tidak suka Johan memandai sendiri.  Kesannya Johan juga yang terpaksa tanggung apabila dibuang dari sekolah.
            “Ibu!”  Johan menerpa ke arah Puan Safiyah.  Dia peluknya dengan penuh kasih dan sayang.  Dia hanya ada ibunya sahaja.  Jika dia kehilangan ibunya pula, matilah dia.  Dia tiada siapa di dunia ini melainkan ibunya sahaja. 
            “Kasihanlah pada ibu, Johan.  Ibu tak minta apa-apa daripada Johan.  Ibu cuma minta Johan jaga perilaku, berdisiplinlah.  Jangan langgar peraturan sekolah. Jangan ponteng kelas lagi.”  Nasihat Puan Safiyah.
             Johan mengangguk lemak.  Pelukan dileraikan.  Johan menyandar di sofa.
            Kalaulah ibunya tahu tentang kes Saiful Bakri tentu teruk keadaan ibunya nanti.  Janganlah berita itu singgah di telinga ibunya.  Biarlah hanya di sekolah.  Dia tidak mahu ibunya jatuh sakit.   Johan mengeluh.
            “Ibu hanya ada Johan.  Harapan ibu.  Semangat dan kekuatan untuk ibu terus hidup. Jangan  hampakan ibu, ya sayang.”  Puan Safiyah mengenggam erat jari jemari anak bujangnya. 
            Johan mengangguk perlahan.  Maafkan Johan ibu, detik hati kecilnya.

Tiada ulasan:

Catat Komen