Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 1 November 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 21



 Cikgu Azmira tersenyum manis.  Wajah ketiga-tiga pelajar yang setia menunggunya di pandang dengan penuh gembira.  Lega rasa hatinya.  Terbukti mereka tidak bersalah.  Segala penat lelahnya tidak sia-sia.  Manusia mampu berubah jika kena caranya. 
            “Bagaimana, cikgu?”  tanya Johan.  Faiz dan Khairul turut menerpa mendekati guru yang amat mereka hormati.  Guru yang memandang mereka dengan mata hati.  Menerima kehadiran mereka walaupun mereka bukanlah pelajar terpilih.  Sabar dan tabah menghadapi kerenah mereka.
            “Alhamdulillah, segalanya telah selesai.  Awak bertiga terlepas dari semua tuduhan,”  beritahu Cikgu  Azmira gembira.
            “Kalau macam tu, Puan Sara.  Siti Effa boleh mula masuk sekolah, esok.  Tentang anak yang berada di hospital itu, puan bolehlah pergi melihatnya.  Nanti saya suruh guru yang telah menghantar bayi tersebut menemani puan,”  kata Cikgu Rahman sambil keluar dari biliknya bersama-sama Puan Sara dan Siti Effa. 
            “Johan, maafkan saya ya.  Saya banyak buat salah pada awak.  Kerana saya nama awak buruk.”  Siti Effa mendekati Johan dan rakan-rakannya.  Mereka saling berpandangan.
            “Tak apa Effa, kami berharap kau sedar dan mahu kembali ke pangkal jalan.  Hidup kita masih panjang. Oh ya…  aku rasa ini surat kau,”  Johan menghulurkan sepucuk surat kepada Siti Effa.  Berkerut dahi gadis itu.
            “Surat saya ni?  Saya nak serahkan surat ini pada Cikgu Azmira, tapi tiba-tiba hilang.  Jadi awaklah yang jumpa ya?”  Siti Effa mengambil surat tersebut dan menyerahkannya kepada Cikgu Azmira.
            “Luahan hati saya cikgu.  Sepatutnya surat ini sampai kepada cikgu sebelum saya melahirkan bayi itu,”  Siti Effa menunduk.  Dia benar-benar sedih apabila mengenangkan  perbuatan sendiri.
            “Awak nak saya baca ke?”  tanya Cikgu Azmira.  Siti Effa mengangguk. 
            “Baiklah, saya akan baca nanti,”  kata Cikgu Azmira sambil menepuk bahu Siti Effa.  Pelajar yang bermasalah tidak seharusnya dibuang.  Sepatutnya pelajar ini didekati dan diberi bimbingan agar mereka dapat meneruskan hidup mengikut landasan yang betul.  Itulah impiannya.  Dia akan terus membantu pelajar yang bermasalah.  Ini juga tugasnya sebagai seorang guru kaunseling.
            “Johan, Faiz dan Khairul.  Maafkan cikgu kerana sangsi dengan kalian bertiga.  Maafkan cikgu juga kerana menuduh kalian yang memukul  Saiful Bakri.  Kita sudah tahu siapa yang melakukannya.  Tentang bayi yang kita jumpa di tandas itu, biarlah menjadi rahsia kita berlapan.  Jangan diberitahu kepada sesiapa. Bolehkan?  Demi  maruah dan harga diri Siti Effa.  Kita tutuplah keaifan Siti Effa.  Kita anggap tiada apa yang terjadi.  Lama-lama nanti cerita ini akan senyap jika tiada siapa yang membukanya.  Boleh kalian lakukan itu? Simpan rahsia,”  Cikgu Rahman memandang wajah ketiga-tiga pelajarnya itu.  Dia tidak mahu pelajar seperti Siti Effa dimalukan dan takut hendak ke sekolah jika cerita mengenainya diketahui oleh pelajar lain.  Tentulah dia akan dijadikan bahan bualan dan takut pula diejek nanti.
            “Insya-ALLAH cikgu,”  jawab Khairul.
            “Tolong  mak cik ya, janganlah sampai ada kawan-kawan kalian yang tahu siapa ibu bayi itu.  Demi maruah anak mak cik, biarlah perkara ini jadi rahsia kita bersama.”  Kata Puan Sara pula.
            “Biarlah rahsia,”  gurau  Faiz.  Dia menyengih.  Semua tersenyum dengan gurauan Faiz.
            “Alhamdulillah, akhirnya selesai juga kes ini ya, cikgu,”  Khairul mengurut dada.  Lapang fikirannya.  Kalau tidak setiap hari asyik memikirkan, siapakah yang memukul Saiful Bakri.    Boleh pecah kepalanya.  Sekarang semuanya sudah terjawab.  Mereka boleh menarik nafas lega.  Tenang hati dan fikiran. 
            “Yalah, lega rasanya.”  Luah Faiz.  Dia mampu tersenyum semula.  Abangnya juga sudah ditangkap dengan bantuan  Cikgu Azmira.  Mereka menangkapnya sewaktu dia mengugut ibunya untuk meminta wang.  Rumahnya kembali aman.  Semoga abangnya sedar bahawa perbuatannya merosakkan orang lain juga.  Ibunya juga sudah boleh bekerja dengan selesa tanpa perlu memberatkan kepala dengan masalah abangnya yang menjadi penagih dadah. 
            “Kalau macam tu, kami minta diri dulu, cikgu.”  Puan Sara minta diri.  Setelah bersalaman dengan Cikgu Azmira, dia dan Siti Effa melangkah keluar.  Mereka memerhatikan sahaja.
            “Sudah, pergi balik kelas.  Jangan nak merayau pula,”  arah Cikgu Rahman.  Ketiga-tiga pelajar itu menyengih. 
            “Esok pagi datang ke bilik saya.”  Suruh Cikgu Azmira.  Dahi ketiga-tiga mereka berkerut pula.
            “Kenapa pula cikgu?  Bukankah masalah kami sudah selesai.  Takkan nak dengar cikgu berleter lagi?”  Faiz mendengus. 
            “Ooo…  awak  kata saya berleter ya?”  Cikgu Azmira menjegilkan mata. 
            “Taklah cikgu, tersasul tadi,”  Faiz menekup mulutnya.  Johan menampar lengannya.
            “Apalah punya anak murid,”  Khairul menunjal dahi Faiz.
            “Hoi! Main kasar nampak?”  Faiz menerpa hendak menumbuk Khairul.  Sepantas kilat Khairul berlari keluar.  Faiz terus mengejar. 
            “Esok ada apa cikgu?”  tanya Johan yang masih tidak berganjak dari bilik itu.
            “Esok, saya nak minta kalian bertiga bantu mengemas bilik cikgu,”  Cikgu Azmira menyengih.  Johan tersenyum.
            “Mengemas?  Ingatkan cikgu nak buat apa.  Insya-ALLAH, cikgu.  Saya minta diri dulu,”  Johan berlalu.  Cikgu Azmira tersenyum lagi.  Seronok rasanya bila menjadi guru yang dihargai oleh anak murid sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Komen