Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 12 Oktober 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 9



Pelajar perempuan itu mengusap perutnya yang semakin membesar.  Untung dia memakai baju besar tiada siapa yang perasan akan kewujudan kandungannya.  Hatta kedua orang tuanya sendiri. Hanya abangnya sahaja yang mengetahui.  Mereka bersubahat merahsiakan perkara tersebut.  Takutnya  beraja di hati.  Bimbang berpusat di jiwa.  Kalaulah bocor semua rahsia tentu orang tuanya akan kerat-kerat dirinya. 
            “Aku suruh kau buang, kau degil?  Perut tu semakin membesar?  Siapa nak tanggung?”  marah Lutfi.  Merah padam mukanya.  Geram dengan sikap degil adik bongsunya itu. 
            “Dah terlewat nak buang.  Janin ini sudah membesar pun,”  lengking suara pelajar tersebut.  Lutfi mencampak bantal ke muka adiknya.  Kalau ikutkan hati  mahu sahaja dia bunuh adiknya itu.  Biar  mati dari hidup memalukan keluarga.
            “Habis tu, kau nak buat apa? kalau terberanak, macam mana?  kau ingat senang nak tutup dan diamkan perkara ini?” 
            “Abang jangan bising boleh tak? Berserabut tau!”
            “Tahu berserabut?  Kalau ibu dan ayah tahu mampus kita berdua!”
            “Mereka takkan tahu  kalau abang tak cakap.”
            “Kau ingat bila kau beranak, anak kau tu tak menangis?  Kau nak sorok kat mana?”
            “Diamlah bang! Diam!”  dia menutup kedua belah telingannya.  Kata-kata abangnya menambah kerisauan dan takut di hatinya. Lutfi mendekati adik bongsunya.  Leher pelajar itu dicengkam kuat.
            “Aku boleh diam, tapi kandungan kau ni semakin membesar, akan lahir jadi manusia, waktu itu kau nak sorok di mana?” 
            “Bagi je pada orang.”
            “Kau nak tertangkap kerana buang bayi?”
            “Habis tu, abang nak saya buat apa?”
            “Itulah, sebelum buat kerja bodoh ni, fikir panjang dulu.  Dah terhantuk baharu kau nak sedar, dah terlambat!”
            “Marah pun dah tak guna.”  Wajahnya kosong.
            “Eee…  memanglah tak guna.  Baik kau mati je.”  Geram.
            “Mati pun orang akan tahu juga,  yang saya mengandung.”
            “Tahu pun?  Aku ingatkan kau bodoh!”
            “Perkara dah jadi, nak buat macam  mana?”
            “Itulah orang ada pesan, bila berdua-duaan lelaki dan perempuan, bangsa yang ketiga adalah syaitan yang terus pujuk kau dan budak jahanam tu buat kerja maksiat. Kerja bodoh! Kerja yang sepatutnya dilakukan selepas bernikah, kau faham tak?” jerkah Lutfi.  Pelajar perempuan itu menekup mukanya, menangis lagi.
            “Menangis, menangis, menangis, itu jelah yang kau tahu.  Rimas aku tau.  Kalau aku hantar kau tempat lain, nanti emak dan ayah tanya, apa aku nak jawab? Kau memang menyusahkan!”
            “Iffa buntu bang, buntu sangat-sangat!”  tangisnya.  Lutfi menggelengkan kepala. 
            “Eee…! Kalau ikut hati aku, aku cekik kau biar mati.  Aku pergi tanam je.”
            “Abang nak masuk penjara?”
            “Aku masuk penjara kerana kau! Kau penyebabnya!” jerit Lutfi.  Ada adik seorang, sudah cukup menyusahkan.
            “Lusa emak dan ayah balik.  Kau jangan nak buat muka seposen tu.  Perangai biar macam biasa.  Kalau mereka syaki apa-apa, aku takkan bantu kau.”
            “Abang!”  Iffa  memandang wajah abangnya mohon simpati. 
            “Tak payah buat muka kasihan.  Aku tak simpati pun.”
            “Sampai hati abang.”
            “Kau sampai hati pula malukan keluarga?”
            “Iffa tak sengaja. Iffa mengaku kesilapan Iffa.”
            “Silap makan, selepas makan ubat  terus baik.  Silap perbuatan sampai mengandung, kau ingat boleh berpatah balik? Ada jalan keluar?”
            “Maafkan Iffa,”  menunduk, takut, malu dan sedih.
            “Sudah tak berguna kemaafan kau tu,”  Lutfi terus berlalu.  Hatinya semakin panas melihat perut adiknya yang terus membesar itu.  Nanti apa kata jiran tetangga.  Guru-guru di sekolah.  Saudara-mara.  Kawan-kawan ayah dan ibunya.  Mana hendak letak muka. 
            Iffa memerhatikan sahaja langkah Abang Lutfinya.  Dia mengeluh sendiri.   Kenapalah dia tidak berhati-hati?   Kenapa dia lupa diri?  Kenapa dia ikut hawa nafsu yang tidak pernah padam?  Menyesal pun sudah tiada gunanya.  Nasi sudah menjadi bubur.    Apa harus dia lakukan untuk menutup perutnya yang semakin membesar itu.  Kalau dia ponteng sekolah tentu guru-guru dan kawan-kawan akan bertanya.  Semakin semak rasanya.  Semakin menyusahkan apa yang telah terjadi kepada dirinya.
            Di sekolah, Iffah berlagak biasa.  Dia menutup perutnya yang membesar dengan beg sekolahnya.  Waktu rehat pula dia lebih suka berkurung di dalam kelas.  Waktu pendidikan jasmani pula dia memberi pelbagai alasan untuk mengelak dari turut serta.   Apa lagi dayanya.  Iffa menghabiskan kerja sekolah  yang diberi oleh beberapa orang gurunya.
 Dia menahan senak di ari-ari.  Semakin lama semakin sakit.  Iffa  menutup buku dan bergegas ke bilik air.  Pintu bilik air ditutup rapat. Di kunci dari dalam. Iffa terus meneran di lantai bilik air.  Semakin perit rasanya.  Dia menekan perutnya lagi.  Sakit semakin menekan, seluruh tubuhnya terasa sakit.   Seksa terasa.  Dia terus meneran dan akhirnya…  suara bayi bergema di dalam bilik air tersebut  Wajah Iffa pucat lesi.  Darah  di lantai membuatkan dia bertambah takut.  Iffa buntu, dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan.  Ketakutan menjadi-jadi di hati.  Suara bayi itu membuatkan akalnya berhenti berfikir.  Peluh mengalir diseluruh tubuh.  Bayi yang masih bertali pusat dipandang lama.  Badannya menggigil.  Apa yang harus dia lakukan terhadap bayi itu?  Fikiranya bercelaru, kacau.  Akalnya bagaikan mati, lemah, lembab.  Tiada apa yang terlintas ketika itu.  Buang?  Di kawasan sekolah?  Tidak mungkin.
Merah darah bersama bayi di tangan, apa yang harus dia lakukan.  Iffa meletak bayi itu di dalam singki.  Dengan baju yang masih bersisa darah, dia bergegas keluar.  Dia tidak boleh dilihat berada di situ. Tiada siapa perlu tahu dia baharu sahaja lepas melahirkan.  Beg sekolah.  Biarkan sahaja.  Esok-esok sahajalah dia mengambilnya.  Dia harus pulang ke rumah.  Dia harus bersihkan diri.  Darah yang mengalir dari farajnya bagaikan tidak mahu berhenti.  Bertambah pucat wajahnya.    Semakin laju langkahnya.

Tiada ulasan:

Catat Komen